1.PENGENALAN
Setiap manusia itu berkeluarga walau dari manapun dia datang. Terdapat
banyak istilah yang digunakan dalam memberikan pengertian atau definisi tentang
keluarga. Keluarga itu sendiri terdiri daripada ibu, ayah dan anak-anaknya atau
seisi rumah. Dalam erti kata sebenar, keluarga merupakan satu kumpulan manusia
yang dihubungkan melalui pertalian darah, perkahwinan atau pengambilan anak
angkat. Namun begitu, di negara Barat, mereka mendefinisikan keluarga sebagai
satu kumpulan manusia yang mempunyai hubungan darah atau pertalian sah seperti
perkahwinan dan pengambilan anak angkat. Ramai ahli antropologi berpendapat
bahawa istilah ‘darah’ perlu difahami secara metaforik kerana banyak masyarakat
bukan Barat mempunyai konsep berkeluarga yang tidak bersandarkan istilah
‘darah’ semata-mata.
Menurut Depker RI (1998),
beliau berpendapat bahawa keluarga merupakan unit terkecil dari
masyarakat yang terdiri daripada ketua keluarga dan beberapa ahli keluarga yang
lain serta tinggal di dalam satu bumbung dan saling bergantungan antara satu sama
lain. Sementara menurut Helvie (1981) pula, beliau menyatakan bahawa keluarga
merupakan satu sekolompok manusia yang tinggal dalam satu rumah serta mempunyai
hubungan yang konsisten dan erat. Selain itu, keluarga juga didefinisikan
sebagai anggota rumah tangga yang saling berhubungan melalui adaptasi pertalian
darah atau perkahwinan menurut pandangan Who (1969).
Dalam pada itu, dari sudut pandangan islam pula, definisi keluarga
adalah terlalu luas dan bersifat majmuk. Ini kerana sesebuah keluarga bukan
sahaja terdiri daripada ibu, ayah dan anak-anak tetapi juga merangkumi datuk,
nenek, adik beradik dan saudara mara yang lain. Bahkan, keluarga juga dikatakan
lebih bersifat majmuk kerana bukan sahaja terdiri dari satu bumbung tetapi
mungkin lebih kerana islam membenarkan poligami sekiranya mampu. Selain itu,
dari semasa ke semasa, sesebuah keluarga itu mungkin akan tinggal berasingan
atau terpisah akibat membina satu keluarga kecil yang baru. Dengan ini,
perhubungan kekeluargaan ini dipanggil suatu ikatan yang mempunyai bentuk
perhubungan pelbagai. Salah satu contohnya melalui perkahwinan dalam ahli keluarga.
Menurut Profesor Ungku Aziz, beliau pernah mengatakan bahawa rumah
merupakan universiti pertama bagi anak-anak dan ibu bapa pula merupakan
profesor pertama bagi anak mereka. Kata-kata beliau ini jelas menunjukkan
bahawa ibu bapa dan setiap ahli keluarga memainkan peranan yang sangat penting
dalam pembentukan sahsiah anak-anak. Anak-anak juga merupakan anugerah dan
amanah dari Tuhan yang tidak ternilai. Selain itu, ibu bapa bertanggungjawab untuk mewujudkan
rumah tangga yang aman dan damai kerana anak-anak akan merasa bahagia apabila
ibu bapa memberikan sepenuh kasih sayang dan melindungi diri mereka. Semua orang tahu yang anak-anak diibaratkan
seperti sehelai kain putih, maka ibu bapa merekalah yang mencorakkan warna pada
kain tersebut.
Justeru sebagai ketua keluarga, ibu bapa memainkan peranan penting
bagi memastikan pembentukan sahsiah anak-anak dengan memberikan didikan agama
yang sempurna dalam diri anak-anak . Pepatah sering menyatakan bahawa ‘melentur
buluh biarlah dari rebungnya’. Selain itu, ahli keluarga khususnya ibu bapa
berperanan sebagai suri teladan kepada anak-anak bagi memastikan anak-anak
mempunyai sahsiah yang baik. Ini kerana, anak-anak yang berusia setahun jagung
memang mudah mencontohi sebarang bentuk perlakuan orang yang lebih dewasa darinya.
Dalam erti kata lain, sekiranya ahli keluarga yang lebih tua memiliki sahsiah
yang baik, sudah tentu perbuatan ini dapat dicontohi oleh anak-anak kerana
pepatah melayu ada mengatakan bahawa ‘kemana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi’.
Dalam tugasan kali ini, saya diminta untuk menerangkan tentang empat jenis gaya
keibubapaaan disamping kesan dan cadangan dalam meningkatkan meningkatkan gaya
keibubapaan yang sesuai di kalangan pelbagai kaum.
2.GAYA KEIBUBAPAAN
Gaya keibubapaan ialah amalan yang digunakan oleh ibu bapa dalam
mendidik, mengasuh, menunjuk ajar, menjaga dan membentuk sahsiah
anak-anak. Memang tidak dinafikan kini ibu
bapa berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam mendidik anak-anak mereka
terutamanya apabila anak-anak mula memasuki alam remaja iaitu dalam lingkungan
usia 11 tahun hingga 18 tahun. Ini
merupakan satu tempoh peralihan dalam pusingan hidup yang melibatkan banyak
perubahan berlaku, sama ada dari segi perkembangan fizikal, emosi dan kognitif.
Tugas mendidik anak-anak dalam peringkat remaja pada masa sekarang dikatakan
lebih mencabar kerana terdapat banyak pengaruh dari luar yang boleh membentuk
sikap dan tingkah laku mereka.
Jurang generasi yang semakin luas di antara ibu bapa dengan
anak-anak boleh menyumbang kepada pelbagai percanggahan dalam keluarga. Ini boleh menimbulkan tekanan bukan sahaja
kepada anak-anak malah kepada ibu bapa sendiri. Menurut Hamilton (1989), ibu
bapa yang tertekan boleh mengakibatkan kes penderaan terhadap anak-anak.
Manakala anak-anak yang tertekan pula akan melalui suatu perkembangan psikologi
yang bermasalah dan ini secara tidak langsung boleh menyumbangkan kepada peningkatan masalah
gejala sosial. Jika masalah begini terus berlaku maka ianya akan menggangu
keharmonian sesebuah keluarga, masyarakat dan negara.
Bercakap tentang soal gaya keibubapaan, menurut Baumrind (1971), gaya
keibubapaan terbahagi kepada tiga jenis iaitu gaya keibubapaan authoritarian, autoritatif
dan permisif pada mulanya. Dan kemudian Maccoby&Martin (1983) pula menambah
satu lagi gaya keibubapaan iaitu ‘uninvolved
parenting’ atau gaya keibubapaan pengabaian dan menjadikannya secara
langsung empat jenis gaya keibubapaan yang ada. Dalam erti kata lain, setiap dari
gaya keibubapaan menggunakan pendekatan yang berbeza untuk disiplinkan anak dan
mempunyai kebaikan dan keburukan yang tersendiri.
2.1.GAYA KEIBUBAPAAN
AUTORITARIAN
Dalam gaya keibubapaan ini,
kita dapat lihat di mana ibu bapa mengenakan kawalan yang ketat terhadap anak
mereka iaitu tidak bertolak ansur atau fleksibel dalam mendidik anak-anak. Gaya
sebegini juga dikenali sebagai 'kuku besi'. Ini kerana, ibu bapa akan
menentukan peraturan atau undang-undang keluarga dan nilai yang perlu diikuti
oleh anak. Peraturan yang telah ditetapkan tidak boleh dipersoalkan oleh
anak-anak dan kuasa adalah mutlak di tangan ibu bapa. Secara tidak langsung ini
bermaksud apabila anak melanggar peraturan yang telah ditetapkan, mereka akan
dihukum tanpa penjelasan terhadap kesalahan yang dilakukan dan mereka tidak
boleh membantah hukuman tersebut walaupun bukan kesalahan bukan berpunca dari
mereka. Menurut Baumrind (1991), beliau menyatakan bahawa ibu bapa sebagai ‘obedience’ dan mengharapkan pesanan
mereka kepada anak-anak perlu untuk ditaati tanpa sebarang penjelasan.
Mengikut kajian yang dijalankan oleh Lawrence (1986), beliau
mendapati remaja yang diberi kasih sayang yang terlalu keras atau tidak diambil
peduli, autokratik, pasif serta didiskriminasi oleh ibu bapa akan menghasilkan
anak-anak remaja yang bermasalah, memberontak dan menuju tingkah laku yang
terpesong dan menyeleweng. Ibu bapa yang mengamalkan gaya keibubapaan ini selalunya
menggunakan kaedah disiplin yang berbentuk hukuman. Kesannya, anak yang dididik
secara autoritarian akan mempercayai bahawa setiap keputusan dari ibu bapa tidak boleh dibantah dan mematuhinya
tanpa menyoal. Maka, anak-anak ini cenderung menjadi terlalu bergantung kepada
keputusan dan arahan ibu bapa.
Selain itu, Anak-anak yang dibesarkan dengan gaya keibubapaan
seperti ini juga biasanya akan menjadi seorang yang moody, tidak bahagia,
ketakutan dan rapuh. Mereka lebih cenderung menjadi anak yang pemalu, menjauhkan
diri dan kurang percaya diri. Dalam kata lain, jika kasih sayang tidak diekspresikan
pada anak-anak, biasanya mereka ini menjadi seorang yang kuat membangkang dan
anti sosial kelak.
2.2.GAYA KEIBUBAPAAN
AUTORITATIF
Gaya keibubapaan ini lebih bersifat demokrasi di mana ibu bapa dalam
situasi ini selalunya membenarkan atau mewujudkan komunikasi terbuka dengan
anak. Ibu bapa jenis ini juga lebih bersikap terbuka, lebih rasional dan
fleksibel dalam mendidik anak-anak. Anak-anak mereka akan sentiasa dididik agar belajar berdikari. Namun
begitu, bersesuaian dengan tahap kematangan anak, kawalan yang tegas diutamakan
di samping memberikan kebebasan kepada anak. Dalam kata lain, gaya keibubapaan sebegini
merupakan gabungan antara gaya
keibubapaan autoritarian dan permisif.
Anak-anak yang dibesarkan oleh ibu bapa dengan cara ini juga
cenderung menjadi lebih bertenaga, mempunyai perasaan ingin tahu yang tinggi,
berdedikasi, dapat kawal diri dan berpuas hati terhadap rakan sebaya. Gaya
keibubapaan autoritatif dikatakan merupakan yang paling berkesan dalam mendidik
anak-anak. Hal ini kerana, melalui gaya didikan begini, anak-anak bebas
melakukan apa yang hendak lakukan tetapi tingkah laku mereka akan sentiasa diperhatikan
dan dipantau oleh ibu bapa. Jika perkara yang hendak dilakukan tidak
mendatangkan keburukan maka ibu bapa akan membiarkan akan mereka melakukannya
dan jika perkara yang hendak dilakukan sebaliknya, ibu bapa akan melarang anak
mereka daripada melakukan perkara tersebut.
Anak-anak juga diberi peluang untuk meluahkan pendapat mereka dan
bukannya hanya mendengar arahan daripada ibu bapa mereka. Dalam maksud lain,
anak-anak bebas untuk meneroka dan berfikir tentang perkara yang mereka hendak
lakukan sama ada baik atau tidak. Secara tidak langsung ini dapat meningkatkan
perasaan ingin tahu mereka terhadap sesuatu perkara itu. Sementara itu, menurut
Baumrind (1989), anak-anak yang dibesarkan oleh ibu bapa yang demokratik
cenderung menjadi lebih bertenaga, suka menjelajah, mempunyai perasaan ingin
tahu tinggi, berdedikasi, dapat mengawal diri, berpuas hati dengan diri dan bersikap
positif terhadap rakan sebaya.
2.3.GAYA KEIBUBAPAAN
PERMISIF
Dalam gaya keibubapaan ini, apa yang kita dapat lihat di mana ibu
bapa memberikan kebebasan sepenuhnya kepada anak-anak mereka tanpa sebarang
kawalan. Dalam erti kata lain, ibu bapa lebih memenuhi keperluan anak-anak serta
juga tidak membentuk peraturan keluarga yang jelas dan tidak menerangkan antara
tingkah laku yang baik dan buruk. Ibu bapa yang menggunakan gaya keibubapaan
ini akan membentuk sifat kurang matang, kurang kawalan diri, kurang
tanggungjawab sosial dan kurang keyakinan diri pada anak-anak mereka. Ini
kerana, jika permintaan mereka tidak dipenuhi mereka akan merajuk dan
memberontak kepada ibu bapa.
Walau bagaimanapun, menurut Baumrind (1989), anak-anak akan lebih
gembira dan cepat sembuh daripada sesuatu tekanan atau pun krisis berbanding
kanak-kanak yang dibesarkan secara autokratik. Kajian yang dijalankan oleh
Mitchell (1989) dan D’Angelo dan rakan-rakan (1995), ada menunjukkan bahawa kekurangan
perhatian dari ibu bapa memainkan peranan penting dalam pembentukan tingkah
laku anti sosial. Kajian juga menunjukkan di mana remaja yang bertingkah laku
anti sosial biasanya kurang diberi perhatian oleh keluarga mereka.
Sementara itu, kajian dari Slaby&Guerra (1988), mereka mendapati bahawa anak-anak yang bertingkah
laku devian dan delinkuen mempunyai kurang kawalan diri dan tingkah laku mereka
banyak dipengaruhi oleh kawalan luar dari persekitaran. Selain itu, menurut Herzoy
dan rakan-rakan (1988), mereka mendapati sebanyak 70 peratus anak yang lari
dari rumah dan terlibat dengan dadah disebabkan oleh suasana rumah yang terlalu
menekan, sikap ibu bapa yang tidak mengambil tahu dan jurang antara mereka.
2.4.GAYA KEIBUBAPAAN
PENGABAIAN ATAU KURANG PENGLIBATAN
Gaya keibubapaan ini dikemukan oleh Maccoby dan John Martin bagi
mengembangkan lagi gaya keibubapaan yang diberikan oleh Baumrind yang
menitikberatkan tentang tahap mengawal anak-anak dan tahap penerimaan atau
tindak balas daripada ibu bapa. Justeru, dengan menggabungkan kedua-dua elemen iaitu
mengawal dan tindak balas maka, wujudlah empat jenis gaya keibubapaan.
Dalam gaya keibubapaan pengabaian ini, dikatakan banyak mendatangkan
kesan-kesan negatif kepada ahli keluarga. Ini kerana, tahap mengawal anak-anak
dan tahap penerimaan ibu bapa terhadap anak mereka adalah sangat rendah. Ibu
bapa tidak mengambil peduli langsung di mana anak mereka berada, apa aktiviti
yang mereka lakukan, dengan siapa mereka berkawan, tidak ambil tahu tentang hal
ehwal pelajaran anak serta suasana persekitaran sosial anak mereka. Ibu bapa
terlalu sibuk mencari nafkah sehinggakan mereka mengabaikan keperluan anak-anak
dari pelbagai segi. Secara tidak langsung, keluarga sebegini berkemungkinan
menghadapi masalah kewangan yang serius sehingga anak-anak mereka dijaga tanpa
pengawasan yang sepatutnya. Selain itu, ibu atau bapa yang berpenyakit mental
juga dikategorikan di bawah golongan ini.
Gaya keibubapaan sebegini juga dapat dikatakan sebagai tiada
pertalian yang utuh antara ibu bapa dengan anak mereka. Hubungan tersebut
dilihat begitu asing antara satu sama lain. Kelakuan anak-anak yang dibesarkan
dengan gaya keibubapaan sebegini adalah yang paling teruk jika dibandingkan
dengan ketiga-tiga gaya keibubapaan diatas. Selain itu, anak-anak ini juga akan
selalu dipandang rendah oleh masyarakat dan menyebabkan mereka tidak suka
bergaul dengan orang lain. Gaya keibubapaan sebegini boleh dikategorikan
sebagai kecuaian dari ibu bapa itu sendiri kerana tiadanya permintaan, tiada
disiplin, hala tuju serta memberikan kebebasan penuh kepada anak mereka.
3.KESAN GAYA KEIBUBAPAAN
Dalam dunia yang semakin mencabar ini terdapat pelbagai corak
didikan anak-anak yang diamalkan oleh sesebuah keluarga. Corak yang diamalkan
inilah yang akan menghasilkan pelbagai personaliti. Personaliti juga akan
menjadi lambang kepada keperibadian seseorang individu itu. Mahu atau tidak,
ibu bapa perlu menjadi yang contoh baik, membimbing dan melatih anak-anak dalam
membuat keputusan, mewujudkan suasana yang menyeronokkan di rumah, mengetahui
apa yang anak lakukan serta perkembangannya selain perlu mengenali rakan sebaya
anak. Segala-galanya bermula di rumah dengan mewujudkan suasana rumah yang
harmoni dan sejahtera. Ini dapat dicapai melalui perbincangan dengan anak
tentang pelbagai perkara, meluangkan masa dan mendengar masalah anak.
Oleh demikian, proses mendidik dan membentuk anak yang cemerlang
ialah proses berulang dan memerlukan kesabaran yang tinggi. Menurut Profesor Yahya
Don dari Universiti Utara Malaysia (UUM), perkataan jemu untuk menegur,
mendidik, mengajar, membimbing dan membentuk keperibadian mulia, tidak boleh
wujud dalam diri setiap ibu bapa. Beliau juga berpendapat bahawa perubahan
tingkah laku biasanya melalui proses dan jangka masa tertentu.
Cepat atau singkat perubahan tingkah laku itu bergantung kepada
pengaruh motivasi dan persekitaran anak-anak. Ibu bapa bertanggungjawab
mendidik dan mengawal tingkah laku anak-anak bagi mencapai kecemerlangan.
Tetapi, akibat sikap tidak sabar untuk melihat perubahan serta merta maka,
terjadilah tindakan seperti menampar, mengherdik, merotan dan sebagainya. Kesannya
akan berlaku kerenggangan di antara anak-anak dengan ibu bapa, hilang motivasi,
dendam, murung, stres, tingkah laku ganas dan sebagainya.
Bercakap soal kesan gaya keibubapaan terhadap saya, apa yang saya
dapat katakan bahawa ibu bapa saya mendidik saya dengan cara autoritatif di mana
ibu bapa saya menggalakkan komunikasi terbuka dalam keluatga. Selain itu,
keadaan dan suasana dalam rumah yang tenteram dan beberapa ciri asuhan yang
autoritatif yang baik menjadikan saya seorang yang bersikap positif. Memang
tidak dinafikan bahawa ibu bapa saya seorang yang tegas, lebih-lebih lagi ayah
saya seorang anggota polis. Sungguh pun begitu, mereka menerapkan disiplin dengan
kasih sayang dan bukan dengan kekuatan. Mereka juga menjelaskan akan peraturan
kepada saya bukan dengan cara yang memaksa. Walaupun terdapat peraturan dalam
keluarga, ibu bapa saya membuka peluang untuk berbincang sekiranya saya tidak
memahami atau tidak bersetuju dengan peraturan yang ditetapkan. Dalam erti kata
lain ianya lebih bersifat demokrasi dalam keluarga.
Antara kesan dari gaya keibubapaan ini kepada saya ialah saya kini
lebih bersifat terbuka, dapat mengawal diri dan menjadi seorang yang mempunyai
perasaan ingin tahu. Pada pendapat saya sendiri, cara yang terbaik untuk
mendisiplinkan anak-anak ialah dengan menggunakan disiplin yang sederhana iaitu
tidak longgar dan tidak terlalu ketat seperti autoritatif. Dengan kata lain,
setiap sesuatu disiplin yang hendak digunakan kepada kanak-kanak mestilah
bersesuaian dengan tahap perkembangan mereka supaya anak-anak dapat
mengembangkan sifat-sifat kendiri yang positif. Dalam agama Islam pun perkara
sebegini sudah lama diajar iaitu melalui sabda Rasulullah S.A.W, ‘suruhlah
anak-anak kamu bersolat ketika mereka berusia tujuh tahun dan pukul kerana
meninggalkan solat ketika berusia sepuluh tahun’ dari Riwayat Abu Daud. Pukul
yang dimaksudkan bukanlah sehingga mencederakan tetapi cukup sekadar memberi
pelajaran kepada anak supaya melakukan yang wajib dan meninggalkan yang
dilarang.
4.CADANGAN DALAM
MENINGKATKAN GAYA KEIBUBAPAAN
Antara cadangan ibu bapa dalam meningkatkan gaya keibubapaan yang
sesuai di kalangan komuniti yang terdiri darippada pelbagai kaum ialah seperti
yang di bawah :
Luangkan Masa Berkualiti
Bersama Anak
Memperbaiki perhubungan sihat antara ibu bapa dan anak dengan
menyediakan peluang kepada ibu bapa untuk mengenali, memahami dan membimbing
anak masing-masing. contohnya seperti tunjukkan yang anda berminat dengan
aktiviti anak atau meraikan kejayaan apabila anak telah mencapai sesuatu yang
dikehendakinya.
Kerap Menggunakan
Kata-Kata Pujian
Penggunaan kata-kata pujian amat penting dalam mendidik anak. Pujian
membuatkan mereka memahami apakah tingka laku yang baik, merasai ibu-bapa
menyayanginya dan dapat meningkatkan rasa harga dirinya. Kata-kata negatif
tidak membantu malah ianya boleh merosakkan rasa harga diri anak. Dengan ini,
mereka tidak dapat belajar cara memperbaiki dirinya bila disindir atau dimaki.
Malah perasaan takut dan marah akan bersarang dalam dirinya sehingga mereka
meningkat dewasa. Contoh dalam menggunakan kata-kata pujian seperti memanggil
anak dengan namanya atau panggilan yang mesra. Selain itu, beri perhatian tambahan
terhadap perlakuan positifnya melalui sentuhan, dakapan, ciuman atau tepukan.
Di samping meluahkan pujian serta merta secara konsisten setiap kali mereka
berkelakuan baik.
Tetapkan Peraturan Yang
Bersesuaian Dengan Keadaan Di Rumah
Setiap keluarga tanpa mengira kaum mestilah mempunyai peraturan di
rumah yang boleh dan tidak boleh dilakukan. Dengan ini, anak perlu tahu apa
yang seharusnya mereka patuh. Adalah penting setiap ibu bapa menyatakan dengan
jelas kepada anak mereka tentang peraturan-peraturan yang ditetapkan. Sering
kali kita melihat di mana ada ibu bapa yang memarahi anak mereka apabila
berlaku sesuatu masalah tanpa memperjelaskan perlakuan yang diingini mereka.
Ini tidak seharusnya berlaku dalam keluarga yang ingin mewujudkan gaya keibubapaan
yang positif. Oleh demikian, apabila anak berkelakuan yang tidak wajar kita
perlulah menerangkan kepada mereka apakah tingkahlaku yang tidak baik dan
tunjukkan padanya perlakuan pilihan yang lebih sesuai serta terangkan kepadanya
juga apakah kesan positf dari tingkah laku tersebut.apa yang paling penting
ialah jangan marah anak semasa anda merasa amat marah kerana pada masa itu anda
tidak dapat berfikir dengan baik. Akibatnya anda gagal menjadi contoh yang baik
untuk anak anda belajar mengawal perasaan marahnya nanti.
Ibu Bapa Perlu Mempunyai
Kemahiran Tambahan
Gaya keibubapaan merupakan salah satu cara mendidik. Justeru, pelbagai
situasi boleh timbul dari semasa ke semasa yang menuntut setiap ibu bapa
mempunyai kemahiran tambahan. Apa yang boleh dilakukan oleh ibu bapa ialah
seperti beri anak anda pilihan untuk menggalakkan ia membuat keputusan. Jika
mahu anak anda menurut kehendak anda, beri arahan yang anda hendak mereka
lakukan dengan kata kerja sebagai contoh ‘Tolong simpan mainan kamu’. Walau bagaimanapun,
biarlah tuntutan atau harapan anda itu bersesuaian dengan apa yang anak anda
boleh lakukan atau dalam kata lain mengikut kemampuan mereka.
5.KESIMPULAN
Apa yang kita dapat lihat ialah gaya keibubapaan yang berlainan akan
membentuk sikap dan tingkah laku anak-anak yang pelbagai atau berbeza. Gaya
keibubapaaan autoritatif adalah gaya keibubapaan yang paling positif dalam
mendidik anak-anak. Secara umumnya, banyak perkara yang di luar jangkaan akan
berlaku dalam mendididk anak-anak dan ini memang tidak dinafikan.
Perhubungan anatara manusia adalah berpunca daripada kasih sayang.
Oleh itu, ibu bapa haruslah meluangkan masa yang berkualiti bersama anak
mereka. Hal ini akan membuka peluang kepada ibu bapa untuk lebih mengenali, memahami dan
membimbing anak. Selain itu, ibu bapa sebagai ketau dalam keluarga seharusnya
menetapkan peraturan dalam rumah. Hal ini kerana, anak-anak perlu tahu dan
belajar apa yang mereka perlu patuhi dan hormati. Penggunaan pujian juga amat
penting. Dengan memberi pujian akan membuatkan anak-anak memahami apakah
tingkah laku yang baik. Di samping dapat merasakan kasih sayang serta dapat
meningkatkan keyakinan dalam diri. Dalam erti kata sebenar, anak-anak akan
mempelajari sesuatu perkara walaupun dalam keadaan apa sekali pun.
Adakalanya, ibu bapa akan menegur tingkah laku anak mereka tetapi
teguran itu tidak memberi kesan yang positif kepada anak. Namun apa yang
penting, ibu bapa perlu memahami bahawa anak mereka sebenarnya amat memerlukan
perhatian dari tindakan mereka tersebut. Kadang-kadang, ibu bapa tidak perlu
untuk mengendahkan perbuatan anak mereka itu. Tindakan sebegini dipanggil
sebagai ‘ignoring’ atau ‘tak ambil
endah’. Apa yang penting disini ialah membimbing anak dalam berfikir untuk diri
mereka sendiri dan ibu bapa perlu membantu anak-anak melalui proses atau
langkah-langkah dalam membuat keputusan. Mereka harus mengelakkan untuk terus
membuat keputusan bagi pihak anak.
2994 Perkataan
APENDIKS
6.RUJUKAN / REFERENSI
Bee Boyd,
(2007). The Development Child : Edisi
ke-11. Person International Edition : United States.
C.R. (2004). An Examination Of The Relationship Between
Ego Development And Parenting Style. P.h.d. The College Of William And Mary
In Virginia, USA.
Mohamad Nazar
Mohamad. (2001). Penghantar Psikologi.
Kuala Lumpur: DB
Definisi, Fungsi Dan Bentuk Keluarga : Pengertian
Keluarga. (n.a.). [Online].
dan-bentuk-keluarga.html. [2015, Februari 14].
Memahami Definisi Dan Asas Kekeluargaan. (2012). [Online].
dan-asas-kekeluargaan.html. [2015, Februari 16].
Rahsia Membina Keluarga Bahagia. (2010). [Online].
keluarga-bahagia.html. [2015, Februari 16].
Hubungan Kekeluargaan.
(n.a.). [Online].
tingkatan-3/tema-2-hubungan-kekeluargaan/. [2015, Februari 16].
10 Aktiviti Rapatkan Hubungan Kekeluargaan. (2014). [Online].
rapatkan-hubungan-kekeluargaan/. [2015, Februari 17].
Tanggungjawab Ibu Bapa Membentuk Peribadi, Akidah
Anak. (n.a.) [Online].
membentuk-peribadi-akidah-anak-sebaik-dilahirkan/. [2015, Februari
17].
7 Kesilapan Besar Yang Lazim Dilakukan Ibu Bapa Dalam
Mendidik Anak. (n.a.).
[Online]. Available : http://tudungsicomel.com/kesilapan-besar-ibu
-bapa-mendidik-anak/. [2015, Februari 17].
Peranan Ibu Bapa Dalam Pembentukan Keluarga Bahagia. (2013). [Online].
bapa-dalam-pembentukan.html.
[2015, Februari 17].
Peranan Ibu Bapa. (2012). [Online].
[2015, Februari
17].
Pengertian Keluarga Dan
Fungsinya. (n.a.). [Online].
menyalin-karangan-berfokus-diri.html.
[2015, Februari 17].
Kaunseling Keluarga (Cara
Gaya Keibubapaan). (2012). [Online].
cara-gaya.html.
[2015, Februari 17].
The Four Types of Parenting
Styles. (n.a.). [Online].
-of-parenting-styles.html.
[2015, Februari].
Common Parenting Styles. (n.a.). [Online].
[2015, Februari
17].
Early Childhood Education. (2014). [Online].
anak.html. [2015,
Februari 17].
Renggang Jika Terlebih
Tegas. (n.a.). [Online].
Available : http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=
0611&pub=Kosmo&sec=Pesona&pg=ps_02.htm.
[2015, Februari 17].
Jangan Jadi Ibu Bapa
Bertoksik – Pengasih. (n.a.). [Online].
[2015,
Februari 17].
No comments:
Post a Comment