Thursday 3 March 2016

Assignment - Year 5 (Semester 1 - September) PSIKOLOGI ABNORMAL ABPC2103

1.PENGENALAN
Setiap manusia merupakan makhluk unik dan mempunyai tingkah laku yang kompleks serta sifat yang berbeza antara satu sama lain. Sesetengah tingkah laku tersebut mempunyai perbezaan yang ketara dengan orang lain atau masyarakat sekeliling sehingga tingkah laku tersebut dianggap sebagai tingkah laku abnormal. Justeru, pelbagai perkataan muncul seperti ‘sasau’, ‘gila’, ‘tidak siuman’ dan sebagainya untuk menggambarkan tingkah laku yang dianggap abnormal tersebut. Dalam erti kata lain, psikologi abnormal adalah salah satu kajian dalam ilmu psikologi yang mempelajari kecelaruan psikologi pada seseorang individu.

Oleh itu, definisi abnormal amat penting untuk difahami dan bukan untuk membezakan dan mengasingkan seseorang individu itu daripada masyarakat sekeliling tetapi untuk mengelakkan salah faham serta anggapan yang tidak tepat oleh masyarakat itu sendiri dan secara tidak langsung akan memberikan kesan dalam hidup individu itu sendiri. Dengan memahami definisi abnormal, bantuan segera boleh diberikan agar mereka yang dikatakan abnormal ini tidak terabai atau tidak dipeduli. Dalam usaha mengenal pasti dan mengkaji tingkah laku yang dikatakan abnormal, kajian dari perspektif sejarah amat penting kerana kajian ini dapat membantu memahami proses bagaimana konsep dan kaedah rawatan komtemporari terbentuk. Ini kerana sesuatu konsep atau teori tidak terbentuk daripada intelektual vakum atau infiniti. Idea dan  formula tentang tingkah laku manusia lebih mudah difahami jika kita mengikuti sejarahnya.

Salah satu aspek psikologi abnormal yang telah dan masih diperdebatkan ialah punca kecelaruan tingkah laku. Melalui perspektif sejarah manusia telah mencipta teori untuk menjelaskan tentang gangguan psikologi ini. Secara umumnya, teori-teori ini boleh dikategorikan kepada tiga tradisi yang khusus iaitu kepercayaan mistik, saintifik atau perubatan dan kemanusiaan. Penjelasan tingkah laku abnormal melalui tradisi kepercayaan mistik mengaitkan tingkah laku abnormal sebagai manifestasi penguasaan atau rasukan semangat jahat. Tradisi saintifik dan perubatan pula mengaitkan tingkah laku abnormal dengan fenomena semulajadi seperti ketidakseimbangan biologi, proses pembelajaran yang salah atau tekanan emosi. Sementara itu, tradisi kemanusiaan cenderung membincangkan tingkah laku abnormal sebagai akibat daripada faktor persekitaran. Justeru dalam tugasan kali ini, saya akan menghuraikan tentang pendekatan biopsikososial dalam pengurusan kecelaruan psikologi, model biopsikososial serta hubungan antara biopsikososial dan elemen kerohanian bagi merawat pelbagai jenis kecelaruan psikologi.



2.PENDEKATAN BIOPSIKOSOSIAL
Biopsikososial adalah model umum atau pendekatan yang menyatakan bahawa biologi, psikologi memainkan peranan penting dalam fungsi manusia dalam konteks penyakit atau penyakit. Dalam pada itu, paradigma biopsikososial adalah istilah teknikal bagi konsep yang popular dibahagian ‘Sambungan minda-badan’ yang menangani hujah-hujah yang lebih falsafah antaranya model biopsikososial dan bioperubatan dan bukannya penerokaan empirikal dan aplikasi klinikal.

Sementara itu, pendekatan biopsikososial telah diperkenalkan oleh George L Engel dan John Romano (1977) dimana mereka menekankan kepada pentingnya memahami kesihatan manusia dan penyakit dalam konteks mereka sepenuhnya sama ada dari segi biologi, psikologi dan sosial. Dalam erti kata lain, pendekatan biopsikososial adalah kaedah dengan interaksi biologi, psikologi dan faktor sosial untuk mengubati penyakit dan meningkatkan kesihatan yang lebih baik. Ini adalah kombinasi dari tubuh, fikiran dan lingkungan bukan hanya tubuh dan perubatan atau bioperubatan. Pendekatan biopsikososial dalam dunia perubatan ini melibatkan suatu konsep hubungan interaksi antara faktor biologi, psikologi dan sosial dalam usaha memahami suatu proses penyakit dan sakitnya seseorang individu. Pendekatan ini pula yang membawa pengertian bukan saja dari segi perubatan fizikal tetapi juga dari keadaan psikologi yang dipengaruhi oleh faktor persekitaran. Konsep biopsikososial membolehkan suatu pemahaman yang menyeluruh tentang munculnya suatu keadaan sakit yang dihubungkan dengan faktor persekitaran dan tekanan yang saling berkaitan. Sebaliknya, keadaan persekitaran dalam hal sokongan sosial dalam konsep biopsikososial dapat memberikan perubahan pada keadaan pesakit. Biologi dengan menggunakan ubat, psikologi dengan menggunakan psikoterapi, sosial dengan menggunakan sokongan dan pengubahsuaian sosial.

Dari segi reaksi dan pendekatan biologi menurut Carpenito (1997) dengan adanya ‘impairment’, ‘disability’, ‘functional limitation’ akan berpengaruh terhadap pemintaan keperluan asas manusia sehingga boleh terjadi gangguan seperti perubahan pemakanan, perubahan keselesaan, kerosakan mobiliti fizikal, risiko terhadap kecederaan, kurang penjagaan diri dan sikap tidak toleran pada sesuatu aktiviti. Berlaku perubahan-perubahan pada penampilan, status dan peranan, mobiliti fizikal, aktiviti dan pekerjaan seharian yang mempengaruhi kehidupan seharian dalam perhubungan dengan orang lain kerana terdapat perbezaan antara keadaan sihat dengan keadaan sakit khususnya dalam memenuhi keperluan asas manusia di mana dalam keadaan sakit memerlukan bantuan orang lain. Kesan fizikal tersebut menyebabkan berlakunya keadaan yang menekan atau tekanan pada diri pesakit. Dengan demikian, pengendalian secara fizikal misalnya melalui fisioterapi dan psikologi misalnya pengendalian stres sangat baik dilakukan seawal mungkin kerana melalui pengendalian tersebut diharapkan pesakit akan cepat merasa tenang, terlepas dari keadaan stres dan perasaan tertekan sehingga dengan demikian diharapkan pesakit dapat memperoleh ‘prognosis’ yang lebih positif.

Sementara itu, dari segi reaksi dan pendekatan psikologi pula, pesakit kecelaruan psikologi akan mengalami beberapa keadaan psikologi seperti kejutan pada saat menerima khabar berita tentang diagnosis penyakitnya dari hasil pemeriksaan doktor, penolakan di mana mereka merasa tidak percaya akan penyakit yang dihadapi dan menyalahkan hasil pemeriksaan yang dijalankan, marah serta berusaha menafikan keadaan sakit dan selalu menyesali mengapa semua ini terjadi pada dirinya, kebimbangan serta ketakutan dengan adanya kerosakkan, ngeri, penurunan berat badan, kekurangan dari segi kewangan dan sebagainya, kemurungan, putus asa serta merasa tidak dapat menjalankan aktiviti atau keadaan seperti selalu dan perasaan malu. Justeru, pendekatan yang harus dilakukan ialah seperti menjadi orang yang terdekat untuk dapat mengekspresikan perasaan dan pemikirannya. Dalam keadaan yang tertekan, seseorang individu akan mencari sokongan dari pegangan agamanya. Selain itu, memberikan sokongan kepada mereka agar dapat menerima keadaan sakit yang dialami, khususnya jika penyakit yang memerlukan proses pemulihan yang lama dengan hasil yang belum pasti. Selain solat atau berdoa, membaca kitab suci dan amalan ibadah lain membantu memenuhi keperluan kerohanian dan mendapatkan kekuatan untuk meneruskan hidup. Disamping berusaha mengimbangi keadaan psikologi ini kerana jika tidak akan mempengaruhi pada keadaan biologi atau fizikal secara tidak langsung keadaan psikologi yang buruk akan melambatkan lagi keadaan dan proses penyembuhan penyakitnya.

Dan yang terakhir iaitu dari segi reaksi dan pendekatan sosial di mana berlakunya perubahan dalam kehidupan sosial seseorang individu seperti kehilangan pekerjaan, perubahan peranan dan tugas di rumah, gangguan interaksi sosial dan cenderung menarik diri dan menyendiri, merasa tidak mampu dan tidak sempurna dalam melakukan ibadah, kegiatan atau aktiviti lain yang pernah dilakukannya. Keadaan psikologi seperti marah, tersingggung atau kemurungan akan membuat interaksi sosialnya semakin tidak baik, selalu merasa rendah diri dengan keadaanya sehingga dia menarik diri daripada interaksi dengan orang lain. Pendekatan sabar dan sentiasa berada disamping mereka yang menghadapi keadaan seperti yang dimaksudkan sedikit demi sedikit akan terhakis dan mereka akan merasakan ketenangan sehingga pada akhirnya akan memberi kesan pada proses fisiologik atau biologi iaitu penyembuhan penyakitnya.

Menurut Azizi Yahaya (2007), ketiga-tiga reaksi dan pendekatan yang dihuraikan diatas selalunya dijalankan di hospital tertentu atau hospital mental kepada pesakit atau pesakit mental yang telah hampir sembuh. Pesakit-pesakit juga didedahkan kepada pengetahuan tentang kemahiran-kemahiran tertentu seperti pertukangan, pertanian, jahitan, mekanikal dan sebagainya sebagai persediaan kepada mereka untuk bersosial dan berdikari. Menurut beliau lagi, program ini tidak sesuai dijalankan kepada pesakit-pesakit mental yang kronik dan masih bergantung kepada ubat-ubatan. Latihan-latihan kemahiran sosial yang dijalankan ini sebenarnya sangat membantu proses pemulihan insan-insan yang kurang bernasib baik. Pergaulan dan latihan kemahiran yang diterima oleh mereka dapat mengembalikan perasaan percaya diri dan keyakinan untuk berhadapan dengan masyarakat sekitar.



3.MODEL BIOPSIKOSOSIAL YANG DIGUNAKAN DALAM MERAWAT KECELARUAN PSIKOLOGI DAN ALASAN
Perkembangan sains sosial telah memberikan banyak manfaat kepada keselesaan dalam kehidupan manusia. Justeru, setiap manusia akan berhadapan dengan pelbagai masalah di mana sesetengah orang berupaya menangani masalah dengan hati yang terbuka dan mereka menerima kelemahan diri, memperbaiki dan bersedia menerima pembaharuan. Sesetengahnya pula tidak berupaya untuk menangkis permasalahan yang wujud dan melanda dalam kehidupan mereka. Dengan ini, dapat disimpulkan bahawa manusia merupakan makhluk yang unik dan mempunyai pelbagai potensi yang boleh mempengaruhi tingkah laku mereka. Tingkah laku manusia dipengaruhi oleh beberapa aspek dalam model biopsikologi seperti biologi, psikologi, sosial, kerohanian (spiritual) dan ekosistem dari seluruh aspek tersebut mempunyai hubungan antara satu sama lain.

Oleh itu, saya memilih aspek terapi biologi dalam model biopsikologi yang digunakan dalam merawat kecelaruan psikologi untuk dibincangkan dan dihuraikan. Alasan mengapa saya memilih terapi ini adalah kerana melalui pemahaman saya di mana terapi biologi yang diberikan kepada pesakit untuk mengurangkan atau menghapuskan simptom-simpton kecelaruan psikologi. Menurut Kaplan dan Saddock (2003), mereka menyatakan bahawa cara ini dapat mengubah cara tubuh badan berfungsi kerana melibatkan penggunaan ubat-ubatan tertentu, penggunaan TEK dan psikosurgeri.

Penggunaan ubat-ubatan untuk merawat penyakit psikosis (mental) atau kecelaruan psikologi sering kali menjadi asas kepada keberkesanan sesuatu rawatan. Kaedah terapi ini dikatakan lebih berkesan. Namun, untuk mendapatkan keberkesanan maksimum pengambilan ubat-ubatan berasaskan dadah ini mestilah diambil secara berterusan untuk suatu tempoh masa yang mencukupi yang disyorkan oleh ahli psikiatri. Menurut Kaplan dan Saddock (2003), penggunaan ubat dengan dos terlalu rendah atau dengan tempoh pengambilan yang singkat akan mendedahkan pesakit kepada risiko dan kegagalan proses terapi tersebut. Ubat-ubatan yang digunakan dalam terapi biologi terbahagi kepada tiga jenis yang utama iaitu ubat-ubatan psikotropik, psikoaktif dan psikoteraputik. Sementara itu, ubat-ubatan tersebut dibahagi pula kepada tiga kategori iaitu ubat-ubatan antipsikotik di mana digunakan untuk mengubati penyakit psikosis, ubat-ubatan anti kemurungan digunakan untuk merawat kecelaruan kemurungan dan yang terakhir ubat-ubatan anti kebimbangan di mana digunakan untuk merawat kecelaruan kebimbangan.

Kaplan dan Saddock (2003) ada menerangkan bahawa ubat-ubatan psikoteraputik ini akan ke kawasan otak melalui salur darah. Apabila ubat ini sampai ke usus besar ubat ini akan diserap ke dalam salur darah yang seterusnya membawanya ke otak. Ubat yang berkisar dalam plasma darah dinamakan ‘lingkungan protein’ manakala ubat yang berkisar ke seluruh plasma darah dinamakan ‘bebas’. Hanya darah yang ‘bebas’ sahaja dapat sampai ke otak. Ubat dalam ‘lingkungan protein’ kemudiannya disalurkan keluar melalui empat cara metabolism iaitu oksidasi, pengurangan, hidrolisis dan konjugasi. Proses metabolism ini mengubah banyak komponen ubat yang tidak aktif kepada proses teraputik yang aktif. Lebihan ubat akan diserap ke hati dan hempedu serta dikeluarkan melalui organ perkumuhan. Kaplan dan Saddock seterusnya menegaskan bahawa proses diagnosis simptom-simptom penyakit sangat penting dalam rawatan terapi biologi ini.

Dua perkara utama yang perlu diambil kira ialah analisis penyakit yang tepat dan identifikasi simptom-simptom yang hendak disasarkan. Untuk maksud diagnosis pesakit hendaklah bebas daripada ubat-ubatan untuk jangka masa sekurang-kurangnya satu hingga dua minggu. Pemilihan jenis ubat hendaklah bertepatan dengan masalah pesakit dan punca penyakit yang hendak dirawat. Kegagalan untuk mengenal pasti penyakit yang tepat akan menghasilkan keputusan perubatan yang negatif. Selain itu, penggunaan ubat-ubatan dalam terapi biologi telah dikenal pasti mendatangkan beberapa kesan kepada pesakit. Pesakit haruslah diberikan penerangan tentang kesan ubat-ubatan yang digunakan untuk mengelakkan komplikasi berlaku.

Sementara itu, penggunaan TEK atau terapi elektrokonvulsif yang juga disebut sebagai terapi kejutan. Ladislas J. Von Meduna (1934) telah mempelopori penggunaan kaedah ini dan berjaya merawat kecelaruan katatonik. Arus elektrik dengan kekuatan 70 hingga 150 volt disalurkan untuk beberapa ketika ke dalam kepala pesakit. Arus elektrik tersebut akan menyebabkan pesakit hilang kesedaran dan bertindak mengaktifkan neuron-neuron tertentu dalam otak. Sebelum memulakan rawatan TEK pesakit hendaklah menjalani pemeriksaan fizikal untuk memastikan sama ada mereka sesuai atau tidak untuk menjalani rawatan TEK. Rawatan ini kebiasaannya dilakukan pada waktu pagi. Pesakit perlu berpuasa sekurang-kurangnya lapan jam sebelum menjalani rawatan ini dan akan diberikan sejenis ubat ‘barbiturate’ di mana ubat ini akan memberikan kesan yang lebih cepat. Terapi ini juga sesuai dan berkesan untuk pesakit skizofrenia dan epilepsi.

Selain itu, dalam psikosurgeri menurut Gerow (1986), beliau mencatatkan bahawa psikosurgeri sebagai suatu bentuk terapi yang boleh diaplikasi untuk rawatan kepada penyakit-penyakit psikosis atau kecelaruan psikologi. Rawatan ini merupakan suatu pembedahan yang dilakukan di bahagian otak untuk memberikan kesan kepada psikologi dan perubahan tingkah laku pesakit. Pembedahan ini juga dipanggil ‘lobotomi prefrontal’. Suatu pembedahan kecil akan dilakukan ke atas saraf-saraf utama yang menghubungkan bahagian hadapan sereblum dan bahagian tengah otak. Bahagian tersebut dipercayai bertanggungjawab kepada perubahan emosi. Menurut Gerow (1986), beliau ada menyebut kemungkinan pesakit psikosis yang kronik mempunyai kesukaran menyelaraskan kedua-dua bahagian otak tersebut. Rawatan ini boleh dilakukan oleh ahli psikiatri dengan menggunakan ubat anestatik biasa. Pembedahan ini dijalankan dengan memasukkan alatan seperti pemegang ais melalui rongga mata sehingga sampai ke otak. Sedikit carikan pada otak akan dilakukan dengan tujuan menghilangkan penyakit-penyakit psikosis yang dialami. Sementara itu, menurut Coleman et. al (1984) dalam kajiannya, pesakit yang menjalani rawatan ini terdedah kepada kesan samping yang teruk dan hampir satu perempat pesakit yang menjalani pembedahan psikosurgeri ini menemui maut. Selain itu, pesakit yang menjalani proses rawatan ini dengan selamat terdedah pula kepada masalah hilang ingatan, ketidakupayaan merancang, keletihan, masalah deria dan sawan. Walau apa pun kesan sampingan yang wujud dari kaedah ini tetapi yang inilah yang merupakan penyelesaian yang terbaik dalam merawat kecelaruan psikologi yang dihadapi oleh sesetengah individu.



4.HUBUNGAN ANTARA BIOPSIKOLOGI DAN ELEMEN KEROHANIAN DALAM MERAWAT KECELARUAN PSIKOLOGI
Menurut Jensen dan Bergin (1988), sebahagian besar ahli professional mempercayai bahawa nilai manusia dan gaya hidup mempunyai kesan yang mendalam terhadap kesihatan mental dan keberfungsian emosi dan sesetengah nilai itu lebih mengikut kesejahteraan mental  daripada yang lain. Kajian juga membuktikan bahawa spiritual atau kerohanian memainkan peranan penting di mana ianya melibatkan keagamaan. Hubungan antara biopsikologi dan elemen kerohanian saling berkaitan dalam merawat kecelaruan psikologi. Menurut Belavich (1998), beliau membuktikan bahawa sembahyang dan kepercayaan kepada Tuhan sebagai dua sumber berdaya tindak yang paling popular. Sumber berdaya tindak lain termasuklah bimbingan daripada orang-orang yang alim dan berkomunikasi dengan Tuhan melalui upacara sembahyang. Pendapat ini dipersetujui oleh Hathoway dan Pergament (1992) yang menyatakan bahawa apabila berhadapan dengan masalah seseorang yang beragama mempunyai pelbagai jenis berdaya tindak yang diambil dari aspek kerohanian dan kognitif.

Sementara itu, dalam biopsikososial pula, ianya memberikan suatu gambaran yang menyeluruh tentang munculnya suatu keadaan sakit yang dihubungkan dengan faktor persekitaran dan tekanan yang berkaitan di dalamnya. Keadaan persekitaran dalam hal sokongan sosial ini juga boleh memperbaiki keadaan. Keadaan kesihatan jiwa seseorang dapat dilihat sebagai suatu keadaan yang melibatkan faktor biologi, psikologi dan sosial orang tersebut. Secara biologi, gangguan pada keadaan kesihatan jiwa seseorang disebabkan kerana ketidakseimbangan sistem hormon dan ‘neurotransmiter’ di otak. Secara psikologi, gangguan keadaan kesihatan jiwa disebabkan oleh mekanisme adaptasi psikologi individu yang tidak berfungsi dengan baik. Dalam pada itu secara sosial pula, keadaan gangguan kesihatan jiwa dapat dicetuskan oleh persekitaran yang tidak selesa serta penuh dengan tekanan dan ketakutan. Ketiga-tiga faktor tersebut akan menyumbang secara sinergi dalam terjadinya gangguan kesihatan jiwa atau kecelaruan psikologi. Dengan mengetahui keadaan tersebut maka penatalaksanaan gangguan kesihatan jiwa juga melibatkan ketiga-tiga faktor di atas. Biologi dengan menggunakan ubat, psikologi dengan menggunakan psikoterapi, sosial dengan menggunakan sokongan dan pengubahsuaian sosial.

Dalam membincangkan aspek kerohanian pula beberapa kajian mengaitkan elemen kerohanian dengan peningkatan kebolehan berdaya tindak apabila berlakunya krisis. Kajian yang dilakukan oleh Folkman dan Lazarus (1999) ke atas sekumpulan ahli professional lelaki dan wanita yang menghadapi masalah psikologi yang tinggi mendapati bahawa subjek kajian mereka yang mempunyai tahap kerohanian yang tinggi kurang menghadapi masalah psikologi jika dibandingkan dengan subjek kajian mereka yang mempunyai tahap pegangan agama yang rendah. Kajian empirikal menunjukkan agama sering kali dihubungkaitkan secara positif dengan kesihatan mental, emosi dan keberfungsian sosial. Manakala kajian oleh Glaser dan Bozarth (2001) mendapati kerohanian yang positif adalah sangat perlu untuk perkembangan diri yang sihat dan keberfungsian. Seseorang yang mempunyai identiti kerohanian yang positif akan berfungsi lebih baik dari segi interpersonal dan emosi.

West (2002) berpendapat bahawa kerohanian menjadi sebahagian daripada kehidupan dan dilihat serta diakui sebagai sesuatu yang berharga. Oleh demikian, sudah tiba masanya ahli terapi membincangkan realiti akan kepentingan elemen kerohanian dalam kaunseling. Ini juga sebagai satu usaha untuk melawan syak wasangka dan prejudis terhadap kaunseling yang menafikan kewujudan elemen kerohanian kerana menurut Richards dan Bregin (1997), pesakit yang bertindak berlawanan dengan nilai dan sistem akan menghadapi masalah emosional dan interpersonal. Justeru, seseorang yang tidak mempunyai kerohanian dalam kehidupan, sering kali tidak akan merasai hubungan dengan kasih sayang Tuhan dalam kehidupan mereka serta kurang tujuan dan makna dalam kehidupan. Namun sebaliknya, jika seseorang yang mempunyai identiti kerohanian yang tinggi selalu merasakan dia berhubungan dengan Tuhan dan mempunyai harga diri yang lebih tinggi, mempunyai tujuan dan makna dalam kehidupan serta berupaya memenuhi potensi diri yang lebih bermakna.



5.KESIMPULAN
Dalam kehidupan seharian, kecelaruan psikologi sering dikaitkan dengan perilaku dan penampilan fizikal yang melampau atau dramatik. Kebanyakan orang akan memulaukan, menjauhi, takut bahkan memusuhi pesakit kecelaruan psikologi. Seseorang yang mengalami kecelaruan psikologi mempunyai suatu ketidakseimbangan dalam cara berfikir. Beliau mungkin kelihatan sihat secara fizikal atau normal tetapi sebenarnya pemikirannya sakit. Ada banyak jenis kecelaruan psikologi dari yang parah dan sampai yang ringan. Namun, sebahagian besar mereka yang menderita bentuk ringan yang akan dapat berubah menjadi parah dari masa ke masa. Jika gangguan menjadi parah, orang yang menderita biasanya tidak akan mempunyai hubungan dengan masyarakat atau akan berkelakuan dalam cara yang tidak normal. Menurut Nevid (2000) terdapat beberapa faktor yang menyebabkan berlakunya kecelaruan kebimbangan antaranya ialah faktor tingkah laku, persekitaran dan sosial, biologi, kognitif dan emosi.

Dalam pendekatan biopsikososial seperti yang dibincangkan diatas kita dapat lihat  di mana peranan orang-orang terdekat serta masyarakat sekeliling sangat bermanfaat sehingga pesakit kecelaruan psikologi ini tetap dan boleh berinteraksi dengan keadaan sekitar. Mereka  haruslah sabar dan sentiasa tidak menjauhkan diri mereka dari pesakit  kerana jika pesakit dapat bertahan dalam interaksi sosialnya secara tidak langsung akan mempengaruhi keadaan psikologinya. Keadaan keadaan psikologi sedikit demi sedikit akan terhakis dan pesakit akan merasakan kedamaian dan ketenangan sehingga pada akhirnya akan memberi kesan pada proses fisiologi atau biologi iaitu penyembuhan dari penyakit yang dihadapinya.

Sementara itu, dari sudut saintifik model biopsikososial yang digunakan dalam merawat kecelaruan psikologi melalui aspek biologi dilihat dapat memberi kesan yang lebih cepat di mana ianya dijalankan secara meluas untuk mengembalikan kesejahteraan mental seseorang. Namun begitu tiada cara rawatan yang benar-benar tepat dan berkesan untuk pesakit kecelaruan psikologi. Pelbagai kajian berkenaan rawatan untuk pesakit masih lagi hebat diusahakan oleh pakar-pakar. Malangnya, pada masa kini jumlah pesakit dan penderita kecelaruan psikologi semakin meningkat dengan wujudnya simptom-simptom baru. Institusi keluarga nukleus dan penerimaan masyarakat sangat penting dan mempengaruhi proses pemulihan yang sedang dijalani oleh pesakit kecelaruan psikologi.

Dengan penambahan jumlah pesakit kecelaruan psikologi yang kian bertambah kita dapat membayangkan cara hidup masyarakat hari ini yang bersifat lebih ‘egosentrik’ serta kurang prihatin terhadap kaum keluarga sendiri. Pengamalan cara hidup sihat, kesediaan diri untuk menerima cabaran-cabaran dalam hidup dan pegangan agama menjadi tiang untuk menjamin kesejahteraan mental dan rohani seseorang. Sementara itu, hubungan antara biopsikologi dengan elemen kerohanian saling berkaitan di mana masing-masing mempunyai cara tersendiri dalam menyelesaikan dan merawat kecelaruan psikologi tersebut.


2967 Perkataan



APENDIKS
6.RUJUKAN / REFERENSI
Ab Alim Abdul Rahim, (1994). Pengantar Psikologi Bilazim. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Abram, S. E. (2006). Pain Medicine: The Requisities in Anesthesiology. United States: Mosby, Inc.

Achlis. (1995). Studi Perilaku dan Lingkungan Sosial Manusia. Bandung: Koperasi Mahasiswa Sekolah Tinggi Kesejahteraan Sosial.

Azizi Yahaya & Jamaludin Ramli. (2007). Psikologi Abnormal. Johor: Penerbit Universiti Teknologi Malaysia.

Azizi Yahaya, Cathy Suhaila Abdullah, Roslee Ahmad & Sharifuddin Ismail. (2005). Punca Dan Rawatan Kecelaruan Tingkah Laku. Selangor: PTS Professional.

Barlow, D. H. & Durand, V. M. (2004). Abnormal Psychology: An Integrative Approach. (5th Edition). Canada: Wadsworth Cengage Learning.

Bond, M. R., & Simpson, K. H. (2006). Pain: Its Nature and Treatment. United Kingdom: Elsevier Ltd.

Coon, D. (2002). Psychology A Journey. United States: Wardsworth Thomson Learning, Inc.

David Healy. (2002). The Creation of Psychopharmacology. Cambridge, MA: Harvard University Press.

Edith Ehrlich, Leonard H. Ehrlich, and George Pepper, eds., Karl Jaspers: (1994). Basic Philosophical Writings, Atlantic Highlands. NJ: Humanities Press.

Karen Huffman. (2007). Psychology In Action (8th Edition). USA: John Wiley & Sons, Inc.

Kazanowski, M. K., & Laccetti, M. S. (2002). Pain. New Jersey: Slack, Inc.

Ma’rof Redzuan & Haslinda Abdullah. (2002). Psikologi. Universiti Putra Malaysia: McGraw-Hill.

Nevid, Jeffrey S., dkk. (2005). Psikologi Abnormal. Jakarta: PT Gelora Aksara Pratama

Apa yang Dimaksud Gangguan psikologi / Abnormal?. (2012). [Online].
            Available : http://marcellinasonia.blogspot.my/2012/02/apa-yang-
dimaksud-gangguan-psikologis_26.html. [2015, Oktober 12].

Ciri-Ciri Gangguan Abnormal. (2012). [Online].
            [2015, Oktober 13].

Keperibadian dilihat dari Pendekatan Biopsikologi, Psikologi Sosial dan Humanistik.
            (2011). [Online]. Available : https://psymagnet2.wordpress.com/2011/01/07
/kepribadian-dilihat-dari-pendekatan-biopsikologi-psikologi-
sosial-dan-humanistik/. [2015, Oktober 9].

Model Biopsikososial-Religius dan Model Ekosistem (HBSE). (2014). [Online].
            dan-model.html. {2015, Oktober 10].

Pendekatan Biopsikososial. (2014). [Online].
            Available : http://efikurniyawati61.blogspot.my/2014/11/
pendekatan-biopsikososial.html. [2015, Oktober 9].

Pendekatan Biopsikososial Pelanggan Dengan Penyakit Kanser Cervik. (2011). [online].
            Available : http://bidansrimulyanti.blogspot.my/2011/02/
pendekatan-biopsikososial-klien-dengan.html. [2015, Oktober 8].

Pengertian Psikologi Abnormal Jenis Gangguan Personaliti. (n.a.). [Online].
jenis-gangguan-kepribadian/. [2015, Oktober 13].

Pengertian Teori Psikososial Albert Bandura. (2010) [Online].
teori-psikososial-albert-bandura/. [2015, Oktober 9].

Psikologi. (2010). [Online].
            [2015, Oktober 10].

Psikologi Abnormal. (2012). [Online].
            Available : http://kusbiantari.blogspot.my/. [2015, Oktober 13].

Psikologi Abnormal: Kecelaruan Sakit (Pain Disorder). (n.a.). [Online].
            kecelaruan-sakit-pain-disorder/. [2015, Oktober 10].

Psychological problems and Disorders. (n.a.). [Online].
            Available : http://psychologyinfo.com/problems/. [2015, Oktober 10].

Teori Perkembangan Psikososial Erik Erikson. (n.a.). [Online].
            erik.html. [2015, Oktober 9].

Terapi Psikososial : Sejarah Dan Perkembangan Konsep Terapi Psikososial. (2013).
terapi-psikososial.html. {2015, Oktober 8].

The Biopsychosocial Model in Psychiatry: A Critique. (n.a.). [Online].
            [2015, Oktober 12].

The Biopsychosocial Model 25 Years Later: Principles, Practice and Scientific Inquiry.
            (n.a.). [Online]. Available : http://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/
PMC1466742/. [2015, Oktober 13].

The Psychological Disorders. (n.a.). [Online].
            Available : http://users.ipfw.edu/abbott/120/PsychDisorders.html.
[2015, Oktober 10].

What is abnormality?. (n.a.). [Online].
            Available : http://study.com/academy/lesson/what-is-abnormal-
            psychology-definition-and-common-disorders-studied.html. [2015, Oktober 9].

No comments:

Post a Comment