Wednesday 2 March 2016

Assignment - Year 3 (Semester 2 - May) PENGAJIAN ISLAM MPW1143/2143

PENGENALAN
Dewasa ini, pendidikan memainkan peranan penting di mana penguasaan ilmu dalam pelbagai bidang perlu diberikan perhatian utama. Hal ini kerana, tuntutan zaman telah membuktikan bahawa pendidikan dan ilmu akan menjamin kejayaan seseorang itu jika digunakan secara bijaksana. Oleh itu, setiap individu hendaklah berusaha untuk mencari seberapa banyak ilmu yang mungkin untuk kesejahteraan hidup. Justeru, setiap individu khususnya para remaja hendaklah menggunakan masa muda mereka ini untuk mencari ilmu sebanyak yang mungkin.

Dalam erti kata lain, pendidikan dapat mengembangkan potensi individu ke arah membina akhlak, budi pekerti dan keperibadian mulia serta keimanan manusia. Pendidikan juga dapat membangunkan aspek sosial seseorang iaitu sumbangan kepada keluarga, masyarakat dan negara.

Malah, jika seseorang itu menguasai ilmu, pasti akan lahir sebuah generasi yang hebat dan mampu bersaing diperingkat global. Generasi seperti ini mampu untuk memajukan diri dan negaranya sendiri. Ilmu pengetahuan yang tinggi akan memberi kelebihan kepada tenaga mahir dalam menyumbang idea-idea bernas dalam penciptaan mereka.

Gambar : Pendidikan Itu Penting Walau Siapa Pun Kita
Sumber : futurechallenges.org



PENGERTIAN PENDIDIKAN DAN PERBEZAAN DENGAN PENDIDIKAN ISLAM
Pendidikan ialah suatu usaha sistematik yang disengajakan dan dibuat oleh sesuatu masyarakat untuk menyampaikan ilmu pengetahuan, nilai, sikap dan kemahiran kepada ahlinya, usaha untuk memperkembangkan potensi individu dan perubahan yang berlaku dalam diri manusia. Dalam erti kata lain, pendidikan merangkumi proses pengajaran dan pembelajaran kepakaran khusus dan juga sesuatu yang tidak dapat dilihat tetapi lebih mendalam dari segi pemberian pengetahuan, pertimbangan dan kebijaksanaan.

Pendidikan adalah segala daya upaya untuk memajukan budi pekerti, pikiran serta jasmani anak agar dapat memajukan kesempurnaan hidup iaitu hidup dan menghidupkan anak yang selaras dengan alam dan masyarakatnya. Swift D.F didalam bukunya yang berjudul “ Sociology of Education” menghuraikan pendapat-pendapat yang dikemukakan oleh beberapa orang sarjana dan ilmuan dari Barat berkenaan dengan pendidikan.  Antaranya ialah Plato yang berpendapat bahawa pendidikan ialah suatu proses untuk membentuk individu yang berakhlak mulia. Beliau menyokong pendapat Socrates bahawa tujuan pendidikan ialah memberi latihan moral kewarganaegaraan yang baik.  Menurut Aristotle pula, pendidikan ialah ilmu yang bersifat etikal dan politikal.  Tujuan pendidikan ialah memberikan setiap manusia peluang untuk mencapai kebahagiaan hidup.

Berdasarkan beberapa pendapat di atas, jelas bahawa pendidikan merupakan sebuah proses pendewasaan bagi setiap manusia agar lebih berguna serta bertanggungjawab atas dirinya sendiri dan orang lain serta sebagai suatu alat untuk menyiapkan para generasi dalam menghadapi tentangan global secara sihat. Namun, berbeza pula jika dibandingan dengan pendidikan islam.

Sebagai seorang yang beragama islam, apa yang saya tahu dan pelajari bahawa Islam meletakkan pendidikan di kedudukan yang paling penting. Ia merupakan satu ibadat yang besar. Kepentingan pendidikan ditekankan melalui wahyu yang pertama diturunkan oleh Allah SWT dalam surah Al-Alaq (Ayat 1–5) Firman Allah yang bermaksud; “Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang mencipta (sekalian makhluk). Dia menciptakan manusia daripada segumpal darah. Bacalah dan Tuhanmu Yang Maha Mulia yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan.” Dalam ayat tersebut, Allah SWT memerintahkan manusia agar belajar mengenal Tuhan, memahami fenomena alam dan diri manusia. Islam menekankan pendidikan duniawi dan ukhrawi. Konsep pendidikan bersepadu ini merupakan keistimewaan Islam. Ia berlawanan dengan aliran pemikiran Barat yang memisahkan ilmu kepada dua bahagian yang disebut sebagai teologi dan sains. Dalam Islam, ilmu teologi dan sains tidak boleh dipisahkan kerana kedua-duanya saling mempunyai hubungan dari sudut tauhid dan aqidah.

Dalam Islam juga, pendidikan merupakan satu pelajaran atau pendidikan bagi kognitif, fizikal dan roh untuk melahirkan insan yang berperikemanusiaan. Walau bagaimanapun, Islam tidaklah melihat pendidikan dari skop yang sempit dan tidak pula terbatas kepada pendidikan duniawi semata-mata bahkan meliputi dua lapangan iaitu di dunia dan akhirat. Dalam konteks ini, Ibn Khaldun telah membahagikan ilmu kepada dua bahagian yang utama iaitu ilmu fardhu ain dan ilmu fardhu kifayah. Sementara itu, menurut Prof. Dr. Omar Mohammad At-Toumi Asy-Syaibany, pendidikan islam sebagai proses mengubah tingkah laku individu pada kehidupan peribadi, masyarakat dan alam sekitarnya dengan cara pengajaran sebagai suatu aktiviti asasi dan sebagai profesion di antara profesion-profesion asasi dalam masyarakat.



FALSAFAH DAN MATLAMAT PENDIDIKAN ISLAM
Falsafah
Falsafah dapat ditakrifkan sebagai satu usaha untuk mencari suatu kebenaran atau keyakinan dengan suatu perkara dengan menggunakan kekuatan akal fikiran. Menurut falsafah pendidikan Islam, pendidikan dan kurikulum terbaik ialah berteraskan wahyu dan tauhid. Al-Syaibani menjelaskan bahawa falsafah pendidikan Islam ialah falsafah yang menerangkan dengan hikmah untuk menjadikan proses dan usaha pendidikan bagi satu bangsa. Pendidikan juga berperanan untuk menyediakan generasi muda dan masyarakat supaya beriman kepada Allah dan kepada apa yang diwahyukan oleh Nya.

Islam menyediakan falsafah yang jelas dan komprehensif dalam kehidupan termasuklah dalam bidang pendidikan. Gagasan pemikiran falsafah dalam Islam sekaligus membentuk ‘world view’ dan seterusnya memberi panduan membina visi dan misi pendidikan masyarakat Islam. Keutuhan dan keunikan pemikiran falsafah Islam ini semestinya kerana sumber rujukan yang menjadi asas pegangan dan panduan iaitu kitab al-quran dan sunnah Rasulullah SAW. Persoalan utama falsafah Islam iaitu Tuhan, insan dan alam dibincangkan dan dijelaskan dengan begitu terperinci dan lengkap agar kehidupan muslim tidak berpisah-pisah bagi mencapai kejayaan hidup di dunia dan kebahagian di akhirat.

Jadi, falsafah merupakan satu usaha untuk mencari kebenaran dan kebenaran itu sebenarnya hanya Allah SWT. Kalau kita mencari erti hakikat kehidupan maka ini merupakan falsafah. Hakikat kehidupan yang sebenar hanya Allah SWT  sahaja yang mengetahuinya. Yang kita tahu berdasarkan apa yang diberitahu oleh Allah SWT, maka itulah yang benar dan mutlak. Yang kita fikirkan sendiri dan tidak bersandarkan kepada kitab Allah SWT , maka ianya tidaklah benar, tidak mutlak dan bersifat relatif. Sebab itu timbulnya pelbagai falsafah hasil dari pemikiran manusia seperti Liberalisme, Idealisme, Asetisme, Eksistensialime, Hedonisme, Kapitalisme, Kommunisme dan banyak lagi.


Selain itu, menyebarkan pengalaman dan kebudayaan manusia daripada satu generasi ke generasi yang lain adalah salah satu tujuan falsafah pendidikan Islam. Dalam Islam, penyebaran pengalaman ini terbahagi kepada dua iaitu pengalaman dalam bentuk kemahiran serta pengetahuan teknikal yang sentiasa berubah–ubah setiap masa dan pengalaman berasaskan nilai–nilai yang terdapat dalam al-quran dan hadis. Bidang pendidikan Islam pula sangat luas kerana pendidikan Islam terbahagi kepada tujuh cabang utama iaitu Al-Imaniyah, Al-Khuluqiyah, Al-Jismiyah, Al-Aqiliyah, Al-Nafsiyah, Al-Ijlimaiyah dan Al-Jinisiyah.



Matlamat
Matlamat pendidikan Islam menurut pandangan Imam Abu Hamid al-Ghazali menyatakan bahawa matlamat pendidikan Islam itu adalah Bertaqarrub iaitu mendekatkan diri kepada Allah SWT tanpa niat untuk bermegah-megah atau berlumba-lumba. Sementara menurut Ibn Khaldun pula (1332–1406M), dalam kitabnya Al-Muqaddimah mengatakan pendidikan Islam mengarah kepada dua tujuan iaitu tujuan keagamaan dan tujuan ilmiah.

Sementara itu, menurut pandangan lain dari Al-Qabisi telah menyatakan matlamat yang paling utama ialah menyemai jiwa agama ke dalam sanubari kemudiannya membentuk tingkahlaku yang berakhlak. Beliau juga berpendapat bahawa tiada ertinya pendidikan itu jika tidak bertunjangkan kepada Al-Quran. Al-Quran adalah asas pendidikan sebelum menguasai ilmu-ilmu lain kerana pengajian al-Quran akan kekal dimiliki berbanding dengan ilmu-ilmu yang lain yang boleh hilang.


INSTITUSI-INSTITUSI PENDIDIKAN AWAL ISLAM
Institusi-institusi pendidikan awal Islam telah lama wujud selaras dengan perkembangan agama Islam lagi dan ditubuhkan sejak dari zaman Rasulullah SAW seperti Dar Al–Arqam, Masjid, Al Suffah, Al- Kuttab, Dur Al-Hikmah, rumah-rumah Ulamak dan Istana Khalifah, Madrasah dan perpustakaan dihuraikan seperti dibawah.


Dar Al–Arqam
Rumah merupakan tempat pendidikan awal yang diperkenalkan ketika Islam mula berkembang di Mekah. Rasulullah SAW menggunakan rumah Arqam bin Abi Al–Arqam sebagai tempat pertemuan dan pengajaran agama baru kepada para sahabat. Bilangan kaum Muslim yang hadir pada peringkat awal adalah terlalu kecil tetapi semakin bertambah sehingga menjadi 38 orang yang terdiri daripada golongan bangsawan Quraisy, pedagang dan hamba. Sementara itu, di Dar Al-Arqam juga, Rasulullah SAW mengajar wahyu yang telah diterima baginda kepada kaum Muslim. Baginda juga membimbing mereka dalam menghafal, menghayati dan mengamalkan ayat-ayat suci Al-Quran yang diturunkan kepada baginda.


Masjid
Fungsi masjid selain tempat ibadat ialah sebagai tempat penyebaran dakwah dan ilmu Islam. Selepas berhijrah ke Madinah, pendidikan Islam mula berpusat di masjid-masjid. Masjid Quba’ merupakan masjid pertama yang dijadikan Rasulullah SAW sebagai institusi pendidikan. Di dalam masjid, baginda mengajar dan memberi khutbah dalam bentuk halaqah di mana para sahabat duduk mengelilingi baginda untuk mendengar dan bersoal jawab berkaitan urusan agama dan kehidupan sehari-harian.

Semakin luas wilayah-wilayah yang ditakluk Islam, semakin meningkat bilangan masjid yang didirikan. Sebab itulah perkara pertama yang dilakukan oleh Rasulullah SAW ketika sampai ke Madinah ialah mendirikan masjid kerana melaluinya dapat menyatupadukan perpecahan kaum dan sebagainya. Antara masjid yang dijadikan pusat penyebaran ilmu dan pengetahuan ialah Masjid Nabawi, Masjidil Haram, Masjid Kufah, Masjid Basrah dan banyak lagi.

Pembelajaran yang dijalankan di masjid ketika itu merangkumi ilmu-ilmu agama seperti Tafsir, Hadith dan mempelajari Al-Quran dan seterusnya berkembang kepada mempelajari cabang-cabang ilmu Islam yang lain seperti Ilmu Kalam, Fiqh, Falsafah dan lain-lain.


Al-Suffah
Al-Suffah merupakan tempat untuk memberikan perkhidmatan kepada masyarakat seperti memberi perlindungan kepada orang-orang fakir dan perantau. Antara para sahabat yang pernah berlindung dalam Al-Suffah ialah Abu Hurairah Radiallahu Anhu.

Al-Suffah boleh dilihat sebagai sebuah sekolah kerana kegiatan pengajaran dan pembelajaran dilakukan secara sistematik dan teratur contohnya masjid Nabawi yang mempunyai Al-Suffah yang digunakan untuk majlis ilmu. Pembelajaran di Al-Suffah bukan setakat mempelajari Al-Quran pada waktu malam sahaja tetapi kebanyakan daripada mereka juga mempelajari cara menulis dan ilmu-ilmu yang lain pada sebelah siang.

Rasulullah SAW telah melantik para sahabat yang berkebolehan untuk menjadi guru. Di samping itu, baginda juga memerintahkan orang-orang tawanan Badar yang pandai menulis dan membaca supaya setiap seorang dari mereka boleh mengajar sepuluh orang kanak-kanak muslim di Madinah sehingga pandai bagi menebus diri mereka dari menjadi tawanan perang.


Al- Kuttab
Ditubuhkan oleh orang Arab sebelum kedatangan Islam lagi bertujuan untuk memberikan pendidikan asas kepada kanak-kanak di peringkat rendah seperti membaca dan menulis. Kuttab merupakan ruang yang dibina berhampiran dengan masjid dan keluasannya semakin bertambah mengikut kepadatan murid-muridnya.

Objektif utama pendidikan al-Kuttab ialah menghafal Al-Quran, Nahu dan Ilmu Hisab. Peringkat pembelajaran di al-Kuttab merupakan peringkat asas bagi seseorang kanak-kanak pada ketika itu sehinggalah mereka dewasa dan meneruskan pembelajarannya di masjid. Antara Kuttab yang terbesar ialah Kuttab Abil Qasim Al-Balkhi di Baghdad.


Dur Al-Hikmah
Pada zaman kegemilangan Abbasiah, orang-orang Islam telah pun bercampur gaul dengan pelbagai bangsa dan kebanyakan mereka terpengaruh dengan kemajuan dan budaya yang di bawa oleh bangsa tersebut. Oleh yang demikian, ulamak-ulamak Islam semakin berkembang pemikiran dan peradaban mereka dan bersaing untuk mempelajari ilmu-ilmu yang baru daripada mereka serta banyak membuat terjemahan buku dari bahasa asing ke bahasa Arab khususnya falsafah Greek.

Mereka juga berlumba-lumba mengumpulkan hasil tulisan mereka di Darul Al-Hikmah untuk menjadi rujukan dan bahan kajian orang ramai. Tempat ini juga menjadi tempat rujukan ulamak-ulamak dan orang yang menuntut ilmu. Antara Dur Al-Hikmah yang terkenal ialah Bait Al-Hikmah di Baghdad yang di asaskan oleh Khalifah Harun Al-Rasyid.


Rumah-rumah Ulamak Dan Istana Khalifah
Dalam pada itu, penyebaran ilmu pada zaman Abbasiah berlaku begitu pesat sehingga orang ramai boleh datang sendiri ke rumah-rumah ulamak untuk menuntut ilmu secara langsung dari mereka. Contohnya Ibnu Sina dan Iman Ghazali yang buka rumah mereka untuk orang ramai. Semasa zaman awal islam juga, rumah-rumah ulamak dan istana pembesar-pembesar adalah tempat berkumpulnya para ulamak dalam persidangan ilmu untuk berbincang, berdebat serta menyelesaikan pelbagai masalah ilmiah.


Madrasah
Madrasah Baihaqiyah merupakan madrasah yang pertama didirikan oleh penduduk Naisabur iaitu pada kurun ke-5 hijrah. Ia mula didirikan sebagai menggantikan masjid-masjid yang pada ketika itu tidak lagi dapat menampung keperluan pendidikan dari segi ruang dan kelengkapan pembelajaran.


Perpustakaan
Perpustakaan secara umum boleh dibahagikan kepada tiga iaitu perpustakaan umum, perpustakaan semi umum dan perpustakaan khusus. Perpustakaan umum ialah perpustakaan yang didirikan untuk kegunaan orang ramai. Perpustakaan umum pertama didirikan oleh Khalifah Harun al-Rasyidin di Kota Baghdad dan dikenali sebagai Baitul Hikmah. Perpustakaan Semi Umum pula tidak dibuka kepada orang ramai tetapi hanya terbuka kepada golongan-golongan tertentu sahaja yang mempunyai kedudukan tinggi.

Manakala perpustakaan khusus merupakan perpustakaan persendirian yang tidak membenarkan sesiapa pun menggunakan perpustakaan ini melainkan empunya perpustakaan.



KAEDAH PENDIDIKAN TERHADAP ANAK-ANAK MENURUT PERSPEKTIF ISLAM DAN SARANAN MENYUBURKAN ELEMEN PENDIDIKAN DALAM KEHIDUPAN
Kaedah pendidikan
Menurut perspektif Islam, pendidikan kanak-kanak ialah proses mendidik, mengasuh dan melatih rohani dan jasmani mereka berteraskan nilai-nilai baik yang bersumberkan Al-Quran, Hadis dan pendapat serta pengalaman para ulamak. Ia bertujuan melahirkan yang beriman, bertakwa dan beramal soleh. Ianya melibatkan beberapa peringkat bermula dari dalam kandungan sehinggalah mereka lahir dan menjadi dewasa. Antaranya adalah seperti yang dihuraikan dibawah.


Membentuk Dunia Kanak-kanak
Sebelum anak-anak dilahirkan, ibu bapa perlu menyediakan tempat yang sesuai untuk membesarkan anak dengan sebaik-baiknya dan membentuk suasana harmoni dan bercirikan keislaman dalam kehidupan rumahtangga terlebih dahulu.

Ibu bapa perlu menghayati nilai-nilai keislaman dalam kehidupan rumahtangganya supaya mudah untuk mendidik anak-anak dengan nilai-nilai Islam. Sebaliknya, jika mereka gagal menerapkan nilai-nilai Islam dan mengekalkan kerukunan rumah tangga maka agar sukar bagi mereka mentarbiyah anak-anak mengikut acuan dan budaya kehidupan Islam.


Ketika Anak Dalam Kandungan
Proses pendidikan mula berlaku ketika bayi masih berada dalam kandungan ibunya. Pendidikan pada peringkat ini lebih bercorak kerohanian. Bagi ibu-ibu yang mengandung digalakkan supaya memperbanyak bacaan Al-Quran terutama surah Yusuf, Mariam, Luqman dan At-Taubah. Faktor kesihatan amat dititik beratkan oleh Islam sehingga ada

kelonggaran kepada ibu yang mengandung untuk berbuka puasa sekiranya merasakan puasa itu menjejaskan kesihatan diri dan anaknya.


Setelah Anak Dilahirkan
Hendaklah segera diazankan telinga kanan dan diiqamatkan telinga kiri anak. Pada hari ketujuh kelahirannya, ibu bapa disunatkan bersedekah dengan melakukan ibadah aqiqah untuk anak. Seekor kambing bagi anak perempuan dan dua ekor kambing bagi anak lelaki. Rambutnya pula sunat dicukur keseluruhannya. Selain itu, mulakanlah kehidupan anak dengan nama panggilan yang baik. Dalam Islam sendiri digalakkam memberi nama panggilan yang baik. Nama panggilan yang kurang baik akan menyebabkan anak berasa malu dan merasa rendah diri.


Elemen Pendidikan Dalam Kehidupan
Pendidikan mempunyai impak yang besar untuk memperolehi dan mengekalkan dalam kehidupan. Pendidikan boleh menjelaskan keupayaan seseorang individu dalam mengurus hidup yang berkualiti. Pendidikan berkualiti sangat efektif bagi menentang kemiskinan, membina demokrasi dan membentuk masyarakat yang sejahtera. 

Melalui pendidikan juga individu berupaya membina keyakinan diri untuk berhadapan dengan dunia, menikmati kemudahan yang ada dipersekitarannya serta memahami diri sendiri. Pendidikan bertindak sebagai pemangkin kesejahteraan hidup dengan cara memimpin individu ke arah sumber-sumber ekonomi yang mantap, keupayaan kawalan diri dan kestabilan hubungan sosial.  Pendidikan yang berkualiti ini adalah satu konsep yang dinamik, berubah dan berkembang mengikut masa serta berubah dalam konteks sosial, ekonomi dan persekitaran setempat. Justeru, saranan bagi menyuburkan elemen pendidikan dalam kehidupan seperti yang dihuraikan dibawah.


Sebagai Pembuatan Keputusan
Ketegasan diri merupakan satu dimensi utama dalam kehidupan kerana ia memungkinkan seseorang individu untuk mengawal hidupnya. Dengan adanya ketegasan diri, individu berupaya membuat pilihan dan keputusan terhadap tindakannya dan membebaskan diri daripada pengaruh atau gangguan luaran yang tidak berfaedah. Ciri utama yang mendefinisikan ketegasan diri boleh dikenalpasti melalui perkembangan dan pencapaian yang saling berkait iaitu kemahiran membuat pilihan, kemahiran membuat keputusan, kemahiran menyelesai masalah, kemahiran membentuk dan mencapai matlamat, kemahiran mengurus diri, kemahiran memimpin, kawalan dalaman, sikap positif terhadap hasil jangkaan, kesedaran diri dan pengetahuan diri. Kebolehan dan kemantapan ketegasan-diri berupaya meningkatkan kualiti kehidupan dan pencapaian pendidikan yang baik.


Pendidikan Penting Dalam Perkahwinan Dan Pengurusan Keluarga
Pendidikan memberi laluan kepada kestabilan hubungan sosial terutamanya perkahwinan.  Pendidikan yang baik juga boleh mengurangkan kadar perceraian. Disamping itu, individu yang memperolehi tahap pencapaian pendidikan yang baik mempunyai jangka hayat yang lebih panjang berbanding dengan individu yang rendah tahap pendidikannya.

Beberapa kajian mendapati bahawa orang yang berkahwin juga mempunyai tahap kesejahteraan fizikal dan psikologi yang baik berbanding dengan individu yang tidak berkahwin. Selain itu, pasangan yang baik tahap pendidikannya akan menikmati kebaikan dan keuntungan daripada perkahwinan tersebut tanpa banyak tekanan yang melampau yang dikaitkan dengan anak.  Hal ini disebabkan, wanita yang baik taraf pendidikannya cenderung untuk mempunyai bilangan anak yang kecil, menangguhkan kelahiran atau menjarakkan kelahiran berbanding dengan wanita yang kurang berpendidikan. Lelaki yang baik taraf pendidikan juga cenderung untuk mempunyai bilangan anak yang kecil kerana kecenderungan mereka memilih pasangan yang setara tahap pendidikan dan pemikirannya.

Pendidikan Penting Dalam Kawalan Diri Dan Sokongan Sosial
Perasaan tertekan merupakan gangguan terhadap emosi yang sangat tidak menyenangkan.  Tekanan terbahagi kepada dua komponen utama iaitu tekanan emosi dan tekanan fizikal. Tekanan ini boleh diuruskan menerusi dua kaedah iaitu kawalan diri dan sokongan sosial. Kawalan diri yang tinggi juga membolehkan individu membuat persediaan diri untuk berhadapan dengan sesuatu yang tidak dapat dielak atau dijangkakan. Sokongan sosial merupakan komitmen, sikap mengambil berat, pemberian nasihat dan bantuan yang diberi atau diterima sebagai sumbangan peribadi seseorang kepada individu yang memerlukan.

Mempunyai pendidikan yang baik amat penting dalam menjana sokongan sosial yang positif. Hal ini disebabkan, pendidikan boleh memberi individu laluan kepada beberapa peranan dengan jaringan bebas yang akan menyemarakkan pelbagai potensi untuk hubungan yang lebih menyokong atau menguntungkan. Pendidikan juga boleh membantu individu mengekalkan hubungan yang bermakna dengan orang lain dalam kebanyakan situasi seperti pengurusan masalah, kebolehan berbincang, serta sikap bertimbangrasa dan bekerjasama.


Pendidikan Memainkan Dalam Kondisi Kerja Dan ekonomi
Pendidikan sangat penting dalam konteks kesejahteraan ekonomi kerana ia boleh memimpin individu ke arah pemperolehan pendapatan yang tidak terhad serta mampu meningkatkan perasaan kawalan diri seseorang. Kerja yang tidak terhad melibatkan kepelbagaian tugas, tidak bersifat rutin serta mempunyai peluang untuk melanjutkan pelajaran dan perkembangan ilmu. Sifat kerja seumpama ini boleh mengurangkan perasaan ketegangan individu. 

Dalam konteks kerja yang tidak terhad, para pekerja dapat mengawal proses buruh iaitu mereka mempunyai peluang untuk mengguna pelbagai kemahiran yang ada pada setiap buruh bagi memenuhi kesesuaian sesuatu reka  bentuk  kerja.  Kepelbagaian  rekabentuk kerja ini juga memberi kebebasan kepada para pekerja untuk menggunakan fikiran dan penilaian peribadi mereka dalam melakukan tugasan yang berbeza dengan cara gaya yang berbeza.

Pendidikan juga saling berkait rapat dengan kondisi ekonomi manusia. Individu yang mempunyai taraf pendidikan yang tinggi dan status tugas yang sesuai dengan pendidikannya berpeluang melibatkan diri sebagai penentu arah, kawalan dan perancang kerja. Justeru itu, individu yang baik tahap pendidikannya lebih cenderung dipilih bekerja terutama dalam tugasan bersifat sepenuh masa berbanding dengan mereka yang mempunyai tahap pendidikan yang rendah. Manakala, individu yang rendah tahap pendidikannya cenderung untuk berhadapan dengan masalah ekonomi. Justeru itu, individu dengan tahap pendidikan yang tinggi cenderung untuk hidup dalam pendapatan isi rumah yang tinggi kerana taraf pendidikan memberi kesan langsung ke atas pendapatan disamping kecenderungan untuk mendapatkan pekerjaan yang baik dan terjamin.



KESIMPULAN
Pendidikan memainkan peranan penting dalam mencapai kehidupan yang berkualiti kerana pendidikan merupakan antara petunjuk terpenting manusia. Pendidikan mempunyai hubungan rapat dengan ilmu dan ilmu dikenalpasti sebagai faktor ‘hasil’. Pendidikan membantu individu membina keyakinan diri untuk berhadapan dengan dunianya, menikmati kemudahan yang ada dipersekitarannya serta memahami diri sendiri. Pendidikan juga bertindak sebagai pemangkin kesejahteraan hidup dengan cara memimpin individu ke arah sumber-sumber ekonomi yang mantap, keupayaan kawalan diri dan kestabilan hubungan sosial.  Individu yang mempunyai taraf pendidikan yang tinggi cenderung untuk mengalami gangguan emosi dan tekanan fizikal yang rendah.  Taraf pendidikan yang baik memberikan seseorang individu itu laluan ke arah pembangunan diri, bergantung bagaimana ilmu tersebut distruktur dan dilaburkan dalam pendidikan.

Justeru itu, untuk mencapai kecemerlangan hidup melalui pendidikan, perhatian awal harus tertumpu kepada kanak-kanak. Hal ini kerana, kanak-kanak adalah khazanah dunia yang paling berharga kerana pendidikan terawal bermula dari zaman kanak-kanak. Dalam Islam sendiri dijelaskan bahawa proses mengasuh dan mendidik, membela, melatih, menyucikan, membaikkan, mengawal hawa nafsu, membentuk ketaatan kepada Allah SWT membentuk sikap sopan dan beradab dan memadamkan semua sifat tercela yang ada dalam diri manusia. Semua definisi ini memberikan kefahaman bahawa hampir keseluruhan pendidikan yang dikehendaki dalam Islam itu ialah merujuk kepada pendidikan rohani manusia selaku hamba Allah SWT di muka bumi ini bagi memancarkan kejernihan akhlak dan budi pekerti yang tinggi selain untuk perkembangan ilmu pengetahuan itu sendiri yang merupakan medium yang amat penting dalam membangunkan ketamadunan manusia yang hidup di dunia ini. Melalui pendidikan juga, seseorang itu dapat membangunkan dirinya sendiri terlebih dahulu seterusnya membangunkan keluarga, masyarakat dan negara.


3176 Perkataan




APENDIKS
RUJUKAN / REFERENSI

Definisi Pendidikan. (n.a.). [Online].
            [2013, Mei 20].

Definisi Pendidikan. (n.a.). [Online].
            Available : http://www.xpresi.org/definisi-pendidikan/. [2013, Mei 20].

Definisi Dan Tujuan Pendidikan Islam. (n.a.). [Online].
            Available : http://www.xpresi.org/definisi-pendidikan/. [2013, Mei 20].

Pengertian Pendidikan Islam Secara Etimologi. (n.a.). [Online].
            Available : http://pustakaaslikan.blogspot.com/2012/05/pengertian-
pendidikan-islam-secara_19.html#.UbxDX_mnrcA. [2013, Mei 21].

Konsep Pendidikan Dalam Islam. (n.a.). [Online].
            Available : https://sites.google.com/site/khazalii/konseppendidikan
dalamislam. [2013, Mei 21].

Maksud Pendidikan Islam. (n.a.). [Online].
            Available : http://pendislami.tripod.com/matlamat_p_islam.htm.
            [2013, Mei 21].

Pembahagian Ilmu Dalam Pendidikan Islam. (n.a.). [Online].

Pendidikan. (n.a.). [Online].
[2013, Mei 22].

Artikel tentang Sistem Pendidikan. (n.a.). [Online].
            Available : http://www.artikelbagus.com/2012/04/artikel-tentang
-sistem-pendidikan.html. [2013, Mei 22].

Falsafah Pendidikan Islam. (n.a.) [Online].
            Available : http://pendislami.tripod.com/new_page_1.htm. [2013, Mei 22].

Falsafah Pendidikan Islam. (n.a.). [Online].
            Available : http://teachersyafa.blogspot.com/2013/03/implikasi-
falsafah-pendidikan-islam.html. [2013, Mei 22].


Matlamat Pendidikan Menurut Islam. (2007). [Online].
menurut-islam.html. [2013, Mei 22].

Tujuan Umum Pendidikan Islam. (n.a.) [Online].
            Available : http://pendislami.tripod.com/matlamat_p_islam.htm. [2013, Mei 22].

Matlamat Falsafah Pendidikan Islam. (n.a.). [Online].
[2013, Mei 22].

Matlamat Dan Falsafah Pendidikan Islam. (n.a). [Online].
            Available : http://haryatihamdi.blogspot.com/2009/11/matlamat-
pendidikan-islam.html. [2013, Mei 22].

Pendidikan Dalam Tamadun Islam. (2008). [Online].
            Available : http://076115tamadun.blogspot.com/2008/04/pendidikan-
dalam-tamadun-islam.html. [2013, Mei 22].

Pendidikan Islam Di Zaman Rasulullah. (2009). [Online].
            Available : http://luqmanal-jawa.blogspot.com/2009/12/pendidikan-
islam-di-zaman-rasulullah.html. [2013, Mei 22].

Peranan Pendidikan dalam Membina Tamadun. (n.a.). [Online].
article&id=129:peranan-pendidikan-dalam-membina-tamadun&catid=
36:pendidikan. [2013, Mei 22].

Perkembangan Institusi Pendidikan Tamadun Islam. (n.a.). [Online].
            Available : http://syanuzaki.blogspot.com/. [2013, Mei 22].\

Panduan Mendidik Anak Mengikut Islam. (2012). [Online].
            [2013, Mei 22].

Muqaddimah. (n.a.). [Online].
            Available : http://www.scribd.com/doc/19809195/Konsep-Pendidikan-
Anak-Dalam-Islam. [2013, Mei 22].

30 Perkara Mendidik Anak Mengikut Islam. (2009). [Online].
anak-mengikut-islam_8183.html. [2013, Mei 22].

Tips mendidik anak mengikut panduan Islam. (2011). [Online].
anak-mengikut-panduan-islam/. [2013, Mei 22].

Mendidik Anak Dalam Islam. (2010). [Online].
            Available : http://razipothman.blogspot.com/2010/03/mendidik-anak
-dalam-islam.html. [2013, Mei 22].

Pentingnya Pendidikan Islam Kepada Anak-anak. (n.a.). [Online].
pendidikan-islam-kepada-anak-anak/. [2013, Mei 22].

Elemen-elemen. (n.a.). [Online].
dalam-falsafah-pendidikan.html.  [2013, Mei 22].

Ahmad, M.Y. (2009). Falsafah Pendidikan Islam. [Online].
            Available :  http://pendislami.tripod.com/new_page_1.htm. [2013, Mei 22].



No comments:

Post a Comment