Wednesday 10 February 2016

Assignment - Year 1 (Semester 3 - September) PENGENALAN KEPADA BIMBINGAN DAN KAUSELING HBEF3703

1.PENGENALAN
Kaunseling adalah satu proses yang psikologi memberi kuasa kepada individu untuk merampas kembali kawalan ke atas kehidupan mereka dan pada masa yang sama bekerja melalui isu-isu dan masalah yang telah menyebabkan mereka kehilangan harga diri serta keyakinan dalam kebolehan mereka sendiri. Dalam erti lain, kaunseling merupakan satu proses menolong klien memahami diri serta situasinya yang sebenar.

Umum mengetahui, kaunseling berasal daripada perkataan bahasa Inggeris ‘counselling’ yang boleh difahami oleh semua orang tetapi setiap orang mungkin memahaminya dalam pengertian yang berbeza. Dalam pengertian yang luas, sebenarnya setiap orang terlibat dalam aktiviti kaunseling baik secara langsung atau secara tidak langsung. Namun, kaunseling bukanlah sesuatu perkara baru malah manusia selalu melakukan aktiviti berhubung serta berinteraksi sesama mereka.

Selain itu, kaunseling juga sebagai satu profesion di mana ia mempunyai asas yang saintifik dan objektif daripada bidang psikologi, sosiologi, psikiatri, antropologi dan falsafah. Ia tumbuh dan berkembang hasil daripada perolehan penyelidikan tentang perkembangan sahsiah manusia serta teori-teori pembelajaran. Di samping itu, ia juga berkembang daripada situasi, faktor atau keadaan yang kurang saintifik dan kurang objektif. Ini berdasarkan kepada kepercayaan bahawa setiap individu dapat menentukan matlamat hidupnya dan memberi makna kepada kehidupan masing-masing serta mengakui hakikat bahawa hidup ini penuh dengan cabaran dan manusia bertanggungjawab terhadap kehidupan mereka sendiri.

Dalam pada itu, berkongsi pendapat dan kebimbangan dalam persekitaran yang selamat serta sulit dan seorang kaunselor yang tidak berat sebelah akan membenarkan seseorang individu itu mempunyai  masa untuk meneroka perasaan dan kepercayaan mereka tanpa had. Hubungan terapeutik antara kaunselor dengan klien dapat diperkuatkan dari minggu ke minggu dan secara beransur-ansur selain membolehkan klien untuk membuka dan memberi tumpuan kepada perubahan yang mereka mahu dalam kehidupan mereka. Sesi ini biasanya berlaku pada masa yang telah diatur secara mingguan.

Sesi kaunseling ini sesuai disyorkan kepada sesesiapa sahaja yang mengalami kemurungan, kebimbangan, masalah kesihatan mental, ketagihan, gangguan pemakanan, perkabungan, kemarahan dan sebab-sebab lain. Kaunseling adalah penyelesaian yang pro aktif untuk menangani isu-isu mental yang mengikat dan menyekat klien. Seperti kes Encik Raju, beliau telah dirujuk untuk mendapatkan khidmat kaunseling dan sebagai kaunselor, saya bertanggungjawab membantu memulihkan Encik Raju dari masalah yang dihadapi beliau. Kaunseling individu sangat sesuai digunakan untuk berdepan dengan kes Encik Raju ini.

1.1.Kaunseling Individu
Kaunseling individu merupakan satu pertemuan antara seorang kaunselor dengan seorang klien untuk mengadakan satu proses perhubungan atau interaksi professional dan memusatkan tumpuan kepada aspek-aspek penyelesaian dan perkembangan diri klien dan diikuti dengan pembuat keputusan terbaik dari alternatif-alternatif yang diperlukan. Menurut Carl Rogers, terdapat beberapa asas kepada pembentukan hubangan antara seorang klien dengan seorang kaunselor dalam kaunseling individu iaitu terdapat dua orang yang mengalami hubungan psikologikal.

Pihak pertama ialah klien yang berada dalam keadaan tidak tenteram, risau yang menghadapi sesuatu gangguan atau kesukaran psikologikal. Pihak kedua pula ialah kaunselor yang tenang dalam sesuatu hubungan kaunseling itu. Ini kerana kaunselor mempunyai pengalaman empati dan faham memahami terhadap situasi klien dan berbincang mengenai pengalaman dengan klien. Komunikasi yang dilakukan oleh kaunselor dengan kliennya melalui sifat empati, faham-memahami dan penerimaan positif tanpa syarat dan sekurang-kurangnya telah mencapai kejayaan kaunseling. Merujuk kepada kes Encik Raju, pada pandangan saya sebagai seorang kaunselor, teori kaunseling yang sesuai dirujuk dalam menyelesaikan kes ini ialah Teori Pemusatan Insan atau teori ‘Rogerian’.

Gambar: Keadaan Dalam Bilik Kauseling Individu
Sumber: epsomcounsellingservice.co.uk


2.TEORI PEMUSATAN INSAN DAN RASIONAL
Teori Pemusatan Insan ini merupakan asas dalam konsep yang tergolong di dalam psikologi kemanusiaan (humanistic), dan kewujudan (existentialism). Ia diasaskan oleh Carl Rogers di dalam tahun 40an yang menamakannya kaunseling bukan-arahan atau kaunseling pusatan-klien yang dikemukannya pada tahun 1951.

Carl Rogers mempunyai pandangan yang cukup teguh mengenai sifat tabii manusia iaitu manusia boleh berkembang secara positif dan membina jika wujud perasaan percaya mempercayai, hormat menghormati yang boleh dirasai dan dialami. Carl Rogers menolak sekuat-kuatnya anggapan bahawa manusia itu tidak boleh dipercayai dan pasif serta menjadi mangsa sifat biologi atau persekitarannya. Carl Rogers juga  menolak anggapan kepercayaan bahawa manusia itu perlu diarah, didorong, diajar, didera, diberi ganjaran, dikawal dan diuruskan hidupnya oleh orang lain. Carl Rogers yakin bahawa manusia memang dari mula lagi sudah mempunyai kecenderungan dan keupayaan semulajadi untuk berkembang peringkat demi peringkat menuju ke arah nirwana kendiri, andainya wujud keadaan-keadaan yang sesuai.

Sebagai contoh, tingkah laku manusia sedikit sebanyak mempunyai persamaan dengan tingkah laku seekor singa. Menurut Carl Rogers, walaupun singa biasanya dianggap sebagai binatang buas tetapi makhluk ini mempunyai kualiti yang baik. Ini kerana singa hanya membunuh apabila ia lapar bukan membunuh dengan sewenang-wenangnya. Begitu juga dengan Encik Raju, beliau akan melakukan sesuatu apabila merasakan dirinya terpinggir. Di sini dapat dilihat bahawa Encik Raju ini sebenarnya mengalami satu fasa perasaan iaitu kesunyian akibat kematian isterinya. Kesunyian inilah yang mengakibatkan tingkah laku Encik Raju berubah sedikit demi sedikit.

Di samping itu, ketulenan, penerimaan positif tanpa syarat dan empati merupakan tiga ciri terpenting bagi mewujudkan keadaan hubungan terapeutik dalam interaksi kaunselor dan kliennya. Ketulenan bermaksud bahawa kaunselor penuh dengan keikhlasan dan kejujuran menerima klien dalam keadaan yang kongruen di mana kaunselor begitu serasi dengan apa yang dirasai oleh klienya. Ketulenan juga memberi maksud kaunselor tidak berpura-pura dalam sesi yang dijalankan dan integrasi kongruen inilah sebenarnya membayangkan kaunselor berada dalam ruang lingkup yang serupa serasi seperti yang dialami oleh klien. Suasana inilah yang perlu dititikberatkan oleh kaunselor yang menerapkan Teori Pemusatan Insan apabila melaksanankan proses kaunseling. Selain itu, penerimaan tanpa syarat pula membawa pengertian bahawa kaunselor tanpa ragu-ragu menerima apa sahaja yang ada pada diri klien. Manakala empati pula bermaksud kaunselor benar-benar berada dalam ruang rujuk dalaman klien iaitu menjiwai keseluruhan perasaan dan pemikiran sebagaimana yang dirasai oleh klien. Empati juga adalah satu proses yang penting dalam mewujudkan hubungan terapeutik pada klien.

Dalam pada itu, rasional memilih teori ini adalah kerana teori ini mengkaji manusia sedalam-dalamnya serta menghuraikan secara tersurat dan tersirat perasan dan tingkah laku manusia. Ini merupakan teori yang bersesuaian untuk merujuk kes Encik Raju. Perasaan kesunyian yang ada dalam diri beliau dapat dilihat dengan perubahan tingkah lakunya dan juga tidak berminat untuk berinteraksi dengan sesiapa pun. Perkara ini jika dibiarkan akan memudaratkan Encik Raju sendiri. Sementara itu, kesunyian adalah perasaan yang tidak menyenangkan di mana seseorang mengalami perasaan kekosongan dan kesendirian yang kuat dan  terhasil dari tahap hubungan sosial yang tidak mencukupi. Walau bagaimanapun, ia adalah satu pengalaman yang subjektif. Kesunyian juga telah telah digambarkan sebagai kesakitan sosial.

Gambar: Kesunyian Pada Usia Tua
Sumber: eran.org.il


Selain itu, rasional memilih teori ini juga adalah kerana penglibatan klien yang aktif dalam menerokai dan mengatasi masalahnya. Seterusnya, klien mempunyai kemampuan untuk berkembang baik dari segi emosi mahupun dari segi intelek. Perkembangan teori ini boleh berlaku dalam satu suasana yang mesra, permisif dan penuh kefahaman. Hal ini kerana, teori ini menganggap manusia pada mulanya baik disebabkan sifat semula jadi yang wujud dalam diri mereka.

Dalam Kaunseling Pemusatan Insan ini juga amat menitikberatkan aspek afektif atau emosi dalam penerokaan masalah klien. Hubungan mesra antara kauselor dengan klien merupakan persekitaran yang sesuai bagi menggalakkan perkembangan antara satu sama lain. Oleh itu, klien perlulah mempunyai rasa tanggungjawab untuk berubah serta berkembang dan kaunselor mempunyai peranan tertentu di dalam proses kaunseling melalui pemerhatian dan kesimpulan yang dibuatnya.


3.MATLAMAT TEORI PEMUSATAN INSAN
Matlamat yang ingin dicapai dalam kaunseling Pemusatan Insan ini juga bukanlah semata-mata untuk  menyelesaikan masalah yang dihadapi atau dialami pada masa itu tetapi apa yang lebih penting ialah untuk mencapai suatu perasaan bebas dan bersepadu bagi diri seorang klien seperti Encik Raju. Selain itu, tujuan kaunseling ini juga adalah untuk membantu klien itu dalam proses perkembangannya supaya dapat menghadapi dan mengatasi masalah yang dihadapinya. Dengan berasaskan kepada matlamat yang ingin dicapai, maka klien tersebut haruslah bersedia untuk memisahkan dirinya daripada apa yang selama ini telah sebati dengan dirinya bagi membolehkan dirinya berhadapan dengan realiti. Terdapat beberapa perkara yang dapat diperhatikan dan dirasai oleh Encik Raju itu sendiri untuk mencapai maksud yang ingin dituju di dalam kaunseling Pemusatan Insan ini iaitu seperti di bawah:-

  1. Klien bersedia menerima, merasai dan mengalami realiti yang sebenar tanpa mengherot-berotkannya untuk disesuaikan dengan struktur kendiri seseorang itu. Klien tidak lagi bimbang atau takut untuk berhadapan dengan realiti. Contohnya dalam kes Encik Raju di mana beliau dilihat berkeadaan tidak terurus pada mulanya dan akan bertambah baik dengan sesi kaunseling yang diberikan kepadanya. Dengan ini, beliau akan lebih bersedia menerima dirinya sendiri samaada baik atau buruk selain mengalami hidup dengan cara baru dan dapat terus berkembang.
  2. Klien akan merasa yakin pada diri sendiri. Biasanya klien tidak yakin yang ia boleh mengemudikan hidupnya, kerana itu ia sering meminta dirinya dibimbing dan diarah. Tetapi apabila ia sudah sedia menerima dirinya dan berhadapan dengan kenyataan, ia pun akan mula mempunyai keyakinan dan keupayaan sendiri untuk mengawal dan mengarah hidupnya sendiri dengan lebih teratur.
  3. Klien akan dipandu dan diarah oleh perasaan dan pemikirannya sendiri. Walaupun penting bagi seseorang untuk memberi perhatian kepada nilai-nilai dan norma-norma masyarakat, individu perlu juga mempunyai nilai-nilai sendiri untuk memandu dirinya. Ia harus bersifat ‘inner directed’ dan tidak dikongkong oleh ‘outer directedness’. Melalui inner directedness ini ia akan memperolehi kepuasan kerana ia dapat membuat sesuatu keputusan berdasarkan pertimbangan sendiri.
  4. Dan yang terakhir sekali ialah kesediaan untuk terus berkembang. Apabila wujud di dalam diri klien kesediaan untuk terus hidup, kesediaan mengalami peristiwa-peristiwa baru, cabaran-cabaran dan masalah-masalah baru maka individu itu telah mencapai suatu tahap positif di dalam proses hidupnya. Merujuk kepada kes Encik Raju dari sinilah beliau akan bersedia membuat ketepatan-ketepatan baru untuk dirinya bagi mencari matlamat-matlamat baru untuk hidupnya. Beliau tidak lagi perlu bergantung kepada orang lain untuk mengarah atau mengawal hidupnya kerana beliau sudah berupaya menuju ke arah matlamat baru dan perkara ini yang dikatakan oleh Carl Rogers, bahawa individu telah mencapai ‘self actualization’ (pembenaran kendiri) dalam hidupnya.


4.KEMAHIRAN KAUNSELING
Dalam proses membuat kaunseling, kemahiran-kemahiran kaunseling yang digunakan ialah soalan, dorongan minima, parafrasa, rumusan, refleksi perasaan, mencabar, fokus dan refleksi serta mentafsir makna. Setiap satu kemahiran kaunseling ini mempunyai huraian seperti di bawah :-

4.1.Soalan
Seorang kaunselor dapat menjangkakan bahawa klien akan dapat memberi respon yang lebih bebas jika soalan terbuka digunakan. Manakala soalan tertutup akan membuat klien bercakap pendek dan tepat terhadap maklumat yang dikehendaki. Soalan boleh membantu klien bercakap, terus bercakap atau tidak bercakap langsung. Soalan yang bersesuaian boleh mendalami dunia klien. Ia juga boleh membantu kaunselor mengenalpasti masalah yang dihadapi klien dengan lebih tepat. Soalan boleh berbentuk terbuka atau tertutup dan memulakan dengan ‘apa’, ‘bagaimana’ dan ‘kenapa’.

4.2.Dorongan Minima
Klien ingin mengetahui samaada dia faham atau tidak apabila dia menceritakan masalah, pandangan atau pendapatnya. Secara tidak langsung, klien mahu diri dan dunianya difahami oleh kaunselor iaitu anggukan, teruskan, saya faham atau perkataan lain yang ringkas dan tepat. Kesemua respon tersebut menggambarkan bahawa kaunselor sedang mengikuti cerita yang disampaikan klien. Respon juga perlulah bersesuain dengan rentak cerita klien.

4.3.Parafrasa
Parafrasa juga membantu kaunselor mengenalpasti apa yang diceritakan oleh klien difahaminya. Dalam erti kata lain, parafrasa bukan mengulang kembali semua yang diceritakan tetapi merupakan ringkasan inti yang tepat.

4.4.Rumusan
Merangkumi lebih banyak maklumat dan masa untuk mendengar cerita yang lebih lama sebelum membuat respon dan hampir sama dengan prafrasa.

4.5.Refleksi Perasaan
Dengan membuat refleksi perasaan, kaunselor memberitahu klien yang dia memahami apa yang dirasakan atau dialami klien. Apabila klien menyedari bahawa kaunselor memahami apa yang dirasanya maka dia akan meluahkan lagi perasaannya. Justeru, apabila refleksi perasaan dibuat, ia perlu tepat dan jika tidak kaunselor akan memberikan gambaran yang dia tidak memahami perasaan klien.

4.6.Mencabar
Kemahiran mencabar memerlukan kepakaran yang tinggi di samping penggunaan yang betul ia dapat mendalami dengan cepat namun sebaliknya jika salah penggunaan kaunselor akan membuat klien enggap bercakap atau tidak berminat meneruskan sesi kaunseling.

4.7.Fokus
Dengan memberi fokus, kaunselor tidak akan terpesong dari topik. Kaunselor perlulah sentiasa mengikuti luahan klien dengan teliti dan membalasnya dengan tepat.

4.8.Mentafsir Makna
Kemahiran ini memerlukan kejituan kaunselor memahami keseluruhan cerita dan dapat mentafsirkan apa yang mungkin tidak diceritakan oleh klien.

Dengan kemahiran kaunseling ini, sebagai kaunselor saya dapat mempraktikkan kemahiran ini dalam kes Encik Raju seperti yang dibincangkan di atas. Dengan ini, perbualan dengan Encik Raju dapat di lihat seperti di bawah :

Kaunselor:      Sila duduk Encik Raju.
Encik Raju:     (Encik Raju duduk di kerusi berpandangan ke luar bilik  dengan
badannya yang lemah dan bersandar di kerusi).
Kaunselor:      Saya diminta untuk menasihati Encik Raju tentang sikap Encik Raju yang
                        tidak berminat untuk berinteraksi dengan sesiapa pun. Apa sebenarnya
                        yang bermain di fikiran Encik Raju?
Encik Raju:     (Tidak menjawab, masih melihat ke luar bilik dan mengeluh).
Kaunselor:      Mungkin Encik Raju boleh ceritakan kepada saya apa sebenarnya yang
                        menyebabkan Encik Raju mengeluh.
Encik Raju:     (Hanya menggelengkan kepala).
Kaunselor:      Saya dapat rasakan yang Encik Raju mempunyai sesuatu yang nak
disampaikan. Encik Raju bolehlah ceritakan apa yang menyebabkan Encik Raju jadi sebegini.
Encik Raju:     (Terus kekal berkeadaan sedemikian).


Dengan ini, apa yang perlu dilakukan terhadap Encik Raju ialah menerima beliau sepenuhnya dan memberi ingatan tentang perhubungan kerahsiaan yang dijalini dalam sesi kaunseling. Oleh demikian, suasana yang selamat dan teraputik ini akan menggalakkan Encik Raju bercerita dengan lebih mendalam serta menerokai punca-punca yang menyebabkan beliau berkeadaan sedemikian.

5.KESIMPULAN
Kaunseling individu amatlah sesuai dalam merujuk kes Encik Raju dengan menggunakan teori Kaunseling Pemusatan Insan. Ini kerana Kaunseling Pemusatan Insan banyak melibatkan perasaan dan mengkaji manusia sedalam-dalamnya bertepatan dengan kes Encik Raju di mana beliau dilihat seolah-olah telah berputus asa dalam hidup dan segala-galanya serta beliau juga tidak berminat untuk berinteraksi dengan sesiapa sahaja dan bertindak mengasingkan diri.

Secara positif, suatu sumbangan yang paling besar telah diberikan oleh Carl Rogers melalui teorinya ialah keyakinannya yang kuat tentang keupayaan dan kecenderungan manusia untuk berkembang ke arah nirwana kendiri. Pendirian yang positif seperti ini telah memberikan maruah dan darjat kepada manusia yang akan berusaha mencerminkan kepercayaan sedemikian.

Carl Rogers juga secara tidak langsung mengutarakan nilai-nilai dan sikap-sikap positif di dalam berinteraksi dengan orang lain dengan menegaskan betapa pentingnya kita menerima orang lain tanpa syarat, bersedia mendengar dan memahami orang lain dari kaca mata dan dunianya yang subjektif, serta menekankan pentingnya kejujuran, keikhlasan dan ketulenan di dalam segala tindak tanduk kita, kerana melalui penghayatan sikap dan nilai-nilai sebegini kita boleh menjadi contoh atau model yang berguna bagi orang lain. Dengan ini, tanpa mempunyai pendirian yang menghakim, Encik Raju akan lebih bersedia untuk meluahkan isi hatinya kerana beliau yakin bahawa apa juga yang dikemukakan itu tidak akan diberi nilai dan hal sebegini dirasakan sebagai tidak mengancam dirinya.

Walaupun terdapat beberapa kelemahan dalam teori ini, namun tidak dapat dinafikan ialah teori ini amat memudahkan klien untuk meluahkan isi hatinya kerana melalui perhubungan yang mesra di antara kaunselor dan klien.  Dan demikian Encik Raju  yakin yang kaunselor merupakan orang yang boleh diharap dan memang bertanggungjawab serta bersunguh-sungguh akan berusaha menolongnya.

Matlamat yang terdapat dalam teori ini juga sedikit sebanyak membantu mengukuhkan lagi sesi kaunseling yang dijalankan kepada Encik Raju. Selain kemahiran kaunseling seperti yang dihuraikan di atas banyak memberikan input yang bertepatan dalam kes ini. Pendek kata, kaunseling juga merupakan proses bersemuka di antara kaunselor dengan klien iaitu orang yang meminta pertolongan samaada datang sendiri ataupun dirujuk. Tujuan pertemuan itu adalah untuk mencari alternatif yang paling sesuai bagi klien membuat keputusan menyelesaikan masalah dirinya di samping mengetahui baik buruk dan kekangan yang akan dihadapi oleh klien atas setiap keputusannya.


2471 Perkataan




APENDIKS

6.RUJUKAN / REFERENSI
Apa itu kaunseling?. (n.d.). [Online].
[2011, October 30].

Apa itu kaunseling. (2009). [Online].
[2011, October 30].

Kaunseling Individu. (2007). [Online].
[2011, October 30].

Teori Kaunseling; Penghuraian Teori Yang Digunakan Dalam Sesi Kaunseling. (n.d.).
teori-kaunseling.html. [2011, November 1].

Counselling Process. (n..d.). [Online].
[2011, November 1].

The Counseling Process. (n.d.). [Online].

The Counseling Process. (n.d.). [Online].

Definisi Kaunseling Individu dan Kelompok. (2010). [Online].

What is Counselling?. (n.d.). [Online].
[2011, November 3].

Kaedah Kaunseling. (n.d.). [Online].
[2011, November 3].


Pandangan Mengenai Teori. (2010). [Online].
2010/01/pandangan-mengenai-teori.html. [2011, November 3].

Rasional Perkhidmatan Kaunseling. (n.d.). [Online].
perkhidmatan-kaunseling.html. [2011, November 3]. 

Jenis Perkhidmatan Kaunseling. (n.d.). [Online].
Available: http://jkm.pahang.gov.my/index.php/perkhidmatan-teras/kaunseling-a-psikologi/121-jenis-perkhidmatan-kaunseling.
[2011, November 3].

Definisi Bimbingan dan Kaunseling. (2008). [Online].
-dan-kaunseling/. [2011, November 3].

Bimbingan dan Kaunseling. (2007). [Online].
Available: http://ramanirmala2007.blogspot.com/. [2011, November 3].

Konsep Bimbingan. (n.d.). [Online].

Sipon, S. (n.d.). Memulakan Proses Kaunseling. [Online].
[2011, November 3].

Baharudin, A. (n.d.). Kaunseling dan Kepimpinan. [Online].
[2011, November 3].  

No comments:

Post a Comment