Tuesday 16 February 2016

Assignment - Year 2 (Semester 2 - May) PERSONALITI ABPD2103

1.PENGENALAN
Umum mengetahui, setiap individu yang wujud di muka bumi ini mempunyai sifat, sikap, gaya dan personaliti yang tersendiri. Inilah di antara perkataan yang sering kita dengar apabila memperihalkan atau bercakap mengenai seseorang individu dan salah satu daripadanya ialah perkataan personaliti. Personaliti adalah ciri-ciri tingkah laku yang ada pada individu, walau bagaimanapun setiap individu mempunyai personaliti yang berbeza-beza. Hal ini kerana, perwatakan seseorang individu itu dapat diperhatikan dan dinilai melalui tingkah laku dalam situasi pada suatu ketika.

Dalam erti kata lain, personaliti merupakan satu cabang psikologi yang mengkaji keperibadian dan proses individu lain yang menjadikan kita manusia. Personaliti ini merangkumi satu penyusunan di antara faktor-faktor seperti biologi, psikologi dan sosiologi. Untuk proses pergaulan sosialisasi berlaku, seseorang itu perlu mempunyai personaliti.

Menurut Abdul Majid (1997), personaliti ialah perkaitan antara pemikiran, emosi dan perasaan dengan perlakuan manusia. Personaliti juga menggambarkan sifat keperibadian seseorang dan dikaitkan dengan perwatakan. Personaliti seseorang boleh dikaji dengan memerhatikan tingkah laku, percakapan dan cara menyelesaikan masalah.

Sigmund Freud pula mendefinisikan personaliti sebagai sifat-sifat yang menggambarkan diri seseorang individu, iaitu merujuk kepada tingkah laku yang boleh diperhatikan oleh orang lain atau merujuk kepada perasaan-perasaan yang dialami oleh seseorang dalam dirinya sendiri. Rogers (1951) pula berpendapat, personaliti merupakan sifat-sifat atau ciri-ciri yang dimiliki oleh seseorang individu seperti cara berfikir, dan beremosi yang membolehkan dirinya dibezakan dengan individu lain.

Selain itu, menurut Menninger (1930) personaliti ialah menghuraikan tentang seseorang yang sebenarnya. Definisi ini juga mengandaikan bahawa keadaan biologi dan fisiologi seseorang itu dianggap sebagai terlalu ringkas. Dalam masa yang sama, satu definisi yang lain boleh dikatakan lebih menyeluruh telah diberikan oleh Waren&Carmichael (1930). Menurut mereka personaliti ialah organisasi dinamik dalam diri individu yang terdiri daripada sistem psikologikal dan fizikal yang menentukan penyesuaian terhadap persekitarannya.


Walau apa pun definisi yang diberikan, para pengkaji bersepakat mengatakan bahawa personaliti merupakan ciri-ciri yang dinamik dan tersusun yang dimiliki oleh individu secara unik. Ciri-ciri ini akan mempengaruhi kognitif, motivasi dan tingkah laku individu tersebut dalam pelbagai situasi.

Gambar : Gerakan Ketika Berjalan Juga Melambangkan Personaliti Seseorang
Sumber : amuslimhouse.com


Justeru, dalam tugasan kali ini saya memilih untuk menghuraikan tentang personaliti Tun Dr. Mahathir Mohamad iaitu mantan perdana menteri Malaysia keempat yang digelar sebagai ‘Bapa Permodenan’. Dengan merujuk kepada buku yang ditulis oleh beliau sendiri iaitu “A Doctor In The House’’ yang mengambil masa selama 8 tahun untuk disiapkan dan setebal 843 muka surat. Dalam buku ini juga menceritakan tentang perjalanan hidup beliau sebagai mantan perdana menteri selama 22 tahun yang disampaikan secara terus terang, spontan dan adakalanya dalam nada jenaka.

Gambar : Bahagian Depan Kulit Buku Tun Dr. Mahathir Mohamad
Sumber : mphclick.com



2.CIRI-CIRI DAN TINGKAH LAKU TUN DR. MAHATHIR MOHAMAD
2.1.Berpandangan Jauh
Kemajuan yang ingin dicapai sebenarnya tidak boleh diperolehi hanya dengan melakukan perancangan jangka pendek, tetapi ianya memerlukan kita sendiri untuk melihat masa akan datang. Justeru, keistimewaan ini bukanlah bermakna Tun Dr. Mahathir Mohamad adalah penilik nasib yang dapat mengetahui masa depan, sebaliknya kelebihan ini diperolehnya hasil daripada kebijaksanaan dan kesediaan beliau untuk berfikir melampaui sempadan. Salah satu bukti yang nyata ialah pewartaan Wawasan 2020 dimana ia  memerlukan Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri membayangkan kepada rakyat Malaysia tentang apa yang perlu mereka capai berpuluh tahun dari sekarang. Dan ini merupakan sesuatu yang cukup baik di mana sekurang–kurangnya rakyat Malaysia mempunyai ’mindset’ untuk terus memacu diri mereka ke arah kejayaan.
Wawasan 2020 bukanlah merupakan satu dasar khas tetapi merupakan tindak balas kepada perkembangan ekonomi, sosial dan politik yang berlaku di peringkat nasional dan antarabangsa yang telah memberi cabaran hebat kepada negara. Wawasan ini telah diketengahkan sebagai satu garis panduan dan rangka kerja mengenai pendekatan yang harus diambil dalam memulakan langkah bagi perjalanan jauh yang akan ditempuh oleh negara.

Matlamat terakhir yang dicita-citakan ialah pembentukan sebuah negara Malaysia yang benar-benar maju menjelang tahun 2020. Kemajuan yang dimaksudkan bukan terhad kepada bidang ekonomi sahaja malah ia akan merangkumi segala aspek kehidupan: ekonomi, politik, sosial, kerohanian, kejiwaan dan kebudayaan.

Ini bermakna Wawasan 2020 bertujuan mewujudkan negara bermatlamat iaitu Malaysia akan menjadi negara maju dengan caranya tersendiri tanpa terikut kepada cara dan corak negara maju yang ada sekarang. Kemajuan yang dicita-citakan ialah kemajuan yang sempurna yang tidak semata-mata diukur dari segi pencapaian lahiriah atau fizikal semata-mata malah ia akan meliputi kewujudan satu masyarakat yang sempurna dengan nilai moral dan etika yang tinggi dan boleh dicontohi oleh negara-negara lain.

Gambar: Logo Wawasan 2020
Sumber: buddysurvey4u.com 


2.2.Pemidato Yang Hebat
Umum mengetahui bahawa Tun Dr. Mahathir Mohamad seorang suka berkongsi pandangan dengan memberi ucapan. Memberi ucapan adalah salah suatu cara bagi beliau memberitahu wadah dan perancangan beliau kepada seluruh rakyat. Barangkali ketinggian ilmunyalah yang menyebabkan beliau tidak pernah kekok untuk memberikan pendapat dalam apa jua bidang termasuk ekonomi, politik, keagamaan dan diplomatik.

Kelebihan ini juga amat dikagumi kerana bukan semua orang mampu memberi keyakinan dan penerangan kepada orang melalui pengucapan awam ( public speaking ) seperti yang diberikan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad malah beliau juga mampu mengekalkan perhatian para pendengar walaupun sesuatu ucapan itu mengambil masa selama berjam-jam.

Ketika ucaptama beliau bertajuk ‘Seruan Untuk Perpaduan’  di PWTC, Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) gagal membawa perpaduan di kalangan orang Islam kerana kerajaan negara anggotanya lebih mendahulukan kepentingan negara masing-masing dalam membuat sebarang keputusan. Beliau juga berpendapat bahawa satu masalah OIC adalah kerana organisasi kerajaan negara anggota. Kerajaan mempunyai banyak kekangan dan mereka tidak benar-benar bebas membuat sebarang  keputusan. Kepentingan negara didahulukan, bukan agama atau pun persamaan agama yang mendapat keutamaan. Hubungan kerajaan dan kumpulan lain juga mempengaruhi tindakan serta keputusan kerajaan dan ini sering bertentangan perpaduan Muslim.

Justeru, beliau mencadangkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negara Islam memainkan peranan menjana perpaduan di kalangan umat Islam seperti kejayaan gerakan menentang pencemaran alam sekitar sehingga perjuangan dan suara mereka didengar kerajaan seluruh dunia walaupun pertubuhan itu tidak mempunyai kuasa.


Gambar: Tun Dr. Mahathir Mohamad Ketika Sedang Berucap Di United Nations’

Sumber: en.wikipedia.org


2.3.Keazaman Yang Tinggi
Seperti yang kita semua sedia maklum, Tun Dr. Mahathir Mohamad seorang yang mempunyai yang tidak mudah berputus asa. Sifat keazaman yang tinggi yang dimilikinya ini membuatkan ramai yang mengagumi akan beliau. Dan Kejayaan yang beliau perolehi pada hari ini banyak diwarnai dengan jatuh bangun beliau seperti kata pepatah melayu ‘bersusah–susah dahulu, bersenang–senang kemudian’. Contohnya beliau begitu berazam tinggi terhadap cita–cita politiknya sehinggakan masih mendokong perjuangan parti walaupun pada suatu masa pernah dipecat daripada partinya. Hasilnya, beliau berjaya menduduki kerusi presiden parti dan menjawat jawatan nombor satu dalam kerajaan.

Keazaman yang tinggi ini juga dapat dibuktikan lagi apabila beliau berdepan dengan  cabaran termasuk melawan golongan tertentu yang cuba menggagalkan rancangannya. Kebiasaannya beliau akan berlawan habis-habisan sehingga mencapai kejayaan. Sebagai contoh, Tun Dr. Mahathir Mohamad berjaya menentang niat jahat George Soros yang ingin menjatuhkan nilai matawang negara. Dari awal lagi beliau sudah dapat menghidu cara dan taktik kotor George Soros yang ingin menghancurkan sistem ekonomi negara-negara di benua Asia. Semangat keazaman yang tinggi adalah kunci segala kejayaannya menghadapi sebarang masalah dan cabaran.

2.4.Kuat Bekerja
Ini merupakan salah satu dari sifat istimewa yang ada pada Tun Dr. Mahathir Mohamad iaitu beliau seorang yang kuat bekerja demi memenuhi komitmennya untuk memajukan negara di persada dunia. Tugas beliau tidaklah semata-mata hanya untuk memanaskan kerusi Perdana Menteri di pejabatnya tetapi juga melakukan suatu kerja yang mungkin kita tidak pernah jangkakan dilakukan oleh beliau. Bekas pemandu beliau pernah menceritakaan bagaimana Tun Dr. Mahathir Mohamad dan dia pernah meninjau dan meredah satu tapak yang penuhi oleh  semak-semak dan juga ladang sawit tanpa diiringi oleh pengiring. Kawasan yang dikunjungi itulah yang kini dipanggil Putrajaya yang begitu pesat membangun dewasa ini.

Gambar : Putrajaya Yang Kini Menjadi Tarikan Pelancong
Sumber : malaxi.com

3.PROFIL PERSONALITI  TUN DR. MAHATHIR MOHAMAD
3.1.Latar Belakang
Tun Dr. Mahathir Mohamad dilahirkan pada 20 Disember 1925 di sebuah rumah di Lorong Kilang Ais, Seberang Perak, Alor Setar, Kedah. Beliau adalah anak bongsu daripada Sembilan adik-beradik kepada Encik Mohamad bin Iskandar dan Wan Tempawan binti Wan Hanafi. Bapa Tun Dr. Mahathir Mohamad adalah berbangsa India, anak kepada seorang Malayalee Muslim (yang berasal dari Kerala, India) dan merupakan bekas seorang guru sekolah dan pengaudit kerajaan yang telah menguruskan keluarganya secara konservatif melalui disiplin serta ketegasan dalam usaha memastikan anak-anaknya berjaya dalam pelajaran. Manakala ibu beliau pula berbangsa Melayu dan dari keturunan Wan Mat Saman, Menteri Besar Kedah yang berusaha membangunkan pertanian di Kedah melalui terusan yang terkenal dengan nama 'Terusan Wan Mohamad Saman' atau Sungai Korok.
Nama datuk beliau, "Iskandar" turut diabadikan pada sebuah sekolah rendah di bandar Alor Setar, Sekolah Rendah Kebangsaan Iskandar. Manakala ayahnya pula adalah guru bahasa Inggeris dan juga Guru Besar pertama Sekolah Inggeris di Alor Star, sekarang dikenali sebagai Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH). Di sekolah tersebut, bapa beliau dipanggil sebagai "Master" atau "Mohamad Iskandar".

Tun Dr. Mahathir Mohamad mula bersekolah di Sekolah Melayu Laki-laki Seberang Perak, Kedah. Kemudian disambung ke Sekolah Inggeris Alor Setar (kini Maktab Sultan Abdul Hamid). Secara semulajadi beliau merupakan seorang yang rajin dan mempunyai determinasi untuk berjaya dalam apa jua bidang yang diceburinya. Setelah tamat Perang Dunia Kedua, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyambung pelajaran beliau di sekolah yang sama pada tahun 1945 sehingga Senior Cambridge. Pada tahun 1947, Tun Dr Mahathir Mohamad melanjutkan pengajian ke King Edward VII College of Medicine, Universiti Malaya, Singapura. Dan pada tahun 1952, Tun Dr. Mahathir Mohamad lulus dengan ijazah perubatan MBBS.

Pada tahun 1954, Tun Dr. Mahathir Mohamad mula berkhidmat sebagai pegawai perubatan di Alor Setar, Jitra, Langkawi dan Perlis sehingga tahun 1957. Beliau sebelumnya melangsungkan perkahwinan dengan Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali pada 5 Ogos 1956 dan dikurniakan tujuh cahaya mata, iaitu tiga lelaki dan dua perempuan. Anak-anak beliau adalah Marina, Mirzan, Melinda, Mokhzani dan Mukhriz.

Pada tahun 1957, beliau berhenti dari perkhidmatan kerajaan untuk membuka kliniknya sendiri iaitu ‘MAHA Klinik’ yang terletak di Jalan Tunku Ibrahim, Alor Setar. Ketika itu, beliau merupakan anak Melayu pertama yang membuka klinik persendirian di mana ketika itu terdapat hanya lima buah klinik sahaja. Klinik ini kemudiannya berpindah ke 1587, Jalan Sultan Badlishah, Alor Setar dan kekal sehingga kini.

Gambar: Perkahwinan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali
Sumber: perkahwinan.ning.com


3.2.Politik dan Ekonomi Semasa Pemerintahannya
Ketika di zaman persekolahan, Tun Dr. Mahathir Mohamad menentang Malayan Union dengan lantang dan menubuhkan Kesatuan Melayu Kedah serta Kesatuan Pemuda Melayu Kedah. Apabila UMNO ditubuhkan pada tahun 1946, Tun Dr. Mahathir Mohamad adalah salah seorang yang pertama mendaftarkan diri sebagai ahli. Beliau juga dengan tidak sengajanya menimbulkan perasaan marah apabila beliau membentangkan kriteria-kriteria kelayakan dalam pemilihan calon untuk pilihan raya umum 1959 dan enggan mengambil bahagian dalam pilihan raya tersebut kerana dituduh memilih calon-calon yang rapat dengannya.
Selain itu, berikutan peristiwa 13 Mei 1969, Tun Dr. Mahathir Mohamad dipecat daripada keahliannya dalam Majlis Tertinggi UMNO pada 12 Julai, selepas pengedaran umum suratnya yang telah mengkritik cara pentadbiran Tunku Abdul Rahman. Pada 26 September 1969,  Tun Dr. Mahathir Mohamad sekai lagi dipecat keahliannya dalam UMNO.
Apabila Tun Abdul Razak menjadi Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir masuk semula ke dalam UMNO pada 7 Mac 1972 dan dilantik sebagai senator pada tahun 1973. Pertengahan tahun 1981, Perdana Menteri Malaysia iaitu Datuk Hussein Onn mengumumkan persaraannya dan menamakan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai penggantinya. Pada 16 Julai 1981 Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri Malaysia yang keempat dan sebagai Menteri Pertahanan lapan hari selepas itu.
Pada tahun 1997, Krisis Kewangan Asia merupakan krisis ekonomi yang berpunca daripada spekulasi mata wang oleh spekulator-spekulator asing. Ia telah mengakibatkan kelumpuhan ekonomi negara-negara di rantau Asia. Terdapat beberapa kaedah penyelesaian krisis kewangan yang telah diaplikasikan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad semasa menghadapi krisis tersebut. Kebanyakan kaedah ini merupakan hasil daripada kepercayaan bahawa campur tangan kerajaan yang boleh memecahkan kebuntuan bagi kemelut krisis kewangan tersebut. Antara peranan kerajaan yang ialah penubuhan National Economic Action Council (NEAC), pembekuan nilai Ringgit, tambatan nilai Ringgit dan penolakan pinjaman daripada International Monetary Fund (IMF).
Krisis Kewangan 1997 boleh dikatakan sebagai kebijaksanaan dan kebolehan Tun Dr. Mahathir Mohamad kerana jawatan beliau sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan semasa itu.
Pengajaran daripada Krisis Kewangan 1997 ialah kesedaran akan betapa buruknya kesan penggunaan sistem kewangan yang berasaskan wang kertas atau wang fiat. Penggunaan wang kertas ini secara meluas di seluruh dunia telah mengiktirafnya sebagai wang yang berfungsi untuk dijadikan alat pertukaran, alat penyimpan nilai, alat pengukur nilai dan alat bayaran untuk masa hadapan. Penggunaan mata wang kertas ini juga menjadi asas ke arah kewujudan tabung kewangan iaitu IMF.
Selain itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad berpandangan bahawa penggunaan wang kertas secara meluas mengakibatkan beberapa kesan buruk. Kesan buruk ini juga telah mengakibatkan ekonomi Malaysia jatuh pada akhir dekad 1990. Segala spekulasi dan manipulasi mata wang yang berasaskan wang kertas telah meningkatkan kefahaman Tun Dr. Mahathir Mohamad terhadap keburukan dan permasalahan penggunaan wang kertas di seluruh dunia terutama sekali kesannya terhadap ekonomi umat Islam.


3.3.Pengunduran
Pada 22 Jun 2002, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah mengumumkan pesaraannya dalam ucapan dasarnya di Perhimpunan Agung UMNO yang ke 56 di Dewan Merdeka, PWTC, Kuala Lumpur. Selepas rayuan oleh ahli-ahli Majlis Tertinggi serta penyokong-penyokong parti, Tun Dr. Mahathir Mohamad kemudiannya mengumumkan yang beliau akan terus memimpin negara sehingga selesai Sidang kemuncak Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) pada Oktober 2003 yang mana Malaysia menjadi Pengerusi. Untuk memastikan peralihan kuasa yang lancar, Tun Dr. Mahathir Mohamad menamakan Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai penggantinya.

Beliau menamat penglibatan aktif dalam politik ketika umurnya 75 tahun setelah berkhidmat kepada negara selama 22 tahun bermula 16 Julai 1981. Setelah bersara beliau masih terus menjadi penasihat Proton. Beliau juga lantang menegur kepimpinan pengganti beliau iaitu Tun Abdullah Ahmad Badawi seperti mana beliau pernah mengkritik kepimpinan Tunku Abdul Rahman. Kini beliau masih aktif menulis blog dan berucap dalam forum-forum dan persidangan. Beliau mula menulis blog pada 1 Mei 2008 pada pukul 1:27 pagi dengan penulisan beliau bertajuk "The Appointment of Judges". Kini blog beliau terletak di http://www.chedet.cc/. Dan baru-baru ini, beliau telah menulis buku yang bertajuk ‘A Doctor In The House’ yang dilancarkan pada Mac 2011 yang lalu dan menjadi rujukan saya dalam tugasan kali ini.

Gambar : Tun Dr. Mahathir Mohamad Semasa Hari Pelancaran Bukunya
Sumber : mohamadknowhimself.blogspot.com


4.KESIMPULAN
Walau apa pun definisi yang diberikan mengenai personaliti, namun secara keseluruhannya ia merupakan gabungan daripada pelbagai sifat dan konsep kendiri seseorang. Individu yang mempunyai konsep kendiri positif akan menghasilkan personaliti yang bersesuaian dengan keperluan persekitarannya. Gaya percakapan, cara bertindak, tingkah laku yang ditunjukkan dan cara seseorang itu berinteraksi dengan persekitaran dapat membantu mengenali personaliti seseorang.

Samalah juga seperti sifat-sifat personaliti yang ada pada Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menjadi tunggak negara satu masa dahulu. Dan kita juga dapat melihat bagaimana istilah ‘Mahathirisme’ ini dibentuk bukan sahaja melalui penguatkuasaan dasar pembangunan dan kestabilan masyarakat itu sendiri malah ia juga melibatkan gaya kepimpinan dan falsafah diri oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad. Banyak kontroversi, peranan serta sumbangan yang diberikan beliau semasa tempoh pemerintahannya.

Namun begitu, sentiasa saja ada pihak yang tidak berpuas hati dengan beliau dengan mengkritik gaya pemerintahannya yang autokratik dan dituduh bersifat kronisme. Ini tidak menghalang beliau untuk terus membawa Malaysia menjadi sebuah negara maju dan membuka mata dunia akan kemajuan yang dicapai Malaysia di bawah pemerintahannya. Ini dapat dibuktikan dengan tindakan rasional beliau dalam mengatasi krisis kewangan negara yang melanda.

Ternyata sifat-sifat yang ada pada Tun Dr. Mahathir Mohamad yang dihuraikan seperti di atas yang banyak membantu beliau sebagai pemangkin kejayaan jatuh bangun sepanjang tempoh pemerintahannya selama 22 tahun. Tun Dr. Mahathir Mohamad juga telah membawa Malaysia ke persada kecemerlanga di mana Malaysia telah melalui pelbagai pembaharuan fizikal, mental dan sosial. Malaysia telah menjadi negara yang disegani dan dihormati di pentas dunia. Malaysia mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah di kalangan negara-negara maju dunia. Kejayaan Malaysia sebagai negara membangun dan sebuah negara Islam yang unggul di rantau ini telah diiktiraf dunia. Warisan pusaka yang ditinggalkan oleh beliau dapat kita lihat berada di mana sahaja. Jasa dan sumbangan beliau amat dihargai di semua peringkat umur dan dikenang sehingga kini.


2613 Perkataan


APENDIKS
5.RUJUKAN / REFERENSI
Mohamad, M. (2011). A Doctor In The House: The Memoirs of Tun Dr. Mahathir Mohamad. MPH Group Publishing Sdn. Bhd.

Personaliti. (n.d.). [Online]. Available : http://ms.wikipedia.org/wiki/Ciri_personaliti
_Lima_Utama. [2012, Jun 25].

Personality Characteristics. (n.d.). [Online].
            Available : http://catb.org/jargon/html/personality.html. [2012, Jun 25].

Perubahan Personaliti Individu Berdasarkan Teori Personaliti Sigmund Freud / Erikson.
            (2010). [Online]. Available : http://treebuilder.blogspot.com/2010/11/teori

Award. (n.d.). [Online].
            Available : http://www.pmo.gov.my/?menu=page&page=1648. [2012, Jun 25].

Biodata Tun Dr. Mahathir Mohamad. (n.d.). [Online].
            [2012, Jun 25].

Tun  Dr. Mahathir Mohamad (Bapa Pemodenan). (2011) [Online].
mohamadbapa-pemodenan.html. [2012, Jun 26].

Personaliti. (2010). [Online].
            Available : http://omartahfiz.blogspot.com/2010/05/personaliti.html.
            [2012, Jun 26].

Tun Dr Mahathir Profile or Biodata. (n.d.). [Online].
            [2012, Jun 27].

 Teori Personaliti... ID, EGO dan SUPEREGO. (2008). [Online].
            Available : http://kinn19.fotopages.com/?entry=1609107. [2012, Jun 28].

Big Five personality theory. (n.d.). [Online].
            Available : http://www.123test.com/big-five-personality-theory/. [2012, Jun 28].

Cherry, K. (n.d.).  What Is Personality?. [Online]. Available : http://psychology.about. 

No comments:

Post a Comment