1.PENGENALAN
Setiap manusia merupakan makhluk unik dan mempunyai tingkah laku
yang kompleks serta sifat yang berbeza antara satu sama lain. Sesetengah
tingkah laku tersebut mempunyai perbezaan yang ketara dengan orang lain atau
masyarakat sekeliling sehingga tingkah laku tersebut dianggap sebagai tingkah
laku abnormal. Justeru, pelbagai perkataan muncul seperti ‘sasau’, ‘gila’,
‘tidak siuman’ dan sebagainya untuk menggambarkan tingkah laku yang dianggap
abnormal tersebut. Dalam erti kata lain, psikologi abnormal adalah salah satu
kajian dalam ilmu psikologi yang mempelajari kecelaruan psikologi pada
seseorang individu.
Oleh itu, definisi abnormal amat penting untuk difahami dan bukan
untuk membezakan dan mengasingkan seseorang individu itu daripada masyarakat
sekeliling tetapi untuk mengelakkan salah faham serta anggapan yang tidak tepat
oleh masyarakat itu sendiri dan secara tidak langsung akan memberikan kesan
dalam hidup individu itu sendiri. Dengan memahami definisi abnormal, bantuan
segera boleh diberikan agar mereka yang dikatakan abnormal ini tidak terabai
atau tidak dipeduli. Dalam usaha mengenal pasti dan mengkaji tingkah laku yang
dikatakan abnormal, kajian dari perspektif sejarah amat penting kerana kajian
ini dapat membantu memahami proses bagaimana konsep dan kaedah rawatan
komtemporari terbentuk. Ini kerana sesuatu konsep atau teori tidak terbentuk
daripada intelektual vakum atau infiniti. Idea dan formula tentang tingkah laku manusia lebih
mudah difahami jika kita mengikuti sejarahnya.
Salah satu aspek psikologi abnormal yang telah dan masih
diperdebatkan ialah punca kecelaruan tingkah laku. Melalui perspektif sejarah
manusia telah mencipta teori untuk menjelaskan tentang gangguan psikologi ini.
Secara umumnya, teori-teori ini boleh dikategorikan kepada tiga tradisi yang
khusus iaitu kepercayaan mistik, saintifik atau perubatan dan kemanusiaan.
Penjelasan tingkah laku abnormal melalui tradisi kepercayaan mistik mengaitkan
tingkah laku abnormal sebagai manifestasi penguasaan atau rasukan semangat
jahat. Tradisi saintifik dan perubatan pula mengaitkan tingkah laku abnormal
dengan fenomena semulajadi seperti ketidakseimbangan biologi, proses
pembelajaran yang salah atau tekanan emosi. Sementara itu, tradisi kemanusiaan
cenderung membincangkan tingkah laku abnormal sebagai akibat daripada faktor
persekitaran. Justeru dalam tugasan kali ini, saya akan menghuraikan tentang
pendekatan biopsikososial dalam pengurusan kecelaruan psikologi, model
biopsikososial serta hubungan antara biopsikososial dan elemen kerohanian bagi
merawat pelbagai jenis kecelaruan psikologi.
2.PENDEKATAN
BIOPSIKOSOSIAL
Biopsikososial adalah model umum atau pendekatan yang menyatakan
bahawa biologi, psikologi memainkan peranan penting dalam fungsi manusia dalam
konteks penyakit atau penyakit. Dalam pada itu, paradigma biopsikososial adalah
istilah teknikal bagi konsep yang popular dibahagian ‘Sambungan minda-badan’
yang menangani hujah-hujah yang lebih falsafah antaranya model biopsikososial
dan bioperubatan dan bukannya penerokaan empirikal dan aplikasi klinikal.
Sementara itu, pendekatan biopsikososial telah diperkenalkan oleh
George L Engel dan John Romano (1977) dimana mereka menekankan kepada
pentingnya memahami kesihatan manusia dan penyakit dalam konteks mereka
sepenuhnya sama ada dari segi biologi, psikologi dan sosial. Dalam erti kata
lain, pendekatan biopsikososial adalah kaedah dengan interaksi biologi, psikologi
dan faktor sosial untuk mengubati penyakit dan meningkatkan kesihatan yang
lebih baik. Ini adalah kombinasi dari tubuh, fikiran dan lingkungan bukan hanya
tubuh dan perubatan atau bioperubatan. Pendekatan biopsikososial dalam dunia
perubatan ini melibatkan suatu konsep hubungan interaksi antara faktor biologi,
psikologi dan sosial dalam usaha memahami suatu proses penyakit dan sakitnya
seseorang individu. Pendekatan ini pula yang membawa pengertian bukan saja dari
segi perubatan fizikal tetapi juga dari keadaan psikologi yang dipengaruhi oleh
faktor persekitaran. Konsep biopsikososial membolehkan suatu pemahaman yang
menyeluruh tentang munculnya suatu keadaan sakit yang dihubungkan dengan faktor
persekitaran dan tekanan yang saling berkaitan. Sebaliknya, keadaan
persekitaran dalam hal sokongan sosial dalam konsep biopsikososial dapat
memberikan perubahan pada keadaan pesakit. Biologi dengan menggunakan ubat,
psikologi dengan menggunakan psikoterapi, sosial dengan menggunakan sokongan
dan pengubahsuaian sosial.
Dari segi reaksi dan pendekatan biologi menurut Carpenito (1997)
dengan adanya ‘impairment’, ‘disability’,
‘functional limitation’ akan berpengaruh terhadap pemintaan keperluan asas
manusia sehingga boleh terjadi gangguan seperti perubahan pemakanan, perubahan
keselesaan, kerosakan mobiliti fizikal, risiko terhadap kecederaan, kurang
penjagaan diri dan sikap tidak toleran pada sesuatu aktiviti. Berlaku
perubahan-perubahan pada penampilan, status dan peranan, mobiliti fizikal,
aktiviti dan pekerjaan seharian yang mempengaruhi kehidupan seharian dalam perhubungan
dengan orang lain kerana terdapat perbezaan antara keadaan sihat dengan keadaan
sakit khususnya dalam memenuhi keperluan asas manusia di mana dalam keadaan
sakit memerlukan bantuan orang lain. Kesan fizikal tersebut menyebabkan berlakunya
keadaan yang menekan atau tekanan pada diri pesakit. Dengan demikian,
pengendalian secara fizikal misalnya melalui fisioterapi dan psikologi misalnya
pengendalian stres sangat baik dilakukan seawal mungkin kerana melalui
pengendalian tersebut diharapkan pesakit akan cepat merasa tenang, terlepas
dari keadaan stres dan perasaan tertekan sehingga dengan demikian diharapkan
pesakit dapat memperoleh ‘prognosis’ yang lebih positif.
Sementara itu, dari segi reaksi dan pendekatan psikologi pula, pesakit
kecelaruan psikologi akan mengalami beberapa keadaan psikologi seperti kejutan
pada saat menerima khabar berita tentang diagnosis penyakitnya dari hasil
pemeriksaan doktor, penolakan di mana mereka merasa tidak percaya akan penyakit
yang dihadapi dan menyalahkan hasil pemeriksaan yang dijalankan, marah serta
berusaha menafikan keadaan sakit dan selalu menyesali mengapa semua ini terjadi
pada dirinya, kebimbangan serta ketakutan dengan adanya kerosakkan, ngeri,
penurunan berat badan, kekurangan dari segi kewangan dan sebagainya, kemurungan,
putus asa serta merasa tidak dapat menjalankan aktiviti atau keadaan seperti selalu
dan perasaan malu. Justeru, pendekatan yang harus dilakukan ialah seperti menjadi
orang yang terdekat untuk dapat mengekspresikan perasaan dan pemikirannya. Dalam
keadaan yang tertekan, seseorang individu akan mencari sokongan dari pegangan
agamanya. Selain itu, memberikan sokongan kepada mereka agar dapat menerima
keadaan sakit yang dialami, khususnya jika penyakit yang memerlukan proses
pemulihan yang lama dengan hasil yang belum pasti. Selain solat atau berdoa,
membaca kitab suci dan amalan ibadah lain membantu memenuhi keperluan kerohanian
dan mendapatkan kekuatan untuk meneruskan hidup. Disamping berusaha mengimbangi
keadaan psikologi ini kerana jika tidak akan mempengaruhi pada keadaan biologi
atau fizikal secara tidak langsung keadaan psikologi yang buruk akan melambatkan
lagi keadaan dan proses penyembuhan penyakitnya.
Dan yang terakhir iaitu dari segi reaksi dan pendekatan sosial di
mana berlakunya perubahan dalam kehidupan sosial seseorang individu seperti
kehilangan pekerjaan, perubahan peranan dan tugas di rumah, gangguan interaksi
sosial dan cenderung menarik diri dan menyendiri, merasa tidak mampu dan tidak
sempurna dalam melakukan ibadah, kegiatan atau aktiviti lain yang pernah
dilakukannya. Keadaan psikologi seperti marah, tersingggung atau kemurungan
akan membuat interaksi sosialnya semakin tidak baik, selalu merasa rendah diri
dengan keadaanya sehingga dia menarik diri daripada interaksi dengan orang
lain. Pendekatan sabar dan sentiasa berada disamping mereka yang menghadapi
keadaan seperti yang dimaksudkan sedikit demi sedikit akan terhakis dan mereka
akan merasakan ketenangan sehingga pada akhirnya akan memberi kesan pada proses
fisiologik atau biologi iaitu penyembuhan penyakitnya.
Menurut Azizi Yahaya (2007), ketiga-tiga reaksi dan pendekatan yang
dihuraikan diatas selalunya dijalankan di hospital tertentu atau hospital
mental kepada pesakit atau pesakit mental yang telah hampir sembuh.
Pesakit-pesakit juga didedahkan kepada pengetahuan tentang kemahiran-kemahiran
tertentu seperti pertukangan, pertanian, jahitan, mekanikal dan sebagainya
sebagai persediaan kepada mereka untuk bersosial dan berdikari. Menurut beliau
lagi, program ini tidak sesuai dijalankan kepada pesakit-pesakit mental yang
kronik dan masih bergantung kepada ubat-ubatan. Latihan-latihan kemahiran
sosial yang dijalankan ini sebenarnya sangat membantu proses pemulihan
insan-insan yang kurang bernasib baik. Pergaulan dan latihan kemahiran yang
diterima oleh mereka dapat mengembalikan perasaan percaya diri dan keyakinan
untuk berhadapan dengan masyarakat sekitar.
3.MODEL BIOPSIKOSOSIAL
YANG DIGUNAKAN DALAM MERAWAT KECELARUAN PSIKOLOGI DAN ALASAN
Perkembangan sains sosial telah memberikan banyak manfaat kepada
keselesaan dalam kehidupan manusia. Justeru, setiap manusia akan berhadapan
dengan pelbagai masalah di mana sesetengah orang berupaya menangani masalah
dengan hati yang terbuka dan mereka menerima kelemahan diri, memperbaiki dan
bersedia menerima pembaharuan. Sesetengahnya pula tidak berupaya untuk
menangkis permasalahan yang wujud dan melanda dalam kehidupan mereka. Dengan
ini, dapat disimpulkan bahawa manusia merupakan makhluk yang unik dan mempunyai
pelbagai potensi yang boleh mempengaruhi tingkah laku mereka. Tingkah laku
manusia dipengaruhi oleh beberapa aspek dalam model biopsikologi seperti
biologi, psikologi, sosial, kerohanian (spiritual) dan ekosistem dari seluruh
aspek tersebut mempunyai hubungan antara satu sama lain.
Oleh itu, saya memilih aspek terapi biologi dalam model biopsikologi
yang digunakan dalam merawat kecelaruan psikologi untuk dibincangkan dan
dihuraikan. Alasan mengapa saya memilih terapi ini adalah kerana melalui
pemahaman saya di mana terapi biologi yang diberikan kepada pesakit untuk mengurangkan
atau menghapuskan simptom-simpton kecelaruan psikologi. Menurut Kaplan dan
Saddock (2003), mereka menyatakan bahawa cara ini dapat mengubah cara tubuh
badan berfungsi kerana melibatkan penggunaan ubat-ubatan tertentu, penggunaan
TEK dan psikosurgeri.
Penggunaan ubat-ubatan untuk merawat penyakit psikosis (mental) atau
kecelaruan psikologi sering kali menjadi asas kepada keberkesanan sesuatu
rawatan. Kaedah terapi ini dikatakan lebih berkesan. Namun, untuk mendapatkan
keberkesanan maksimum pengambilan ubat-ubatan berasaskan dadah ini mestilah
diambil secara berterusan untuk suatu tempoh masa yang mencukupi yang disyorkan
oleh ahli psikiatri. Menurut Kaplan dan Saddock (2003), penggunaan ubat dengan
dos terlalu rendah atau dengan tempoh pengambilan yang singkat akan mendedahkan
pesakit kepada risiko dan kegagalan proses terapi tersebut. Ubat-ubatan yang
digunakan dalam terapi biologi terbahagi kepada tiga jenis yang utama iaitu
ubat-ubatan psikotropik, psikoaktif dan psikoteraputik. Sementara itu, ubat-ubatan
tersebut dibahagi pula kepada tiga kategori iaitu ubat-ubatan antipsikotik di
mana digunakan untuk mengubati penyakit psikosis, ubat-ubatan anti kemurungan
digunakan untuk merawat kecelaruan kemurungan dan yang terakhir ubat-ubatan
anti kebimbangan di mana digunakan untuk merawat kecelaruan kebimbangan.
Kaplan dan Saddock (2003) ada menerangkan bahawa ubat-ubatan
psikoteraputik ini akan ke kawasan otak melalui salur darah. Apabila ubat ini
sampai ke usus besar ubat ini akan diserap ke dalam salur darah yang seterusnya
membawanya ke otak. Ubat yang berkisar dalam plasma darah dinamakan ‘lingkungan
protein’ manakala ubat yang berkisar ke seluruh plasma darah dinamakan ‘bebas’.
Hanya darah yang ‘bebas’ sahaja dapat sampai ke otak. Ubat dalam ‘lingkungan
protein’ kemudiannya disalurkan keluar melalui empat cara metabolism iaitu
oksidasi, pengurangan, hidrolisis dan konjugasi. Proses metabolism ini mengubah
banyak komponen ubat yang tidak aktif kepada proses teraputik yang aktif.
Lebihan ubat akan diserap ke hati dan hempedu serta dikeluarkan melalui organ
perkumuhan. Kaplan dan Saddock seterusnya menegaskan bahawa proses diagnosis
simptom-simptom penyakit sangat penting dalam rawatan terapi biologi ini.
Dua perkara utama yang perlu diambil kira ialah analisis penyakit
yang tepat dan identifikasi simptom-simptom yang hendak disasarkan. Untuk
maksud diagnosis pesakit hendaklah bebas daripada ubat-ubatan untuk jangka masa
sekurang-kurangnya satu hingga dua minggu. Pemilihan jenis ubat hendaklah
bertepatan dengan masalah pesakit dan punca penyakit yang hendak dirawat.
Kegagalan untuk mengenal pasti penyakit yang tepat akan menghasilkan keputusan
perubatan yang negatif. Selain itu, penggunaan ubat-ubatan dalam terapi biologi
telah dikenal pasti mendatangkan beberapa kesan kepada pesakit. Pesakit
haruslah diberikan penerangan tentang kesan ubat-ubatan yang digunakan untuk
mengelakkan komplikasi berlaku.
Sementara itu, penggunaan TEK atau terapi elektrokonvulsif yang juga
disebut sebagai terapi kejutan. Ladislas J. Von Meduna (1934) telah mempelopori
penggunaan kaedah ini dan berjaya merawat kecelaruan katatonik. Arus elektrik
dengan kekuatan 70 hingga 150 volt disalurkan untuk beberapa ketika ke dalam
kepala pesakit. Arus elektrik tersebut akan menyebabkan pesakit hilang
kesedaran dan bertindak mengaktifkan neuron-neuron tertentu dalam otak. Sebelum
memulakan rawatan TEK pesakit hendaklah menjalani pemeriksaan fizikal untuk
memastikan sama ada mereka sesuai atau tidak untuk menjalani rawatan TEK. Rawatan
ini kebiasaannya dilakukan pada waktu pagi. Pesakit perlu berpuasa
sekurang-kurangnya lapan jam sebelum menjalani rawatan ini dan akan diberikan
sejenis ubat ‘barbiturate’ di mana
ubat ini akan memberikan kesan yang lebih cepat. Terapi ini juga sesuai dan berkesan
untuk pesakit skizofrenia dan epilepsi.
Selain itu, dalam psikosurgeri menurut Gerow (1986), beliau
mencatatkan bahawa psikosurgeri sebagai suatu bentuk terapi yang boleh
diaplikasi untuk rawatan kepada penyakit-penyakit psikosis atau kecelaruan psikologi.
Rawatan ini merupakan suatu pembedahan yang dilakukan di bahagian otak untuk
memberikan kesan kepada psikologi dan perubahan tingkah laku pesakit.
Pembedahan ini juga dipanggil ‘lobotomi prefrontal’. Suatu pembedahan kecil
akan dilakukan ke atas saraf-saraf utama yang menghubungkan bahagian hadapan
sereblum dan bahagian tengah otak. Bahagian tersebut dipercayai bertanggungjawab
kepada perubahan emosi. Menurut Gerow (1986), beliau ada menyebut kemungkinan
pesakit psikosis yang kronik mempunyai kesukaran menyelaraskan kedua-dua
bahagian otak tersebut. Rawatan ini boleh dilakukan oleh ahli psikiatri dengan
menggunakan ubat anestatik biasa. Pembedahan ini dijalankan dengan memasukkan
alatan seperti pemegang ais melalui rongga mata sehingga sampai ke otak.
Sedikit carikan pada otak akan dilakukan dengan tujuan menghilangkan
penyakit-penyakit psikosis yang dialami. Sementara itu, menurut Coleman et. al
(1984) dalam kajiannya, pesakit yang menjalani rawatan ini terdedah kepada kesan
samping yang teruk dan hampir satu perempat pesakit yang menjalani pembedahan
psikosurgeri ini menemui maut. Selain itu, pesakit yang menjalani proses
rawatan ini dengan selamat terdedah pula kepada masalah hilang ingatan,
ketidakupayaan merancang, keletihan, masalah deria dan sawan. Walau apa pun
kesan sampingan yang wujud dari kaedah ini tetapi yang inilah yang merupakan penyelesaian
yang terbaik dalam merawat kecelaruan psikologi yang dihadapi oleh sesetengah
individu.
4.HUBUNGAN ANTARA
BIOPSIKOLOGI DAN ELEMEN KEROHANIAN DALAM MERAWAT KECELARUAN PSIKOLOGI
Menurut Jensen dan Bergin (1988), sebahagian besar ahli professional
mempercayai bahawa nilai manusia dan gaya hidup mempunyai kesan yang mendalam
terhadap kesihatan mental dan keberfungsian emosi dan sesetengah nilai itu lebih
mengikut kesejahteraan mental daripada
yang lain. Kajian juga membuktikan bahawa spiritual atau kerohanian memainkan
peranan penting di mana ianya melibatkan keagamaan. Hubungan antara
biopsikologi dan elemen kerohanian saling berkaitan dalam merawat kecelaruan
psikologi. Menurut Belavich (1998), beliau membuktikan bahawa sembahyang dan
kepercayaan kepada Tuhan sebagai dua sumber berdaya tindak yang paling popular.
Sumber berdaya tindak lain termasuklah bimbingan daripada orang-orang yang alim
dan berkomunikasi dengan Tuhan melalui upacara sembahyang. Pendapat ini
dipersetujui oleh Hathoway dan Pergament (1992) yang menyatakan bahawa apabila
berhadapan dengan masalah seseorang yang beragama mempunyai pelbagai jenis
berdaya tindak yang diambil dari aspek kerohanian dan kognitif.
Sementara itu, dalam biopsikososial pula, ianya memberikan suatu
gambaran yang menyeluruh tentang munculnya suatu keadaan sakit yang dihubungkan
dengan faktor persekitaran dan tekanan yang berkaitan di dalamnya. Keadaan
persekitaran dalam hal sokongan sosial ini juga boleh memperbaiki keadaan. Keadaan
kesihatan jiwa seseorang dapat dilihat sebagai suatu keadaan yang melibatkan
faktor biologi, psikologi dan sosial orang tersebut. Secara biologi, gangguan
pada keadaan kesihatan jiwa seseorang disebabkan kerana ketidakseimbangan
sistem hormon dan ‘neurotransmiter’ di otak. Secara psikologi, gangguan keadaan
kesihatan jiwa disebabkan oleh mekanisme adaptasi psikologi individu yang tidak
berfungsi dengan baik. Dalam pada itu secara sosial pula, keadaan gangguan
kesihatan jiwa dapat dicetuskan oleh persekitaran yang tidak selesa serta penuh
dengan tekanan dan ketakutan. Ketiga-tiga faktor tersebut akan menyumbang
secara sinergi dalam terjadinya gangguan kesihatan jiwa atau kecelaruan psikologi.
Dengan mengetahui keadaan tersebut maka penatalaksanaan gangguan kesihatan jiwa
juga melibatkan ketiga-tiga faktor di atas. Biologi dengan menggunakan ubat,
psikologi dengan menggunakan psikoterapi, sosial dengan menggunakan sokongan
dan pengubahsuaian sosial.
Dalam membincangkan aspek kerohanian pula beberapa kajian mengaitkan
elemen kerohanian dengan peningkatan kebolehan berdaya tindak apabila
berlakunya krisis. Kajian yang dilakukan oleh Folkman dan Lazarus (1999) ke
atas sekumpulan ahli professional lelaki dan wanita yang menghadapi masalah
psikologi yang tinggi mendapati bahawa subjek kajian mereka yang mempunyai
tahap kerohanian yang tinggi kurang menghadapi masalah psikologi jika
dibandingkan dengan subjek kajian mereka yang mempunyai tahap pegangan agama
yang rendah. Kajian empirikal menunjukkan agama sering kali dihubungkaitkan
secara positif dengan kesihatan mental, emosi dan keberfungsian sosial.
Manakala kajian oleh Glaser dan Bozarth (2001) mendapati kerohanian yang
positif adalah sangat perlu untuk perkembangan diri yang sihat dan
keberfungsian. Seseorang yang mempunyai identiti kerohanian yang positif akan
berfungsi lebih baik dari segi interpersonal dan emosi.
West (2002) berpendapat bahawa kerohanian menjadi sebahagian
daripada kehidupan dan dilihat serta diakui sebagai sesuatu yang berharga. Oleh
demikian, sudah tiba masanya ahli terapi membincangkan realiti akan kepentingan
elemen kerohanian dalam kaunseling. Ini juga sebagai satu usaha untuk melawan
syak wasangka dan prejudis terhadap kaunseling yang menafikan kewujudan elemen
kerohanian kerana menurut Richards dan Bregin (1997), pesakit yang bertindak
berlawanan dengan nilai dan sistem akan menghadapi masalah emosional dan
interpersonal. Justeru, seseorang yang tidak mempunyai kerohanian dalam
kehidupan, sering kali tidak akan merasai hubungan dengan kasih sayang Tuhan
dalam kehidupan mereka serta kurang tujuan dan makna dalam kehidupan. Namun
sebaliknya, jika seseorang yang mempunyai identiti kerohanian yang tinggi
selalu merasakan dia berhubungan dengan Tuhan dan mempunyai harga diri yang
lebih tinggi, mempunyai tujuan dan makna dalam kehidupan serta berupaya
memenuhi potensi diri yang lebih bermakna.
5.KESIMPULAN
Dalam kehidupan seharian, kecelaruan psikologi sering dikaitkan
dengan perilaku dan penampilan fizikal yang melampau atau dramatik. Kebanyakan
orang akan memulaukan, menjauhi, takut bahkan memusuhi pesakit kecelaruan
psikologi. Seseorang yang mengalami kecelaruan psikologi mempunyai suatu
ketidakseimbangan dalam cara berfikir. Beliau mungkin kelihatan sihat secara
fizikal atau normal tetapi sebenarnya pemikirannya sakit. Ada banyak jenis
kecelaruan psikologi dari yang parah dan sampai yang ringan. Namun, sebahagian
besar mereka yang menderita bentuk ringan yang akan dapat berubah menjadi parah
dari masa ke masa. Jika gangguan menjadi parah, orang yang menderita biasanya
tidak akan mempunyai hubungan dengan masyarakat atau akan berkelakuan dalam
cara yang tidak normal. Menurut Nevid (2000) terdapat beberapa faktor yang menyebabkan
berlakunya kecelaruan kebimbangan antaranya ialah faktor tingkah laku,
persekitaran dan sosial, biologi, kognitif dan emosi.
Dalam pendekatan biopsikososial seperti yang dibincangkan diatas
kita dapat lihat di mana peranan
orang-orang terdekat serta masyarakat sekeliling sangat bermanfaat sehingga pesakit
kecelaruan psikologi ini tetap dan boleh berinteraksi dengan keadaan sekitar. Mereka
haruslah sabar dan sentiasa tidak
menjauhkan diri mereka dari pesakit kerana jika pesakit dapat bertahan dalam
interaksi sosialnya secara tidak langsung akan mempengaruhi keadaan psikologinya.
Keadaan keadaan psikologi sedikit demi sedikit akan terhakis dan pesakit akan
merasakan kedamaian dan ketenangan sehingga pada akhirnya akan memberi kesan pada
proses fisiologi atau biologi iaitu penyembuhan dari penyakit yang dihadapinya.
Sementara itu, dari sudut saintifik model biopsikososial yang
digunakan dalam merawat kecelaruan psikologi melalui aspek biologi dilihat
dapat memberi kesan yang lebih cepat di mana ianya dijalankan secara meluas
untuk mengembalikan kesejahteraan mental seseorang. Namun begitu tiada cara
rawatan yang benar-benar tepat dan berkesan untuk pesakit kecelaruan psikologi.
Pelbagai kajian berkenaan rawatan untuk pesakit masih lagi hebat diusahakan
oleh pakar-pakar. Malangnya, pada masa kini jumlah pesakit dan penderita
kecelaruan psikologi semakin meningkat dengan wujudnya simptom-simptom baru. Institusi
keluarga nukleus dan penerimaan masyarakat sangat penting dan mempengaruhi
proses pemulihan yang sedang dijalani oleh pesakit kecelaruan psikologi.
Dengan penambahan jumlah pesakit kecelaruan psikologi yang kian
bertambah kita dapat membayangkan cara hidup masyarakat hari ini yang bersifat
lebih ‘egosentrik’ serta kurang prihatin terhadap kaum keluarga sendiri.
Pengamalan cara hidup sihat, kesediaan diri untuk menerima cabaran-cabaran
dalam hidup dan pegangan agama menjadi tiang untuk menjamin kesejahteraan
mental dan rohani seseorang. Sementara itu, hubungan antara biopsikologi dengan
elemen kerohanian saling berkaitan di mana masing-masing mempunyai cara tersendiri
dalam menyelesaikan dan merawat kecelaruan psikologi tersebut.
2967 Perkataan
APENDIKS
6.RUJUKAN / REFERENSI
Ab Alim Abdul
Rahim, (1994). Pengantar Psikologi
Bilazim. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Abram, S. E.
(2006). Pain Medicine: The Requisities in
Anesthesiology. United States: Mosby, Inc.
Achlis.
(1995). Studi Perilaku dan Lingkungan
Sosial Manusia. Bandung: Koperasi Mahasiswa Sekolah Tinggi Kesejahteraan
Sosial.
Azizi Yahaya
& Jamaludin Ramli. (2007). Psikologi
Abnormal. Johor: Penerbit Universiti Teknologi Malaysia.
Azizi Yahaya,
Cathy Suhaila Abdullah, Roslee Ahmad & Sharifuddin Ismail. (2005). Punca Dan Rawatan Kecelaruan Tingkah Laku.
Selangor: PTS Professional.
Barlow, D. H.
& Durand, V. M. (2004). Abnormal
Psychology: An Integrative Approach. (5th Edition). Canada: Wadsworth
Cengage Learning.
Bond, M. R.,
& Simpson, K. H. (2006). Pain: Its
Nature and Treatment. United Kingdom: Elsevier Ltd.
Coon, D.
(2002). Psychology A Journey. United
States: Wardsworth Thomson Learning, Inc.
David Healy.
(2002). The Creation of
Psychopharmacology. Cambridge, MA: Harvard University Press.
Edith
Ehrlich, Leonard H. Ehrlich, and George Pepper, eds., Karl Jaspers: (1994). Basic Philosophical Writings, Atlantic
Highlands. NJ: Humanities Press.
Karen
Huffman. (2007). Psychology In Action
(8th Edition). USA: John Wiley & Sons, Inc.
Kazanowski,
M. K., & Laccetti, M. S. (2002). Pain.
New Jersey: Slack, Inc.
Ma’rof
Redzuan & Haslinda Abdullah. (2002). Psikologi.
Universiti Putra Malaysia: McGraw-Hill.
Nevid,
Jeffrey S., dkk. (2005). Psikologi
Abnormal. Jakarta: PT Gelora Aksara Pratama
Apa yang Dimaksud Gangguan psikologi / Abnormal?. (2012). [Online].
dimaksud-gangguan-psikologis_26.html. [2015, Oktober 12].
Ciri-Ciri Gangguan Abnormal. (2012). [Online].
[2015, Oktober 13].
Keperibadian dilihat dari Pendekatan Biopsikologi,
Psikologi Sosial dan Humanistik.
(2011). [Online]. Available : https://psymagnet2.wordpress.com/2011/01/07
/kepribadian-dilihat-dari-pendekatan-biopsikologi-psikologi-
sosial-dan-humanistik/. [2015, Oktober 9].
Model Biopsikososial-Religius dan Model Ekosistem
(HBSE). (2014). [Online].
dan-model.html. {2015, Oktober 10].
Pendekatan Biopsikososial.
(2014). [Online].
Available : http://efikurniyawati61.blogspot.my/2014/11/
pendekatan-biopsikososial.html. [2015, Oktober 9].
Pendekatan Biopsikososial Pelanggan Dengan Penyakit
Kanser Cervik. (2011). [online].
Available : http://bidansrimulyanti.blogspot.my/2011/02/
pendekatan-biopsikososial-klien-dengan.html. [2015, Oktober 8].
Pengertian Psikologi Abnormal Jenis Gangguan
Personaliti. (n.a.). [Online].
jenis-gangguan-kepribadian/. [2015, Oktober 13].
Pengertian Teori Psikososial Albert Bandura. (2010) [Online].
teori-psikososial-albert-bandura/. [2015, Oktober 9].
Psikologi. (2010).
[Online].
[2015, Oktober 10].
Psikologi Abnormal.
(2012). [Online].
Available : http://kusbiantari.blogspot.my/.
[2015, Oktober 13].
Psikologi Abnormal: Kecelaruan Sakit (Pain Disorder). (n.a.). [Online].
kecelaruan-sakit-pain-disorder/.
[2015, Oktober 10].
Psychological problems and Disorders. (n.a.). [Online].
Available : http://psychologyinfo.com/problems/.
[2015, Oktober 10].
Teori Perkembangan Psikososial Erik Erikson. (n.a.). [Online].
erik.html. [2015, Oktober 9].
Terapi Psikososial : Sejarah Dan Perkembangan Konsep
Terapi Psikososial. (2013).
[Online]. Available : http://wwwdayatranggambozo.blogspot.my/2013/01/
terapi-psikososial.html. {2015, Oktober 8].
The Biopsychosocial Model in Psychiatry: A Critique. (n.a.). [Online].
[2015, Oktober 12].
The Biopsychosocial Model 25 Years Later: Principles,
Practice and Scientific Inquiry.
(n.a.). [Online]. Available : http://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/
PMC1466742/. [2015, Oktober 13].
The Psychological Disorders. (n.a.). [Online].
Available : http://users.ipfw.edu/abbott/120/PsychDisorders.html.
[2015, Oktober 10].
What is abnormality?. (n.a.).
[Online].
psychology-definition-and-common-disorders-studied.html.
[2015, Oktober 9].
No comments:
Post a Comment