Thursday, 11 February 2016

Assignment - Year 2 (Semester 1 - January) PERSEPSI DAN EMOSI ABPK2203

1.PENGENALAN
Kita sedia maklum bahawa setiap manusia mempunyai personaliti yang berbeza, keinginan dan keperluan yang berbeza serta mempunyai cara yang berbeza untuk menunjukkan emosi kita. Manusia yang mempunyai kecerdasan emosi yang tinggi selalunya berjaya dalam perkara-perkara yang mereka lakukan. Hal ini kerana mereka membuat orang lain rasa gembira dengan cara  mereka dalam menjalani kehidupan lebih mudah daripada kehidupan seseorang yang mempunyai tahap kecerdasan emosi yang rendah iaitu seseorang yang mudah marah, kecewa atau sebagainya.

Contoh emosi adalah seperti tangisan, sedih, takut dan gelak ketawa secara tidak langsung mencorakkan warna kehidupan, membentuk sikap dan personaliti serta menggerakkan kehidupan seseorang itu. Perkataan emosi ini berasal daripada perkataan Greek iaitu ‘emovere’ yang membawa maksud ‘untuk keluar’. Justeru, emosi akan ditonjolkan keluar sebagai satu bentuk bagi memenuhi kepuasan seseorang. Emosi boleh ditakrifkan sebagai satu keadaan yang dialami oleh seseorang manusia yang melibatkan beberapa perubahan proses fisiologi, diri dan psikologi. Perubahan ini melibatkan satu set tindak balas automatik, viseral iaitu meluap-luap dan komunikasi emosi seperti ekspresi muka, perkataan, isyarat dan tingkah laku  yang dipaparkan oleh seseorang itu. Manusia yang normal selalunya dilihat sebagai individu yang mengalami situasi yang pelbagai dan reaksi dalam melahirkan sesuatu emosi yang berbeza mengikut keadaan dan persekitaran.


Dalam erti kata lain, kecerdasan Emosi atau ‘Emotional Intelligence’ meliputi kemampuan menggungkapkan perasaan, kesedaran serta pemahaman tentang emosi dan kemampuan diri sendiri dalam mengurus dan mengendalikannya. Selain itu, kecerdasan emosi dapat juga ditafsirkan sebagai kemampuan mental yang membantu kita mengenali dan memahami perasaan-perasaan kita dan orang lain yang melihat kepada kemampuan kita untuk mengurus perasaan-perasaan tersebut. Dengan ini, secara tidak langsung orang yang cerdas secara emosi bukan hanya memiliki emosi atau perasaan tetapi juga dapat memahami apa maknanya. Seterusnya melihat diri sendiri seperti orang lain melihat kita dan mampu memahami orang lain seolah-olah apa yang dirasakan orang itu kita juga merasainya. 

Gambar : Pelbagai Emosi


Menurut Goleman, kecerdasan emosi adalah kemampuan untuk mengawal dan mengelolakan diri sendiri dan orang lain dari aspek perasaan, emosi dan tingkah laku. Ia juga merupakan tindakan dan kepintaran  untuk mengubahsuai sesuatu tingkah laku bersesuaian dengan masa dan keadaan. Definisi yang diberikan oleh Goleman cuba menerangkan kebolehan-kebolehan lain selain daripada kecerdasan akademik yang dianggap sebagai pelengkap kepada kebolehan kognitif yang diukur melalui IQ.  Dalam menerangkan konsep kecerdasan emosi, Goleman (1995) telah membahagikan kecerdasan emosi kepada empat komponen utama iaitu kesedaran diri (self-awareness), pengurusan diri (self-management), kesedaran sosial (social awareness) dan pengurusan perhubungan (relationship management).



2.EMPAT KOMPONEN UTAMA KECERDASAN EMOSI GOLEMAN

2.1.Kesedaran Diri (Self-awareness)
Keupayaan untuk mengenal pasti emosi anda sendiri dan bagaimana ia mempengaruhi pemikiran dan tingkah laku anda, mengetahui kekuatan dan kelemahan anda dan mempunyai keyakinan diri.

Ini adalah bagaimana kita sedar dan berapa tepat kita boleh menilai emosi diri. Kebanyakan daripada kita begitu sibuk dengan menguruskan tugasan harian dan jarang mengambil langkah ke belakang dan berfikir tentang bagaimana kita bertindak balas terhadap situasi dan bagaimana kita mengatasinya. Selain itu, dapat ditafsirkan bagaimana orang sekeliling bertindak balas terhadap kita.

Ini adalah sering kali mencabar kerana kita cenderung untuk melihat apa yang kita mahu lihat. Dan kita cenderung untuk mengelakkan tindakan yang tidak pasti dengan bertanyakan kepada orang lain untuk mendapatkan maklum balas. Dalam mengembangkan kesedaran diri, kita seharusnya pertimbangkan untuk merenung kembali ke dalam kehidupan harian kita dan rutin mengumpul maklum balas khususnya daripada orang yang jujur ​​dan mempunyai idea yang anda hargai. Satu kajian besar mendapati bahawa seseorang yang mencari maklum balas negatif mempunyai lebih kesedaran dan berkesan daripada orang yang mencari maklum balas yang positif.

2.2.Pengurusan Diri (Self-management)
Keupayaan untuk mengawal perasaan dan tingkah laku impulsif, mengurus emosi anda dengan cara yang sihat, mengambil inisiatif, ikuti melalui komitmen, dan menyesuaikan diri dengan keadaan yang berubah-ubah.

Kita mempunyai peluang yang amat terhad untuk mengawal emosi yang menguasai diri. Kemampuan kita juga agak terbatas untuk menentukan emosi yang akan menguasai kita. Emosi datang tanpa diundang kerana bila-bila sahaja emosi boleh muncul tanpa direncana. Namun apa yang boleh dilakukan ialah dengan menentukan emosi yang menguasai kita itu hanya sementara sahaja. Kita boleh menentukan berapa lama emosi itu akan menguasai diri kita. Emosi marah akan menjadi aktif dan bertindak dengan cepat sekali tanpa diduga apabila terdapat rangsangan emosi seperti apabila ego kita dicabar, keselamatan kita diancam ataupun keupayaan atau hak kita dirampas ataupun dinafikan. Jika emosi negatif ini tidak dibendung dengan segera maka ia akan membawa mudarat. Justeru, beberapa kemahiran boleh dipraktikkan seperti memikir kembali rangsangan emosi tadi, mencabar fikiran yang mencetuskan emosi marah itu dan mengalih tumpuan masalah. Seseorang yang mampu mengurus emosinya boleh dikira mempunyai sebahagian kecerdasan emosi.

2.3.Kesedaran Sosial (Social awareness)
Kebolehan untuk memahami emosi, keperluan dan kebimbangan orang lain, mengambil pada isyarat emosi, keadaan sosial yang selesa dan mengiktiraf dinamik kuasa dalam kumpulan atau organisasi.

Kesedaran organisasi anda ialah memberi tumpuan terhadap perkhidmatan dan tahap empati kesedaran sosial anda. Tingkatkan kesedaran organisasi anda dengan memperhalusi radar anda untuk iklim emosi dalam kumpulan dan mengiktiraf dinamik kuasa. Selain itu, tingkatkan orientasi perkhidmatan anda dengan memperhalusi radar anda untuk pelanggan anda atau keperluan pelanggan. Utamakan yang paling penting dan sentiasa mengambil tanggungjawab peribadi walaupun sesuatu itu tidak berjalan dengan baik. Strategi lain untuk meningkatkan orientasi perkhidmatan anda termasuk ialah sentiasa ada dan responsif terhadap pelanggan yang mungkin serta mewujudkan satu sistem tetap untuk mengumpul maklum balas.


2.4.Pengurusan Hubungan (Relationship management)
Keupayaan untuk mewujudkan serta mengekalkan hubungan yang baik, berkomunikasi dengan jelas, memberi inspirasi dan mempengaruhi orang lain, bekerja dengan baik dalam satu pasukan dan mengurus konflik.

Dalam erti kata lain, keupayaan dalam membina hubungan dengan orang lain merupakan keterampilan sosial yang mendukung keberhasilan dalam pergaulan dengan orang lain. Tanpa memiliki keterampilan seseorang itu akan mengalami kesulitan dalam pergaulan sosial.  Jika tidak dimilikinya keterampilan-keterampilan semacam inilah yang  menyebabkan seseroang itu seringkali dianggap angkuh, mengganggu atau tidak mempunyai perasaan.



3.SEBAB DAN KETERANGAN
3.1.Kesedaran Diri
3.1.1.Keluarga
Kesedaran diri patut diterapkan dalam keluarga kerana ia merupakan peranan penting dalam membentuk institusi kekeluargaan. Dewasa ini, kita sering melihat, mendengar atau mengalami sendiri pengalaman dimana jika ketua keluarga itu tidak pandai dan mengambil sikap sambil leka terhadap anak-anak atau ahli keluarga lain maka akan terjadi gejala tidak diingini berlaku terhadap keluarga tersebut. Sementara itu, kesedaran diri terhadap keluarga  mempengaruhi diri kita dan bagaimana kita mengawal tingkah laku diri terhadap keluarga seperti tidak bersikap panas baran dan mengabaikan keluarga. Dalam kesedaran diri juga kita patut bersikap prihatin, mengambil berat terhadap keluarga dan penyayang. Keyakinan dalam diri juga perlu kuat dalam mengawal tingkah laku supaya keluarga saling memahami antara satu sama lain.




3.1.2.Rakan-rakan
Bagi pendapat saya, kesedaran diri agak kurang sesuai diterapkan dalam kalangan rakan-rakan yang merupakan hubungan luar selain keluarga. Seperti yang kita tahu, rakan-rakan merupakan kenalan rapat kita tidak kiralah sama ada jauh atau dekat selagi erti hubungan itu dijaga dengan baik. Memang benar kita patut menjaga hubungan antara rakan, tetapi dari segi kesedaran diri agak kurang sesuai diterapkan dalam kalangan rakan kerana kesedaran diri melibatkan diri kita sendiri bagaimana kita mempengaruhi pemikiran dan tingkah laku diri kita sendiri serta mengetahui kelemahan dan kelebihan diri selain menerima pandangan dan maklum balas dari orang terdekat terutamanya di kalangan ahli keluarga yang terdekat berbanding dengan rakan-rakan.

3.1.3.Rakan sekerja
Sementara itu, kesedaran diri patut diterapkan dalam situasi rakan sekerja. Ini kerana kita bekerja dalam satu organisasi yang melibatkan kerjasama dan memerlukan antara satu sama lain dalam membuat sesuatu kerja mahupun pendapat. Jadi, kita perlulah bijak mengetahui kekuatan dan kelemahan dalam menampilkan diri supaya kita tidak dilihat atau dinilai hanya kerana sikap atau perangai kita yang lemah atau sebaliknya. Kekuatan diri perlu ditampilkan dengan memberi pendapat atau pandangan yang positif supaya rakan sekerja akan berfikir bahawa kita merupakan seorang yang berani mengemukakan sesuatu hal dan kagum dengan kita malah menjadikan kita sumber inspirasi mereka dalam meningkatkan tahap kerja yang cemerlang dan berpotensi. Secara tidak langsung, sesuatu organisasi itu berkembang dan maju dengan mempunyai ramai pekerja yang bersikap positif. Manakala kelemahan diri perlulah diperbaiki dan kalau boleh cuba sedaya upaya mengatasinya supaya tidak diketahui oleh teman sekerja yang berniat untuk menjatuhkan kita dengan kelemahan yang ada dalam diri kita. Selain itu, keyakinan diri perlu ada dalam meningkatkan kesedaran diri untuk menghadapi rakan sekerja sama ada rakan sekerja yang positif atau negatif.


3.2.Pengurusan Diri
3.2.1.Keluarga
Pengurusan diri patut dan sesuai diterapkan dalam keluarga kerana situasi dalam keluarga memainkan peranan penting dalam menguruskan kehidupan yang sihat dalam menerapkan nilai-nilai murni betapa pentingnya dalam menjaga kesihatan antara satu sama lain di kalangan ahli keluarga. Dalam pada itu, kita juga dapat mengawal perasaan dan tingkah laku impulsif iaitu bersifat cepat bertindak secara tiba-tiba menurut gerak hati. Jika kita tidak dapat mengawal tingkah laku impulsif ini dengan baik maka akan wujudlah penderaan kerana mempunyai sifat marah secara tiba-tiba dan tidak dapat mengawalnya. Pengurusan diri amat penting kerana mengajar diri bagaimana mengurus emosi dengan cara yang sihat.

3.2.2.Rakan-rakan
Pengurusan diri ini penting dalam menangani situasi antara rakan kita kerana ia juga melibatkan tindakan mengawal perasaan dan tingkah laku. Jika sikap begini tiada dalam diri secara tidak langsung akan wujudlah perselisihan faham dan buruk sangka antara satu sama lain walaupun sudah lama mengenali hati budi masing-masing.

3.2.3.Rakan sekerja
Sementara itu, pengurusan diri bagi situasi rakan sekerja pula ialah dengan cara menyesuaikan diri dengan keadaan yang berubah-ubah. Maksudnya bagaimana kita mengurus emosi kita apabila berdepan dengan rakan sekerja yang banyak menimbulkan masalah di tempat kerja terutamanya serta berdepan dengan suasana yang berlainan setiap kali dalam mesyuarat atau sebagainya.


3.3.Kesedaran Sosial
3.3.1.Keluarga
Pada pandangan saya, kesedaran sosial dikalangan ahli keluarga amat penting dan patut diterapkan dalam institusi kekeluargaan di mana ia merujuk kepada kebolehan diri kita memahami emosi, keperluan serta kebimbangan pada keluarga. Selain itu, kita juga dapat menjalinkan hubungan yang rapat antara ahli keluarga yang lain dengan menerapkan sifat berkasih sayang dan membuang sifat hasad dengki yang wujud dalam diri supaya hubungan ini utuh dan tidak renggang walaupun sudah lama tidak bersua muka.

3.3.2.Rakan-rakan
Dalam pada itu, kesedaran sosial dikalangan rakan sangat penting dalam mewujudkan sikap prihatin dimana kita boleh memberi bantuan dan nasihat yang berguna dan menyakinkan kepada rakan kita jika mereka mempunyai masalah sosial seperti mempunyai keinginan berhenti merokok atau sebagainya.

3.3.3.Rakan sekerja
Dalam menerapkan kesedaran sosial di kalangan rakan sekerja kita mestilah terlebih dahulu memahami keperluan mereka serta memikirkan cara yang sesuai untuk meningkatkan mutu kerja sesama kita dan seterusnya meningkatkan taraf kedudukan diri dalam sesuatu organisasi.



3.4.Pengurusan hubungan
3.4.1.Keluarga
Dalam pengurusan hubungan ini, keluarga mempunyai kaitan yang kukuh antara satu sama lain di mana ia dapat dilihat melalui keupayaan untuk mewujudkan serta mengekalkan hubungan yang baik. Selain itu, komunikasi yang jelas dan berkesan juga mampu mengatasi salah faham yang kadang-kadang kecil tapi jika dibiarkan ia bertambah teruk dan rumit gara-gara kurangnya komunikasi yang dimaksudkan.

3.4.2.Rakan-rakan
Pengurusan hubungan antara rakan pula sangat sesuai dan patut diterapkan dalam kecerdasan emosi antara kita dan rakan di mana kita secara tidak langsung dapat memberi inspirasi dan juga mempengaruhi hubungan  sesama rakan. Sikap yang baik juga penting dalam pengurusan hubungan supaya tidak menimbulkan pergaduhan atau permusuhan.

3.4.3.Rakan sekerja
Dan yang terakhir ialah pengurusan hubungan antara rakan sekerja perlu dan patut diterapkan kerana ia melibatkan kita dan rakan sekerja bekerja dengan baik dalam satu pasukan yang ditetapkan oleh organisasi. Komunikasi juga penting di kalangan rakan sekerja jika tiada komunikasi maka jurang pergaulan amat terhad dan terbatas. Dengan ini, secara tidak dijangka akan mempengaruhi sikap negatif sesama rakan sekerja dalam pasukan iaitu perselisihan faham dan akan menyebabkan kurangnya penglibatan serta kerjasama dalam menentukan perjalanan sesebuah organisasi itu. 

Gambar : Pergaduhan Di Pejabat
Sumber : 123rf.com



4.MENGAPLIKASIKAN KECERDASAN EMOSI  DALAM MENINGKATKAN HUBUNGAN

Selain dari sebab dan keterangan yang dihuraikan seperti di atas yang menunjukkan bagaimana empat komponen utama Goleman dalam kecerdasan emosi sesuai atau tidak diterapkan kepada keluarga, rakan-rakan dan rakan sekerja. Di bawah ini pula akan saya huraikan bagaimana empat komponen tersebut diterapkan atau diaplikasikan dalam meningkatkan hubungan dengan keluarga, rakan-rakan dan rakan sekerja besertakan contoh yang relevan.

4.1.KELUARGA
Seperti yang kita sedia maklum, keluarga bukan saja melibatkan ibu, bapa, adik, abang dan kakak malah dalam konsep keluarga yang dimaksudkan ialah orang yang rapat yang tinggal sebumbung yang dianggap sebagai keluarga termasuklah sepupu, anak saudara dan sebagainya.

4.1.1.Kesedaran Sosial (Social awareness)
Kesedaran sosial yang perlu dititikberatkan dalam keluarga ialah penjagaan kesihatan. Justeru, setiap individu perlu menjaga kesihatan diri sendiri supaya dapat hidup dalam keadaan yang sihat sejahtera. Peranan ibu bapa juga penting dalam memastikan anak-anak berada dalam keadaan sihat. Contoh penjagaan kesihatan ialah melakukan aktiviti senaman dan makan makanan yang seimbang. Selain itu, kita perlulah memastikan kawasan sekeliling rumah bersih dari tempat pembiakkan nyamuk aedes.

Gambar : Gotong-royong
Sumber : raihanonline.wordpress.com


4.1.2.Pengurusan Hubungan (Relationship management)

Komunikasi amat penting dalam pengurusan hubungan dengan keluarga kerana  ia dapat mengelakkan salah faham antara ahli keluarga. Komunikasi ialah satu proses perpindahan maklumat, perasaan dan idea. Ia merupakan proses interaksi yang bererti antara hidupan dan merangkumi kedua-dua iaitu perbuatan menghantar maklumat dan proses untuk bertukar-tukar maksud supaya dapat menghasilkan pemahaman. Komunikasi boleh mengambil bentuk, baik secara lisan mahupun tidak misalnya bahasa gerak-geri, bahasa isyarat, sentuhan, hubungan mata, dan penulisan. Contoh komunikasi dengan keluarga ialah komunikasi dengan anak yang mempunyai masalah disiplin di sekolah. Sebagai ibu bapa, kita perlu memberi perhatian dan peka terhadap anak. Komunikasi dengan anak perlulah dengan cara yang lembut dimana kita menganggap mereka seperti kawan baik. Dengan cara ini, komunikasi antara ibu bapa dan anak akan berhasil.
Gambar : Berkomunikasi Dengan Anak
Sumber : ritaindrayani.blogspot.com


4.2.RAKAN-RAKAN
Rakan ialah orang yang berkongsi minat, kerjaya, hobi, permainan, matlamat dan sebagainya dalam satu organisasi atau kumpulan seperti persatuan, kelab, syarikat, pertubuhan dan sebagainya. Rakan mungkin boleh berkongsi kesedihan dan kegembiraan tetapi mereka selalunya tidak akan pergi lebih jauh daripada itu. Malah, sekiranya tidak sependapat hubungan kawan mungkin boleh terputus.

4.2.1.Kesedaran Sosial (Social awareness)

Kesedaran sosial antara rakan pula ialah memahami perasaan, emosi dan keperluan serta memberi perhatian dalam segala hal kerana rakan merupakan teman yang rapat selain keluarga. Contohnya, jika rakan kita menghadapi masalah kewangan seterusnya dibuang kerja, kita sebagai rakannya perlulah bersikap positif dengan memahami perasaannya dan cuba membantunya sedaya upaya.

Gambar : Menghadapi Masalah Kewangan
Sumber : miorazliatsssabasic.blogspot.com


4.2.2.Pengurusan Hubungan (Relationship management)
Dari segi pengurusan hubungan dengan rakan, kita perlu menunjukkan sokongan dan positif dalam galakan serta membantu antara satu sama lain untuk berjaya. Itulah gunanya pengurusan hubungan antara rakan. Contohnya jika rakan kita berada dalam keadaan murung kerana kegagalan yang dihadapi seperti mendapat keputusan yang rendah atau sebagainya, kita sebagai rakan perlulah memberikan sokongan, galakan dan inspirasi kepadanya untuk bangun dan terus berusaha. Dan jangan biarkannya merasakan bahawa kegagalan yang dihadapi tidak boleh ditandingi. Sebaliknya, kita perlu mempengaruhi beliau untuk terus berfikiran positif dan belajar cara mengatasi konflik yang dihadapi.

Gambar : Sokongan Kepada Rakan Yang Menghadapi Masalah
Sumber : thetimefinder.com


4.3.RAKAN SEKERJA
Rakan sekerja merupakan teman di tempat kita bekerja sama ada di pejabat mahupun sesebuah organisasi. Justeru pelbagai ragam yang dapat kita lihat dalam berdepan dengan rakan sekerja sama ada dari segi positif atau negatif.

4.3.1.Pengurusan Diri (Self-management)

Dalam situasi rakan sekerja, sistem kerja yang betul mengikut tahap komitmen seseorang itu adalah penting. Tidak kiralah siapa kita tetapi setiap dari kita mempunyai kerja masing-masing. Contoh yang paling sesuai dalam pengurusan diri dengan rakan sekerja ialah pembahagian kerja yang adil. Ini adalah kerana setiap orang bertanggungjawab terhadap kerja yang diberikan. Jika pembahagian kerja yang tidak adil berlaku maka seseorang itu akan mengalami tekanan kerja yang melampau seterusnya emosi terhadap kerja pun berubah-ubah. Hal ini jika dibiarkan akan menyebabkan seseorang itu tidak dapat menyesuaikan diri dengan keadaan tersebut. Sebab itu pentingnya pengurusan diri terutamanya dalam situasi rakan sekerja.



Gambar : Tekanan Di Tempat Kerja
Sumber : unais88.blogspot.com



4.3.2.Pengurusan Hubungan (Relationship management)

Seperti juga keluarga, komunikasi juga sangat penting dalam menghadapi rakan sekerja. Kurangnya komunikasi yang berkesan bukan sahaja menyebabkan pelbagai masalah berkaitan pengurusan kerja malah sesama rakan itu sendiri.  Punca-punca berlaku masalah komunikasi tersebut mungkin kerana gaya kepimpinan atau kurang kemahiran berkomunikasi. Gaya kepimpinan yang lemah, autoritarian dan ortodoks boleh menghalang proses komunikasi yang lebih terbuka. Manakala kelemahan kemahiran interpersonal juga merupakan satu ‘penyakit’ yang menjadi pembunuh senyap kepada kedinamikan organisasi. Dalam pada itu, contoh yang tepat untuk menggalakkan komunikasi berlaku di tempat kerja atau organisasi ialah Luangkan masa sekurang-kurangnya sekali dalam sebulan untuk berbincang dengan rakan sekerja atau kakitangan berkaitan masalah di pejabat, prestasi atau penambahbaikan yang boleh dilakukan. Beri ruang kepada mereka untuk meluahkan permasalahan, kritikan atau pendapat tanpa memarahi mereka. Dengan cara ini secara tidak langsung, komunikasi ini berlaku dan dapat mengatasi pelbagai masalah di tempat kerja atau organisasi.




Gambar : Komunikasi Dengan Rakan Sekerja
Sumber : goamma.blogspot.com



5.KESIMPULAN
Selama ini, ramai yang menganggap bahawa jika seseorang individu itu memiliki tingkat kecerdasan yang tinggi maka individu itu akan memiliki peluang untuk meraih kejayaan yang lebih baik berbanding dengan yang lain. Bagaimanapun, terdapat banyak kes di mana seseorang yang memiliki tingkat kecerdasan yang tinggi tersisih daripada orang yang memiliki tingkat kecerdasan yang lebih rendah. Ini membuktikan bahawa kecerdasan yang tinggi tidak menjamin seseorang itu akan meraih kejayaan dalam hidupnya.

Sebaliknya, kecerdasan emosi didapati dapat mengurangkan jurang penyisihan ini. Kecerdasan emosi boleh dikembangkan seumur hidup melalui proses pembelajaran. Kecerdasan emosi lahir seiring dengan pertumbuhan seseorang individu sejak lahir sehinggalah beliau meninggal dunia. Pertumbuhan kecerdasan emosi dipengaruhi oleh keluarga, lingkungan persekitaran dan contoh-contoh pengalaman yang diperolehi seseorang sejak lahir dari kedua ibu bapanya. Kecerdasan emosi mempunyai kaitan dengan pelbagai aspek yang dirasakan semakin sukar dilihat dalam kehidupan manusia yang semakin moden dan maju kini.

Justeru, komponen kecerdasan emosi Goleman dirujuk dalam kehidupan seharian kita. Seperti yang saya huraikan diatas kecerdasan emosi Goleman terdiri daripada kesedaran diri (self-awareness), pengurusan diri (self-management), kesedaran sosial (social awareness) dan pengurusan perhubungan (relationship management). Masing-masing mempunyai huraian yang tersendiri.

Dalam pada itu, saya telah mengemukakan sebab patut atau tidak mengaplikasikan kecerdasan emosi Goleman terhadap keluarga, rakan-rakan dan rakan sekerja. Mengikut pandangan saya, tidak semua komponen tersebut sesuai diterapkan dalam kehidupan kita yang melibatkan keluarga, rakan-rakan dan rakan sekerja kerana mempunyai cirri-ciri yang berbeza bergantung kepada keadaan.

Sementara itu, saya juga telah menghuraikan bagaimana menggunakan komponen kecerdasan emosi Goleman dalam meningkatkan dan memperbaiki hubungan dengan keluarga, rakan-rakan dan rakan sekerja di mana setiap satunya disertakan contoh yang relevan.

Oleh demikian, dapatlah disimpulkan bahawa kecerdasan emosi merupakan satu isu yang amat penting dan perlu diberi perhatian. Daripada hasil huraian diatas, terdapat pelbagai pendekatan dan kepintaran emosi serta kelebihan yang diperolehi sekiranya kita sebagai individu mengharapkan kecerdasan emosi sebagai satu elemen penting dalam proses kehidupan yang melibatkan keluarga, rakan-rakan dan rakan sekerja. Justeru, kecerdasan emosi adalah kemampuan untuk merasakan, memahami, mengarahkan emosi, sehingga dapat dikendali secara profesional ketika berhadapan dengan tentangan hidup, musibah, dan pendapat orang lain.



3073 Perkataan




APENDIKS
6.RUJUKAN / REFERENSI
About Emotional Intelligence. (n.d.). [Online].

Daniel Goleman on Leadership and Emotional Intelligence. (1998). [Online].

Definition of Emotional Intelligence. (n.d.). [Online].
Available: http://eqi.org/eidefs.htm#Introduction. [2012, January 26].

Emotional Intelligence and how you can improve your Emotional Intelligence. (n.d.).

Emotional Intelligence. (n.d.). [Online].
[2012, January 26].

What Makes a Leader?. (n.d.). [Online].
What%20is%20a%20Leader.htm. [2012, January 26].

How Does This Model Compare to Other Approaches to Emotional Intelligence?. (n.d.).

Model Kecerdasan Emosi Goleman. (n.d.). [Online].

Pengertian Teori Kecerdasan Emosi Menurut Daniel Goleman. (n.d.). [Online].
goleman.html. [2012, January 27].  

The Four Branch Model of Emotional Intelligence. (n.d.). [Online].
20EI/ei%20fourbranch.htm. [2012, January 27].

What Does Emotional Intelligence Predict?. (n.d.). [Online].
ei%20EI%20predict.htm. [2012, January 28].

What Is Emotional Intelligence?. (n.d.). [Online].
20EI/ei%20definition.htm. [2012, January 28].

What Is Emotional Intelligence?. (n.d.). [Online].
[2012, January 30].

Why Measure Emotional Intelligence?. (n.d.). [Online].
20EI/eiMeasure%20why%20measure.htm. [2012, February 2].

Why Study Emotional Intelligence Together With Personality Psychology?. (n.d.).

Langdon, K. (1999). Review of Emotional Intelligence, by Daniel Goleman. [Online].
[2012, February 6].

Yahaya, Y. (n.d.). Kecerdasan Emosi. [Online].

No comments:

Post a Comment