1.PENGENALAN
Dewasa ini, kesibukkan dalam mengejar era globalisasi seseorang yang
ingin berjaya dalam apa jua bidang perlulah memiliki satu peraturan yang
berhubung kait dengan tingkah laku bagi mengawal dirinya dalam setiap tindakan
yang dilakukan. Nilai murni seperti ini secara tidak langsung akan membentuk
etika seseorang individu tersebut. Pembentukan etika yang baik juga sebenarnya
bermula daripada diri seseorang individu itu sendiri. Dengan berasaskan etika
yang ada maka konflik terhadap keinginan boleh diselesaikan dan seterusnya
meningkatkan fungsi sosial seseorang individu. Secara umumnya, etika merupakan
teori yang berkaitan dengan tindakan, hujah dan tujuan yang mengarah kepada
makna sesuatu tindakan. Etika tidak
bersangkutan dengan fakta atau fizikal manusia tetapi merupakan satu disiplin
ilmu yang mengkaji tentang moral, prinsip moral, kaedah moral dan tindakan
serta kelakuan manusia yang betul.
Walaupun bagaimanapun, setiap individu perlu terlebih dahulu
memahami apa yang dimaksudkan dengan etika. Istilah etika atau ‘ethic’ sebenarnya berasal daripada
perkata greek iaitu ‘ethos‘ yang membawa
maksud perwatakan atau keperibadian. Sementara itu, mengikut pengertian Kamus
Dewan (1995) terbitan Dewan Bahasa Dan Pustaka, etika bermaksud satu sistem
dasar akhlak, adat atau tingkah laku atau kesusilaan. Dari segi Islam pula,
etika adalah akhlak dimana ianya merujuk kepada tingkah laku yang baik yang
dituntut syarak.
Sementara itu, menurut sarjana barat J. L. Mackie, beliau telah mendefinisikan
etika sebagai disiplin yang dapat menerangkan nilai baik dan buruk sesuatu
perbuatan serta menyediakan garis-garis perbezaan antara kebaikan dan keburukan
seseorang individu. Menurut A.R. Licey dan W.L. Reese pula, mereka
mendefinasikan etika sebagai kegiatan aktiviti praktikal yang melibatkan
tingkah laku, adat dan cara hidup serta aspek niat dan kecenderungan seseorang
atau masyarakat dalam melakukan sesuatu aktiviti. Menurut pandangan ahli
falsafah pula, etika merujuk kepada pengajian moral yang bertumpu kepada nilai
dan kelakuan manusia.
Justeru, etika di sini dapat disimpulkan sebagai prinsip-prinsip
tingkah laku yang bertanggungjawab yang menentukan tindakan individu yang boleh
di terima dari segi moral. Setiap individu haruslah mempunyai etika yang dapat
diterima oleh pihak masyarakat. Ketidakseimbangan etika individu sekarang ini
banyak membawa kepada gejala-gejala yang tidak bermoral seperti rasuah dan sebagainya.
Definasi etika profesional pula merujuk kepada etika dalam sesuatu profesion
dan bidang yang profesional. Profesional boleh ditakrifkan dengan keupayaan dan
kecekapan dalam melaksanakan sesuatu tanggungjawab berdasarkan kepada ilmu dan
latihan serta kepakaran. Etika profesional pula ditafsirkan sebagai satu
panduan dan tatacara yang menentukan kualiti moral, profesional dan nilai. Antara
faktor-faktor yang membentuk etika individu seseorang itu ialah pengaruh
keluarga, pengaruh rakan, pengalaman hidup, nilai peribadi dan prinsip moral
dan faktor situasi.
2.TIGA FAKTOR YANG
MEMBENTUK ETIKA INDIVIDU
Dalam tugasan kali ini, saya akan memilih tiga faktor yang membentuk
etika individu iaitu pengaruh keluarga, pengaruh rakan dan pengalaman hidup dan
huraian serta contoh seperti di bawah.
2.1.Pengaruh Keluarga
Sebagai seorang pekerja dan pelajar separuh masa, saya telah mengalami
dan melihat sendiri beberapa situasi pelanggaran etika yang mana ianya
dipengaruhi oleh keluarga iaitu ibu, bapa, abang, kakak, adik, sepupu, pakcik
atau makcik dan saudara terdekat. Dalam erti kata sebenar, seseorang individu itu
mula membentuk standard etika sejak zaman kanak-kanak sebagai tindak balas
kepada persepsi mereka terhadap tingkah laku ibu bapa dan menjadikan ibu dan
bapa sebagai idola untuk membentuk keperibadian mereka. Keharmonian sesebuah
keluarga boleh membentuk sahsiah peribadi dan personaliti serta tingkah laku
seseorang. Ini kerana apabila seseorang ahli keluarga mempunyai masalah ia akan
dikongsikan bersama dan mencari jalan terbaik untuk penyelesaian bersama dari
situ timbul perasaan sayang-menyayangi di antara satu sama lain.
Dewasa ini, cara asuhan dan didikan ibu bapa terhadap anak-anak juga
mempengaruhi pembentukan etika mereka.
Ibu bapa yang bersikap penguasaan serta autokratik akan mewujudkan
individu yang begitu taat kepada arahan tetapi menjadi pasif dalam tingkah laku
mereka. Sebaliknya, ibu bapa yang
mengamalkan sikap bebas akan mendapati sikap anak-anaknya tidak
bersopan-santun, tidak bertanggungjawab dan tidak boleh berdikari. Sementara ibu bapa yang mengamalkan cara
demokrasi dan membincangkan masalah-masalah dengan anak-anak mereka serta mempertimbangkan
pendapat anak-anak apabila membuat keputusan-keputusan penting secara tidak
langsung akan mendapati anak-anak mereka mempunyai keyakinan diri yang
tinggi.
Sebagai contoh, sebagai seorang anak sulung dari lima adik-beradik
dan merupakan anak kepada seorang anggota polis yang tegas, saya dididik dengan
cara yang penuh disiplin. Boleh dikatakan, ayah saya seorang yang agak tegas
dalam mendidik anak-anaknya. Walau dalam ketegasannya, tetap ada kelembutan
dalam dirinya. Ayah saya seorang yang sangat mengambil berat akan perihal
anak-anaknya. Sikap sebegini yang diterapkan membuatkan saya menjadi seorang
yang bertanggungjawab dan prihatin. Apa yang saya hendak katakan disini bahawa,
jika ayah saya tidak bersikap tegas, nescaya anak-anaknya akan terpengaruh
dengan gejala yang kurang sihat. Tidak semua keluarga sama dalam mendidik
anak-anak mereka dan masing-masing mempunyai cara yang tersendiri. Dalam erti
kata lain, anak-anak yang agresif kelakuannya atau etikanya adalah dari
keluarga yang mengamalkan corak disiplin yang terlalu ketat yang menghukum
anak-anak mereka secara fizikal berlebihan. Namun, terdapat juga ibu bapa yang
menjadi pendorong kepada masalah dan sifat vandalisme di kalangan anak-anak
mereka. Sikap sebegini akan menjadi ikutan kepada anak-anak mereka apabila
mereka meningkat dewasa kelak dan berterusan sehingga turun temurun.
2.2.Pengaruh Rakan
Seperti yang sedia maklum, pengaruh rakan terutamanya rakan sebaya merupakan
faktor yang sering kali mendominan seseorang individu. Jika dilihat dalam
konteks di sekolah, individu itu akan merasa dirinya kesunyian apabila tidak
mempunyai rakan dan ia akan cuba mencari rakan. Melalui inilah sama ada sedar
atau tidak ia akan terikut-ikut dengan rakan-rakan yang beretika mahu pun tidak
beretika. Antara beberapa contoh perlakuan tidak beretika yang disebabkan oleh
rakan ialah seperti ponteng sekolah, bermain semasa belajar, menipu, menyahut
cabaran dan sebagainya. Pengaruh rakan sebeginilah yang banyak menjerumuskan seseorang
individu terutamanya pelajar disekolah agar melakukan perkara yang tidak
beretika. Malahan ada yang sanggup berbohong dengan ibu bapa semata-mata
inginkan rakan yang ramai yang sama-sama melakukan perkara yang tidak beretika.
Menurut Hazil Abd Hamid (1990), beliau menyatakan bahawa rakan
sebaya diistilahkan sebagai golongan atau kumpulan kanak-kanak atau remaja yang
rata-rata mempunyai lingkungan umur yang sama. Oleh yang demikian, rakan sebaya merujuk kepada kanak-kanak atau
remaja yang sama umurnya yang menjadi pendengar setia, bersedia untuk membantu
dan bersama-sama tatkala ketika sedih mahu pun gembira.
Sementara itu, pengaruh rakan Pengaruh rakan juga amat serius kerana
ia boleh menyebabkan vandalisme. Ia akan mencorakkan sikap, nilai dan tingkah
laku terutama bagi remaja yang tercicir dalam pendidikan dan menghadapi masalah
keluarga. Mereka yang melakukan vandalisme merupakan remaja dalam kumpulan.
Mereka tidak mempunyai tujuan serta hala tuju dan apabila berada di dalam
kumpulan tersebut, maka akan timbullah pelbagai idea termasuklah menconteng harta
benda awam dan merosakkannya.
Namun jika dilihat dari sudut positif, pengaruh rakan boleh
menjadikan remaja sebagai seorang yang berguna dan berbudi pekerti yang baik
sekiranya mereka memilih untuk bergaul dan mendapatkan rakan-rakan yang
mempunyai etika yang baik. Mereka akan melakukan perkara-perkara yang tidak
terkeluar daripada norma-norma masyarakat seperti membantu masyarakat atau
komuniti ketika ada program-program kemasyarakatan melalui gotong-royong.
Belajar bersungguh-sungguh demi masa depan mereka dan memikirkan tangungjawab
sebagai seorang insan yang bergelar anak dan pewaris negara yang akan menerajui
negara pada masa hadapan. Dalam erti kata lain, rakan yang baik adalah rakan
yang saling menegur, saling mengingati serta saling membantu. Memilih rakan
baik umpama berkawan dengan si penjual minyak wangi, kita akan turut terkena
percikan wangiannya dan jika berkawan dengan si tukang besi pasti kita akan
terkena percikan apinya.
Sebagai contoh dalam menghuraikan faktor ini, saya sendiri pernah
mengalami pengalaman dimana saya mendapat pengalaman yang buruk dalam pengaulan
dengan seorang rakan. Kepercayaan yang saya berikan telah disalahgunakannya
dengan menikam saya dari belakang. Dari situ, saya mula sedar betapa pengaruh
rakan ini kadang-kadang menjadikan kita bukan diri kita yang sebenar kerana
kita telah dipengaruhi dengan sikap dan cara mereka memanipulasikan keadaan
sehingga kita tenggelam punca seterusnya bertindak tanpa berfikir panjang. Bagi
saya, faktor pengaruh rakan memang memberi kesan yang amat mendapat jika kita
salah memilih rakan untuk dijadikan rakan.
2.3.Pengalaman Hidup
Setiap manusia mempunyai pengalaman hidup yang berbeza antara satu
sama lain dan memang tidak boleh dinafikan. Justeru, setiap memori dan
pengalaman yang dialami oleh seseorang individu itu sebenarnya menjadi satu
pengajaran untuknya bagi meneruskan
kehidupan. Setiap pengalaman yang diperoleh hasil daripada tindakan yang
diambil sama ada beretika atau tidak akan mendorongnya untuk meneruskan
perbuatan tersebut atau terus meninggalkannya. Ini sebenarnya menjadi salah
satu faktor dalam pembentukan etika dalam diri seseorang individu. Sebagai contohnya,
seorang pekerja yang suka menyalahgunakan harta benda pejabat tanpa di tegur
atau dihukum akan perbuatannya itu,
sampai bila-bila beliau tidak akan sedar akan perbuatannya. Sebaliknya, jika perbuatan
beliau itu ditegur atau dihukum sudah pasti beliau akan sedar dan berubah ke
arah kebaikan malah boleh menjadi lebih baik.
Pengalaman hidup juga sebenarnya dapat mematangkan seseorang
individu itu. Dari seorang yang tidak mengerti apa-apa kepada yang lebih baik
atau sebaliknya. Kadang-kadang kita sendiri tidak menyedari apa akan berlaku
jika kita memilih sesuatu keputusan itu. Sebagai manusia, sesiapa pun tidak
akan terlepas dari melakukan kesalahan sama ada kesalahan kecil atau besar
bergantung kepada keadaan tertentu. Walau bagaimanapun, kita perlu bijak
menangani setiap permasalahan yang mendatang supaya kita dapat menyesuaikan
diri walau dalam apa cara sekalipun.
Sebagai seorang yang mempunyai pengalaman hidup, saya juga pernah
melalui pelbagai cabaran dan rintangan. Saya berjaya mengatasi kebanyakkannya
dan pengalaman sebegini membuatkan saya lebih matang sering dengan usia saya.
Memang tidak dapat dinafikan, kadang-kadang saya sendiri pun pernah melakukan
kesilapan. Namun, ini tidak menghalang saya dari terus bergerak kehadapan untuk
memajukan diri. Sementara itu terdapat beberapa contoh bagaimana pengalaman
hidup ini menunjukkan kehidupan yang tidak beretika seperti meludah, membuang
sampah, mencuri dan bahan lucah. Sikap-sikap negatif seperti ini haruslah
dijauhi dari kehidupan kita supaya kita tidak terjerebak dan terikut-ikut.
3.UNDANG-UNDANG SEBAGAI
PANDUAN PILIHAN MORAL
Umum melihat undang-undang sebagai dasar kepada keputusan pengurusan
apabila berhadapan dengan sesuatu dilema etika. Justeru, undang-undang merupakan
satu set peraturan yang konsisten dan digubal oleh masyarakat dalam mengawal
kelakuan sesebuah masyarakat. Dalam erti kata lain, undang-undang memainkan
peranan yang penting dalam kehidupan manusia. Salah satu daripada kepentingan
undang-undang ialah mengatur pelbagai perjalanan hidup manusia tidak mengira
pangkat, warna kulit, agama, bangsa, ideologi politik dan sebagainya. Ini terbukti apabila undang-undang itu
sendiri mengatur dan menentukan peranan institusi atau badan kerajaan dalam
sesebuah negara.
Di negara kita, undang-undang yang digunakan berteraskan sistem
perundangan ‘Common Law’.
Undang-undang tertinggi iaitu Perlembagaan Malaysia menggariskan rangka
perundangan dan hak-hak warganegara Malaysia. Undang-undang persekutuan digubal
oleh Parlimen Malaysia berkaitan dengan seluruh negara. Terdapat juga
undang-undang negeri yang digubal Dewan Undangan Negeri (DUN) dan berkaitan
dengan negeri berkenaan. Perlembagaan Malaysia juga membenarkan sistem
kehakiman berganda yang unik iaitu undang-undang sekular dan undang-undang syariah.
Sementara itu, undang-undang juga berperanan sebagai ejen keamanan
dan kesejahteraaan. Undang-undang digunakan untuk mengawal masyarakat daripada
melakukan sebarang tindakan yang salah dan memudaratkan diri dan orang
ramai. Individu yang melanggar undang-undang akan dikenakan hukuman yang setimpal
dengan perbuatan mereka. Hukuman tersebut dibuat bertujuan untuk memberi
pengajaran kepada si pelaku dan orang ramai. Oleh itu, hak-hak dan kebebasan
setiap individu akan terpelihara dan akhirnya satu bentuk kehidupan sosial dan
poitik yang stabil dapat diwujudkan dalam masyarakat.
Namun, apa yang paling penting adalah undang-undang dapat dijadikan
sebagai panduan pilihan moral. Ini
bermaksud seseorang individu di dalam sesebuah masyarakat perlu merujuk kepada
undang-undang apabila berhadapan dengan dilema etika sama ada di dalam atau di
luar organisasi. Setiap individu yang
tinggal di dalam negara Malaysia tertakluk di bawah undang-undangnya.
Undang-undang ini boleh dijadikan panduan untuk bertindak apabila berlaku
situasi seperti berikut.
Dalam situasi pengaruh keluarga, jika ibu bapa yang membesar
anak-anaknya dengan cara yang tidak sepatutnya seperti mendera mereka, jika
didapati bersalah mereka anak dikenakan hukuman yang setimpal. Secara tidak
langsung, kebajikan anak-anaknya akan diambil alih oleh Jabatan Kebajikan
Masyarakat jika anak-anak mereka tidak mempunyai saudara mara terdekat yang
boleh menjaga mereka.
Selain itu, undang-undang juga boleh dijadikan panduan untuk
bertindak apabila berhadapan dengan dilema etika dalam pengaruh rakan. Di mana
jika penyalahgunaan kuasa yang telah diberikan seperti penyelewengan dari
perjanjian yang telah dibuat atau ditandatangani secara rasmi dan bertulis. Dalam
undang-undang, Jenayah pecah amanah ini telah diperuntukkan di bawah Seksyen
405 Kanun Keseksaan yang mana perkataan amanah dalam peruntukan ini merujuk
kepada semua kejadian yang mana seseorang yang telah diamanahkan itu
menyalahgunakan atau menjadikan harta itu seperti kepunyaannya sendiri. Secara
keseluruhannya, kesan daripada gejala pecah amanah ini boleh mengakibatkan
runtuhnya institusi dalam sesebuah negara itu sendiri sama ada dari segi
ekonomi, sosial mahupun politik kerana melibatkan golongan yang professional
dan mempunyai pendidikan yang tinggi. Sekiranya tidak diatasi secara berkesan
akan memberikan pelbagai masalah lain yang akan timbul.
Sementara itu, dalam bercakap soal undang-undang dari segi faktor
pengalaman hidup, kita tidak akan terlepas dari dikenakan tindakan. Antaranya
ialah seperti kesalahan membuang sampah merata-rata, memiliki bahan lucah,
mencuri dan sebagainya. hukuman yang dikenakan bagi kesalahan membuang sampah
merata-rata ialah Seksyen 47 Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 dan Akta
Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Akta 672). Bagi kesalahan
memiliki bahan lucah pula, hukuman yang boleh dikenakan ialah Seksyen 922 Kanun
Keseksaan (menyimpan video lucah) dan Seksyen 5 (1) ( A ) Akta Penapisan Filem
2002 (memiliki video lucah). Sementara itu, bagi kesalahan mencuri, hukuman
yang dikenakan ialah maka akta 574 seksyen 378 dan seksyen 379 Akta 574.
4.KESIMPULAN
Dalam dunia yang semakin mencabar ini, kita dapat lihat di mana etika
menjadi salah satu unsur yang penting dalam kehidupan manusia. Berdasarkan
kepada hal-hal yang telah dibincangkan di atas, ternyata etika membantu setiap
individu membentuk keharmonian, kesejahteraan, kerukunan dan kedamaian hidup. Daripada
sudut individu, seseorang yang beretika sentiasa menjaga perilakunya agar tidak
bertentangan dengan nilai-nilai dan kehendak moral dalam sesebuah masyarakat.
Ramai tidak mengetahui bahawa etika secara umumnya terbahagi kepada
dua jenis iaitu etika deskriptif dan normatif. Etika deskriptif merupakan
disiplin yang membicarakan sistem moral yang dianuti individu atau golongan dan
berbeza mengikut perbezaan individu, masa, tempat atau keadaan dan Ia
dibicarakan dalam aspek yang luas. Manakala etika normatif ialah menilai,
mengkritik dan membuat keputusan terhadap sistem moral yang ada. Selain itu,
ianya juga mencadangkan sistem etika yang standard berpandukan sistem yang
sedia ada seperti etika pemimpin dan etika perubatan. Selalunya individu yang
beretika mempunyai kualiti emosi yang membantu mereka membentuk sifat-sifat positif
seperti sabar, rajin, rasional, bertanggungjawab dan sebagainya. Dalam pada itu, dari segi mental individu
yang beretika mulia tidak gemar memikirkan perkara-perkara yang tidak berfaedah
dan sia-sia. Mereka akan sentiasa membuat pertimbangan daripada sudut baik dan
buruk sesuatu perkara sebelum mengambil tindakan. Justeru, individu yang sentiasa mengamalkan
etika yang baik mempunyai sifat-sifat terpuji dan jati diri yang unggul dan
nilai etika tersebut mempengaruhi falsafah hidup, gaya berfikir dan tindak-tanduknya.
Perbincangan tentang etika ini dihuraikan dalam tiga faktor di atas
iaitu pengaruh keluarga, pengaruh rakan dan pengalaman hidup. Di samping itu, undang-undang
yang dilaksanakan oleh masyarakat mestilah konsisten, menyeluruh, telah
diwartakan, boleh diterima oleh seluruh masyarakat dan dikuatkuasakan setelah
diwartakan. Peraturan yang ditetapkan oleh undang-undang adalah sebagai
membendung dan melakukan halangan daripada perbuatan tidak bermoral dan tidak
beretika daripada terus berpanjangan. Undang-undang ini akan menjadikan
seseorang individu itu lebih beretika dan bermoral apabila dikenakan hukuman
dan tindakan undang-undang ke atas kesalahan yang dilakukannya.
Sebagai sebuah negara yang aman dan makmur dan menjadi contoh di
mata dunia, setiap individu yang bergelar rakyat dan warganegara perlu
menunjukkan etika yang positif kepada para pelancong luar yang dating ke
Malaysia. Lebih-lebih lagi, pada tahun ini negara merupakan detinasi pilihan
dalam tahun melawat Malaysia. Slogan ‘Malaysia
Truly Asia’ amatlah bersesuaian dan tepat dalam menggambarkan nilai etika
masyarakatnya. Dalam erti kata lain, selagi sesebuah masyarakat itu dapat
mengekalkan tahap amalan etika yang tinggi, selama itulah masyarafkat tersebut
akan terus maju dan berkembang. Sejarah juga telah banyak membuktikan bahawa
beberapa tamadun agung yang pernah mengukir nama di mata dunia akhirnya tumpas
dan lenyap seperti tamadun Babylon di Iraq, Mesir, Rome dan banyak lagi. Hal
ini disebabkan oleh para pemimpin dan masyarakatnya sudah tidak bermoral dan tidak
beretika dalam menjalani kehidupan mereka.
2551 Perkataan
APENDIKS
5.RUJUKAN / REFERENSI
Maksud Etika. (n.a.).
[Online]. Available :
http://syadidhabib.blogspot.com/2010/10/maksud-etika.html.
[2014, Mei 25].
Konsep Etika : Definisi.
(n.a.). [Online]. Available :
http://ciptaan-mulia.blogspot.com/p/konsep-etika.html.
[2014, Mei 25].
Definisi Etika. (2010)
[Online]. Available :
http://erniritonga123.blogspot.com/2010/01/definisi-etika.html.
[2014, Mei 25].
Pengertian Etika Dan Beberapa Istilah Dalam Etika. (2013). [Online]. Available :
beberapa-istilah.html. [2014, Mei 25].
Etika Profesi Dan Tanggungjawab Profesi. (2006). [Online]. Available :
[2014, Mei 26].
Professional Ethics.
(n.a.). [Online]. Available :
http://madzani.blogspot.com/2013/05/professional-ethics.html.
[2014, Mei 26].
Faktor Pembentukan Etika Dan Penguatkuasaan
Undang-undang. (n.a.). [Online].
pembentukan-etika-dan.html. {2014, Mei 26].
10 Keperibadian Yang Harus Dihindari. (n.a.). [Online]. Available :
http// www.carapedia.com. [2014,
Mei 26].
Pembentukan Etika Individu. (n.a.). [Online]. Available :
http://dplipersatuan.blogspot.com/2012/10/apa-itu-etika.html.
[2014, Mei 26].
Beberapa Faktor Yang Penting Dalam Pembentukan Etika
Individu. (n.a.). [Online].
[2014, Mei 26].
Kemahiran Penting Dalam Mengatasi Pengaruh Rakan
Sebaya. (2011). Available :
mengatasi-pengaruh-rakan-sebaya-kata-taib. [2014, Mei 26].
No comments:
Post a Comment