Tuesday 16 February 2016

Assignment - Year 2 (Semester 2 - May) PSIKOLOGI KANAK-KANAK ABPD1203

1.PENGENALAN
Dewasa ini, kanak-kanak merupakan sebahagian daripada masyarakat yang amat penting yang menjadi aset negara dan penyambung nadi pembangunan negara pada masa hadapan. Justeru, dasar perlindungan kanak-kanak amat perlu pada masa ini bagi menggalakkan setiap anggota masyarakat memberi keutamaan kepada perlindungan kanak-kanak sebagai tanggungjawab bersama. Kanak-kanak merujuk kepada seseorang yang di bawah umur 18 tahun seperti yang termaktub dalam Akta Kanak-Kanak 2001.

Dalam erti kata lain, kanak-kanak adalah seorang yang digelar budak atau anak kecil yang dimaksudkan sebagai manusia muda iaitu seorang yang belum lagi mencapai usia akil baligh serta belum tahu untuk membuat keputusan dengan sendirinya. Perkembangan kanak-kanak ialah kajian proses dan mekanisme yang bertindak sewaktu perkembangan fizikal dan mental seorang bayi sebelum menjadi orang dewasa.


Kanak-kanak terbahagi kepada tiga iaitu kanak-kanak awal, pertengahan dan akhir. Kanak-kanak awal dari usia bayi sehingga umur 6 tahun manakala kanak-kanak pertengahan bermula dari usia 7 tahun sehingga 12 tahun dan kanak-kank akhir pula bermula dari usia  13 tahun sehingga 18 tahun. Dalam pada itu, kanak-kanak pertengahan dan akhir adalah kanak-kanak mula ingin mengetahui sesuatu yang mereka lihat dan perhatikan. Selain itu, perkembangan antara kanak-kanak lelaki dan perempuan juga berbeza mengikut peringkat umur dan cara didikan yang diberikan mengikut persekitaran kehidupan seharian mereka.

Kepentingan golongan kanak-kanak jelas ini dibuktikan dalam dasar Wawasan 2020 di mana institusi keluarga dan kanak-kanak merupakan salah satu fokus yang diberi keutamaan dalam usaha negara mencapai status negara maju di samping melahirkan masyarakat yang saksama dan penyayang. Dasar Kanak-Kanak Negara adalah satu dasar mengenai hak kelangsungan hidup, perlindungan, perkembangan dan penyertaan kanak-kanak agar dapat menikmati peluang dan ruang untuk mencapai perkembangan holistik dalam persekitaran yang kondusif. Disamping itu, setiap kanak-kanak akan melalui pelbagai peringkat tingkah laku dari segi psikologi yang dapat dilihat seperti fizikal, emosi, mental dan pembangunan sosial.


Gambar : Perkembangan Awal Kanak-kanak
Sumber : paulstellingwerf.nl


Dalam tugasan kali ini, saya memilih untuk menghuraikan mengenai pembangunan sosial tingkah laku kanak-kanak dari persepsi ketika di sekolah  terutamanya. Berdasarkan dari kajian dan pemerhatian oleh pakar psikologi didapati tingkah laku kanak-kanak bermasalah ini timbul kerana kurangnya keupayaan individu dalam proses mengadaptasi atau akomodasi apabila menghadapi perubahan situasi dalam alam persekitaran. Ini menyebabkan berlakunya gangguan sosial dan aktiviti kehidupan individu serta seterusnya menggangu kestabilan dan keharmonian kanak-kanak tersebut.

Dalam konteks pendidikan, tingkah laku kanak-kanak bermasalah merujuk kepada sebarang tingkah laku yang boleh merosakan kelancaran dan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran khususnya di dalam bilik darjah atau kelas. Terdapat pelbagai isu dan faktor yang menyebabkan terjadinya tingkah laku terhadap kanak-kanak yang dihuraikan seperti di bawah mengikut teori-teori sosial daripada Erikson dan Bronfenbrenner.


2.ISU-ISU YANG MELIBATKAN KANAK-KANAK DI SEKOLAH
2.1.Kurang memberi tumpuan
Kanak-kanak yang kurang memberi tumpuan ketika di dalam kelas semasa guru sedang mengajar merupakan salah satu isu yang serius yang perlu dibendung. Ini kerana jika dibiarkan akan menyebabkan kanak-kanak terbabit mempunyai masalah pembelajaran berbanding dengan rakan sebaya yang memberi tumpuan sepenuhnya ketika di dalam kelas.

Masalah pembelajaran merujuk kepada satu kumpulan masalah yang pelbagai yang mengakibatkan kesukaran yang nyata mendengar, bertutur, membaca, menulis, membuat keputusan atau menyelesai masalah matematik. Masalah ini berpunca daripada ketidakfungsian sistem saraf pusat dan boleh berlaku pada bila-bila tahap umur seorang kanak-kanak.

Masalah pembelajaran mungkin wujud seiring dengan ketidakupayaan lain seperti masalah sensori, kerencatan mental atau gangguan emosi. Kanak-kanak yang kurang memberi tumpuan juga selalu akan menyebabkan mereka gagal meraih keputusan yang baik dalam peperiksaan.


Gambar : Hilang Tumpuan Semasa Pembelajaran
Sumber : healthmad.com



2.2.Kanak-kanak Pendiam
Ini juga merupakan salah satu masalah yang dihadapi oleh kanak-kanak ketika di sekolah di mana mereka yang pendiam ini selalunya dilihat tidak suka bergaul dengan rakan-rakan atau menyertai apa-apa aktiviti yang dianjurkan di sekolah seperti sukan, persatuan atau sebagainya. Sikap mereka ini lambat laun akan memakan diri mereka sendiri seterusnya akan menyebabkan mereka tersisih dan ketinggalan jauh di belakang tidak kira sama ada dalam kokurikulum atau kurikulum.

Kanak-kanak yang pendiam di sekolah tidak semestinya pendiam di rumah. Mereka ini seolah-olah mempunyai dunia sendiri dalam erti kata lain mempunyai watak tersendiri semasa di sekolah dan berbeza ketika di rumah atau di kalangan  ahli keluarga yang lain. Justeru, sikap pendiam kanak-kanak terutamanya dengan orang asing yang luar daripada kelompok keluarganya sering memeningkan kepada ibu bapa terutama dalam memikirkan masalah yang bakal timbul apabila ke sekolah ataupun berinteraksi sosial.

Selain itu, kanak-kanak ini kerap tidak memberi maklum balas kepada pertanyaan yang diajukan sedangkan ia mengetahui jawapannya. Menjadi tanda tanya mengapa mereka bersikap sebegini apabila di sekolah.

Menurut teori Bronfenbrenner iaitu Mesosistem, sebarang perkara yang berlaku dalam satu mikrosistem dapat mempengaruhi interaksi dengan mikrosistem yang lain. Sebagai contoh, keadaan di rumah dapat mempengaruhi tingkah laku dan personaliti seseorang individu ketika berada di sekolah. Kanak-kanak yang mempunyai masalah di rumah akan membawa masalah tersebut ke sekolah seterusnya menjadi seorang yang pendiam. Hal ini akan menyebabkan emosi mereka terganggu dan implikasinya ialah masalah tersebut akan menjejaskan pelajaran dan prestasi mereka di sekolah.

Gambar : Kanak-kanak Yang Pendiam
Sumber : medicmagic.net


2.3.Kanak-kanak Yang Menipu
Dewasa ini, sikap menipu wujud di kalangan kanak-kanak dan menjadi semakin menjadi-jadi terutamanya di sekolah apabila mereka bertemu dengan rakan. Sikap ini merupakan sikap negatif yang tidak patut ada dalam diri setiap kanak-kanak yang sedang meningkat remaja.

Tipu merujuk kepada perbuatan curang atau kata-kata dusta untuk menyesatkan orang, kecoh, muslihat. Menipu pula adalah membuat kenyataan palsu dengan niat supaya fakta asal tidak diketahui.

Menipu bukan sahaja dilakukan oleh orang dewasa malah kanak-kanak juga tidak lari dari sering menipu sama ada secara sedar atau tidak. Secara amnya, kanak-kanak menipu kerana ingin menyelamatkan diri, ingin nampak lebih baik di kalangan rakan-rakan sekelas atau sebaliknya dan untuk mendapat sesuatu yang mereka  inginkan.

Sebagai contoh, kanak-kanak menipu gurunya dengan menyatakan bahawa mereka tidak dapat menyiapkan kerja sekolah yang diberikan dengan alasan bahawa mereka tidak sihat. Sebaliknya, mereka telah menghabiskan masa di rumah dengan menonton televisyen sehingga gagal menyiapkan kerja yang diberikan guru. Bagi mereka, alasan seperti ini dapat membantu mereka melepaskan diri dari menerima hukuman. . Ini merupakan  sikap yang tidak baik dan harus diatasi semasa mereka masih kecil lagi. Bak kata pepatah, melentur buluh biar dari rebungnya.

Kanak-kanak yang menipu juga secara tidak langsung lama-kelamaan mereka akan dipulaukan oleh rakan mereka sendiri. Walaupun hal ini nampak remeh bagi sesetengah masyarakat yang berpendapat kanak-kanak yang menipu ini merupakan perkara biasa tetapi jika dibiarkan sikap ini akan terikut-ikut sehingga mereka meningkat dewasa seterusnya sikap ini akan diwarisi kepada anak-anak mereka kelak.

Gambar : Menegur Sikap Anak
Sumber : muslimdaily.net


2.4.Kanak-kanak Yang Hiperaktif
Hiperaktif atau Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) boleh digambarkan sebagai keadaan fizikal di mana seorang kanak-kanak yang luar biasa aktif. Hyper istilah basahan yang digunakan untuk menggambarkan kanak-kanak yang dalam keadaan hiperaktif. Kira-kira 9% daripada kanak-kanak mempunyai ADHD. Ini bermakna daripada 100 kanak-kanak, kira-kira 9 mungkin mempunyai ADHD. Jadi, jika sekolah anda mempunyai 300 kanak-kanak, 24-30 daripada mereka mungkin mempunyai ADHD. Kanak-kanak lelaki mempunyai ADHD lebih kerap daripada perempuan.

Ketika di sekolah, kanak-kanak hiperaktif ini sangat aktif dari segi fizikal dan mental berbanding rakan-rakan lain. Ingatan mereka kuat tetapi kelemahan mereka adalah cepat bosan dan kurang memberi fokus kepada sesuatu perkara yang mana akan menjejaskan ingatan jangka panjang mereka. Mereka ini juga selalunya bersifat impulsif dan sering mengganggu pembelajaran di kelas atau menyatakan sesuatu tanpa berfikir.

Kadang kala, kanak-kanak hiperaktif ini dikatakan cenderung untuk menarik perhatian guru. Ini kerana kemungkinan perhatian yang diberikan guru kepada mereka tidak seperti yang diinginkan. Kanak-kanak hiperaktif juga suka berkawan. Mereka cepat bosan sekiranya tiada kawan untuk berkomunikasi dan bermain. Selain itu, mereka ini lebih pintar dan lebih kreatif berbanding rakan-rakan seusianya serta bersifat berani.

Kebanyakan kajian menunjukkan ada kaitan antara gula dan hiperaktif. Menurut Dr. Jennifer Greenfield dari Pusat Kesihatan kiropraktik, makanan tambahan dan warna yang ditambah dengan pemanis tiruan akan membuat kanak-kanak ini  terlalu aktif sistem sarafnya. Mereka lebih teruja dan bertenaga selepas mereka makan terlalu banyak makanan bergula dan minum terlalu banyak minuman bergula seperti kek, coklat, gula-gula dan minuman ringan. Selain itu, makanan pedas juga dikatakan boleh menyebabkan mereka bertindak lebih aktif. Disamping itu, makanan yang mempunyai kalsium dan magnesium, seperti sayur-sayuran, kacang dan benih, boleh menenangkan mereka.

Gambar : Kepelbagaian Makanan Manis
Sumber : listsoplenty.com




3.FAKTOR-FAKTOR PENYEBAB
3.1.Latar Belakang Kanak-kanak
Salah satu faktor penyebab berlakunya masalah tingkah laku sosial kanak-kanak di sekolah seperti yang dikupas di atas ialah latar belakang murid itu sendiri. Hal ini mungkin kerana melibatkan pertalian antara ahli keluarga terdekat seperti penceraian ibu bapa. Penceraian memang banyak memberi kesan kepada kanak-kanak terutamanya. Mengikut bancian Malaysian Family Life Survey tahun 1984, didapati hampir tujuh peratus  pasangan suami isteri bercerai. Kadar perceraian meningkat di kalangan pasangan yang telah lama mendirikan rumahtangga.

Banyak kajian menunjukkan bahawa masalah tingkah laku dan gangguan emosi sering dialami oleh kanak-kanak apabila berlaku perceraian dikalangan ibu bapa mereka. Corak tingkah laku berbeza di antara kanak-kanak dan ia berhubung kait dengan perkara-perkara seperti usia dan jantina. Kanak-kanak yang terganggu emosinya akan bertindak di luar kawalan dan akan terbawa-bawa tingkah laku tersebut ke sekolah di mana mereka merasa lebih tenang  dengan menimbulkan pelbagai masalah di sekolah. Ini menunjukkan seolah-olah mereka ingin memberi tahu sesuatu dengan cara mereka sendiri.

Seterusnya ialah menghidapi penyakit yang kronik menjadi penyebab mengapa seorang kanak-kanak itu bersikap pendiam atau kurang memberi tumpuan ketika di kelas. Sebagai guru, kita kadang-kadang terlepas pandang hal yang dianggap remah seperti kesihatan kanak-kanak ini. Kemungkinan sikap dan masalah disiplin yang ditunjukkan di sekolah hanyalah semata-mata ingin mendapatkan perhatian yang sepatunya mereka dapat.

Selain itu, kematian ahli keluarga yang terdekat juga merupakan salah satu dari faktor latar belakang kanak-kanak terbabit. Kesedihan yang tidak dapat dibendung juga dikatakan akan memberi kesan mengapa mereka bertindak sedemikian. Keadaan ekonomi keluarga juga boleh dikaitkan dalam situasi.


Gambar : Kes Penceraian
Sumber : harrysbernsteinlaw.com






3.2.Guru
Faktor seterusnya datang dari guru itu sendiri. Ada kalanya, kita sebagai guru sama ada sedar atau tidak kita telah menyebabkan kanak-kanak hilang minat untuk belajar semasa proses pembelajaran berlangsung. Hal ini kerana penyampaian kandungan pembelajaran guru yang tidak jelas juga akan menyebabkan kanak-kanak yang menghadapi masalah disiplin di sekolah akan berasa cepat bosan dan mengantuk. Ini secara tidak langsung akan menyebabkan mereka tidak memberi tumpuan semasa di kelas dan bertindak mengganggu rakan-rakan lain yang sedang belajar atau hiperaktif.

Penyediaan bahan pembelajaran yang tidak relevan juga menjadi punca mengapa sikap kanak-kanak ini berubah.  Sebagai guru, kita perlu berfikir dan bertindak secara positif dengan menyediakan bahan-bahan atau rujukan yang memenuhi tahap dan kateria kanak-kanak mengikut peringkat umur mereka. Penyediaan bahan pembelajaran yang tidak relevan juga membuatkan kanak-kanak ini lama-kelamaan akan terus hilang minat dan jika tidak dibendung atau mengambil langkah yang positif, mereka akan terus terbawa-bawa sehingga meningkat remaja seterusnya menanamkan di minda bahawa pelajaran itu tidak penting. Dan inilah yang harus kita sebagai  guru terutamanya berasa bimbang dan hendaklah mengambil inisiatif yang betul bagi membendung faktor-faktor sedemiakian dari terus menguasai minda kanak-kanak sebelum mereka meningkat remaja kelak.

Berdasarkan dapatan kajian yang diperolehi mendapati kanak-kanak yang terlibat dalam masalah sosial adalah disebabkan sikap guru yang selalu memberi perhatian yang lebih kepada kanak-kanak yang lebih pandai. Penyelidik berpendapat bahawa guru beranggapan bahawa kanak-kanak yang bermasalah akan menimbulkan kesukaran kepada mereka untuk memberikan ilmu kerana guru merasakan kanak-kanak yang bermasalah ini tidak mempunyai kemahiran dan tahap penerimaan sesuatu pengajaran adalah rendah. Menurut Zainal dan Sharani (2006) yang menyatakan kebanyakan kanak-kanak pandai diberi peluang mengetuai aktiviti sekolah berbanding kanak-kanak yang  kurang pandai kerana mereka lebih banyak dikaitkan dengan masalah disiplin. Selain itu, guru-guru juga dikatakan kurang memahami sikap kanak-kanak yang bermasalah.

Gambar : Guru Sebagai Pendorong
Sumber : matosas.typepad.com

3.3.Keadaan Sekolah
Faktor terakhir yang menyebabkan berlakunya masalah sosial di kalangan kanak-kanak di sekolah ialah keadaan sekolah itu sendiri. Peraturan sekolah yang terlalu ketat juga akan membuatkan jiwa kanak-kanak ini rasa terkongkong dan tertekan. Kementerian Pendidikan mendapati punca kanak-kanak yang  tidak berdisiplin adalah disebabkan oleh keadaan sekolah yang tidak memberangsangkan. Peraturan sekolah yang ketat akan mendorong pelajar tidak suka untuk ke sekolah dan seterusnya boleh mengakibatkan gejala-gejala yang tidak sihat seperti yang dihuraikan di atas. Apabila keadaan ini berlaku tidak mustahil mereka akan melakukan tindakan-tindakan yang berunsur negatif.

Menurut Teori Ekologi Bronfenbrenner (1979,1989) menjelaskan bahawa perkembangan kanak-kanak adalah sebagai hasil interaksi antara alam persekitaran dengan kanak-kanak tersebut. Dalam konteks ini, interaksi antara kanak-kanak dengan persekitaran kanak-kanak itu dipercayai boleh mempengaruhi proses pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak. Sebab itulah, keadaan sekolah memainkan peranan yang penting untuk membentuk disiplin kanak-kanak ini supaya mereka merasakan sekolah merupakan tempat yang paling selamat dan selesa untuk belajar.

Gambar : Ruang Kelas Yang Selesa
Sumber : designshare.com


4.CARA MENANGANINYA
4.1.Main Peranan
Ibu bapa dan guru terutamanya perlulah memainkan peranan penting mengesan tingkah laku yang berbeza yang ada pada setiap kanak-kanak yang lain dari kebiasaannya. Cara ini mungkin berkesan sebagai langkah awal pencegahan dari berlakunya masalah sosial yang terjadi kepada kanak-kanak di sekolah supaya sikap sedemikian tidak akan menjejaskan prestasi kanak-kanak terbabit ketika sesi pembelajaran di sekolah. Di rumah khususnya, ibu bapa hendakalah bertanyakan akan masalah jika dihadapi oleh kanak-kanak ini. Mereka selalunya akan senyap dan diam di rumah dan berlakon seperti tiada apa-apa yang berlaku di sekolah padahal mereka terlibat dengan masalah dengan rakan-rakan, dibuli, menimbulkan pelbagai masalah di sekolah dan lain-lain.

Selain itu, para guru perlulah bertanggungjawab serta peka menghubungi untuk berbincang dan berjumpa dengan ibu bapa kanak-kanak yang bermasalah ini bagi mengetahui punca-punca terjadinya sikap sedemikian. Dengan ini, kedua-dua pihak iaitu ibu bapa dan guru akan lebih memahami akan sebenarnya yang berlaku kepada kanak-kanak tersebut secara tidak langsung dapat menjalinkan hubungan yang erat antara ibu bapa dan guru dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi kanak-kanak.

Gambar : Perjumpaan Ibu Bapa Dan Guru
Sumber : parentingwithouttears.com



4.2.Bermain Sambil Belajar
Ini merupakan salah satu cara dan teknik untuk menarik minat kanak-kanak untuk belajar dan memberi tumpuan ketika di kelas. Bermain adalah satu teknik mengajar yang memberi peluang kepada kanak-kanak melakukan aktiviti santai di bawah keadaan terkawal. Peranan guru dalam menyelesaikan hal ini ialah dengan mengadakan kuiz untuk sesuatu subjek dan secara tidak langsung ini dilihat sebagai suatu permainan dalaman yang menguji minda kanak-kanak untuk berfikir selain keseronokkan ketika sesi pembelajaran. Cara ini dikatakan berkesan kerana kanak-kanak akan mencari pengetahuan dengan kaedah permainan.

Terdapat pelbagai pendekatan teknik yang boleh digunakan oleh guru semasa sesi pengajaran dan pembelajaran. Guru juga bebas memilih teknik yang hendak digunakan kerana tiada satu pendekatan, kaedah serta teknik yang spesifik semasa sesi pengajaran dan pembelajaran ini. Pemilihan ini mestilah secara kreatif agar kanak-kanak memperoleh pengalaman yang berguna.

Gambar : Bermain Sambil Belajar
Sumber : colourbox.com



4.3.Pilih Strategi Yang Sesuai
Guru-guru perlu bijak merancang strategi yang sesuai untuk kanak-kanak yang menghadapi masalah disiplin. Ini juga merupakan salah satu cara menangani permasalahan tersebut. Kanak-kanak selalunya cepat bosan. Justeru, strategi yang sesuai akan membuatkan mereka lebih tertarik untuk memberi perhatian sepenuhnya ketika sesi pembelajaran berlangsung. Menurut Barber dan Holdbart (1998), strategi yang sesuai dan penilaian yang berbeza diperlukan dalam mengajar kanak-kanak dalam menentukan keberkesanan pengajaran.  Sebagai seorang guru, kita perlu meneliti pendekatan pengajaran yang sesuai sebelum mengajar kanak-kanak ini. Dan menjadi satu cabaran yang terbesar bagi setiap guru.


Memang tidak dinafikan bahawa kanak-kanak ini sebenarnya berkebolehan tinggi dalam setiap aktiviti yang mereka minati. Oleh demikian, keberkesanan seorang guru dapat dilihat apabila objektif pembelajaran yang dijalankan tercapai dan corak pengajaran serta strategi yang sesuai mampu menarik dan mengekalkan minat kanak-kanak terhadap pembelajaran. Guru perlu sentiasa efektif dalam menyediakan perancangan pengajaran agar memberi faedah kepada kanak-kanak dengan berkesan.

Gambar : Kejayaan Seorang Guru
Sumber : mrsherbic.com

Sementara itu, mengaplikasikan strategi baru secara sistematik iaitu teknik bermain sambil belajar dan pilih strategi yang sesuai juga dapat membantu kanak-kanak dan  bukan hanya mengharapkan balasan dari mereka sahaja. Kejayaan yang mereka kecapi sudah cukup untuk menggembirakan kita sebagai guru. Dengan ini, faktor-faktor penyebab masalah ini dapat di atasi sepenuhnya. Memang bukan mudah mengecapi sekaligus tetapi tidak salah jika kita sebagai guru yang bertanggungjawab berusaha ke arah kebaikan kanak-kanak ini.


5.KESIMPULAN
Walau apa pun masalah yang dihadapi oleh kanak-kanak ketika di sekolah sama ada ianya datang dari latar belakang kanak-kanak itu sendiri, guru atau keadaan sekolah jika kita semua sepakat menanganinya baik dari ibu bapa dan guru nescaya masalah sosial kanak-kanak dapat dikurangkan seterusnya diatasi di semua peringkat.


Semua orang tahu bahawa pendidikan merupakan satu wadah penting dalam menjana anjakan paradigma dalam setiap individu dan ia juga memainkan peranan penting dalam melahirkan insan deduktif yang dinamik dalam semua aspek kehidupan. Dan secara umumnya, pendidikan selalu dikaitkan dengan proses pengajaran dan pembelajaran sesuatu kemahiran, penyampaian ilmu dan juga penerapan nilai. Dalam bentuknya yang praktikal, hasil pendidikan seharusnya dapat melahirkan insan yang mampu mengaplikasi ilmu yang dipelajari dan memanfaatkan kemahiran yang dimiliki dalam kehidupan seharian.


Dalam konteks kanak-kanak seperti yang dibincangkan, pendidikan perlu dilihat sebagai satu proses yang berterusan berkembang serentak dengan perkembangan individu seorang kanak-kanak yang mempelajari apa sahaja yang ada di persekitaran dan dengan ‘ilmu’ atau kemahiran yang diperolehi ia akan mengaplikasikannya dalam konteks yang pelbagai sama ada dalam kehidupan sehariannya di ketika itu ataupun sebagai persediaan untuk kehidupannya di masa yang akan datang.
Dalam erti kata lain, segala apa yang dilihat dan didengari oleh seorang kanak-kanak dari persekitarannya adalah merupakan satu pendidikan baginya kerana yang nyata bagi kanak-kanak di peringkat awal umur, mereka tidak dapat membezakan yang baik dan yang buruk. Mengikut teori Ekologi Bronfenbrenner (1979,1989), menjelaskan bahawa perkembangan kanak-kanak merangkumi lima jenis sistem ekologi iaitu mikrosistem, mesosistem, ekosistem, makrosistem, dan kronosistem. Menurut Bronfenbrenner, kelima-lima sistem ekologi ini adalah mempengaruhi perkembangan kanak-kanak.
Apa pun alasan yang diberikan, kitalah sebagai ibu bapa dan guru yang bertanggungjawab mencorak kehidupan kanak-kanak dalam mengharungi arus pembangunan yang semakin maju terutamanya dalam pendidikan di sekolah. Walaupun masalah datang dari keluarga sendiri ia tidak menjadi batu penghalang kepada kanak-kanak untuk memperolehi pembelajaran yang berkesan di sekolah tanpa wujud masalah disiplin yang menjadi kebimbangan semua pihak dewasa ini.



2905 Perkataan



APENDIKS

6.RUJUKAN / REFERENSI

Definition of the Child. (n.d.). [Online].
            [2012, May 8].

What is child development? (n.d.). [Online].
            Available : http://www.howkidsdevelop.com/developSkills.html. [2012, May 18].

Perkembangan Sosial  Kanak-kanak. (2007). [Online].
            Available : http://perkembangan.blogspot.com/2007/02/perkembangan
-sosial-kanak-kanak.html. [2012, May 18]. 

Awasi Tingkah Laku Dan Pergaulan Kanak-Kanak. (n.d.). [Online].
            Available : http://wwwsekilaspandang.blogspot.com/2008/10/

Anak Perempuan Boleh Bertutur Lebih Awal. (n.d.). [Online].
            [2012, May 19].

Bendung Sikap Anak Suka Menipu. (n.d.). [Online].
            Available : http://mylovely-fieda.blogspot.com/2011/12/bendung

Bullies At School (and at Work). (n.d.). [Online].
            Available : http://malebrainatwork.blogspot.com/2009/11/bullies-
at-school-and-at-work.html. [2012, May 20].

Anak Suka Menipu: Cara Penyelesaiannya. (2011). [Online].
            Available : http://cenohot.blogspot.com/2011/04/anak-suka-menipu-
cara-penyelesaiannya.html. [2012, May 20]. 

Menghadapai Kanak-kanak Bermasalah Pembelajaran. (n.d.). [Online].
            Available : http://pts.com.my/modules.php?name=News&file=print&sid=4.
            [2012, May 20].

Psikologi & Perkembangan Kanak-Kanak Masalah Pembelajaran. (2010). [Online].
            Available : http://ccsgkasai.blogspot.com/2010/01/psikologi-

Menangani Masalah Tingkahlaku Kanak-Kanak Merasa Terasing. (2012). [Online].
            Available : http://bustamkamri.blogspot.com/2012/03/menangani-

Signs And Symptoms Of Attention Deficit Disorder In Kids. (n.d.). [Online].
            [2012, May 20]. 

Teori Perkembangan Sosial Erik Erikson. (2009). [Online].
            Available : http://pelangipetang89.blogspot.com/2009/08/teori-

Pelajar Lemah Kerana Tidak Tumpu Kepada Pengajaran Guru Dalam Kelas. (n.d.) 
            [Online]. Available : http://nklpunya.blogspot.com/2010/05/pelajar-lemah-

Pendidikan Kanak-Kanak Penting Untuk Pembangunan Modal Insan. (n.d.).

Teori Pembangunan Kanak-kanak. (2011). [Online].
            Available : http://repo.uum.edu.my/2999/. [2012, May 20].

Childhood Depression: Know the Signs. (n.d.). [Online].
            Available : http://www.managedmoms.com/2011/09/childhood-
depression-know-the-signs/. [2012, May 20].

Pembangunan Harus Bermula Dengan Pendidikan Awal Kanak-Kanak. (n.d.) [Online].
            Available : http://1malaysia.com.my/zh/news_archive/
[2012, May 20].

Sejarah Pendidikan Di Malaysia. (n.d.). [Online].
html. [2012, May 20].

Mohd. Ali, S. H. (1986). Peranan Ibu Bapa Dalam Membanteras Keruntuhan Akhlak,
 Perkosaan Wanita, Penganiayaan Kanak-kanak Dan Penyalahgunaan Dadah.
[Online]. Available : http://www.pmo.gov.my/ucapan/?m=p&p=
sitihasmah&id=1913. [2012, May 20].

Saxena, A.K. (n.d.). Rising Suicides Among School Children Because Of 
Pressure Is Worrisome. [Online]. Available : http://aks-blog.com/2011/06/08/

McGinnis, T.B. (2009). Calming foods for hyperactive kids :
[2012, May 20].

1 comment:

  1. hi..baru submit asgnmnt sbjk ni smlm.now nak prepare utk exam. Good luck!

    ReplyDelete