PENGENALAN
Dewasa ini, pendidikan memainkan peranan penting
di mana penguasaan ilmu dalam pelbagai bidang perlu diberikan perhatian utama. Hal
ini kerana, tuntutan zaman telah membuktikan bahawa pendidikan dan ilmu akan
menjamin kejayaan seseorang itu jika digunakan secara bijaksana. Oleh itu, setiap
individu hendaklah berusaha untuk mencari seberapa banyak ilmu yang mungkin
untuk kesejahteraan hidup. Justeru, setiap individu khususnya para remaja
hendaklah menggunakan masa muda mereka ini untuk mencari ilmu sebanyak yang
mungkin.
Dalam erti kata lain, pendidikan dapat
mengembangkan potensi individu ke arah membina akhlak, budi pekerti dan
keperibadian mulia serta keimanan manusia. Pendidikan juga dapat membangunkan
aspek sosial seseorang iaitu sumbangan kepada keluarga, masyarakat dan negara.
Malah, jika seseorang
itu menguasai ilmu, pasti akan lahir sebuah generasi yang hebat dan mampu
bersaing diperingkat global. Generasi seperti ini mampu untuk memajukan diri
dan negaranya sendiri. Ilmu pengetahuan yang tinggi akan memberi kelebihan
kepada tenaga mahir dalam menyumbang idea-idea bernas dalam penciptaan mereka.
PENGERTIAN PENDIDIKAN DAN PERBEZAAN DENGAN PENDIDIKAN ISLAM
Pendidikan ialah suatu usaha sistematik yang
disengajakan dan dibuat oleh sesuatu masyarakat untuk menyampaikan ilmu
pengetahuan, nilai, sikap dan kemahiran kepada ahlinya, usaha untuk memperkembangkan
potensi individu dan perubahan yang berlaku dalam diri manusia. Dalam erti kata
lain, pendidikan merangkumi proses pengajaran dan pembelajaran kepakaran khusus
dan juga sesuatu yang tidak dapat dilihat tetapi lebih mendalam dari segi
pemberian pengetahuan, pertimbangan dan kebijaksanaan.
Pendidikan adalah segala daya upaya untuk
memajukan budi pekerti, pikiran serta jasmani anak agar dapat memajukan kesempurnaan
hidup iaitu hidup dan menghidupkan anak yang selaras dengan alam dan
masyarakatnya. Swift D.F didalam bukunya yang berjudul “ Sociology of Education” menghuraikan pendapat-pendapat yang
dikemukakan oleh beberapa orang sarjana dan ilmuan dari Barat berkenaan dengan
pendidikan. Antaranya ialah Plato yang
berpendapat bahawa pendidikan ialah suatu proses untuk membentuk individu yang
berakhlak mulia. Beliau menyokong pendapat Socrates bahawa tujuan pendidikan
ialah memberi latihan moral kewarganaegaraan yang baik. Menurut Aristotle pula, pendidikan ialah ilmu
yang bersifat etikal dan politikal. Tujuan
pendidikan ialah memberikan setiap manusia peluang untuk mencapai kebahagiaan
hidup.
Berdasarkan beberapa pendapat di atas, jelas bahawa
pendidikan merupakan sebuah proses pendewasaan bagi setiap manusia agar lebih
berguna serta bertanggungjawab atas dirinya sendiri dan orang lain serta
sebagai suatu alat untuk menyiapkan para generasi dalam menghadapi tentangan
global secara sihat. Namun, berbeza pula jika dibandingan dengan pendidikan
islam.
Sebagai seorang yang beragama islam, apa yang saya
tahu dan pelajari bahawa Islam meletakkan pendidikan di kedudukan yang paling
penting. Ia merupakan satu ibadat yang besar. Kepentingan pendidikan ditekankan
melalui wahyu yang pertama diturunkan oleh Allah SWT dalam surah Al-Alaq (Ayat
1–5) Firman Allah yang bermaksud; “Bacalah
(wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang mencipta (sekalian makhluk). Dia
menciptakan manusia daripada segumpal darah. Bacalah dan Tuhanmu Yang Maha
Mulia yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan.” Dalam ayat tersebut,
Allah SWT memerintahkan manusia agar belajar mengenal Tuhan, memahami fenomena
alam dan diri manusia. Islam menekankan pendidikan duniawi dan ukhrawi. Konsep
pendidikan bersepadu ini merupakan keistimewaan Islam. Ia berlawanan dengan
aliran pemikiran Barat yang memisahkan ilmu kepada dua bahagian yang disebut
sebagai teologi dan sains. Dalam Islam, ilmu teologi dan sains tidak boleh
dipisahkan kerana kedua-duanya saling mempunyai hubungan dari sudut tauhid dan
aqidah.
Dalam Islam juga, pendidikan merupakan satu
pelajaran atau pendidikan bagi kognitif, fizikal dan roh untuk melahirkan insan
yang berperikemanusiaan. Walau bagaimanapun, Islam tidaklah melihat pendidikan
dari skop yang sempit dan tidak pula terbatas kepada pendidikan duniawi
semata-mata bahkan meliputi dua lapangan iaitu di dunia dan akhirat. Dalam
konteks ini, Ibn Khaldun telah membahagikan ilmu kepada dua bahagian yang utama
iaitu ilmu fardhu ain dan ilmu fardhu kifayah. Sementara itu, menurut Prof. Dr.
Omar Mohammad At-Toumi Asy-Syaibany, pendidikan islam sebagai proses mengubah
tingkah laku individu pada kehidupan peribadi, masyarakat dan alam sekitarnya dengan
cara pengajaran sebagai suatu aktiviti asasi dan sebagai profesion di antara
profesion-profesion asasi dalam masyarakat.
FALSAFAH DAN MATLAMAT
PENDIDIKAN ISLAM
Falsafah
Falsafah dapat ditakrifkan sebagai satu usaha untuk mencari suatu
kebenaran atau keyakinan dengan suatu perkara dengan menggunakan kekuatan akal
fikiran. Menurut falsafah pendidikan Islam, pendidikan dan kurikulum terbaik
ialah berteraskan wahyu dan tauhid. Al-Syaibani menjelaskan bahawa falsafah
pendidikan Islam ialah falsafah yang menerangkan dengan hikmah untuk menjadikan
proses dan usaha pendidikan bagi satu bangsa. Pendidikan juga berperanan untuk
menyediakan generasi muda dan masyarakat supaya beriman kepada Allah dan kepada
apa yang diwahyukan oleh Nya.
Islam menyediakan falsafah yang jelas dan komprehensif dalam kehidupan
termasuklah dalam bidang pendidikan. Gagasan pemikiran falsafah dalam Islam
sekaligus membentuk ‘world view’ dan
seterusnya memberi panduan membina visi dan misi pendidikan masyarakat Islam.
Keutuhan dan keunikan pemikiran falsafah Islam ini semestinya kerana sumber
rujukan yang menjadi asas pegangan dan panduan iaitu kitab al-quran dan sunnah
Rasulullah SAW. Persoalan utama falsafah Islam iaitu Tuhan, insan dan alam
dibincangkan dan dijelaskan dengan begitu terperinci dan lengkap agar kehidupan
muslim tidak berpisah-pisah bagi mencapai kejayaan hidup di dunia dan
kebahagian di akhirat.
Jadi, falsafah merupakan satu usaha untuk mencari kebenaran dan
kebenaran itu sebenarnya hanya Allah SWT. Kalau kita mencari erti hakikat kehidupan
maka ini merupakan falsafah. Hakikat kehidupan yang sebenar hanya Allah SWT sahaja yang mengetahuinya. Yang kita tahu
berdasarkan apa yang diberitahu oleh Allah SWT, maka itulah yang benar dan
mutlak. Yang kita fikirkan sendiri dan tidak bersandarkan kepada kitab Allah SWT
, maka ianya tidaklah benar, tidak mutlak dan bersifat relatif. Sebab itu
timbulnya pelbagai falsafah hasil dari pemikiran manusia seperti Liberalisme,
Idealisme, Asetisme, Eksistensialime, Hedonisme, Kapitalisme, Kommunisme dan
banyak lagi.
Selain itu, menyebarkan pengalaman dan kebudayaan manusia daripada
satu generasi ke generasi yang lain adalah salah satu tujuan falsafah
pendidikan Islam. Dalam Islam, penyebaran pengalaman ini terbahagi kepada dua
iaitu pengalaman dalam bentuk kemahiran serta pengetahuan teknikal yang
sentiasa berubah–ubah setiap masa dan pengalaman berasaskan nilai–nilai yang
terdapat dalam al-quran dan hadis. Bidang pendidikan Islam pula sangat luas
kerana pendidikan Islam terbahagi kepada tujuh cabang utama iaitu Al-Imaniyah,
Al-Khuluqiyah, Al-Jismiyah, Al-Aqiliyah, Al-Nafsiyah, Al-Ijlimaiyah dan
Al-Jinisiyah.
Matlamat
Matlamat pendidikan Islam menurut pandangan Imam Abu Hamid
al-Ghazali menyatakan bahawa matlamat pendidikan Islam itu adalah Bertaqarrub
iaitu mendekatkan diri kepada Allah SWT tanpa niat untuk bermegah-megah atau
berlumba-lumba. Sementara menurut Ibn Khaldun pula (1332–1406M), dalam kitabnya
Al-Muqaddimah mengatakan pendidikan Islam mengarah kepada dua tujuan iaitu
tujuan keagamaan dan tujuan ilmiah.
Sementara itu, menurut pandangan lain dari Al-Qabisi telah
menyatakan matlamat yang paling utama ialah menyemai jiwa agama ke dalam
sanubari kemudiannya membentuk tingkahlaku yang berakhlak. Beliau juga berpendapat
bahawa tiada ertinya pendidikan itu jika tidak bertunjangkan kepada Al-Quran.
Al-Quran adalah asas pendidikan sebelum menguasai ilmu-ilmu lain kerana
pengajian al-Quran akan kekal dimiliki berbanding dengan ilmu-ilmu yang lain yang
boleh hilang.
INSTITUSI-INSTITUSI
PENDIDIKAN AWAL ISLAM
Institusi-institusi pendidikan awal Islam telah lama wujud selaras
dengan perkembangan agama Islam lagi dan ditubuhkan sejak dari zaman Rasulullah
SAW seperti Dar Al–Arqam, Masjid, Al Suffah, Al- Kuttab, Dur Al-Hikmah, rumah-rumah
Ulamak dan Istana Khalifah, Madrasah dan perpustakaan dihuraikan seperti
dibawah.
Dar Al–Arqam
Rumah merupakan tempat pendidikan awal yang diperkenalkan ketika
Islam mula berkembang di Mekah. Rasulullah SAW menggunakan rumah Arqam bin Abi
Al–Arqam sebagai tempat pertemuan dan pengajaran agama baru kepada para sahabat.
Bilangan kaum Muslim yang hadir pada peringkat awal adalah terlalu kecil tetapi
semakin bertambah sehingga menjadi 38 orang yang terdiri daripada golongan
bangsawan Quraisy, pedagang dan hamba. Sementara itu, di Dar Al-Arqam juga,
Rasulullah SAW mengajar wahyu yang telah diterima baginda kepada kaum Muslim.
Baginda juga membimbing mereka dalam menghafal, menghayati dan mengamalkan
ayat-ayat suci Al-Quran yang diturunkan kepada baginda.
Masjid
Fungsi masjid selain tempat ibadat ialah sebagai tempat penyebaran
dakwah dan ilmu Islam. Selepas berhijrah ke Madinah, pendidikan Islam mula
berpusat di masjid-masjid. Masjid Quba’ merupakan masjid pertama yang dijadikan
Rasulullah SAW sebagai institusi pendidikan. Di dalam masjid, baginda mengajar
dan memberi khutbah dalam bentuk halaqah di mana para sahabat duduk
mengelilingi baginda untuk mendengar dan bersoal jawab berkaitan urusan agama
dan kehidupan sehari-harian.
Semakin luas wilayah-wilayah yang ditakluk Islam, semakin meningkat
bilangan masjid yang didirikan. Sebab itulah perkara pertama yang dilakukan
oleh Rasulullah SAW ketika sampai ke Madinah ialah mendirikan masjid kerana
melaluinya dapat menyatupadukan perpecahan kaum dan sebagainya. Antara masjid
yang dijadikan pusat penyebaran ilmu dan pengetahuan ialah Masjid Nabawi,
Masjidil Haram, Masjid Kufah, Masjid Basrah dan banyak lagi.
Pembelajaran yang dijalankan di masjid ketika itu merangkumi ilmu-ilmu
agama seperti Tafsir, Hadith dan mempelajari Al-Quran dan seterusnya berkembang
kepada mempelajari cabang-cabang ilmu Islam yang lain seperti Ilmu Kalam, Fiqh,
Falsafah dan lain-lain.
Al-Suffah
Al-Suffah merupakan tempat untuk memberikan perkhidmatan kepada
masyarakat seperti memberi perlindungan kepada orang-orang fakir dan perantau.
Antara para sahabat yang pernah berlindung dalam Al-Suffah ialah Abu Hurairah
Radiallahu Anhu.
Al-Suffah boleh dilihat sebagai sebuah sekolah kerana kegiatan
pengajaran dan pembelajaran dilakukan secara sistematik dan teratur contohnya
masjid Nabawi yang mempunyai Al-Suffah yang digunakan untuk majlis ilmu.
Pembelajaran di Al-Suffah bukan setakat mempelajari Al-Quran pada waktu malam
sahaja tetapi kebanyakan daripada mereka juga mempelajari cara menulis dan
ilmu-ilmu yang lain pada sebelah siang.
Rasulullah SAW telah melantik para sahabat yang berkebolehan untuk
menjadi guru. Di samping itu, baginda juga memerintahkan orang-orang tawanan
Badar yang pandai menulis dan membaca supaya setiap seorang dari mereka boleh mengajar
sepuluh orang kanak-kanak muslim di Madinah sehingga pandai bagi menebus diri
mereka dari menjadi tawanan perang.
Al- Kuttab
Ditubuhkan oleh orang Arab sebelum kedatangan Islam lagi bertujuan
untuk memberikan pendidikan asas kepada kanak-kanak di peringkat rendah seperti
membaca dan menulis. Kuttab merupakan ruang yang dibina berhampiran dengan
masjid dan keluasannya semakin bertambah mengikut kepadatan murid-muridnya.
Objektif utama pendidikan al-Kuttab ialah menghafal Al-Quran, Nahu
dan Ilmu Hisab. Peringkat pembelajaran di al-Kuttab merupakan peringkat asas
bagi seseorang kanak-kanak pada ketika itu sehinggalah mereka dewasa dan
meneruskan pembelajarannya di masjid. Antara Kuttab yang terbesar ialah Kuttab Abil
Qasim Al-Balkhi di Baghdad.
Dur Al-Hikmah
Pada zaman kegemilangan Abbasiah, orang-orang
Islam telah pun bercampur gaul dengan pelbagai bangsa dan kebanyakan mereka
terpengaruh dengan kemajuan dan budaya yang di bawa oleh bangsa tersebut. Oleh
yang demikian, ulamak-ulamak Islam semakin berkembang pemikiran dan peradaban
mereka dan bersaing untuk mempelajari ilmu-ilmu yang baru daripada mereka serta
banyak membuat terjemahan buku dari bahasa asing ke bahasa Arab khususnya
falsafah Greek.
Mereka juga berlumba-lumba mengumpulkan hasil
tulisan mereka di Darul Al-Hikmah untuk menjadi rujukan dan bahan kajian orang
ramai. Tempat ini juga menjadi tempat rujukan ulamak-ulamak dan orang yang
menuntut ilmu. Antara Dur Al-Hikmah yang terkenal ialah Bait Al-Hikmah di
Baghdad yang di asaskan oleh Khalifah Harun Al-Rasyid.
Rumah-rumah Ulamak Dan Istana Khalifah
Dalam pada itu, penyebaran ilmu pada zaman Abbasiah
berlaku begitu pesat sehingga orang ramai boleh datang sendiri ke rumah-rumah
ulamak untuk menuntut ilmu secara langsung dari mereka. Contohnya Ibnu Sina dan
Iman Ghazali yang buka rumah mereka untuk orang ramai. Semasa zaman awal islam
juga, rumah-rumah ulamak dan istana pembesar-pembesar adalah tempat
berkumpulnya para ulamak dalam persidangan ilmu untuk berbincang, berdebat
serta menyelesaikan pelbagai masalah ilmiah.
Madrasah
Madrasah Baihaqiyah merupakan madrasah yang
pertama didirikan oleh penduduk Naisabur iaitu pada kurun ke-5 hijrah. Ia mula
didirikan sebagai menggantikan masjid-masjid yang pada ketika itu tidak lagi
dapat menampung keperluan pendidikan dari segi ruang dan kelengkapan
pembelajaran.
Perpustakaan
Perpustakaan secara umum boleh dibahagikan kepada
tiga iaitu perpustakaan umum, perpustakaan semi umum dan perpustakaan khusus. Perpustakaan
umum ialah perpustakaan yang didirikan untuk kegunaan orang ramai. Perpustakaan
umum pertama didirikan oleh Khalifah Harun al-Rasyidin di Kota Baghdad dan dikenali
sebagai Baitul Hikmah. Perpustakaan Semi Umum pula tidak dibuka kepada orang
ramai tetapi hanya terbuka kepada golongan-golongan tertentu sahaja yang
mempunyai kedudukan tinggi.
Manakala perpustakaan khusus merupakan
perpustakaan persendirian yang tidak membenarkan sesiapa pun menggunakan
perpustakaan ini melainkan empunya perpustakaan.
KAEDAH PENDIDIKAN TERHADAP ANAK-ANAK MENURUT PERSPEKTIF ISLAM DAN SARANAN
MENYUBURKAN ELEMEN PENDIDIKAN DALAM KEHIDUPAN
Kaedah pendidikan
Menurut perspektif Islam, pendidikan kanak-kanak
ialah proses mendidik, mengasuh dan melatih rohani dan jasmani mereka
berteraskan nilai-nilai baik yang bersumberkan Al-Quran, Hadis dan pendapat
serta pengalaman para ulamak. Ia bertujuan melahirkan yang beriman, bertakwa
dan beramal soleh. Ianya melibatkan beberapa peringkat bermula dari dalam
kandungan sehinggalah mereka lahir dan menjadi dewasa. Antaranya adalah seperti
yang dihuraikan dibawah.
Membentuk Dunia Kanak-kanak
Sebelum anak-anak dilahirkan, ibu bapa perlu menyediakan
tempat yang sesuai untuk membesarkan anak dengan sebaik-baiknya dan membentuk
suasana harmoni dan bercirikan keislaman dalam kehidupan rumahtangga terlebih
dahulu.
Ibu bapa perlu menghayati nilai-nilai keislaman
dalam kehidupan rumahtangganya supaya mudah untuk mendidik anak-anak dengan nilai-nilai
Islam. Sebaliknya, jika mereka gagal menerapkan nilai-nilai Islam dan mengekalkan
kerukunan rumah tangga maka agar sukar bagi mereka mentarbiyah anak-anak
mengikut acuan dan budaya kehidupan Islam.
Ketika Anak Dalam Kandungan
Proses pendidikan mula berlaku ketika bayi masih
berada dalam kandungan ibunya. Pendidikan pada peringkat ini lebih bercorak
kerohanian. Bagi ibu-ibu yang mengandung digalakkan supaya memperbanyak bacaan
Al-Quran terutama surah Yusuf, Mariam, Luqman dan At-Taubah. Faktor kesihatan
amat dititik beratkan oleh Islam sehingga ada
kelonggaran kepada ibu yang mengandung untuk
berbuka puasa sekiranya merasakan puasa itu menjejaskan kesihatan diri dan
anaknya.
Setelah Anak Dilahirkan
Hendaklah segera diazankan telinga kanan dan
diiqamatkan telinga kiri anak. Pada hari ketujuh kelahirannya, ibu bapa
disunatkan bersedekah dengan melakukan ibadah aqiqah untuk anak. Seekor kambing
bagi anak perempuan dan dua ekor kambing bagi anak lelaki. Rambutnya pula sunat
dicukur keseluruhannya. Selain itu, mulakanlah kehidupan anak dengan nama
panggilan yang baik. Dalam Islam sendiri digalakkam memberi nama panggilan yang
baik. Nama panggilan yang kurang baik akan menyebabkan anak berasa malu dan
merasa rendah diri.
Elemen Pendidikan Dalam Kehidupan
Pendidikan mempunyai impak yang besar untuk
memperolehi dan mengekalkan dalam kehidupan. Pendidikan boleh menjelaskan
keupayaan seseorang individu dalam mengurus hidup yang berkualiti. Pendidikan
berkualiti sangat efektif bagi menentang kemiskinan, membina demokrasi dan
membentuk masyarakat yang sejahtera.
Melalui pendidikan juga individu berupaya membina
keyakinan diri untuk berhadapan dengan dunia, menikmati kemudahan yang ada
dipersekitarannya serta memahami diri sendiri. Pendidikan bertindak sebagai
pemangkin kesejahteraan hidup dengan cara memimpin individu ke arah
sumber-sumber ekonomi yang mantap, keupayaan kawalan diri dan kestabilan
hubungan sosial. Pendidikan yang
berkualiti ini adalah satu konsep yang dinamik, berubah dan berkembang mengikut
masa serta berubah dalam konteks sosial, ekonomi dan persekitaran setempat.
Justeru, saranan bagi menyuburkan elemen pendidikan dalam kehidupan seperti
yang dihuraikan dibawah.
Sebagai Pembuatan Keputusan
Ketegasan diri merupakan satu dimensi utama dalam kehidupan
kerana ia memungkinkan seseorang individu untuk mengawal hidupnya. Dengan
adanya ketegasan diri, individu berupaya membuat pilihan dan keputusan terhadap
tindakannya dan membebaskan diri daripada pengaruh atau gangguan luaran yang
tidak berfaedah. Ciri utama yang mendefinisikan ketegasan diri boleh
dikenalpasti melalui perkembangan dan pencapaian yang saling berkait iaitu
kemahiran membuat pilihan, kemahiran membuat keputusan, kemahiran menyelesai
masalah, kemahiran membentuk dan mencapai matlamat, kemahiran mengurus diri,
kemahiran memimpin, kawalan dalaman, sikap positif terhadap hasil jangkaan,
kesedaran diri dan pengetahuan diri. Kebolehan dan kemantapan ketegasan-diri
berupaya meningkatkan kualiti kehidupan dan pencapaian pendidikan yang baik.
Pendidikan Penting Dalam Perkahwinan Dan Pengurusan Keluarga
Pendidikan memberi laluan kepada kestabilan hubungan
sosial terutamanya perkahwinan.
Pendidikan yang baik juga boleh mengurangkan kadar perceraian. Disamping
itu, individu yang memperolehi tahap pencapaian pendidikan yang baik mempunyai
jangka hayat yang lebih panjang berbanding dengan individu yang rendah tahap
pendidikannya.
Beberapa kajian mendapati bahawa orang yang
berkahwin juga mempunyai tahap kesejahteraan fizikal dan psikologi yang baik
berbanding dengan individu yang tidak berkahwin. Selain itu, pasangan yang baik
tahap pendidikannya akan menikmati kebaikan dan keuntungan daripada perkahwinan
tersebut tanpa banyak tekanan yang melampau yang dikaitkan dengan anak. Hal ini disebabkan, wanita yang baik taraf
pendidikannya cenderung untuk mempunyai bilangan anak yang kecil, menangguhkan
kelahiran atau menjarakkan kelahiran berbanding dengan wanita yang kurang
berpendidikan. Lelaki yang baik taraf pendidikan juga cenderung untuk mempunyai
bilangan anak yang kecil kerana kecenderungan mereka memilih pasangan yang
setara tahap pendidikan dan pemikirannya.
Pendidikan Penting Dalam Kawalan Diri Dan Sokongan Sosial
Perasaan tertekan merupakan gangguan terhadap
emosi yang sangat tidak menyenangkan.
Tekanan terbahagi kepada dua komponen utama iaitu tekanan emosi dan
tekanan fizikal. Tekanan ini boleh diuruskan menerusi dua kaedah iaitu kawalan
diri dan sokongan sosial. Kawalan diri yang tinggi juga membolehkan individu
membuat persediaan diri untuk berhadapan dengan sesuatu yang tidak dapat dielak
atau dijangkakan. Sokongan sosial merupakan komitmen, sikap mengambil berat,
pemberian nasihat dan bantuan yang diberi atau diterima sebagai sumbangan
peribadi seseorang kepada individu yang memerlukan.
Mempunyai pendidikan yang baik amat penting dalam
menjana sokongan sosial yang positif. Hal ini disebabkan, pendidikan boleh
memberi individu laluan kepada beberapa peranan dengan jaringan bebas yang akan
menyemarakkan pelbagai potensi untuk hubungan yang lebih menyokong atau
menguntungkan. Pendidikan juga boleh membantu individu mengekalkan hubungan
yang bermakna dengan orang lain dalam kebanyakan situasi seperti pengurusan
masalah, kebolehan berbincang, serta sikap bertimbangrasa dan bekerjasama.
Pendidikan Memainkan Dalam Kondisi Kerja Dan ekonomi
Pendidikan sangat penting dalam konteks
kesejahteraan ekonomi kerana ia boleh memimpin individu ke arah pemperolehan
pendapatan yang tidak terhad serta mampu meningkatkan perasaan kawalan diri
seseorang. Kerja yang tidak terhad melibatkan kepelbagaian tugas, tidak
bersifat rutin serta mempunyai peluang untuk melanjutkan pelajaran dan
perkembangan ilmu. Sifat kerja seumpama ini boleh mengurangkan perasaan
ketegangan individu.
Dalam konteks kerja yang tidak terhad, para pekerja
dapat mengawal proses buruh iaitu mereka mempunyai peluang untuk mengguna
pelbagai kemahiran yang ada pada setiap buruh bagi memenuhi kesesuaian sesuatu reka bentuk kerja. Kepelbagaian rekabentuk kerja ini juga memberi kebebasan kepada para
pekerja untuk menggunakan fikiran dan penilaian peribadi mereka dalam melakukan
tugasan yang berbeza dengan cara gaya yang berbeza.
Pendidikan juga saling berkait rapat dengan
kondisi ekonomi manusia. Individu yang mempunyai taraf pendidikan yang tinggi
dan status tugas yang sesuai dengan pendidikannya berpeluang melibatkan diri
sebagai penentu arah, kawalan dan perancang kerja. Justeru itu, individu yang
baik tahap pendidikannya lebih cenderung dipilih bekerja terutama dalam tugasan
bersifat sepenuh masa berbanding dengan mereka yang mempunyai tahap pendidikan
yang rendah. Manakala, individu yang rendah tahap pendidikannya cenderung untuk
berhadapan dengan masalah ekonomi. Justeru itu, individu dengan tahap
pendidikan yang tinggi cenderung untuk hidup dalam pendapatan isi rumah yang
tinggi kerana taraf pendidikan memberi kesan langsung ke atas pendapatan disamping
kecenderungan untuk mendapatkan pekerjaan yang baik dan terjamin.
KESIMPULAN
Pendidikan memainkan peranan penting dalam
mencapai kehidupan yang berkualiti kerana pendidikan merupakan antara petunjuk
terpenting manusia. Pendidikan mempunyai hubungan rapat dengan ilmu dan ilmu
dikenalpasti sebagai faktor ‘hasil’. Pendidikan membantu individu membina
keyakinan diri untuk berhadapan dengan dunianya, menikmati kemudahan yang ada
dipersekitarannya serta memahami diri sendiri. Pendidikan juga bertindak
sebagai pemangkin kesejahteraan hidup dengan cara memimpin individu ke arah
sumber-sumber ekonomi yang mantap, keupayaan kawalan diri dan kestabilan
hubungan sosial. Individu yang mempunyai
taraf pendidikan yang tinggi cenderung untuk mengalami gangguan emosi dan
tekanan fizikal yang rendah. Taraf
pendidikan yang baik memberikan seseorang individu itu laluan ke arah
pembangunan diri, bergantung bagaimana ilmu tersebut distruktur dan dilaburkan
dalam pendidikan.
Justeru itu, untuk mencapai kecemerlangan hidup
melalui pendidikan, perhatian awal harus tertumpu kepada kanak-kanak. Hal ini
kerana, kanak-kanak adalah khazanah dunia yang paling berharga kerana
pendidikan terawal bermula dari zaman kanak-kanak. Dalam Islam sendiri dijelaskan
bahawa proses mengasuh dan mendidik, membela, melatih, menyucikan, membaikkan,
mengawal hawa nafsu, membentuk ketaatan kepada Allah SWT membentuk sikap sopan
dan beradab dan memadamkan semua sifat tercela yang ada dalam diri manusia.
Semua definisi ini memberikan kefahaman bahawa hampir keseluruhan pendidikan
yang dikehendaki dalam Islam itu ialah merujuk kepada pendidikan rohani manusia
selaku hamba Allah SWT di muka bumi ini bagi memancarkan kejernihan akhlak dan
budi pekerti yang tinggi selain untuk perkembangan ilmu pengetahuan itu sendiri
yang merupakan medium yang amat penting dalam membangunkan ketamadunan manusia
yang hidup di dunia ini. Melalui pendidikan juga, seseorang itu dapat
membangunkan dirinya sendiri terlebih dahulu seterusnya membangunkan keluarga,
masyarakat dan negara.
3176 Perkataan
APENDIKS
RUJUKAN / REFERENSI
Definisi Pendidikan. (n.a.). [Online].
[2013,
Mei 20].
Definisi Pendidikan. (n.a.). [Online].
Available
: http://www.xpresi.org/definisi-pendidikan/.
[2013, Mei 20].
Definisi Dan Tujuan
Pendidikan Islam. (n.a.).
[Online].
Available
: http://www.xpresi.org/definisi-pendidikan/.
[2013, Mei 20].
Pengertian Pendidikan Islam
Secara Etimologi. (n.a.).
[Online].
pendidikan-islam-secara_19.html#.UbxDX_mnrcA.
[2013, Mei 21].
Konsep Pendidikan Dalam
Islam. (n.a.). [Online].
dalamislam. [2013, Mei 21].
Maksud Pendidikan Islam. (n.a.). [Online].
Available
: http://pendislami.tripod.com/matlamat_p_islam.htm.
[2013,
Mei 21].
Pembahagian Ilmu Dalam
Pendidikan Islam. (n.a.).
[Online].
Available : http://pendislami.tripod.com/klasifikasi_ilmu.htm.
[2013, Mei 22].
Pendidikan. (n.a.). [Online].
Available : http://ms.wikipedia.org/wiki/Pendidikan_Malaysia.
[2013, Mei 22].
Artikel tentang Sistem
Pendidikan. (n.a.).
[Online].
-sistem-pendidikan.html. [2013, Mei 22].
Falsafah Pendidikan Islam. (n.a.) [Online].
Available
: http://pendislami.tripod.com/new_page_1.htm.
[2013, Mei 22].
Falsafah Pendidikan Islam. (n.a.). [Online].
falsafah-pendidikan-islam.html. [2013, Mei
22].
Matlamat Pendidikan Menurut
Islam. (2007). [Online].
menurut-islam.html. [2013, Mei 22].
Tujuan Umum Pendidikan
Islam. (n.a.) [Online].
Available
: http://pendislami.tripod.com/matlamat_p_islam.htm.
[2013, Mei 22].
Matlamat Falsafah Pendidikan
Islam. (n.a.). [Online].
[2013, Mei 22].
Matlamat Dan Falsafah
Pendidikan Islam. (n.a).
[Online].
pendidikan-islam.html. [2013, Mei 22].
Pendidikan Dalam Tamadun
Islam. (2008). [Online].
dalam-tamadun-islam.html. [2013, Mei 22].
Pendidikan Islam Di Zaman
Rasulullah. (2009).
[Online].
islam-di-zaman-rasulullah.html. [2013, Mei
22].
Peranan Pendidikan dalam
Membina Tamadun. (n.a.).
[Online].
article&id=129:peranan-pendidikan-dalam-membina-tamadun&catid=
36:pendidikan. [2013, Mei 22].
Perkembangan Institusi
Pendidikan Tamadun Islam. (n.a.). [Online].
Available
: http://syanuzaki.blogspot.com/.
[2013, Mei 22].\
Panduan Mendidik Anak
Mengikut Islam. (2012).
[Online].
[2013,
Mei 22].
Muqaddimah. (n.a.). [Online].
Anak-Dalam-Islam. [2013, Mei 22].
30 Perkara Mendidik Anak
Mengikut Islam. (2009).
[Online].
anak-mengikut-islam_8183.html. [2013, Mei
22].
Tips mendidik anak mengikut panduan Islam. (2011). [Online].
anak-mengikut-panduan-islam/. [2013, Mei 22].
Mendidik Anak Dalam Islam. (2010). [Online].
-dalam-islam.html. [2013, Mei 22].
Pentingnya Pendidikan Islam Kepada Anak-anak. (n.a.). [Online].
pendidikan-islam-kepada-anak-anak/. [2013,
Mei 22].
Elemen-elemen. (n.a.). [Online].
dalam-falsafah-pendidikan.html. [2013, Mei 22].
Ahmad, M.Y.
(2009). Falsafah Pendidikan Islam.
[Online].
Available
: http://pendislami.tripod.com/new_page_1.htm.
[2013, Mei 22].
No comments:
Post a Comment