Thursday 11 February 2016

Assignment - Year 2 (Semester 1 - January) MOTIVASI ABPK2103

1.PENGENALAN
Dewasa ini, setiap manusia secara lumrahnya memerlukan motivasi dalam diri masing-masing bergantung kepada tahap kemampuan tersendiri bagi mencapai kesempurnaan hidup. Motivasi ialah sebab, tujuan atau pendorong untuk seseorang di mana ia  sebenarnya yang menjadi penggerak utama baginya untuk berusaha keras dalam mencapai atau mendapat apa juga yang diinginkannya sama ada secara negatif atau positif. Selain itu, motivasi adalah darjah atau tahap kesungguhan dan tempoh keterusan seseorang untuk berusaha bagi mencapai tujuan atau matlamat.

Dalam erti kata lain, motivasi merupakan suatu pemangkin dalam menyeramakkan lagi keinginan, keberanian dan kesungguhan untuk mencapai sesuatu matlamat mencabar yang benar-benar diingini serta yakin boleh dicapai serta diperolehi. Di samping itu, motivasi ini juga berkait rapat dengan keperluan.

Keperluan bermaksud sesuatu perkara yang perlu ada bagi individu untuk terus hidup. Pendek kata, sekiranya keperluan-keperluan tersebut tidak dipenuhi, secara tidak langsung akan berlakulah kecederaan kepada sistem biologi badan dan psikologi yang akhirnya akan menjejaskan kesihatan fizikal dan psikologikal individu. Keperluan individu itu sendiri terdiri daripada keperluan asas dan keperluan lain. Keperluan asas bagi setiap individu adalah keperluan fisiologi iaitu makanan, pakaian, dan tempat tinggal. Keperluan lain pula seperti keperluan psikologi iaitu autonomi, Kompeten dan perhubungan.

Keperluan fisiologi merupakan keperluan yang amat penting dan berkait dengan penerusan kehidupan seseorang manusia sehingga pemuasannya tidak dapat ditahan ataupun ditunda. Keperluan-keperluan ini sudah tentu akan mendesak untuk didahulukan jika dibandingkan dengan keperluan-keperluan lain. Seorang individu itu tidak akan berganjak pada keperluan lain sebelum keperluan fisiologi ini dipenuhi mengikut tahap kemampuan yang diinginkan. Sementara itu, keperluan psikologi pula merupakan keperluan lain selain dari keperluan fisiologi yang dihuraikan. Sebagai contoh kasih sayang dalam hubungan tidak kira sama ada kepada anak-anak, suami isteri atau sebagainya. Hal ini kerana, hubungan kasih sayang ini merupakan lumrah bagi setiap individu untuk mempunyai perasaan untuk menyayangi atau disayangi.

Dalam tugasan kali ini, saya telah menyediakan laporan yang mengandungi penerangan tentang peranan kedua-dua keperluan iaitu fisiologi dan psikologi yang berkaitan dengan tahap motivasi empat orang subjek di mana berlainan jantina iaitu lelaki dan perempuan dan status perkahwinan iaitu bujang atau berkahwin, keputusan temu duga yang telah dijalankan serta perbandingan antara persamaan atau perbezaan mereka adalah seperti yang dihuraikan dibawah.



2.KEPUTUSAN KETERANGAN
2.1.Subjek Pertama
Merupakan seorang pembantu perubatan (M.A) di sebuah hospital swasta dan telah berkhidmat selama 3 tahun. Beliau berumur 27 tahun. Tinggal di kawasan Johor Bahru dan menyewa bersama tiga rakan lain. Tidak mempunyai komitmen lain selain memiliki sebuah kereta. Berminat dengan aktiviti memancing di waktu lapang dan mempunyai pelbagai jenis alatan memancing.

2.2.Subjek Kedua
Merupakan seorang pengurus bank dan telah berkhidmat selama 25 tahun di dua buah bank yang terkemuka dan berpengalaman dalam bidang yang diceburi. Berumur dalam lingkungan awal 50-an. Tinggal di kawasan elite iaitu di Damansara Heights. Mempunyai komitmen seperti sebuah rumah, dua buah kereta, sebuah motosikal dan keluarga. Beliau juga memiliki sebuah restoran di Kuala Lumpur hasil perkongsian dengan rakan karibnya dan diuruskan bersama.

2.3.Subjek Ketiga
Merupakan seorang guru yang bertugas di sebuah sekolah menengah. Berumur dalam lingkungan awal 30-an. Tinggal di kawasan luar bandar yang kurang mempunyai kemudahan seperti di bandar. Mempunyai banyak komitmen seperti kereta, rumah, pinjaman peribadi, pinjaman PTPTN dan masih belajar. Tinggal bersama ibu dan menanggung dua orang adik yang masih bersekolah.

2.4.Subjek Keempat
Merupakan seorang yang mengusahakan produk kecantikan dan memiliki butik kecantikan untuk wanita. Beliau berumur 44 tahun. Tinggal di Setapak, Kuala Lumpur. Mempunyai komitmen seperti pinjaman, kereta, keluarga dan mempunyai seorang anak istimewa dari 4 orang anak. Beliau juga terpaksa menanggung suami yang lumpuh akibat dari kemalangan 3 tahun lalu.  


3.Peranan Kedua-dua Keperluan
Temu duga yang telah dijalankan terhadap keempat-empat subjek mengenai peranan kedua-dua keperluan mereka dalam kehidupan dewasa ini dapat dihuraikan seperti di bawah.

3.1.Temuduga terhadap subjek pertama
Soalan pertama yang telah dikemukakan                    :Adakah anda selesa dengan
kehidupan anda ? Maksud saya  
kehidupan bujang yang anda jalani kini?
Soalan kedua yang telah dikemukakan                       :Adakah anda akan memiliki rumah
untuk masa depan atau berhasrat
memiliki keperluan lain?
Soalan ketiga yang telah dikemukakan                       :Bagaimana anda menguruskan masa
antara pekerja anda yang tidak
menentu dengan hobi anda?

Dengan mengemukan soalan-soalan seperti di atas subjek pertama telah memberi respon yang memberangsangkan. Beliau pada mulanya kelihatan pendiam dan malu tetapi respon yang diberikan beliau begitu positif.


’’...Ya, buat masa ini saya berasa selesa dengan kehidupan saya. Saya sebenarnya baru dalam bidang pekerjaan yang saya ceburi kini. Dalam masa yang sama saya menabung mengumpul duit untuk masa depan saya. Ini tidak bermakna saya kedekut dan buat masa ini juga saya hanya mempunyai komitmen kewangan terhadap kereta saya. Saya juga ada menyimpan cita-cita untuk memiliki sebuah rumah dan mendirikan rumah tangga. Walau bagaimanapun, jika ditakdirkan dalam masa terdekat saya mempunyai kewangan yang stabil, saya tidak teragak-agak untuk mencapai cita-cita saya. Saya juga merupakan seorang yang pandai menguruskan masa antara pekerjaan dan hobi. Hobi saya sebenarnya tidak menganggu waktu kerja kerana saya hanya menjalankan aktiviti tersebut di masa lapang sebagai contoh hari cuti saya. Dengan melakukan aktiviti ini juga, saya dapat merehatkan minda dari tekanan kerja yang saya berhadapan setiap hari. ...’’


Gambar : Memancing Merupakan Salah Satu Hobi Yang Menenangkan
Sumber : destination360.com



 3.2.Temuduga terhadap subjek kedua
Soalan pertama yang telah dikemukakan                    :Bagaimana anda menguruskan
keperluan keluarga dalam
peningkatan taraf kehidupan yang
semakin mencabar kini ?
Soalan kedua yang telah dikemukakan                       :Adakah anda bahagia dengan
keluarga anda dan bagaimana dengan
isteri anda? Adakah dia bekerja atau
seorang suri rumah ?
Soalan ketiga yang telah dikemukakan                       :Memiliki sebuah restoran yang
dikongsi dengan rakan yang diurus
bersama memerlukan komitmen
yang kuat dari segi masa dan tenaga.
Bagaimanakah anda membahagikan
masa dengan pekerjaan yang
anda ceburi selama 25 tahun dengan
menguruskan restoran tersebut ?

Respon yang dikemukan oleh subjek kedua sangat tepat dan padat. Beliau telah memberikan respon yang positif walaupun dikemukan soalan yang agak mencabar.

’’...Sebagai seorang bapa kepada 4 orang anak, saya mengurus dan membesarkan mereka dengan cara yang sederhana walaupun peningkatan taraf hidup hari ini yang semakin mencabar. Hanya keperluan yang penting sahaja saya utama kepada anak-anak iaitu seperti keperluan asas, pembelajaran dan juga tuition atau kelas tambahan kepada anak-anak saya. Ini bukan bermakna saya abaikan keperluan sampingan yang lain cuma saya utamakan apa yang menjadi keutamakan untuk anak-anak saya dari segi pendidikan untuk menjamin masa depan mereka. Walaupun tinggal di kawasan yang serba mewah, ini tidak menghalang saya dari mengurangkan budaya berbelanja melebihi had yang telah saya peruntukkan kepada setiap anak-anak saya. Dengan ini, secara tidak langsung saya mengajar mereka supaya berjimat cermat dan dapat mereka pratikkan di masa hadapan. Sebagai seorang bapa dan juga merupakan ketua keluarga, saya bertanggungjawab memastikan segala keperluan keluarga tidak diabaikan. Dengan berjimat cermat dapat menjamin di waktu kesesakan seperti perbelanjaan untuk perubatan keluarga apabila menghadapi saat-saat kecemasan. Kita tidak tahu bila kita akan jatuh sakit. Justeru, penting bagi saya menyediakan perbelanjaan tersebut dengan sempurna. Pada hujung minggu, saya bersama keluarga meluangkan masa melakukan aktiviti riadah seperti berjogging dan berkelah di Taman Tasik Perdana jika berkesempatan. Dengan ini dapat mengeratkan lagi hubungan kami sekeluarga secara tidak langsung saya dapat berbual dengan keluarga dengan lebih rapat setelah sibuk dengan komitmen kerja dan sebagainya. Saya bahagia mempunyai keluarga yang begitu memahami kerjaya saya dan berasa amat bertuah mempunyai mereka sebagai ahli keluarga saya. Manakala isteri saya pula merupakan seorang suri rumah selepas 12 tahun berhenti kerja sebagai seorang akauntan di ibu kota dan beliau juga banyak membantu saya dalam perniagaan restoran apabila saya bertugas di luar kawasan. Saya membahagikan masa antara kerjaya saya sebagai seorang pengurus bank dan perniagaan dengan teratur. Maksud saya, saya bertugas di bank dari pukul 9 pagi hingga 6 petang. Lebih kurang pukul 9 malam, saya mengambil alih perniagaan restoran dari rakan sehinggalah pukul 2 pagi. Begitulah rutin harian saya dimana saya menguruskan perniagaan restoran pada sebelah malam dan dibantu isteri kerana bekerja pagi dan sebelah pagi pula diuruskan oleh rakan. Semua ini tidak akan berjaya tanpa sokongan keluarga, anak-anak dan isteri tersayang. ...’’


Gambar : Sokongan Keluarga Amat Penting
Sumber : cops4causes.blogspot.com


3.3.Temuduga terhadap subjek ketiga
Soalan pertama yang telah dikemukakan                    :Adakah anda selesa dengan kerjaya
anda sebagai seorang guru ?
Soalan kedua yang telah dikemukakan                       :Bagaimana anda berdepan dengan
pelajar yang kurang memberi perhatian dalam kelas dan pelajar yang mempunyai masalah disiplin ?  
Soalan ketiga yang telah dikemukakan                       :Adakah mempunyai komitmen yang
banyak membebankan anda dan adakah ia memberi kesan atau tekanan terhadap kerjaya anda ?
Soalan keempat yang telah dikemukakan                   :Anda tinggal bersama ibu dan masih
menanggung dua orang adik yang masih  bersekolah. Tidakkah anda
terfikir untuk berumah tangga dengan usia begini ?

Respon yang dikemukan oleh subjek ketiga ini pula berkesan dan mengemukakan respon yang positif mengikut cara tersendiri.

’’...sebagai seorang guru yang bertugas di sekolah menengah di kawasan luar bandar, ini tidak menghalang saya dari mengharungi setiap detik dan saat yang menggembirakan dalam kerjaya saya di mana saya berdepan dengan para pelajar sama ada dari keluarga berada atau sebaliknya serta dengan  pelbagai karenah masing-masing. Saya juga berbangga menjadi seorang pendidik kepada anak-anak bangsa. Dan kita juga tahu bahawa guru merupakan cahaya yang menerangi kegelapan. Seperti juga guru-guru lain, saya juga berdepan dengan pelajar yang agak sukar memberi perhatian dalam kelas ketika waktu pembelajaran. Selalunya saya menggunakan kaedah di mana selepas waktu kelas tamat atau selepas tamat waktu persekolahan saya akan berjumpa dengan pelajar terbabit. Dengan demikian, saya dapat mengetahui punca beliau tidak dapat memberi tumpuan ketika waktu pembelajaran yang dijalankan. Kadang-kadang kita tidak tahu masalah yang dihadapi para pelajar tanpa menyiasat terlebih dahulu punca dan terus menjatuhkan hukuman terhadapnya. Selain itu, saya juga berdepan dengan pelajar yang mempunyai masalah disiplin. Selalunya pelajar-pelajar seperti ini akan diberi kaunseling oleh saya sendiri kerana saya merupakan guru kaunseling di sekolah. Tujuan kaunseling adalah untuk menyedarkan mereka akan sikap dan tingkah laku mereka serta berubah menjadi seorang pelajar yang baik dan bertanggungjawab. Sementara itu, komitmen yang banyak ini sebenarnya mengajar saya untuk bertanggungjawab terhadap apa yang saya mahukan dalam kehidupan saya sendiri. Komitmen ini tidak sesekali memberi kesan atau tekanan terhadap kerjaya saya sebagai seorang guru malah banyak membantu saya di mana saya juga merupakan pelajar separuh masa. Bebanan hutang seperti pinjaman PTPTN tidak menghalang saya dari meneruskan pembelajaran di peringkat Master. Bak kata pepatah, ’’kalau jodoh tidak ke mana’’. Justeru, tidak timbul isu seperti kahwin lewat. Siapa yang tidak mahu berumah tangga, cuma masa dan takdir yang menentukan. Mungkin saya terlalu sibuk menguruskan kerja, belajar dan keluarga yang menyebabkan saya tidak mempunyai masa untuk berfikir soal kahwin. Ini bukan bermaksud saya tidak mahu berumah tangga cuma belum masanya lagi. ...’’


Gambar : Guru Merupakan Sumber Inspirasi Pelajar
Sumber : teachers.egfi-k12.org


 3.4.Temuduga terhadap subjek keempat
Soalan pertama yang telah dikemukakan                    :Adakah anda berpuas hati dengan
kerjaya dan kehidupan anda ?
Soalan kedua yang telah dikemukakan                       :Selain dari komitmen, apa lagi yang
anda inginkan dalam kehidupan
anda ?
Soalan ketiga yang telah dikemukakan                       :Anda menanggung suami yang
lumpuh dan mempunyai seorang
anak yang istimewa. Bagaimanakah
memenuhi keperluan anda sendiri
tanpa mengabaikan keperluan
keluarga dan anak-anak ?
Soalan keempat yang telah dikemukakan                   :Kasih sayang amat penting dalam
keluarga. Jika setuju, bagaimana
anda membahagikan kasih sayang
terhadap suami dan anak-anak
selain daripada menguruskan sebuah
butik tanpa mengharapkan bantuan
orang lain ?

Respon dari subjek keempat iaitu temu duga terakhir merupakan respon yang begitu spontan dan tertib.

’’...Menjadi seorang isteri dan ibu bekerjaya yang mempunyai anak seramai 4 orang memang susah jika kita tidak mempunyai sifat sabar dan gigih dalam mengharungi kehidupan ini. Saya amat berpuas hati terhadap kehidupan dan kerjaya saya di mana saya mementingkan kehendak dan keperluan keluarga selain tidak membelakangi kerjaya saya. Dalam kehidupan ini, saya seperti ibu-ibu lain menginginkan kejayaan terhadap anak-anak saya walaupun saya mempunyai 4 orang anak ini tidak menghalang cita-cita dan semangat saya untuk terus berjaya. Memanglah pada mulanya agak susah untuk menghadapi dan menerima hakikat apa yang berlaku kepada keluarga saya tetapi dengan sokong ibu bapa dan mertua saya serta ahli keluarga yang lain menjadikan saya lebih kuat dalam menempuh dan mengharungi kehidupan ini. Ramai yang tidak yakin saya mampu menguruskan keluarga saya walaupun saya hanyalah seorang wanita yang dilihat lemah di mata masyarakat. Walaupun saya sibuk menguruskan butik dan kerjaya saya tetapi bukan bermaksud saya mengabaikan keperluan diri. Bagi saya, keluarga amat penting. Keperluan keluarga, keperluan saya juga. Keperluan anak-anak seperti keperluan lain tidak sesekali saya abaikan walaupun rintangan yang datang. Saya sangat setuju kasih sayang penting dalam keluarga. Jadi pada saya, kasih sayang tidak akan putus selagi kita saling menyayangi antara satu sama lain dan memahami akan cara kita bekerja bagi menampung kehidupan keluarga. tidak semua orang bernasib baik dengan kehidupan. Ada yang perlu berusaha keras untuk mendapatkan sesuap nasi. Justeru, saya amat bersyukur mempunyai keluarga seperti ini walaupun tidak sesempurna keluarga orang lain. Dan menguruskan sebuah butik bukanlah mudah kerana memerlukan kepakaran dan pengalaman. Saya juga boleh dikatakan telah berjaya memenuhi keperluan saya, keluarga dan anak-anak dengan cara saya sendiri tanpa mengharapkan bantuan mana-mana pihak. Dan ini tidak mungkin berjaya dengan tanpa sokongan dan kasih sayang dari keluarga tercinta. ...’’  


Gambar : Kasih Sayang Dapat Menguatkan Seseorang Untuk Terus Berjaya Dalam Kehidupan
Sumber : cc.byu.edu



4.PERBANDINGAN KEPUTUSAN
4.1.Dari Segi
4.1.1.Jantina
Seperti yang dihuraikan di atas mengenai perbandingan keperluan kehidupan antara lelaki dan perempuan sebenarnya berbeza mengikut jantina. Ini kerana dapat dibukti lagi dengan cara mereka dalam memberi respon terhadap setiap soalan yang dikemukakan. Untuk pengetahuan, subjek pertama dan kedua adalah lelaki seperti dalam yang dapat kita memahami dalam setiap respon yang diberi, begitu juga sebaliknya mengenai subjek ketiga dan keempat adalah wanita.

Masing-masing telah mengemukakan respon yang positif mengikut pengalaman dan gaya hidup mereka tersendiri walaupun diajukan dengan soalan yang agak mencabar dan peribadi. Kadang-kadang kita tidak sedar adanya perbezaan dari segi penyampaian antara lelaki dan perempuan. Dalam temuduga yang telah saya jalankan terhadap keempat-empat subjek, kita dapat lihat kesemua subjek tersebut mempunyai kerjaya yang kukuh walaupun berada dalam lingkungan umur yang berbeza-beza.

Persamaan yang ada pada keempat-empat subjek itu sama ada lelaki atau perempuan ialah masing-masing mempunyai komitmen yang sama seperti kereta. Menurut subjek pertama, beliau mempunyai cita-cita untuk memiliki rumah dan mendirikan rumah tangga. Dengan ini, kita dapat ketahui bahawa beliau juga seperti manusia biasa yang ingin memenuhi keperluan fisiologi dan keperluan psikologi seperti orang lain. Motivasi juga dapat dikaitkan dengan situasi subjek pertama di mana beliau berusaha untuk mencapai cita-cita dengan menabung dan beliau juga seorang yang baru berkhidmat selama 3 tahun.

Sementara itu, subjek kedua pula merupakan seorang yang berpengalaman dalam bidang perbankan. Di mana beliau telah berkhidmat di dua buah bank terkemuka. Beliau juga mempunyai keperluan fisiologi dan keperluan psikologi di mana memiliki kereta dan rumah selain perniagaan restoran di Kuala Lumpur.

Subjek ketiga pula merupakan seorang yang tidak berputus asa dalam kerjaya dan kehidupan beliau di mana beliau bijak menangani segala cabaran yang datang. Sesuailah dengan kerjaya beliau sebagai seorang pendidik. Ini dapat dibuktikan lagi dengan cara beliau menangani masalah dengan para pelajarnya. Sebab itulah wanita lebih sesuai menguruskan permasalahan yang berlaku dengan cara yang lembut berbanding lelaki kerana naluri wanita sangat kuat dan prihatin dan juga bersifat keibuan.

Subjek terakhir iaitu subjek keempat pula bersifat penyabar dalam menangani masalah yang berlaku terhadap keluarganya. Beliau dilihat berjaya menangani masalah tanpa bantuan orang lain dengan cara tersendiri dan bijak. Bukan mudah untuk berjaya jika tidak berusaha keras untuk berjaya. Perbandingan yang dapat dibuat melalui temu duga ini ialah keempat-empat subjek ini bijak memberi respon mengenai keperluan mereka dalam kehidupan dewasa ini walaupun perbezaan jantina namun ini tidak menghalang masing-masing untuk bersungguh-sungguh dalam apa jua yang mereka inginkan.


Gambar : Simbol Yang Mewakili Jantina
Sumber : sxc.hu



 4.1.2.Status Perkahwinan
Dari segi status perkahwinan pula, subjek pertama dan ketiga ialah bujang manakala subjek kedua dan keempat pula telah berkahwin. Selalunya umum beranggapan bahawa orang bujang yang bekerja selalunya tiada komitmen. Contoh terdekat ialah dari segi kewangan. Tanggapan ini perlulah dibuang kerana setiap yang bekerja tidak kiralah sama ada bujang atau berkahwin jika berada dalam kehidupan yang serba moden yang segalanya memerlukan wang mesti mempunyai pelbagai komitmen walaupun dengan cara yang berbeza.

Dewasa ini, tidak kira jantina sama ada telah berkahwin atau bujang keperluan fisiologi dan keperluan psikologi mesti dipenuhi dalam meningkatkan taraf kehidupan. Seperti keputusan temu duga yang telah dihuraikan di atas kita dapat lihat keempat-empat subjek masing-masing mempunyai komitmen tersendiri seperti rumah, kereta, pinjaman, keluarga dan sebagainya.

Sebagai contoh subjek ketiga, walaupun beliau bujang dan belum berkahwin tetapi beliau mempunyai banyak komitmen lain seperti kereta, rumah, pinjaman peribadi, pinjaman PTPTN dan juga masih belajar selain dari menanggung dua orang adiknya yang masih bersekolah. Ini membuktikan bahawa tidak semestinya berkahwin itu mempunyai komitmen berbanding yang belum berkahwin atau bujang.

Seperti subjek kedua dan keempat, masing-masing telah berkahwin dan mempunyai komitmen terhadap keluarga dengan cara yang berbeza. Di sini juga kita dapat lihat walaupun telah  berkahwin tidak kira sama ada lelaki atau wanita masing-masing tidak ketinggalan mempunyai tanggungjawab tersendiri. Masyarakat perlu membuang tanggapan negatif bahawa  wanita yang telah berkahwin tidak perlu bersusah payah menguruskan keluarga sebaliknya menyerahkan tanggungjawab tersebut kepada lelaki.

Bukti menunjukkan subjek keempat telah berjaya menguruskan keluarganya dan terpaksa menanggung suaminya yang lumpuh akibat dari kemalangan 3 tahun lalu di samping mempunyai seorang anak istimewa walaupun ramai yang kurang yakin terhadap kemampuannya dalam menguruskan keluarga. Cabaran ini terlalu sukar untuk dihadapi oleh sesetengah orang yang berada dalam situasi tersebut.


Gambar : Sama Ada Bujang Atau Berkahwin, Masing-masing Mempunyai Komitmen
Sumber : scribbledhere.wordpress.com



5.KESIMPULAN
Walaupun terdapat keperluan-keperluan lain dalam kehidupan setiap manusia, namun keperluan fisiologi dan keperluan psikologi merupakan dua keperluan yang amat penting. Jika mengikut teori Abraham Maslow terdapat lima hierarki keperluan semula jadi manusia iaitu keperluan fisiologi, keselamatan, kasih sayang, penghargaan kendiri dan keperluan kesempurnaan kendiri. Walau bagaimanapun setiap manusia akan berusaha untuk mengecapi atau memenuhi keperluan-keperluan tersebut dalam mementingkan kehidupan masing-masing mengikut kemampuan.

Menurut Abraham Maslow juga, keperluan manusia itu pada dasarnya, bertingkat-tingkat, bermula dari tingkat yang paling bawah sampai ke tingkat yang paling tinggi. Keperluan pada tingkat yang lebih tinggi tidak mungkin timbul sebelum keperluan yang lebih mendasar terpenuhi.

Namun tidak kira sama ada jantina, bujang atau berkahwin setiap manusia ada cara tersendiri mencapai keperluan hidup masing-masing. Seperti yang dihuraikan di atas secara tidak langsung dapat membuka minta kita terhadap perbandingan keperluan fisiologi dan keperluan psikologi terhadap perbezaan jantina dan status perkahwinan. 

Dan motivasi perlu ada dalam diri manusia supaya berusaha dengan lebih keras dan bersungguh-sungguh dalam mencapai setiap apa yang diinginkan. Tiada sesiapa yang hidup dalam dunia ini tidak ada motivasi sebab sudah tentu kita semua ada matlamat dalam hidup dan motivasi itu digunakan sebagai pendorong untuk mencapai matlamat itu. Kiranya bila ada motivasi kita akan jadi lebih bersemangat untuk melakukan sesuatu perkara. Bila ada motivasi, semangat yang hilang akan kembali bersinar-sinar menerangi seluruh hidup kita dan juga dapat memberi keceriaan berganda untuk diri dan insan-insan lain disekeliling kita.


3087 Perkataan

APENDIKS
6.RUJUKAN / REFERENSI
Apa itu Fisiologi?. (n.d.). [Online].
[ 2012, Mac 8]. 

Sejarah. (n.d.). [Online].
Available: http://fisiologi.fkh.ugm.ac.id/. [2012, Mac 8].

Hieraki Keperluan Maslow. (n.d.). [Online].
[2012, Mac 8].

Keperluan Fisiologi Pakaian. (n.d.). [Online].
[2012, Mac 8].

Anatomi Fisiologi, Definisi Fisiologi. (2009). [Online].
-fisiologi.html. [2012, Mac 9].

Fisiologi. (n.d.). [Online].

Keperluan Asas Dan Keperluan Sosial Manusia. (n.d.). [Online].
[2012, Mac 9].

Motivasi Berterusan. (n.d.). [Online].

Pengertian Motivasi. (n.d.). [Online].

Definisi Keperluan. (n.d.). [Online].

Kategori : Jantina. (n.d.). [Online].

Perkahwinan. (n.d.). [Online].

Lelaki. (n.d.). [Online].

Perempuan. (n.d.). [Online].

Komitmen Terhadap Kerja Tingkatkan Keimanan. (2011). [Online].

Keperluan Dan Kehendak. (2011). [Online].
[2012, Mac 10].

Antara Keperluan Dan Kehendak. (n.d.). [Online].
-dan-kehendak.html. [2012, Mac 10].

Keperluan, Kehendak Dan Permintaan. (n.d.). [Online].
dan-permintaan. [2012, Mac 10]. 

No comments:

Post a Comment