Thursday 3 March 2016

Assignment - Year 5 (Semester 1 - January) PRINSIP-PRINSIP PENGUBAHSUAIAN TINGKAH LAKU ABPC3303

1.PENGENALAN
Semua orang tahu kesihatan amat penting dalam kehidupan seharian kita tidak kira umur mahu pun jantina. Malah kesihatan dikatakan memainkan peranan utama dalam menjamin keceriaan hidup setiap manusia. Dalam erti kata lain, kesihatan dirujuk sebagai  suatu keadaan di mana tubuh badan tidak mengalami sebarang penyakit kronik seperti penyakit kencing manis, tekanan darah tinggi, penyakit jantung dan sebagainya. Mengamalkan gaya hidup yang sihat merupakan kunci utama kepada kesejahteraan hidup setiap individu. Individu yang sihat pastinya dapat memainkan peranan aktif terhadap pembangunan agama, bangsa dan negara. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) 1948, mereka mendefinisikan kesihatan  sebagai suatu keadaan fizikal, minda dan sosial yang sihat, cergas, cerdas serta bebas dari sebarang penyakit kronik berlandaskan dari keadaan sosial dan masyarakat.

Dalam tugasan kali ini, saya telah diminta untuk menjalankan satu temu bual dengan seorang pesakit kronik. Saya telah memilih seorang pesakit yang menghidap penyakit kronik iaitu diabetes atau dikenali sebagai penyakit kencing manis yang bernama Puan Faridah Mohamad yang berusia 55 tahun. Dalam temu bual tersebut, saya akan menerangkan secara ringkas tentang kesihatan beliau, status dan proses perubahan serta cabaran dan sokongan yang dihadapi oleh beliau. Sebelum saya mengulas dengan lebih lanjut tentang kesihatan beliau, saya terlebih dahulu akan menerangkan apa yang dimaksudkan dengan penyakit kronik.

Penyakit kronik adalah keadaan yang tahan lama yang boleh dikawal tetapi tidak boleh diubati. Penyakit kronik banyak menjejaskan kesihatan penduduk di seluruh dunia. Seperti yang diterangkan oleh (WHO), penyakit kronik merupakan salah satu punca utama kematian dan kecacatan di Amerika Syarikat. Di Malaysia sendiri sebanyak 70% kematian berpunca daripada penyakit kronik. Di mana sebahagian daripada itu merupakan kematian awal berpunca daripada pemakanan. Manakala terdapat senamyak 10 ribu kematian setahun berkait dengan strok, serangan jantung dan  kegagalan buah pinggang. Sementara itu, sebanyak 6 ribu kematian setahun disebabkan dari penyakit hati. Di Malaysia juga terdapat 40 ribu kes penghidap kanser dikesan setiap tahun, 3 juta berkaitan dengan kolesterol tinggi, 2.1 juta penghidap diabetes (kencing manis) dan 25% dari rakyat Malaysia adalah penghidap obesiti iaitu mempunyai berat badan yang berlebihan. Data dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), menunjukkan bahawa penyakit kronik yang juga merupakan salah satu penyebab utama kematian pramatang di seluruh dunia walaupun di tempat-tempat di mana penyakit berjangkit berleluasa. Walaupun penyakit kronik adalah antara masalah kesihatan yang paling mengancam nyawa, namun ianya juga merupakan antara yang paling mudah dicegah dan boleh dikawal dengan berkesan.

Pusat Urusan Penyakit Kronik bertujuan untuk membantu orang ramai mengawal kesan penyakit kronik mereka dengan meletakkan mereka di tengah-tengah penyelesaian kawalan penyakit. Apabila reka bentuk untuk pendidikan pesakit, penyampaian perkhidmatan, dan sistem pembayaran semua memberi tumpuan kepada usaha menyokong pesakit dan membina kapasiti individu dan keluarga untuk menguruskan penyakit dengan berkesan, kawalan penyakit bertambah, kos penjagaan kesihatan turun, dan kesejahteraan keluarga bertambah baik.



2.PENERANGAN TENTANG TEMU BUAL DAN STATUS PESAKIT
Umum mengetahui bahawa diabetes atau penyakit kencing manis ini yang juga merupakan salah satu daripada penyakit kronik dan sudah lama dihidapi oleh manusia. Namun begitu, penyakit kencing manis ini tidak seharusnya menjadi penghalang kepada kehidupan setiap penghidap. Dengan bertambahnya pengetahuan berkenaan penyakit kencing manis dan penghasilan ubat-ubatan untuk penyakit ini, jadi tidak ada sebab mengapa penghidap tidak boleh hidup seperti manusia biasa. Dalam erti kata lain, penyakit kencing manis adalah keadaan di mana terdapat kadar gula yang terkandung secara berlebihan dalam peredaran darah. Hal ini terjadi disebabkan oleh badan kekurangan sesuatu hormon yang dipanggil insulin yang diperlukan untuk menukar gula kepada tenaga dalam badan. Insulin adalah sejenis hormon yang dihasilkan oleh organ yang dikenali sebagai pankreas yang terletak di bawah perut. Badan kita mengeluarkan tenaga untuk menjalankan tugas harian daripada makanan. Dalam perut, makanan berkanji dan bergula yang dipanggil makanan karbohidrat ditukar kepada bahan gula yang dipanggil glukos dan masuk ke dalam saluran darah di mana ia akan digunakan oleh badan untuk menghasilkan tenaga. Glukosa (gula) adalah puncak utama yang memberi tenaga.

Kebiasaannya, insulin membantu glukosa dalam darah untuk memasuki sel-sel badan untuk ditukarkan kepada tenaga. Bagi pengidap penyakit kencing manis, organ pankreas mereka tidak dapat menghasilkan hormon insulin dengan secukupnya atau insulin yang dikeluarkan tidak dapat bertindak seperti biasa atau normal. Akibatnya, glukosa tidak dapat memasuki sel-sel badan. Kadar gula dalam peredaran darah menjadi tinggi. Gula yang berlebihan ini akan disingkirkan oleh badan melalui air kencing. Inilah sebabnya, penyakit ini dikenali sebagai penyakit kencing manis. Justeru tanpa insulin, sel-sel badan tidak menerima bekalan glukosa, walaupun kadarnya amat tinggi dalam peredaran darah secara tidak langsung ianya menyebabkan badan akan kekurangan tenaga.

Penyakit kencing manis terbahagi kepada dua jenis iaitu jenis 1 - Insulin Dependent Diabetes Mellitus dan jenis 2 - Non Insulin Dependent Diabetes Melitus. Jenis 1 biasanya terjadi di kalangan kanak-kanak atau remaja. Hanya boleh dikawal dengan suntikan insulin, kawalan pemakanan dan senaman. Manakala jenis 2 pula sering ditemui di kalangan penghidap diabetes yang berumur 40 tahun ke atas. Insulin dihasilkan dalam badan pesakit tetapi tidak berfungsi secara optimum akibat dari faktor-faktor seperti obesiti, stress, darah tinggi dan pemakanan yang tidak seimbang. Selalunya, pesakit akan diberi ubat yang sesuai dan perlu mengikut diet tertentu.

Dalam kes Puan Faridah, beliau dikategorikan penghidap diabetes jenis 2. Menurut Puan Faridah, beliau pada mulanya tidak menyedari yang beliau penghidap kencing manis sehinggalah pada suatu ketika dimana beliau sukarela melakukan pemeriksaan kesihatan secara percuma yang dijalankan di klinik berhampiran. Keputusan yang diterima amat mengejutkan di mana bacaan pertama ialah 9.5 mmol/L. Selepas pemeriksaan tersebut, beliau diminta untuk mengamalkan diet yang seimbang. Doktor telah memberikan beliau sejenis ubat khas untuk penghidap kencing manis iaitu ‘Metformin HCI 500 mg’ yang perlu diambil sebanyak 1 atau 2 biji (2 kali) sehari selepas makan. Beliau juga kerap melakukan pemeriksaan berkala seperti yang diminta. Walaupun bacaan beliau seterusnya menunjukkan turun naik yang agak ketara tetapi ini tidak mematahkan semangat beliau untuk terus berubah ke arah kebaikan.

Sementara itu, menurut Puan Faridah kesan yang agak ketara pada kesihatan beliau ialah kerap membuang air kencing, sentiasa berasa dahaga, selera makan meningkat dan keletihan. Ini merupakan salah satu tanda bagi penghidap kencing manis seperti beliau. Menurut pakar kesihatan, terdapat 3 kumpulan makanan yang perlu diketahui oleh para penghidap kencing manis ialah makanan yang perlu dielakkan, makanan yang perlu dihadkan dan makanan yang bebas dimakan.

Makanan Yang Perlu Dielakkan
Antara makanan atau minuman yang perlu dielakkan ialah yang kebanyakkannya mengandungi gula ringkas. Gula ringkas akan meningkatkan  tahap gula di dalam darah dengan kadar yang cepat. Contohnya seperti gula pasir, gula merah, gula melaka, gula batu, gula-gula, sirap, jeruk dan halwa. Selain itu, kuih-kuih manis, susu pekat manis, buah-buahan dalam tin, minuman  ringan, coklat serta jem (kecuali jem untuk Diabetes). Dalam kata lain, semua makanan atau minuman yang bersalut atau mengandungi gula.

Makanan Yang Perlu Dihadkan
Antaranya ialah makanan yang mengandungi karbohidrat kompleks. Makanan dalam kumpulan ini boleh diambil dalam jumlah yang sederhana. Makanan dalam kumpulan ini juga akan dicerna dan diserap dengan perlahan-lahan dan dengan ini tidak akan menyebabkan peningkatan aras gula dalam darah secara mendadak. Selain itu, pengambilan makanan ini harus diagihkan sepanjang hari bukannya dimakan sekaligus dengan kuantiti yang banyak. Contohnya seperti nasi, bijirin, biskut, kekacang, susu, pasta, semua jenis mee, semua jenis tepung, semua jenis ubi, buah-buahan/jus, sayuran berkanji, labu, jagung dan serbuk coklat.

Makanan Yang Bebas Dimakan
Contohnya seperti air kosong, air mineral, kopi dan teh, air barli, jus limau nipis, sayur-sayuran, ulam-ulaman, cuka, sup, serbuk rempah, serbuk cili, herba, kicap, sos dan garam.

Dalam pada itu, menurut Puan Faridah juga, beliau merupakan seorang penggemar nasi. Tidak kiralah apa jua juadah selagi ianya mengandungi nasi, beliau akan menjamahnya. Sebelum ini, beliau tidak tahu dan tidak menyedari akan kandungan kanji dalam nasi sehinggalah beliau telah dimaklumkan mengenainya. Walaupun beliau bukan seorang penggemar manisan namun, akibat dari diet yang tidak seimbang beliau percaya yang inilah juga merupakan faktor mengapa beliau menghidapi kencing manis sejak dua tahun lepas.

Bercakap soal perubahan mengikut model ‘Transtheoretical’ oleh Prochaska&Diclement (1983) merupakan suatu model yang integratif tentang perubahan perilaku. Kunci pembangun dari teori lain yang terintegrasi. Model ini menguraikan bagaimana orang-orang memodifikasi perilaku masalah atau memperoleh suatu perilaku yang positif dari perubahan perilaku tersebut. Model ini juga adalah suatu perubahan yang disengaja untuk mengambil suatu keputusan dari individu tersebut. Model melibatkan emosi, pengamatan dan perilaku, melibatkan pula suatu kepercayaan diri. Mengambil dari kes Puan Faridah ini, beliau mengambil keputusan untuk berubah demi kesihatan dalam jangkamasa panjang. Apa yang saya dapat lihat dari temu bual yang dijalankan, Puan Faridah seorang wanita yang tidak pernah putus asa untuk berubah walaupun perlu berulang alik ke hospital atau klinik yang berdekatan sekerap yang mungkin.



3.MOTIVASI DAN PROSES PERUBAHAN
Dewasa ini, bagi kebanyakan daripada kita percaya bahawa perubahan adalah satu proses yang amat sukar. Begitu juga kepada kebanyakkan pesakit kronik yang tidak terlepas dari situasi tersebut. Justeru, kita sebagai orang sekeliling yang rapat dengan pesakit perlu merangsangkan mereka untuk melakukan perubahan demi kesihatan mereka. Bagi Puan Faridah, motivasi untuk berubah datang dari dirinya sendiri melalui rangsangan oleh anak-anaknya. Sejak dari mendapat penyakit tersebut, Puan Faridah banyak mengurangkan makanan dan minuman yang boleh mendatangkan bahaya kepada kesihatannya. Sedikit sebanyak Puan Faridah belajar tentang penyakit yang dihidapinya. Bagi beliau, ilmu tentang penyakit tersebut amat perlu dipelajari supaya dapat mengelakkan apa yang tidak patut dimakan atau diminum. Dalam erti kata lain, mengamalkan diet pemakanan yang seimbang.

Menurut Puan Faridah, langkah pertama di dalam merawat kencing manis adalah dengan mengawal paras glukosa di dalam darahnya. Ianya dilakukan dengan cara pengubahsuaian diet pemakanan dan senaman sederhana secara berterusan. Jika pendekatan melalui pemakanan tidak berkesan, beliau akan pengambilan ubatan yang disyorkan. Mengamalkan amalan diet pemakanan yang sihat menjadi rutin harian beliau kini. Amalan pemakanan yang baik diperlukan bagi pesakit kencing manis sepertinya. Antara kebaikannya seperti memperolehi zat-zat makanan yang pelu bagi mencapai kesihatan yang unggul, dapat mengawal paras gula dalam darah, dapat mencapai dan mengekalkan berat badan yang sesuai serta dapat mengelak dan melambatkan pengidapan kesan komplikasi diabetes.

Puan Faridah amat mementingkan tips dan panduan dalam merancang pemakanan sehariannya. Baginya waktu makan yang teratur perlu diambil pada waktu yang sesuai iaitu semasa sarapan pagi, makan tengahari, makan malam dan snek. Selain itu, dengan mengurangkan lemak, garam serta makanan yang tinggi kolestrol merupakan salah satu cara yang terbaik. Sementara itu, dari segi senaman Puan Faridah bersenaman secara sederhana setiap hari. Senaman yang sederhana secara berterusan dapat membantu mengurangkan selera makan dan menurunkan berat badan ke paras normal. Ianya sangat penting untuk mencegah paras gula yang tinggi di dalam darah.

Pada pendapat saya, aktiviti senaman setiap hari dapat membantu para penghidap kencing manis  merasa selesa, mengurangkan ketegangan mahu pun mengelakkan sakit belakang serta dapat meningkatkan keupayaan atau potensi insulin di dalam badan. Ini juga dapat memastikan paras normal gula di dalam darah disamping mengurangkan penggunaan insulin. Senaman yang sederhana juga dapat membantu mengurangkan selera makan dan menurunkan berat badan ke paras normal.



4.CABARAN DAN SOKONGAN
Bagi penghidap kencing manis, cabaran yang paling sukar adalah semasa menghadapi puasa terutamanya di mana keadaan seperti hipoglisemia (paras gula terlalu rendah), hiperglisemia (paras gula terlalu tinggi) dan dehidrasi (kekurangan air) sehingga boleh menyebabkan mereka pengsan dan koma. Puasa adalah ibadat dan amalan baik untuk penghidap kencing manis.

Namun, terdapat beberapa garis panduan perlu dipatuhi sebelum pesakit dibenarkan berpuasa supaya itu tidak memudarat dan membahayakan nyawa. Untuk membolehkan seseorang penghidap kencing manis berpuasa, penyakitnya perlu dalam keadaan terkawal dan tahap gula dalam paras sasaran iaitu 5.8 hingga 8 mmol/liter. Jika paras gula pada tahap ini, pesakit boleh berpuasa tanpa masalah.

Tidak ramai di kalangan kita yang mengetahui tentang kaedah rawatan atau proses pemulihan sesuatu jenis penyakit dengan mendalam sehinggalah kita sendiri atau ahli keluarga yang menghidapinya. Kekurangan maklumat atau pengetahuan berkaitan sesuatu jenis penyakit menyebabkan kadang-kadang kita beranggapan bahawa penyakit yang dihidapi itu sukar untuk dipulihkan atau sekurang-kurangnya diminimumkan.

Dengan adanya sokongan moral serta penjagaan khusus di rumah, ianya dapat  mewujudkan persekitaran yang positif untuk pesakit. Walau bagaimanpun, ramai yang tidak mengetahui bahawa merawat pesakit di rumah dapat memberi sokongan dari segi psikologi kerana dengan adanya keluarga dapat mewujudkan suasana yang lebih ceria.

Melihat pada kes Puan Faridah, beliau sememangnya mempunyai keazaman yang kuat untuk melakukan perubahan demi kesihatannya sendiri. Sejak menghidap penyakit tersebut beliau semakin prihatin tentang amalan pemakanannya termasuklah untuk ahli keluarganya. Menurut beliau, pada mulanya agak sukar untuk berubah tetapi atas sokongan dari keluarga, beliau akur dan yakin akan kebaikan jika mengamalkan diet serta senaman yang betul. Memang tidak dinafikan memang mudah untuk berkata-kata, tetapi jika kata-kata bersertakan dengan tindakan itulah yang penting. Apa yang saya dapat nilaikan dari temu bual dengan Puan Faridah, hasil perubahan yang berlaku dilihat berjaya. Perubahan demi perubahan agak positif dimana pemeriksaan pada 26 februari yang lepas sebanyak 5.8 mmol/L. Keputusan yang diterima amat memberangsangkan. Hal ini kerana, beliau mengikut diet dan senaman serta pengambilan ubatan yang disyorkan kepadanya.



5.KESIMPULAN
Umum sudah sedia maklum tentang keperluan nutrisi makanan dalam sistem pyramid adalah sangat penting untuk keperluan tubuh badan. Walau bagaimanapun, gaya hidup moden ini menyebabkan golongan yang bekerja mudah mengabaikan diet dan sajian tetap. Pengantungan yang tinggi pada makanan segera selalunya akan mengakibatkan pengambilan lemak tepu, kolestrol, gula ringkas dan sodium yang tinggi. Mereka yang tidak mengambil hidangan secukupnya pasti akan kekurangan nutrient penting yang diperlukan tubuh badan mereka dan secara tidak langsung akan menyebabkan pelbagai penyakit kronik datang.

Justeru, amalan gaya hidup yang sihat amat penting kepada semua lapisan masyarakat untuk menikmati tahap kesihatan yang baik serta optimum.oleh itu, setiap dari kita seharusnya mempunyai kesedaran dalam menggiatkan lagi tahap penjagaan kesihatan. Gaya hidup sihat merupakan suatu amalan kehidupan yang membina di mana ianya dapat membawa kesan yang positif kepada seorang individu, keluarga dan masyarakat. Gaya hidup sihat merupakan salah satu aspek yang penting dalam menjaga tahap kesihatan seseorang. Contoh amalan gaya hidup sihat ialah seperti pemakanan yang seimbang, aktiviti senaman, tidur serta rehat yang cukup, kebersihan dari segi mental dan fiizikal serta persekitaran yang bersih. Sudah pasti semua sudah sedia maklum tentang keperluan nutrisi makanan dalam sistem piramid.adalah sangat penting untuk tubuh badan. Dengan gaya hidup moden yang serba pantas hari ini, golongan yang bekerja mudah mengabaikan diet dan sajian tetap. Pengantungan yang tinggi pada makanan segera selalu mengakibatkan pengambilan lemak tepu, kolestrol, gula ringkas dan sodium yang tinggi. Mereka tidak mengambil hidangan yang secukupnya pasti akan kekeurangan nutrient penting yang diperlukan tubuh badan mereka.

Kebaikan gaya hidup yang sihat ialah dapat memastikan tahap kesihatan berada dalam keadaan yang baik. Sebagai contoh, gaya hidup sihat selalunya memberi faedah kepada kecergasan fizikal. Selain itu, amalan gaya hidup sihat juga dapat menggurangkan risiko menghadapi penyakit kronik seperti yang dibincang di atas. Dalam pada itu, gaya hidup sihat juga menjamin kestabilan mental serta sentiasa mengawal tekanan. Pada masa yang sama, gaya hidup sihat dapat melahirkan insan yang berdisiplin dan sihat dari segi fizikal dan persekitarannya. Di samping itu, kita dapat hidup dalam suasana yang sihat sejahtera.

Terdapat beberapa punca berlakunya pelbagai penyakit kronik salah satunya adalah tekanan hidup.Tekanan hidup juga merupakan punca penyakit yang serius. Individu yang pemarah, pantang kalah dan mahu berjaya dalam semua hal akan sentiasa cemas. Kegagalan dalam hidup, tekanan keluarga dan tekanan kerja juga mendatangkan kesan kepada jantung mereka. Selain itu, tekanan hidup juga akan menyebabkan pergolakan emosi serta kekecewaan akan menyebabkan kemurungan seterusnya keseimbangan hormon badan akan terjejas. Lama-kelamaan, hal ini menyebabkan penyakit yang serius seperti sakit jantung, darah tinggi, kencing manis, strok dan sebagainya. Kajian menunjukkan bahawa peningkatan penyakit kronik setiap tahun turut menyumbang kepada peningkatan perbelanjaan negara yang sepatutnya digunakan untuk pembangunan dan kesejahteraan rakyat.

Dalam  erti kata lain, kesihatan amat penting dalam menjalani kehidupan seharian. Jika tubuh tidak mempunyai tahap kesihatan yang baik, nescaya segala kegiatan atau aktiviti tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna. Oleh itu bagi menjamin kesejahteraan dalam kesihatan, kita tidak perlu mengejar kekayaan dan mengabaikan aktiviti yang berfaedah seperti bersukan dalam kegiatan seharian, diet pemakanana yang seimbang dan sebagainya. Bak kata perpatah ‘mencegah lebih baik dari mengubati’. Kesedaran ini amatlah penting untuk diterapkan dalam setiap diri kita tanpa mengira umur dan jantina.     Penyakit yang kronik pasti mendatangkan penderitaan kepada diri pesakit dan keluarganya. Oleh itu, kita perlulah sama-sama menghindarinya. Dalam erti kata yang sebenar, tabiat hidup yang sihat dan positif amat penting dalam menjamin kesihatan yang harmoni dalam menjalani kehidupan yang serba mencabar.


2640 Perkataan


APENDIKS
6.RUJUKAN / REFERENSI

Perbezaan Maksud Penyakit Kronik Dengan Penyakit Berbahaya. (2011). [Online].
            Available : https://guruselamanya.wordpress.com/2011/09/
13/perbezaan-penyakit-kronik-dan-penyakit-berbahaya/. [2015, Februari 28].

Punca Penyakit Kronik dan Langkah Untuk Mengatasinya. (n.a.). [Online].
            Available : http://2k2sultanahbahiyahkumpulan4.blogspot.com/2011/
09/punca-penyakit-kronik-dan-langkah.html. [2015, Februari 28].

Masalah Kronik Abad Ke-21. (n.a.). [Online].
            Available : http://www2.hmetro.com.my/articles/Masalahkronikabad
ke-21/Article. [2015, Februari 28].

Saringan Kesihatan Elak Penyakit Kronik. (2011). [Online].
Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_01.htm. [2015, februari 28].

Behavior Modification. (n.a.). [Online].
            Available : http://en.wikipedia.org/wiki/Behavior_modification.
[2015, Februari 28].

Transtheoretical Model. (2010). [Online].
            [2015, Februari 28].

Penyakit Kencing Manis (Diabetes). (2011). [Online].
            Available : http://insomniangarang.blogspot.com/2011/01/penyakit-
kencing-manis-diabetes.html. [2015, Februari 28].

Kesihatan. (2009). [Online].
Kesihatan&pg=kn_01.htm. {2015, Februari 28].

No comments:

Post a Comment