Tuesday 9 February 2016

Assignment - Year 1 (Semester 3 - September) APLIKASI SEJARAH ABXH1103

1.OBJEKTIF
Untuk tugasan kali ini, saya dikehendaki menghasilkan projek sejarah yang melibatkan tokoh-tokoh atau tempat, masyarakat, acara dan lain-lain. Justeru, saya memilih untuk menghasilkan projek sejarah mengenai tokoh. Tokoh yang dimaksudkan ialah Tun Dr. Mahathir Mohamad yang merangkumi objektif-objektif seperti berikut :-

                                i.        Secara amnya, projek sejarah ini dihasilkan untuk mengenal pasti sumber-sumber tokoh sejarah yang sahih selain mencari, mengumpul, menganaisis, mentafsir serta merumuskan maklumat dan fakta-fakta sejarah. Ini juga dapat membantu saya menghasilkan suatu maklumat yang berilmiah dengan tatacara yang betul, jelas dan tepat.
                              ii.            Dapat mengenali diri, kerjaya dan keluarga Tun Dr. Mahathir Mohamad.
                           iii.            Dapat mengenali dan memahami sejarah perkembangan politik, ekonomi dan sosiologi semasa pemerintahan Tun Dr. Mahathir Mohamad.
                            iv.            Dapat mengenali tentang pemikiran ‘Mahathirisme’ yang merupakan satu pengamatan terhadap perlambangan falsafah pemikiran politik Tun Dr. Mahathir Mohamad.
                  v.        Dengan membuat projek sejarah ini, saya dapat mengambil iktibar daripada segala peristiwa yang berlaku semasa pemerintahan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

2.PENGENALAN
Istilah ‘Mahathirisme’ merupakan perlambangan falsafah permikiran politik Tun Dr. Mahathir Mohamad yang diilhamkan semasa beliau menjadi Perdana Menteri ke 4 negara. Falsafah ini mencerminkan bagaimana beliau mentadbir negara dengan cemerlang bukan sahaja di dalam negara malah di peringkat antarabangsa. Pemerintahan beliau merupakan satu era yang relatif iaitu selama 22 tahun bermula pada 16 Julai 1981 hingga 31 Oktober 2003 selain digelar sebagai ‘Dr. M’ dan mempunyai nama pena iaitu ‘Che Det’. Era kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad diwarnai dengan kejayaan dan pencapaian di dalam pelbagai bidang walaupun pada waktu yang sama dipenuhi dengan masalah. 


Video: Leadership Training



Disebabkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad, Malaysia berkembang menjadi salah satu ekonomi yang paling makmur dan dinamik di Asia Tenggara dengan sektor perindustrian dan kelas pertengahan yang kian berkembang dan dipertingkatkan kualiti hidup. Malaysia juga memainkan peranan yang lebih aktif di arena antarabangsa dengan  bertindak sebagai suara untuk negara-negara membangun di Asia dan Afrika. Tun Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan Wawasan 2020 pada tahun 1991 iaitu satu pelan tindakan bagi perjalanan Malaysia untuk menjadi sebuah ekonomi yang maju dan demokrasi yang matang menjelang tahun 2020.

Walau bagaimanapun, beliau sentiasa dikritik atas gaya pemerintahannya yang autokratik dan dituduh bersifat kronisme. Beliau juga merupakan seorang tokoh politik antarabangsa yang suka berterus-terang dan bersifat kontroversi. Selepas persaraan, nama Tun Dr. Mahathir Mohamad terus terpahat sebagai ‘Bapa Pemodenan Malaysia’.


"Malaysia is our country, we are born here, we grow up here, make a living here and here we will die. Whether this country is good or bad is because of us. We can choose. Choose wisely because our lives are at stake."

Gambar: Tun Dr. Mahathir Mohamad
Sumber:  perdana.org.my



3.ISI
3.1 LATAR BELAKANG
Tun Dr. Mahathir Mohamad dilahirkan pada 20 Disember 1925 di sebuah rumah di Lorong Kilang Ais, Seberang Perak, Alor Setar, Kedah. Beliau adalah anak bongsu daripada Sembilan adik-beradik kepada Encik Mohamad bin Iskandar dan Wan Tempawan binti Wan Hanafi. Bapa Tun Dr. Mahathir Mohamad adalah berbangsa India, anak kepada seorang Malayalee Muslim (yang berasal dari Kerala, India) dan merupakan bekas seorang guru sekolah dan pengaudit kerajaan yang telah menguruskan keluarganya secara konservatif melalui disiplin serta ketegasan dalam usaha memastikan anak-anaknya berjaya dalam pelajaran. Manakala ibu beliau pula berbangsa Melayu dan dari keturunan Wan Mat Saman, Menteri Besar Kedah yang berusaha membangunkan pertanian di Kedah melalui terusan yang terkenal dengan nama 'Terusan Wan Mohamad Saman' atau Sungai Korok.

Nama datuk beliau, "Iskandar" turut diabadikan pada sebuah sekolah rendah di bandar Alor Setar, Sekolah Rendah Kebangsaan Iskandar. Manakala ayahnya pula adalah guru bahasa Inggeris dan juga Guru Besar pertama Sekolah Inggeris di Alor Star, sekarang dikenali sebagai Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH). Di sekolah tersebut, bapa beliau dipanggil sebagai "Master" atau "Mohamad Iskandar".


3.2 PENDIDIKAN AWAL
Tun Dr. Mahathir Mohamad mula bersekolah di Sekolah Melayu Laki-laki Seberang Perak, Kedah. Kemudian disambung ke Sekolah Inggeris Alor Setar (kini Maktab Sultan Abdul Hamid). Secara semulajadi beliau merupakan seorang yang rajin dan mempunyai determinasi untuk berjaya dalam apa jua bidang yang diceburinya. Setelah tamat Perang Dunia Kedua, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyambung pelajaran beliau di sekolah yang sama pada tahun 1945 sehingga Senior Cambridge. Pada tahun 1947, Tun Dr Mahathir Mohamad melanjutkan pengajian ke King Edward VII College of Medicine, Universiti Malaya, Singapura. Dan pada tahun 1952, Tun Dr. Mahathir Mohamad lulus dengan ijazah perubatan MBBS.


3.3 KERJAYA DAN KELUARGA
Pada tahun 1954, Tun Dr. Mahathir Mohamad mula berkhidmat sebagai pegawai perubatan di Alor Setar, Jitra, Langkawi dan Perlis sehingga tahun 1957. Beliau sebelumnya melangsungkan perkahwinan dengan Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali pada 5 Ogos 1956 dan dikurniakan tujuh cahaya mata, iaitu tiga lelaki dan dua perempuan. Anak-anak beliau adalah Marina, Mirzan, Melinda, Mokhzani dan Mukhriz.

Pada tahun 1957, beliau berhenti dari perkhidmatan kerajaan untuk membuka kliniknya sendiri iaitu MAHA Klinik yang terletak di Jalan Tunku Ibrahim. Ketika itu, beliau merupakan anak Melayu pertama yang membuka klinik persendirian di Alor Setar yang pada ketika itu terdapat lima buah klinik sahaja. Klinik ini kemudiannya berpindah ke 1587, Jalan Sultan Badlishah, Alor Setar dan kekal sehingga kini.

Gambar: Perkahwinan Tun Dr. Mahathir Mohamad
Sumber: perkahwinan.ning.com


3.4 POLITIK
Ketika di zaman persekolahan lagi, Tun Dr. Mahathir Mohamad menentang Malayan Union dengan lantang dan menubuhkan Kesatuan Melayu Kedah serta Kesatuan Pemuda Melayu Kedah. Apabila UMNO ditubuhkan pada tahun 1946, Tun Dr. Mahathir Mohamad adalah salah seorang yang pertama mendaftarkan diri sebagai ahli. Beliau juga dengan tidak sengajanya menimbulkan perasaan marah apabila beliau membentangkan kriteria-kriteria kelayakan dalam pemilihan calon untuk pilihan raya umum 1959 dan enggan mengambil bahagian dalam pilihan raya tersebut kerana dituduh memilih calon-calon yang rapat dengannya.

Tahun 1964 iaitu Pilihan Raya Ketiga, Tun Dr. Mahathir Mohamad dipilih sebagai Ahli Parlimen Kota Setar selepas menewaskan calon Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dengan majoriti sebanyak 60.2% dan menjadi ahli Majlis Tertinggi UMNO pada tahun 1965. Dalam Pilihan Raya berikutnya iaitu tahun 1969, beliau seterusnya ditewaskan oleh calon PAS, Haji Yusoff Rawa selepas beliau mengumumkan bahawa beliau tidak memerlukan undi-undi orang Cina untuk mencapai kerusinya.

Gambar: Ketika Berucap Di Persidangan UMNO
Sumber: zh-hk.facebook.com


Selain itu, berikutan peristiwa 13 Mei 1969, Tun Dr. Mahathir Mohamad dipecat daripada keahliannya dalam Majlis Tertinggi UMNO pada 12 Julai, selepas pengedaran umum suratnya yang telah mengkritik cara pentadbiran Tunku Abdul Rahman. Pada 26 September 1969,  Tun Dr. Mahathir Mohamad sekai lagi dipecat keahliannya dalam UMNO.

Semasa tidak menyertai parti, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengarang buku "Dilema Melayu" (The Malay Dilemma) dan telah diharamkan pada tahun 1970.  Lapan belas tahun kemudian, pengharamannya ditarik balik selepas beliau menjadi Perdana Menteri. Apabila Tun Abdul Razak menjadi Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir masuk semula ke dalam UMNO pada 7 Mac 1972 dan dilantik sebagai senator pada tahun 1973. Selepas pilihan raya tahun 1974, Dr Mahathir dilantik sebagai Menteri Pelajaran dalam kabinet Tun Abdul Razak. Pada 1976, Perdana Menteri Tun Abdul Razak meninggal dunia secara mengejut dan penggantinya Datuk Hussein Onn melantik Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai timbalannya sambil mengekalkan portfolio pendidikan yang disandang beliau. Tidak lama selepas itu Tun Dr. Mahathir menjadi Menteri Perdagangan dan Perindustrian.

Pertengahan tahun 1981, Perdana Menteri Malaysia iaitu Datuk Hussein Onn mengumumkan persaraannya dan menamakan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai penggantinya. Pada 16 Julai 1981 Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri Malaysia yang keempat dan sebagai Menteri Pertahanan lapan hari selepas itu.

Tun Dr. Mahathir Mohamad mengisytiharkan keluar daripada UMNO pada 19 Mei 2008 dalam satu ceramah di Alor Setar, Kedah kerana hilang keyakinan terhadap kepimpinan Abdullah Ahmad Badawi yang merupakan Perdana Menteri Kelima ketika itu. Bagaimanapun dalam Perhimpunan Agung UMNO 2008 pada Mac 2009, Tun Dr. Mahathir Mohamad menghadiri hari terakhir perhimpunan itu sebagai jemputan dan kembali menyertai UMNO serta nombor keahlian beliau  0000001 dikekalkan.



3.5 EKONOMI
Pada tahun 1997, Krisis Kewangan Asia merupakan krisis ekonomi yang berpunca daripada spekulasi mata wang oleh spekulator-spekulator asing. Ia telah mengakibatkan kelumpuhan ekonomi negara-negara di rantau Asia. Terdapat beberapa kaedah penyelesaian krisis kewangan yang telah diaplikasikan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad semasa menghadapi krisis tersebut. Kebanyakan kaedah ini merupakan hasil daripada kepercayaan bahawa campur tangan kerajaan yang boleh memecahkan kebuntuan bagi kemelut krisis kewangan tersebut. Antara peranan kerajaan yang ialah penubuhan National Economic Action Council (NEAC), pembekuan nilai Ringgit, tambatan nilai Ringgit dan penolakan pinjaman daripada International Monetary Fund (IMF).

Krisis Kewangan 1997 boleh dikatakan sebagai kebijaksanaan dan kebolehan Tun Dr. Mahathir Mohamad kerana jawatan beliau sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan semasa itu. Terdapat dua sistem ekonomi yang membezakan peranan kerajaan iaitu kapitalisme dan sosialisme. Sistem kapitalisme bergerak dalam pasaran bebas (laissez-faire) dan memerlukan campur tangan paling minima daripada kerajaan. Justeru, apa sahaja masalah ekonomi yang berlaku akan dibetulkan secara semulajadi mengikut pengeluaran dan permintaan. Sistem sosialisme pula mempercayai kawalan pusat oleh kerajaan dan konsep yang sesuai ialah pemiliknegaraan. Sebarang permasalahan ekonomi memerlukan peranan kerajaan untuk memelihara dan membetulkan situasi ekonomi.
Dengan ini, berdasarkan perbezaan peranan dan kedudukan kerajaan dalam ekonomi kapitalisme dan sosialisme ini, Tun Dr. Mahathir Mohamad berpandangan bahawa dalam suasana krisis ekonomi kerajaan perlu bertindak sebagai perancang dan penampan.

Pengajaran daripada Krisis Kewangan 1997 ialah kesedaran akan betapa buruknya kesan penggunaan sistem kewangan yang berasaskan wang kertas atau wang fiat. Penggunaan wang kertas ini secara meluas di seluruh dunia telah mengiktirafnya sebagai wang yang berfungsi untuk dijadikan alat pertukaran, alat penyimpan nilai, alat pengukur nilai dan alat bayaran untuk masa hadapan. Penggunaan mata wang kertas ini juga menjadi asas ke arah kewujudan tabung kewangan iaitu IMF. Ketika krisis kewangan berlaku, IMF akan menawarkan pinjaman terhadap negara-negara yang dilanda masalah sebagaimana negara-negara di Asia yang menjadi mangsa spekulasi dan manipulasi mata wang. Dan kebijaksaan Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam mengatasi krisis kewangan negara dapat dilihat dari segi penolakan pinjaman daripada IMF.  

Selain itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad berpandangan bahawa penggunaan wang kertas secara meluas mengakibatkan beberapa kesan buruk. Kesan buruk ini juga telah mengakibatkan ekonomi Malaysia jatuh pada akhir dekad 1990. Segala spekulasi dan manipulasi mata wang yang berasaskan wang kertas telah meningkatkan kefahaman Tun Dr. Mahathir Mohamad terhadap keburukan dan permasalahan penggunaan wang kertas di seluruh dunia terutama sekali kesannya terhadap ekonomi umat Islam.

Petikan ucapan Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam kursus agama anjuran Biro Agama UMNO tahun 1981 menyatakan bahawa ‘…Sistem kewangan dunia yang digunakan sekarang yang bergantung bukan lagi kepada penggunaan emas dan perak tetapi wang kertas dan cek dan ini bukanlah daripada sistem Islam. Dari sistem inilah wujudnya bank, pertukaran wang, surat janji, pengadilan janji-janji perdagangan, pelaburan, eksport, import, insurans dan lain-lain lagi. Sistem ini menguasai seluruh dunia sehingga kita tidak dapat tidak mesti menggunakannya…’.

Dengan demikian, Tun Dr. Mahathir Mohamad berpandangan bahawa penggunaan mata wang kertas mengakibatkan tiga kesan. Pertama, ia memerangkap seluruh negara-negara Islam terhadap agenda Barat yang cuba menguasai negara-negara Islam dengan menggunakan alat sistem kewangan yang berat sebelah. Kedua, penggunaan wang kertas menyebabkan aktiviti jual beli mata wang yang mengakibatkan ketidakadilan dalam sistem kewangan dunia. Ketiga, wang kertas tidak memiliki nilai intrinsik yang tersendiri lalu menyebabkan nilainya susut dengan kadar yang begitu besar berbanding dinar emas.  Tun Dr. Mahathir Mohamad juga menyarankan penggunaan wang dinar emas sebagai jalan penyelesaian untuk menggantikan wang kertas yang jelas telah menyebabkan pelbagai masalah ekonomi di peringkat mikro dan makro.

Malah, dalam ucapan beliau ketika Persidangan Dunia Pertama mengenai Riba pada 1 November 2010 di Kuala Lumpur ada menyatakan bahawa ‘…Kerajaan seharusnya menimbangkan penggunaan dinar emas bagi menghentikan perang mata wang…’. Semasa ‘International Conference on The Gold Dinar Economy’ pada 24 dan 25 Julai 2007 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) beliau telah menyediakan asas kukuh untuk mengembalikan usaha dan tekad bagi membincangkan dan mengusahakan pelaksanaan dinar emas. Hal ini jelas bahawa beliau begitu bersungguh-sungguh untuk mengembalikan sistem kewangan dalam Islam sebagai wadah perjuangan untuk menegakkan Islam dalam aspek ekonomi seterusnya mencari penyelesaian kepada krisis kewangan yang telah berlaku sebagaimana pada tahun 1997 yang melanda negara ini.


Video: Dinar Emas Boleh Menggantikan Dolar Amerika




3.6 WAWASAN 2020
Wawasan 2020 adalah mengenai harapan Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju sepenuhnya menjelang tahun 2020. Wawasan 2020 adalah satu penyataan cita-cita. Tun Dr. Mahathir Mohamad menampilkan satu falsafah yang murni yang kemudiannya disusuli dengan perlaksanaan yang berterusan. Matlamatnya ialah pembangunan yang berwajahkan kemanusiaan dengan persekitaran yang seimbang.

Metafizik dalam Wawasan 2020 yang terkandung cabaran yang hendak dipenuhi menjelang tahun 2020 yang meliputi aspek –aspek dalaman dan luaran yang menentukan arah tujuan dan sasaran untuk menjadi Malaysia sebuah negara maju. Cabaran dalam Wawasan 2020 adalah :-
  1. Mewujudkan  negara Malaysia bersatu yang mempunyai   matlamat dikongsi bersama.
  2. Mewujudkan masyarakat yang berjiwa bebas, tenteram dan maju dengan keyakinan terhadap diri sendiri, bangga dengan apa yang ada dan yang dicapai serta gagah menghadapi pelbagai masalah.  
  3. Mewujudkan dan membangunkan masyarakat demokratik yang matang, mengamalkan satu bentuk persefahaman matang, demokrasi Malaysia berasaskan masyarakat yang boleh menjadi contoh kepada banyak negara membangun.
  4. Mewujudkan masyarakat yang sepenuhnya bermoral dan beretika.  
  5. Mewujudkan masyarakt liberal dan bertolak ansur, rakyat pelbagai kaum bebas mengamalkan idea, kebudayaan dan kepercayaan agama masing-masing dan pada masa yang sama, meletakkan kesetiaan mereka kepada satu negara.
  6. Mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif, mempunyai daya perubahan tinggi dan memandang ke depan, yang bukan sahaja pengguna teknologi tinggi tetapi juga menyumbangkan kepada tamadun saintifik dan teknologi masa depan.
  7. Mewujudkan masyarakat penyayang dan budaya menyayangi, iaitu sistem sosial yang mengutamakan kepentingan masyarakat, kebajikan insan tidak akan  berkisar kepada Negara atau orang perseorangan, tetapi sekeliling sistem keluarga yang kukuh. 
  8.  Memastikan masyarakat yang adil dalam bidang ekonomi.
  9. Mewujudkan masyarakat makmur yang mempunyai ekonomi bersaing, dinamik, giat dan kental.  
Selain itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad memperkenalkan pelbagai Slogan, Dasar dan Konsep baru seperti Dasar Pandang Ke Timur, Dasar Penerapan nilai-nilai Islam, Dasar Kependudukan 70 juta, Wawasan 2020 dan slogan "Bersih, Cekap dan Amanah". Sejak dilantik sebagai Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak pernah letih memperkenalkan perubahan. Langkah awalnya setelah menjadi Perdana Menteri ialah memperkemaskan jentera kerajaan dengan menggerakkan kempen 'Bersih, Cekap dan Amanah' dan 'Kepimpinan melalui teladan' ke arah menerap nilai kebertanggungjawaban dan etika murni di kalangan kakitangan awam khususnya dan masyarakat. Beliau juga memperkenalkan penggunaan 'kad perakam waktu' dan pemakaian tanda nama kepada kakitangan kerajaan.
Gambar: Logo Wawasan 2020
Sumber: buddysurvey4u.com


Video: Lagu wawasan 2020
results_video&playnext=1&list=PL3D749D5657B8BF09




3.7 DI PENTAS DUNIA
Semasa di bawah kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad, Malaysia diberi penghormatan dan kepercayaan untuk mengendalikan persidangan-persidangan yang bertaraf antarabangsa seperti PATA, CHOGM, Kumpulan Selatan-Selatan dan Sukan Commonwealth 1998. Beliau juga adalah pencetus idea program 'Dialog antara bangsa Langkawi' dengan membawa konsep menang menang.

Tun Dr. Mahathir Mohamad dianggap sebagai seorang pemimpin dunia yang berjaya meskipun memimpin sebuah negara yang kecil. Beliau bukan saja berjaya memerdekakan Malaysia dari segala segi tetapi berusaha memerdekakan negara-negara lain dari dibelenggu falsafah pembangunan yang dijana oleh barat yang jelas muflis idealistiknya. Bagi Tun Dr. Mahathir Mohamad, falsafah pembangunan haruslah dijana dari dalam manakala sumber lain mungkin datang dari luar dan bukan sebaliknya.

Tun Dr. Mahathir Mohamad mengakui bahawa beliau tidak percaya lagi dengan penulisannya dalam 'Malay Dilemma' tetapi hakikatnya Malay Dilemma sudah tidak relevan sejak Tun Dr. Mahathir Mohamad memegang tapuk pemerintahan negara.

Selain itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi seorang pemimpin yang disegani dan sering dirujuk untuk memberikan pandangan dan menjadi jurucakap bagi negara-negara yang sedang membangun terhadap polisi-polisi kuasa besar politik dari Barat. Beliau memikul harapan negara untuk merintis jalan ke arah suatu peranan kepimpinan di dalam dunia ekonomi dan politik antarabangsa.

Gambar: Ketika Sedang Berucap Di United Nations’
Sumber: en.wikipedia.org




3.8 PENGUNDURAN
Tun Dr. Mahathir Mohamad telah mengumumkan pesaraannya dalam ucapan dasarnya di Perhimpunan Agung UMNO. Beliau menamat penglibatan aktif dalam politik ketika umurnya 75 tahun setelah berkhidmat kepada negara selama 22 tahun. Setelah bersara beliau masih terus menjadi penasihat Proton . Beliau juga lantang menegur kepimpinan pengganti beliau iaitu Tun Abdullah Ahmad Badawi seperti mana beliau pernah mengkritik kepimpinan Tunku Abdul Rahman. Kini beliau masih aktif menulis blog dan berucap dalam forum-forum dan persidangan. Beliau mula menulis blog pada 1 Mei 2008 pada pukul 1:27 pagi dengan penulisan beliau bertajuk "The Appointment of Judges". Kini blog beliau terletak di http://www.chedet.cc/. Dan baru-baru ini, beliau telah menulis buku yang bertajuk ‘ A Doctor In The House’.  



4.RUMUSAN
Secara keseluruhannya, kita dapat melihat bagimana istilah ‘Mahathirisme’ ini dibentuk bukan sahaja melalui penguatkuasaan dasar pembangunan dan kestabilan masyarakat itu sendiri malah ia juga melibatkan gaya kepimpinan dan falsafah diri oleh beliau. Banyak kontroversi, peranan serta sumbangan yang diberikan beliau semasa menjadi Perdana Menteri Malaysia keempat.

Walaupun begitu sentiasa ada pihak yang tidak berpuas hati dengan beliau dengan mengkritik gaya pemerintahannya yang autokratik dan dituduh bersifat kronisme. Ini tidak menghalang beliau untuk terus membawa Malaysia menjadi sebuah negara maju dan membuka mata dunia akan kemajuan yang dicapai Malaysia di bawah pemerintahannya. Ini dapat dibuktikan dengan tindakan rasional beliau dalam mengatasi krisis kewangan negara yang melanda. Penolakan beliau dari segi pinjaman dari IMF sememangnya tidak dapat dinafikan.

Salah satu dasar yang mengingatkan kita tentang Tun Dr. Mahathir Mohamad ialah Dasar Wawasan 2020 yang mana kini menjadi hala tuju pembangunan negara. Kita juga hidup seiring dengan pelbagai dasar yang ditinggalkan beliau dan dasar-dasar tersebut masih diteruskan oleh pemimpin-pemimpin selepas beliau iaitu Tun Abdullah Ahmad Badawi serta Datuk Seri Najib Tun Razak kini. Di bawah kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad, Malaysia muncul sebagai salah sebuah negara yang pesat membangun di kalangan negara dunia ketiga.

Dan kepentingan menghasilkan projek sejarah ini dapat menjadi sumber inspirasi kepada orang ramai supaya dapat mengenali dengan lebih dekat lagi siapa sebenarnya Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menjadi contoh pemimpin yang terulung yang mana merupakan yang paling lama memerintah Malaysia iaitu selama 22 tahun dengan memberi pelbagai peranan dan sumbangan mahupun kritikan yang bijaksana kepada negara. Kepentingan menghasilkan projek sejarah ini juga dapat mengetahui betapa sesuatu sejarah itu penting tidak kira samaada mengenai tokoh-tokoh, tempat, masyarakat, acara dan lain-lain yang melibatkan fakta dan bukti yang kukuh dan sah. Selain itu, ia juga dapat menjadikan generasi akan datang mengetahui dan lebih menghargai perjuangan tokoh-tokoh yang telah menyumbang jasa kepada negara serta supaya masyarakat luar tahu akan sejarah yang tepat mengenai sesuatu masyarakat atau tempat. Dalam pada itu, kita juga dapat mengambil iktibar tentang sesuatu peristiwa yang terjadi, yang baik dijadikan pengajaran yang buruk dijadikan sempadan.


2974 Perkataan



 APENDIKS
5.RUJUKAN / REFERENSI
A View on Tun Dr. Mahathir Bin Mohamad. (n.d.). [Online].
-on-tun-dr-mahathir-bin-mohamad/. [2011, October 15].

Biodata Tun Dr.  Mahathir. (2010). [Online].
[2011, October 15].

Biografi  Tun Dr. Mahathir Mohamad. (n.d.). [Online].
 Available: http://www.scribd.com/doc/22342628/Biografi-1-dr-mahathir
[2011, October 17].

Tun Dr. Mahathir Mohamad Dan Falsafah Dalam Isu Kewangan. (2011). [Online].
Available: http://notapolitik.blogspot.com/. [2011, October 18].

Masyarakat Berbilang Kaum Malaysia. (n.d.). [Online].
[2011, October 18].

Mahathir Mohamad. (n.d.). [Online].
[2011, October 20].

Pemikiran Tun Dr. Mahathir Mohamad. (n.d.). [Online].
[2011, October 20].

Profile: Mahathir Mohamad. (n.d.). [Online].
[2011, October 22].

Profile of Tun Dr Mahathir Mohamad. (n.d.). [Online].
[2011, October 23].

In Brief : PMs Of Malaysia. (n.d.). [Online].
Available: http://www.perdana.org.my/index.php?option=com_content &view=article&id=182&Itemid=121. [2011, October 23].

Abdullah, N. (2008). Comment To Letter. [Online].
tun-dr-mahathir-bin-mohamad/. [2011, October 23]. 




1 comment:

  1. soalan assigment ni yang berkaitan dengan sumber primer n skunder ke??

    ReplyDelete