Wednesday, 10 February 2016

Assignment - Year 1 (Semester 3 - September) MANUSIA, MASYARAKAT DAN BUDAYA ABXM1103

1.PENGENALAN
Mutakhir ini, penderaan pembantu rumah bukan lagi merupakan satu isu baru di dunia khususnya Malaysia. Kita juga sering mendengar di akhbar-akhbar mahupun media elektronik tentang penderaan terhadap pembantu rumah Indonesia yang didera oleh majikan mereka yang semakin meningkat dan menjadi-jadi di negara ini. Keadaan yang sedemikian amat membimbangkan semua pihak dan seterusnya ia boleh merosakkan hubungan antara kedua-dua negara jika tidak ditangani segara. Justeru, konsep budaya memainkan peranan penting untuk mewujudkan kesedaran bahawa penderaan sememangnya tidak diterima dalam masyarakat di negara ini. Ketidakseimbangan budaya juga boleh  menyebabkan terjadinya penderaan terhadap pembantu rumah samaada dari segi mental atau fizikal. Di Malaysia terdapat 320,000 orang pembantu rumah berdaftar dengan 95 peratusnya dari Indonesia. Dan dilaporkan terdapat 300,000 orang pembantu rumah lari dari rumah majikan dan salah satu disebabkan akibat tidak tahan didera. 

Umumnya, budaya adalah suatu cara hidup yang berkembang dan dimiliki bersama dalam sesebuah kelompok masyarakat atau orang dan diwariskan dari generasi ke generasi. Budaya terbentuk dari pelbagai unsur yang rumit, termasuklah sistem agama dan politik, adat istiadat, bahasa, perkakas, pakaian, bangunan dan karya seni. Bahasa merupakan sebahagian daripada budaya yang tidak boleh dipisahkan dalam diri manusia sehingga kebanyakkan orang cenderung beranggapan ia diwariskan secara genetik. Sebagai contoh, ketika seseorang berkomunikasi dengan orang yang berbeza budaya dengannya dan cuba menyesuaikan diri, hal ini dapat membuktikan bahawa budaya itu telah dipelajari.

Dalam erti kata lain, budaya adalah suatu pola hidup menyeluruh serta bersifat kompleks, abstrak, dan luas. Banyak aspek budaya turut menentukan perilaku komunikatif. Unsur-unsur sosio-budaya ini tersebar dan meliputi banyak kegiatan sosial manusia. Menyentuh topik dari tugasan ini, penderaan pembantu rumah dapat ditandingi dengan menggunakan analisis budaya supaya dapat mewujudkan persefahaman, toleransi dan rasa hormat antara majikan dengan pembantu rumah. Jika tiada sifat-sifat positif tersebut, maka timbullah kesan-kesan negatif seterusnya berlakunya penderaan terhadap pembantu rumah.


Penderaan bukan saja dari segi fizikal semata-mata malah ia juga melibatkan emosi mahupun psikologi dan kadang-kadang serangan seksual oleh majikan atau ahli keluarga majikan juga boleh dikategorikan sebagai penderaan kepada pembantu rumah. Apa pun yang mengakibatkan kesakitan, hakikatnya penderaan boleh meninggalkan parut yang akan terukir dalam jiwa seseorang untuk tempoh bertahun-tahun lamanya.

Gambar : Nirmala Bonat ( mangsa penderaan majikan )
Sumber : utusan.com.my


Gambar diatas merupakan salah satu contoh daripada kes penderaan terhadap pembantu rumah yang mendapat liputan meluas dari pihak media pada tahun 2004. Nirmala Bonat yang berusia 19 tahun semasa kejadian itu berasal dari Nusa Tenggara Timur, Kupang, Indonesia dipercayai didera teruk oleh majikan wanitanya selepas tiga bulan  bekerja di sebuah kondominium di Jalan Sultan Ismail. Mangsa melecur pada kedua-dua buah dadanya akibat ditekap dengan seterika panas dan bahagian belakang badan mangsa melecur teruk disiram air panas. Begitu juga kedua-dua belah tangannya melecur akibat direndam dalam air panas. Menurut Nirmala, beliau dipukul sekurang-kurangnya sekali sehari walaupun ia hanya melibatkan kesalahan remeh-temeh. Di sini dapat dilihat bahawa kes-kes penderaan sebegini akan menimbulkan kesan-kesan negatif samaada pada mangsa mahupun negara seperti di bawah ini.


1.1.Kesan-kesan negatif
v  Mangsa trauma dan terseksa
§  Terdapat dua jenis trauma iaitu trauma fizikal dan mental. Trauma fizikal termasuk tindak balas badan terhadap kecederaan serius dan ancaman. Trauma mental termasuk pemikiran yang menakutkan dan perasaan yang menyakitkan. kedua-dua merupakan tindak balas minda untuk kecederaan serius. Trauma mental boleh menghasilkan perasaan yang mendalam. Ia juga boleh menghasilkan tingkah laku yang melampau, seperti takut atau tidak berdaya sengit, penarikan balik atau detasmen, kurang tumpuan, cepat marah, gangguan tidur, agresif, kewaspadaan hyper (gigih menonton untuk acara-acara yang lebih menyedihkan), atau imbasan (rasa bahawa peristiwa ini sering muncul). Tindak balas juga merupakan suatu ketakutan. Selalunya mangsa trauma menjadi takut bahawa orang yang dicintai akan terluka atau terbunuh. Dipercayai bahawa lebih banyak pendedahan langsung kepada peristiwa-peristiwa traumatik menyebabkan kemudaratan yang lebih besar kepada mangsa penderaan ini.

v  Kurang keyakinan diri
§  Akibat dari penderaan yang dihadapi, mangsa selalunya mempunyai sifat kurang keyakinan diri apabila melakukan sesuatu. Hal ini kerana, pengalaman lalu menyebabkan mangsa takut untuk melakukan sesuatu dan takut didera jika melakukan kesalahan.

v  Mengasingkan diri dari masyarakat sekeliling
§  Mangsa percaya bahawa dengan cara ini dia akan selamat dari gangguan yang dihadapi serta memilih mengasingkan diri dari masyarakat sekelililng.

v  Kecacatan kekal atau sementara
§  Bergantung kepada kecederaan yang dihadapi mangsa. Walaubagaimana pun,  ia tetap akan meninggalkan parut serta kesan kecacatan kekal atau sementara kepada mangsa.

v  Wujudnya sifat dendam dalam diri
§  Dendam adalah satu tindakan yang berbahaya terhadap orang atau kumpulan sebagai tindak balas kepada rungutan sebenar atau dilihat. Ia juga dikenali sebagai ‘payback’, hukuman, tindakan balas, balas dendam atau sebagai menuntut keadilan. Sifat dendam wujud kerana perasaan yang terpendam akibat didera atau terlalu tidak tahan menanggung kesakitan akibat didera. Sebab itulah sifat dendam ini wujud dalam diri mangsa bagi meluahkan perasaan yang terpendam akibat penderaan samaada dari segi fizikal atau mental atau kedua-duanya.

v  Hilangnya kepercayaan terhadap masyarakat sekeliling
§  Mangsa selalunya menanam sifat untuk tidak mempercayai masyarakat di sekelilingnya kerana peristiwa lampau. Baginya masyarakat sekeliling sama seperti apa yang dia pernah lalui sebelum ini.

Sementara itu, kesan-kesan lain iaitu menjatuhkan imej negara seterusnya membuktikan betapa masalah penderaan ini tidak ditangani secara sistematik. Kita sedia maklum,  fenomena penderaan pembantu rumah memang sesekali tidak diterima serta bertentangan dengan nilai-nilai budaya masyarakat di negara ini seterusnya secara tidak langsung ia sedikit sebanyak menjejaskan hubungan baik antara Malaysia dan Indonesia. Sukar mendapat pembantu rumah juga merupakan kesan negatif daripada mendera ini. Pembantu rumah Indonesia tidak mahu lagi bekerja di negara ini dan mencari negara lain yang lebih selamat untuk bekerja. Secara tidak langsung, rakyat tempatan yang bekerja akan menghadapi masalah anak-anak akan terbiar dan tidak terurus tanpa pembantu rumah. Dengan situasi sebegini, Kerajaan kemungkinan memperkenalkan dasar-dasar baru dengan memperbaiki dasar pengambilan pembantu rumah asing. Memperkenalkan pembantu rumah tempatan. Memperkenalkan insentif kepada mereka yang bekerja di sektor pembantu rumah. Dalam erti kata lain, perkhidmatan yang diberikan antara pembantu rumah Indonesia dengan pembantu rumah tempatan dalam menguruskan hal rumah tangga berbeza dari segi kecekapan dan sebagainya.


2.FAKTOR-FAKTOR YANG MENYUMBANG KE ARAH PENDERAAN
Selain daripada kesan-kesan negatif, terdapat juga beberapa faktor yang menyumbang ke arah perilaku tersebut seperti bahasa, masalah dan gangguan personaliti, mutu kerja pembantu rumah, kesilapan berterusan, pergaulan bebas dan tiada akta yang melindungi.

2.1.Bahasa
Merupakan faktor berlakunya penderaan terhadap pembantu rumah. Hal ini disebabkan oleh kurangnya pemahaman pembantu rumah akan bahasa yang digunakan majikan. Walaupun kedua-dua bahasa Indonesia dan Malaysia hampir sama tetapi tidak serupa serta berbeza dari segi maknanya. Hakikatnya kedua-dua bahasa itu hampir sama itulah yang telah menimbulkan banyak masalah dalam hubungan majikan dan pembantu rumah Indonesia selama ini. Jika pembantu rumah berasal dari negara lain, sudah pasti seseorang majikan itu akan berusaha memastikan arahannya difahami akan tetapi jika pembantu rumah itu dari Indonesia secara automatik majikan akan menganggap pembantu rumah itu akan faham arahannya tanpa perlu diperjelaskan lebih lanjut. Justeru, perkara ini sebenarnya adalah satu anggapan yang meleset yang telah menjadi satu penyumbang besar kepada berlakunya kes-kes penderaan dimana ia   menjadi seperti 'duri dalam daging' hubungan antara Malaysia dan Indonesia sejak beberapa tahun kebelakangan ini.  Sebagai contoh, seorang majikan meminta pembantu rumah barunya menggoreng dua ekor ikan yang baru dibelinya untuk makan malam. Bayangkan reaksi majikan itu apabila mendapati hanya dua cebis ekor ikan yang telah digoreng diletakkan di dalam pinggan. Hal ini berlaku kerana penjodoh bilangan untuk ikan dalam bahasa Indonesia ialah biji, bukan ekor. Apabila diminta menggoreng dua ekor ikan, maka pembantu rumah tersebut telah menggoreng ekor ikan itu. Disini dapat dilihat berlakunya salah faham antara kedua-dua pihak.
2.2.Masalah Dan Gangguan Personaliti
Sikap sesetengah majikan dan pembantu rumah adalah antara faktor yang mengakibatkan terjadinya kes-kes penderaan. Sikap majikan yang terlalu garang serta pembantu rumah yang tidak dapat menyesuaikan diri dengan pekerjaan mereka boleh mewujudkan ketegangan sehingga majikan cenderung mendera pekerja mereka itu. Majikan selalunya merasakan bahawa mereka sentiasa betul dalam segala hal tanpa mengambil kira masalah pembantu rumah mereka. Dengan ini, secara tidak langsung hubungan menjadi tegang malah komunikasi kemungkinan tidak berlaku seperti yang diharapkan. Sikap majikan terutamanya banyak mempengaruhi keadaan ini. Kadang-kadang ada majikan yang terlalu memendam sesuatu perkara sehingga apabila mencapai keadaan yang tidak dapat ditanggung lagi mereka akan melepaskan kepada pembantu rumah mereka walaupun tiada kesalahan yang dilakukan ataupun kesalahan serius. Ia bagaikan retak mencari belah, hanya tunggu masa sahaja. Sikap sebegini tidak seharusnya ada dalam diri majikan yang mempunyai pembantu rumah. Majikan perlu menunjukkan contoh yang baik lebih-lebih lagi jika mempunyai anak-anak kecil di rumah. 

Gambar : Marah
Sumber : christthetruth.wordpress.com


2.3.Mutu Kerja Pembantu Rumah
Faktor lain yang paling jelas dan mudah ialah mutu kerja pembantu rumah tidak seperti yang diharapkan. Ini disebabkan majikan mengeluarkan belanja yang besar sehingga mencecah RM4,000 hingga RM5,000 untuk proses mendapatkan pembantu rumah. Mereka juga dibayar gaji setiap bulan. Keadaan ini menyebabkan harapan majikan terhadap mutu perkhidmatan pembantu sangat tinggi. Apabila pembantu rumah gagal memberikan perkhidmatan yang diharapkan maka terjadilah kekecewaan. Tidak semua majikan boleh menerima kekecewaan ini dengan sabar dan lapang dada. Terdapat majikan yang kurang sabar dan kadangkala tidak berfikir dengan waras maka terjadilah penderaan. Faktor  penderaan ini harus diselesaikan  jika kita tidak mahu penderaan terjadi lagi. Selain itu, agensi pekerjaan merupakan faktor sampingan dan bertanggungjawab  berlumba-lumba membawa masuk pembantu rumah Indonesia tetapi mereka kurang faham kesesuaian watak suatu suku bangsa dengan bidang pekerjaan yang serasi. Asalkan ada orang Indonesia yang mahu bekerja sebagai pembantu rumah, mereka akan terus diambil tanpa meneliti dengan lebih mendalam adakah pekerjaan itu sesuai ataupun tidak dengan calon pembantu rumah yang dikehendaki majikan. Pembantu rumah Indonesia ialah seorang yang mempunyai tahap pendidikan yang rendah. Kebanyakkan mereka berasal dari kampung yang mundur dan miskin. Tahap pendidikan yang rendah menyebabkan mereka tidak dapat memahami sesuatu arahan dengan tepat dan cepat. Pendek kata, wang telah banyak dihabiskan tetapi perkhidmatan tidak seperti diharapkan.

2.4.Kesilapan Berterusan
Akibat terlalu kerap melakukan kesilapan menyebabkan ketidakpuasan hati majikan terhadap pembantu rumah seterusnya berlakulah penderaan. Teguran dan pengajaran tidak diberi perhatian dan terus menerus menggulangi kesilapan yang sama. Kita sedia maklum, kesabaran juga mempunyai hadnya dan setiap manusia tidak lari dari melakukan kesilapan. Namun, jika diulangi juga majikan mana yang boleh bersabar. Faktor sebeginilah yang merupakan salah satu penyebab penderaan terjadi di kalangan pembantu rumah yang degil.

2.5.Pergaulan Bebas
Pergaulan bebas dikalangan pembantu rumah itu sendiri kadang-kadang tidak dapat diterima oleh sesetengah majikan yang mengganggap perbuatan tersebut tidak sopan. Seperti yang kita tahu, pembantu rumah warga Indonesia ini boleh tinggal secara beramai-ramai dalam satu bilik atau rumah yang kecil. Pergaulan antara lelaki dan perempuan juga tiada batasan. Keadaan ini menimbulkan kemarahan majikan kerana menanggung malu dan berlakunya penderaan.

Gambar : Pergaulan Bebas
Sumber : wellsphere.com


2.6.Tiada Akta Yang Melindungi
Umum mengetahui bahawa undang-undang di Malaysia tidak merangkumi kes pembantu rumah yang didera di dalam akta-akta perlindungan hak pekerja. Malah di Indonesia sendiri masih belum mempunyai undang-undang yang khusus dalam melindungi pekerja-pekerja migran mereka. Dengan ketiadaan akta yang melindungi ini juga pihak majikan dan agen-agen buruh bebas mendiskriminasi pembantu rumah tanpa takut akan undang-undang serta diambil tindakan. Ini juga merupakan faktor utama berlakunya penderaan.

Faktor-faktor lain ialah seperti sikap mengada-ngada pembantu rumah, harapan yang terlalu tinggi majikan kepada pembantu rumah, nafsu yang tidak dapat dikawal dan masalah rumah tangga pasangan majikan serta persekitaran yang tidak sihat juga menyebabkan fikiran majikan mudah terganggu lalu menjadikan pembantu rumah sebagai mangsa. Kadangkala, faktor dalaman iaitu masalah psikologi majikan itu sendiri yang mungkin pernah menjadi mangsa dera juga boleh menggalakkan mereka mendera pembantu rumah. Walau apa pun faktor-faktor yang dihuraikan di atas, masing-masing menjadi penyumbang ke arah penderaan.

3.CARA MENGATASI
Selain faktor-faktor seperti yang diterangkan di atas, saya akan menghuraikan pula cadangan untuk mengatasi masalah penderaan ini antaranya adalah menggubal akta dan peranan masyarakat.

3.1.Menggubal Akta
Kerajaan perlu menggubal akta berkaitan pekerja asing terutamanya berkenaan kes pembantu rumah yang didera. Selain itu, kerajaan juga perlu memperbaiki perlindungan undang-undang dengan menggubal akta perlindungan pekerja asing serta meminda akta pekerjaan dan akta imigresen bagi mengatasi penderaan seumpamanya. Bagi majikan yang melakukan penderaan terhadap pembantu rumah, mereka akan dikenakan hukuman atau denda yang setimpal bagi setiap kesalahan yang dibuat. Dengan ini, secara tidak langsung  boleh memberi pengajaran kepada majikan yang mendera pembantu rumah tersebut. Justeru, untuk masa yang akan datang masyarakat akan berfikir terlebih mengenai akta ini. Dalam masa yang sama, kerajaan hendaklah menyarankan agar pihak Kementerian Sumber Manusia dapat menyediakan buku panduan kepada pihak majikan agar dengan ini pihak majikan dapat mengetahui apakah tindakan yang perlu dilakukan terhadap pembantu rumah yang melakukan kesalahan dan menghukum bertepatan dengan undang-undang di negara ini.

Campur tangan kerajaan amat penting bagi mengurangkan kes-kes penderaan dari berterusan. Kerajaan juga perlu mewajibkan kepada setiap majikan untuk membeli insurans sebelum mengambil pembantu rumah asing bekerja di rumah mereka. Tujuannya adalah memberi pampasan kepada pembantu rumah sekiranya sesuatu yang buruk berlaku kepada mereka. Contohnya, jika seorang pembantu rumah dilaporkan didera oleh majikannya, kegunaan perlindungan insurans yang dibeli ini dapat membantunya meneruskan kehidupan sementara mendapatkan pekerjaan lain serta bantuan perubatan dan dengan ini kebajikannya terjaga.

Kerajaan juga hendaklah menggesa majikan supaya menggunakan agensi pekerja asing yang diiktiraf. Pengambilan pekerja asing mestilah melalui agensi yang diiktiraf oleh kedua-dua kerajaan iaitu Malaysia dan Indonesia. Agensi pekerja asing harus dikenakan deposit sebagai jaminan memastikan setiap pembantu rumah asing yang mereka tawarkan adalah berkelayakan dan berkualiti supaya tidak sewenang-wenangnya membekalkan pembantu rumah yang hanya sekadar boleh sahaja.  Dengan demikian, semua pihak mempunyai peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam menggurangkan penderaan pembantu rumah yang semakin menjadi-jadi kini.

Gambar : Melatih Pembantu Rumah
Sumber : mediaowners.wordpress.com


3.2.Peranan Masyarakat
Peranan masyarakat adalah penting dalam mengatasi permasalahan ini. Sebagai masyarakat yang bertanggungjawab kita adalah harus memberi kerjasama secara serius untuk melaporkan kepada pihak polis jika mengetahui sebarang kejadian penderaan terhadap pembantu rumah. Masyarakat kita selalunya berpendapat jika mengambil tahu akan digelar sebagai ‘penyibuk’. Kita harus mengubah sikap ini bergantung kepada keadaan serta situasi yang sesuai supaya penderaan diketahui oleh pihak berkuasa dan bukan hanya untuk dipendam sendiri kerana takut dikatakan menyibuk hal orang.

Semangat kejiranan harus diamalkan dengan mengambil tahu hal yang berlaku di sekeliling tempat tinggal kita. Kadang-kadang kita sendiri tidak kenal jiran-jiran terdekat kita walhal sudah bertahun kita tinggal di situ. Memang tidak dapat dinafikan zaman sekarang ramai pasangan yang bekerja dan tidak sempat pun untuk kenal mengenal dengan jiran tetapi itu bukan alasan untuk melepaskan batuk di tangga. Sebaliknya, kita perlu mencari alternatif lain seperti menghadiri majlis-majlis atau acara yang diadakan di kawasan tempat tinggal bagi mengeratkan lagi hubungan dengan jiran supaya apabila berlaku sesuatu samaada kepada kita sendiri ataupun jiran, kita dapat saling tolong-menolong antara satu sama lain. Seperti juga dengan kes penderaan ini, kita secara tidak langsung dapat mengetahui apa sebenarnya yang berlaku jika seseorang itu benar-benar memerlukan pertolongan. Jadi, masyarakatlah yang memainkan peranan penting dalam mengatasi masalah penderaan ini dan seterusnya membuang tanggapan yang negatif dalam mengambil berat keadaan sekeliling mereka.

Gambar : Semangat Kejiranan
Sumber : cemerlangbm.com


4.KESIMPULAN
Walaupun banyak kes penderaan pembantu rumah yang dilaporkan, namun ia tidak menghalang warga migran untuk terus datang mencari pekerjaan di negara ini. Menurut perangkaan yang dikeluarkan oleh Human Rights Watch (HRW)  lebih dari 90% daripada pembantu-pembantu rumah di Malaysia adalah warga Indonesia. Bagi mereka (warga Indonesia) Malaysia merupakan salah satu destinasi utama kepada sebahagian besar tenaga kerja Indonesia (TKI) sejak dua dekad yang lalu. Ini dibuktikan lagi bahawa jarak geografi yang dekat, persamaan adat, bahasa dan terbukanya pelbagai peluang pekerjaan di pelbagai sektor telah mendorong TKI untuk datang ke Malaysia.

Sebagai masyarakat yang prihatin, kita tidak boleh mengambil kesempatan ke atas mereka lebih-lebih lagi jika mereka menjadi pekerja kita dan membalas dengan penderaan. Kita juga sedia maklum bahawa perbezaan budaya menjadi salah satu penyebab berlakunya salah faham antara majikan dan pembantu rumah. Manusia mana yang tidak pernah melakukan kesilapan dan penderaan bukanlah suatu jalan penyelesaian terbaik untuk menghukum.

Sehubungan itu, faktor-faktor yang menyumbang ke arah penderaan seperti yang dihuraikan di atas juga perlu ditangani segara. Jika kita lambat bertindak maka lebih banyak lagi kes penderaan pembantu rumah yang bakal terjadi dalam masyarakat kita. Kita tidak mahu menjejaskan hubungan serta mengeruhkan lagi suasana antara dua buah negara yang terlibat iaitu Malaysia dan Indonesia. Sesetengah orang tidak tahu kadangkala sikap pembantu rumah itu sendiri yang selalu melakukan kesilapan atau malas bekerja boleh menimbulkan kemarahan majikan sehingga ke tahap mendera. Faktor dalaman iaitu masalah psikologi majikan itu sendiri yang mungkin pernah menjadi mangsa dera juga boleh menggalakkan mereka mendera pembantu rumah. Banyak faktor sampingan lain yang wujud antara majikan dan pembantu rumah kadang-kadang disebabkan persekitaran yang tidak selesa.

Kerajaan juga haruslah tegas menggubal akta yang berkaitan supaya tiada majikan yang berani mendera pembantu rumah mereka. Dalam pada itu, peranan masyarakat sangat penting. Semangat kejiranan perlu diamalkan bagi memastikan setiap penderaan yang berlaku dilaporkan kepada pihak polis untuk diambil tindakan sewajarnya terhadap majikan yang terlibat.

Oleh demikian, dapatlah disimpulkan bahawa penderaan pembantu rumah yang dilaporkan kini boleh merenggangkan lagi hubungan baik kedua-dua buah negara. Kerajaan Malaysia dan Indonesia perlu mengkaji serta mewujudkan akta perlindungan pekerja asing di negara masing-masing supaya masalah penderaan ini dapat diatasi. Akhir kata, kita harus meletakkan lebih banyak kaedah untuk melindungi pembantu rumah dan perlu lebih berhati-hati kerana pembantu rumah juga manusia seperti kita. Seharusnya kita menghormati mereka kerana mereka banyak membantu kami di rumah dan meringankan kerja kita jadi mengapa perlu mendera mereka. Adalah tidak logik jika pertolongan yang diberikan dibalas dengan penderaan. Justeru, semua pihak haruslah bertanggungjawab dan memainkan peranan dalam mengatasi masalah penderaan ini dan menjadi negara contoh kepada negara-negara lain.


2852 Perkataan



APENDIKS
5.RUJUKAN / REFERENSI
Abuse Of Indonesian Maids. (2009). [Online].
Available: http://warkah.com/abuse-of-indonesian-maids/. [ 2011, October 6].

Abusive Behavior Signs. (2011). [Online].

Gaji Rendah, Takut Dera, Punca Kurang Pembantu Rumah Berkualiti Di Malaysia.
(2007). [Online]. Available: http://syukran.wordpress.com/
2007/07/11/gaji-rendah-takut-dera-punca-kurang-pembantu-rumah-berkualiti-
di-malaysia/. [2011, October 6].

Malaysia: Maids. (n.d.). [Online].
[2011, October 7].

Maid Abuse Case Shocks Malaysia. (2004). [Online].
Available: http://news.bbc.co.uk/2/hi/asia-pacific/3732241.stm. [201l, October 7].

Maid Abuse. (n.d.). [Online].
Available: http://hadeelsug.blogspot.com/. [2011, October 7].

Maid Abuse In Malaysia. (n.d.). [Online].
571118?topic. [2011, October 7].

Maid Abuse In Malaysia: Guiding abuse victims to normalcy. (2009). [Online].
-guiding-abuse-victims-normalcy. [2011, October 7].

Penderaan Pembantu Rumah Indonesia. (2009). [Online].
pembantu-rumah-indonesia/. [2011, October 7].

Sebabnya Orang Indonesia Marahkan Malaysia. (2010). [Online].
Available: http://english.cpiasia.net/index.php?option=com_content&view= article&id=2003:sebabnya-orang-indonesia-marahkan-malaysia-&catid=
218:faisal-mustaffa&Itemid=156. [2011, October 7].

TIPS Menggaji Pembantu Rumah Indonesia. (n.d.). [Online].

Hussin, A. (n.d.). Gaji Amah Kekal. [Online].
amah.html. [2011, October 7].

Effendiuz, S. (2004). Penderaan Paling Kejam. [Online].
[2011, October 7].

Ismail, J. (n.d.). Jangan Biar Berpanjangan. [Online].
Available: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt= 0925&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm. [2011, October 8].

Elias, S. (2007). Bahasa Antara Punca Penderaan Amah. [Online].
TERKINI/Mutakhir/ Bahasa_antara_punca_penderaan_amah&sec=
mstar_berita. [2011, October 8].

Sharuddin, Z. (n.d.).  Gaji Amah Indonesia Masih Dirunding. [Online].
Available: http://jiwang.org/current-issues/24110-isu-semasa-amah.html.
[2011, October 8].

Zainun, N. & Likin, S. (2004). Watak Pembantu Rumah. [Online].
Available: http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0601&pub=utusan _malaysia&sec=rencana&pg=re_01.htm&arc=hive&arc=hive. [2011, October 8].



No comments:

Post a Comment