Thursday 3 March 2016

Assignment - Year 5 (Semester 1 - January) PSIKOLOGI SILANG BUDAYA ABPS2103

1.PENGENALAN
Setiap manusia itu berkeluarga walau dari manapun dia datang. Terdapat banyak istilah yang digunakan dalam memberikan pengertian atau definisi tentang keluarga. Keluarga itu sendiri terdiri daripada ibu, ayah dan anak-anaknya atau seisi rumah. Dalam erti kata sebenar, keluarga merupakan satu kumpulan manusia yang dihubungkan melalui pertalian darah, perkahwinan atau pengambilan anak angkat. Namun begitu, di negara Barat, mereka mendefinisikan keluarga sebagai satu kumpulan manusia yang mempunyai hubungan darah atau pertalian sah seperti perkahwinan dan pengambilan anak angkat. Ramai ahli antropologi berpendapat bahawa istilah ‘darah’ perlu difahami secara metaforik kerana banyak masyarakat bukan Barat mempunyai konsep berkeluarga yang tidak bersandarkan istilah ‘darah’ semata-mata.

Menurut Depker RI (1998),  beliau berpendapat bahawa keluarga merupakan unit terkecil dari masyarakat yang terdiri daripada ketua keluarga dan beberapa ahli keluarga yang lain serta tinggal di dalam satu bumbung dan saling bergantungan antara satu sama lain. Sementara menurut Helvie (1981) pula, beliau menyatakan bahawa keluarga merupakan satu sekolompok manusia yang tinggal dalam satu rumah serta mempunyai hubungan yang konsisten dan erat. Selain itu, keluarga juga didefinisikan sebagai anggota rumah tangga yang saling berhubungan melalui adaptasi pertalian darah atau perkahwinan menurut pandangan Who (1969).

Dalam pada itu, dari sudut pandangan islam pula, definisi keluarga adalah terlalu luas dan bersifat majmuk. Ini kerana sesebuah keluarga bukan sahaja terdiri daripada ibu, ayah dan anak-anak tetapi juga merangkumi datuk, nenek, adik beradik dan saudara mara yang lain. Bahkan, keluarga juga dikatakan lebih bersifat majmuk kerana bukan sahaja terdiri dari satu bumbung tetapi mungkin lebih kerana islam membenarkan poligami sekiranya mampu. Selain itu, dari semasa ke semasa, sesebuah keluarga itu mungkin akan tinggal berasingan atau terpisah akibat membina satu keluarga kecil yang baru. Dengan ini, perhubungan kekeluargaan ini dipanggil suatu ikatan yang mempunyai bentuk perhubungan pelbagai. Salah satu contohnya melalui perkahwinan dalam ahli keluarga.

Menurut Profesor Ungku Aziz, beliau pernah mengatakan bahawa rumah merupakan universiti pertama bagi anak-anak dan ibu bapa pula merupakan profesor pertama bagi anak mereka. Kata-kata beliau ini jelas menunjukkan bahawa ibu bapa dan setiap ahli keluarga memainkan peranan yang sangat penting dalam pembentukan sahsiah anak-anak. Anak-anak juga merupakan anugerah dan amanah dari Tuhan yang tidak ternilai. Selain itu,  ibu bapa bertanggungjawab untuk mewujudkan rumah tangga yang aman dan damai kerana anak-anak akan merasa bahagia apabila ibu bapa memberikan sepenuh kasih sayang dan melindungi diri mereka.  Semua orang tahu yang anak-anak diibaratkan seperti sehelai kain putih, maka ibu bapa merekalah yang mencorakkan warna pada kain tersebut. 

Justeru sebagai ketua keluarga, ibu bapa memainkan peranan penting bagi memastikan pembentukan sahsiah anak-anak dengan memberikan didikan agama yang sempurna dalam diri anak-anak . Pepatah sering menyatakan bahawa ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’. Selain itu, ahli keluarga khususnya ibu bapa berperanan sebagai suri teladan kepada anak-anak bagi memastikan anak-anak mempunyai sahsiah yang baik. Ini kerana, anak-anak yang berusia setahun jagung memang mudah mencontohi sebarang bentuk perlakuan orang yang lebih dewasa darinya. Dalam erti kata lain, sekiranya ahli keluarga yang lebih tua memiliki sahsiah yang baik, sudah tentu perbuatan ini dapat dicontohi oleh anak-anak kerana pepatah melayu ada mengatakan bahawa ‘kemana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi’. Dalam tugasan kali ini, saya diminta untuk menerangkan tentang empat jenis gaya keibubapaaan disamping kesan dan cadangan dalam meningkatkan meningkatkan gaya keibubapaan yang sesuai di kalangan pelbagai kaum.



2.GAYA KEIBUBAPAAN
Gaya keibubapaan ialah amalan yang digunakan oleh ibu bapa dalam mendidik, mengasuh, menunjuk ajar, menjaga dan membentuk sahsiah anak-anak.  Memang tidak dinafikan kini ibu bapa berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam mendidik anak-anak mereka terutamanya apabila anak-anak mula memasuki alam remaja iaitu dalam lingkungan usia 11 tahun hingga 18 tahun.  Ini merupakan satu tempoh peralihan dalam pusingan hidup yang melibatkan banyak perubahan berlaku, sama ada dari segi perkembangan fizikal, emosi dan kognitif. Tugas mendidik anak-anak dalam peringkat remaja pada masa sekarang dikatakan lebih mencabar kerana terdapat banyak pengaruh dari luar yang boleh membentuk sikap dan tingkah laku mereka.

Jurang generasi yang semakin luas di antara ibu bapa dengan anak-anak boleh menyumbang kepada pelbagai percanggahan dalam keluarga.  Ini boleh menimbulkan tekanan bukan sahaja kepada anak-anak malah kepada ibu bapa sendiri. Menurut Hamilton (1989), ibu bapa yang tertekan boleh mengakibatkan kes penderaan terhadap anak-anak. Manakala anak-anak yang tertekan pula akan melalui suatu perkembangan psikologi yang bermasalah dan ini secara tidak langsung  boleh menyumbangkan kepada peningkatan masalah gejala sosial. Jika masalah begini terus berlaku maka ianya akan menggangu keharmonian sesebuah keluarga, masyarakat dan negara.

Bercakap tentang soal gaya keibubapaan, menurut Baumrind (1971), gaya keibubapaan terbahagi kepada tiga jenis iaitu gaya keibubapaan authoritarian, autoritatif dan permisif pada mulanya. Dan kemudian Maccoby&Martin (1983) pula menambah satu lagi gaya keibubapaan iaitu ‘uninvolved parenting’ atau gaya keibubapaan pengabaian dan menjadikannya secara langsung empat jenis gaya keibubapaan yang ada. Dalam erti kata lain, setiap dari gaya keibubapaan menggunakan pendekatan yang berbeza untuk disiplinkan anak dan mempunyai kebaikan dan keburukan yang tersendiri.

2.1.GAYA KEIBUBAPAAN AUTORITARIAN
Dalam  gaya keibubapaan ini, kita dapat lihat di mana ibu bapa mengenakan kawalan yang ketat terhadap anak mereka iaitu tidak bertolak ansur atau fleksibel dalam mendidik anak-anak. Gaya sebegini juga dikenali sebagai 'kuku besi'. Ini kerana, ibu bapa akan menentukan peraturan atau undang-undang keluarga dan nilai yang perlu diikuti oleh anak. Peraturan yang telah ditetapkan tidak boleh dipersoalkan oleh anak-anak dan kuasa adalah mutlak di tangan ibu bapa. Secara tidak langsung ini bermaksud apabila anak melanggar peraturan yang telah ditetapkan, mereka akan dihukum tanpa penjelasan terhadap kesalahan yang dilakukan dan mereka tidak boleh membantah hukuman tersebut walaupun bukan kesalahan bukan berpunca dari mereka. Menurut Baumrind (1991), beliau menyatakan bahawa ibu bapa sebagai ‘obedience’ dan mengharapkan pesanan mereka kepada anak-anak perlu untuk ditaati tanpa sebarang penjelasan.

Mengikut kajian yang dijalankan oleh Lawrence (1986), beliau mendapati remaja yang diberi kasih sayang yang terlalu keras atau tidak diambil peduli, autokratik, pasif serta didiskriminasi oleh ibu bapa akan menghasilkan anak-anak remaja yang bermasalah, memberontak dan menuju tingkah laku yang terpesong dan menyeleweng. Ibu bapa yang mengamalkan gaya keibubapaan ini selalunya menggunakan kaedah disiplin yang berbentuk hukuman. Kesannya, anak yang dididik secara autoritarian akan mempercayai bahawa setiap keputusan dari  ibu bapa tidak boleh dibantah dan mematuhinya tanpa menyoal. Maka, anak-anak ini cenderung menjadi terlalu bergantung kepada keputusan dan arahan ibu bapa.

Selain itu, Anak-anak yang dibesarkan dengan gaya keibubapaan seperti ini juga biasanya akan menjadi seorang yang moody, tidak bahagia, ketakutan dan rapuh. Mereka lebih cenderung menjadi anak yang pemalu, menjauhkan diri dan kurang percaya diri. Dalam kata lain, jika kasih sayang tidak diekspresikan pada anak-anak, biasanya mereka ini menjadi seorang yang kuat membangkang dan anti sosial kelak.

2.2.GAYA KEIBUBAPAAN AUTORITATIF
Gaya keibubapaan ini lebih bersifat demokrasi di mana ibu bapa dalam situasi ini selalunya membenarkan atau mewujudkan komunikasi terbuka dengan anak. Ibu bapa jenis ini juga lebih bersikap terbuka, lebih rasional dan fleksibel dalam mendidik anak-anak. Anak-anak mereka akan  sentiasa dididik agar belajar berdikari. Namun begitu, bersesuaian dengan tahap kematangan anak, kawalan yang tegas diutamakan di samping memberikan kebebasan kepada anak. Dalam kata lain, gaya keibubapaan sebegini  merupakan gabungan antara gaya keibubapaan autoritarian dan permisif.

Anak-anak yang dibesarkan oleh ibu bapa dengan cara ini juga cenderung menjadi lebih bertenaga, mempunyai perasaan ingin tahu yang tinggi, berdedikasi, dapat kawal diri dan berpuas hati terhadap rakan sebaya. Gaya keibubapaan autoritatif dikatakan merupakan yang paling berkesan dalam mendidik anak-anak. Hal ini kerana, melalui gaya didikan begini, anak-anak bebas melakukan apa yang hendak lakukan tetapi tingkah laku mereka akan sentiasa diperhatikan dan dipantau oleh ibu bapa. Jika perkara yang hendak dilakukan tidak mendatangkan keburukan maka ibu bapa akan membiarkan akan mereka melakukannya dan jika perkara yang hendak dilakukan sebaliknya, ibu bapa akan melarang anak mereka daripada melakukan perkara tersebut.

Anak-anak juga diberi peluang untuk meluahkan pendapat mereka dan bukannya hanya mendengar arahan daripada ibu bapa mereka. Dalam maksud lain, anak-anak bebas untuk meneroka dan berfikir tentang perkara yang mereka hendak lakukan sama ada baik atau tidak. Secara tidak langsung ini dapat meningkatkan perasaan ingin tahu mereka terhadap sesuatu perkara itu. Sementara itu, menurut Baumrind (1989), anak-anak yang dibesarkan oleh ibu bapa yang demokratik cenderung menjadi lebih bertenaga, suka menjelajah, mempunyai perasaan ingin tahu tinggi, berdedikasi, dapat mengawal diri, berpuas hati dengan diri dan bersikap positif terhadap rakan sebaya.
  
2.3.GAYA KEIBUBAPAAN PERMISIF
Dalam gaya keibubapaan ini, apa yang kita dapat lihat di mana ibu bapa memberikan kebebasan sepenuhnya kepada anak-anak mereka tanpa sebarang kawalan. Dalam erti kata lain, ibu bapa lebih memenuhi keperluan anak-anak serta juga tidak membentuk peraturan keluarga yang jelas dan tidak menerangkan antara tingkah laku yang baik dan buruk. Ibu bapa yang menggunakan gaya keibubapaan ini akan membentuk sifat kurang matang, kurang kawalan diri, kurang tanggungjawab sosial dan kurang keyakinan diri pada anak-anak mereka. Ini kerana, jika permintaan mereka tidak dipenuhi mereka akan merajuk dan memberontak kepada ibu bapa.

Walau bagaimanapun, menurut Baumrind (1989), anak-anak akan lebih gembira dan cepat sembuh daripada sesuatu tekanan atau pun krisis berbanding kanak-kanak yang dibesarkan secara autokratik. Kajian yang dijalankan oleh Mitchell (1989) dan D’Angelo dan rakan-rakan (1995), ada menunjukkan bahawa kekurangan perhatian dari ibu bapa memainkan peranan penting dalam pembentukan tingkah laku anti sosial. Kajian juga menunjukkan di mana remaja yang bertingkah laku anti sosial biasanya kurang diberi perhatian oleh keluarga mereka.

Sementara itu, kajian dari Slaby&Guerra (1988), mereka  mendapati bahawa anak-anak yang bertingkah laku devian dan delinkuen mempunyai kurang kawalan diri dan tingkah laku mereka banyak dipengaruhi oleh kawalan luar dari persekitaran. Selain itu, menurut Herzoy dan rakan-rakan (1988), mereka mendapati sebanyak 70 peratus anak yang lari dari rumah dan terlibat dengan dadah disebabkan oleh suasana rumah yang terlalu menekan, sikap ibu bapa yang tidak mengambil tahu dan jurang antara mereka.

2.4.GAYA KEIBUBAPAAN PENGABAIAN ATAU KURANG PENGLIBATAN
Gaya keibubapaan ini dikemukan oleh Maccoby dan John Martin bagi mengembangkan lagi gaya keibubapaan yang diberikan oleh Baumrind yang menitikberatkan tentang tahap mengawal anak-anak dan tahap penerimaan atau tindak balas daripada ibu bapa. Justeru, dengan menggabungkan kedua-dua elemen iaitu mengawal dan tindak balas maka, wujudlah empat jenis gaya keibubapaan.

Dalam gaya keibubapaan pengabaian ini, dikatakan banyak mendatangkan kesan-kesan negatif kepada ahli keluarga. Ini kerana, tahap mengawal anak-anak dan tahap penerimaan ibu bapa terhadap anak mereka adalah sangat rendah. Ibu bapa tidak mengambil peduli langsung di mana anak mereka berada, apa aktiviti yang mereka lakukan, dengan siapa mereka berkawan, tidak ambil tahu tentang hal ehwal pelajaran anak serta suasana persekitaran sosial anak mereka. Ibu bapa terlalu sibuk mencari nafkah sehinggakan mereka mengabaikan keperluan anak-anak dari pelbagai segi. Secara tidak langsung, keluarga sebegini berkemungkinan menghadapi masalah kewangan yang serius sehingga anak-anak mereka dijaga tanpa pengawasan yang sepatutnya. Selain itu, ibu atau bapa yang berpenyakit mental juga dikategorikan di bawah golongan ini.

Gaya keibubapaan sebegini juga dapat dikatakan sebagai tiada pertalian yang utuh antara ibu bapa dengan anak mereka. Hubungan tersebut dilihat begitu asing antara satu sama lain. Kelakuan anak-anak yang dibesarkan dengan gaya keibubapaan sebegini adalah yang paling teruk jika dibandingkan dengan ketiga-tiga gaya keibubapaan diatas. Selain itu, anak-anak ini juga akan selalu dipandang rendah oleh masyarakat dan menyebabkan mereka tidak suka bergaul dengan orang lain. Gaya keibubapaan sebegini boleh dikategorikan sebagai kecuaian dari ibu bapa itu sendiri kerana tiadanya permintaan, tiada disiplin, hala tuju serta memberikan kebebasan penuh kepada anak mereka.



3.KESAN GAYA KEIBUBAPAAN
Dalam dunia yang semakin mencabar ini terdapat pelbagai corak didikan anak-anak yang diamalkan oleh sesebuah keluarga. Corak yang diamalkan inilah yang akan menghasilkan pelbagai personaliti. Personaliti juga akan menjadi lambang kepada keperibadian seseorang individu itu. Mahu atau tidak, ibu bapa perlu menjadi yang contoh baik, membimbing dan melatih anak-anak dalam membuat keputusan, mewujudkan suasana yang menyeronokkan di rumah, mengetahui apa yang anak lakukan serta perkembangannya selain perlu mengenali rakan sebaya anak. Segala-galanya bermula di rumah dengan mewujudkan suasana rumah yang harmoni dan sejahtera. Ini dapat dicapai melalui perbincangan dengan anak tentang pelbagai perkara, meluangkan masa dan mendengar masalah anak.

Oleh demikian, proses mendidik dan membentuk anak yang cemerlang ialah proses berulang dan memerlukan kesabaran yang tinggi. Menurut Profesor Yahya Don dari Universiti Utara Malaysia (UUM), perkataan jemu untuk menegur, mendidik, mengajar, membimbing dan membentuk keperibadian mulia, tidak boleh wujud dalam diri setiap ibu bapa. Beliau juga berpendapat bahawa perubahan tingkah laku biasanya melalui proses dan jangka masa tertentu.

Cepat atau singkat perubahan tingkah laku itu bergantung kepada pengaruh motivasi dan persekitaran anak-anak. Ibu bapa bertanggungjawab mendidik dan mengawal tingkah laku anak-anak bagi mencapai kecemerlangan. Tetapi, akibat sikap tidak sabar untuk melihat perubahan serta merta maka, terjadilah tindakan seperti menampar, mengherdik, merotan dan sebagainya. Kesannya akan berlaku kerenggangan di antara anak-anak dengan ibu bapa, hilang motivasi, dendam, murung, stres, tingkah laku ganas dan sebagainya.

Bercakap soal kesan gaya keibubapaan terhadap saya, apa yang saya dapat katakan bahawa ibu bapa saya mendidik saya dengan cara autoritatif di mana ibu bapa saya menggalakkan komunikasi terbuka dalam keluatga. Selain itu, keadaan dan suasana dalam rumah yang tenteram dan beberapa ciri asuhan yang autoritatif yang baik menjadikan saya seorang yang bersikap positif. Memang tidak dinafikan bahawa ibu bapa saya seorang yang tegas, lebih-lebih lagi ayah saya seorang anggota polis. Sungguh pun begitu, mereka menerapkan disiplin dengan kasih sayang dan bukan dengan kekuatan. Mereka juga menjelaskan akan peraturan kepada saya bukan dengan cara yang memaksa. Walaupun terdapat peraturan dalam keluarga, ibu bapa saya membuka peluang untuk berbincang sekiranya saya tidak memahami atau tidak bersetuju dengan peraturan yang ditetapkan. Dalam erti kata lain ianya lebih bersifat demokrasi dalam keluarga.

Antara kesan dari gaya keibubapaan ini kepada saya ialah saya kini lebih bersifat terbuka, dapat mengawal diri dan menjadi seorang yang mempunyai perasaan ingin tahu. Pada pendapat saya sendiri, cara yang terbaik untuk mendisiplinkan anak-anak ialah dengan menggunakan disiplin yang sederhana iaitu tidak longgar dan tidak terlalu ketat seperti autoritatif. Dengan kata lain, setiap sesuatu disiplin yang hendak digunakan kepada kanak-kanak mestilah bersesuaian dengan tahap perkembangan mereka supaya anak-anak dapat mengembangkan sifat-sifat kendiri yang positif. Dalam agama Islam pun perkara sebegini sudah lama diajar iaitu melalui sabda Rasulullah S.A.W, ‘suruhlah anak-anak kamu bersolat ketika mereka berusia tujuh tahun dan pukul kerana meninggalkan solat ketika berusia sepuluh tahun’ dari Riwayat Abu Daud. Pukul yang dimaksudkan bukanlah sehingga mencederakan tetapi cukup sekadar memberi pelajaran kepada anak supaya melakukan yang wajib dan meninggalkan yang dilarang.



4.CADANGAN DALAM MENINGKATKAN GAYA KEIBUBAPAAN
Antara cadangan ibu bapa dalam meningkatkan gaya keibubapaan yang sesuai di kalangan komuniti yang terdiri darippada pelbagai kaum ialah seperti yang di bawah :

Luangkan Masa Berkualiti Bersama Anak
Memperbaiki perhubungan sihat antara ibu bapa dan anak dengan menyediakan peluang kepada ibu bapa untuk mengenali, memahami dan membimbing anak masing-masing. contohnya seperti tunjukkan yang anda berminat dengan aktiviti anak atau meraikan kejayaan apabila anak telah mencapai sesuatu yang dikehendakinya.

Kerap Menggunakan Kata-Kata Pujian
Penggunaan kata-kata pujian amat penting dalam mendidik anak. Pujian membuatkan mereka memahami apakah tingka laku yang baik, merasai ibu-bapa menyayanginya dan dapat meningkatkan rasa harga dirinya. Kata-kata negatif tidak membantu malah ianya boleh merosakkan rasa harga diri anak. Dengan ini, mereka tidak dapat belajar cara memperbaiki dirinya bila disindir atau dimaki. Malah perasaan takut dan marah akan bersarang dalam dirinya sehingga mereka meningkat dewasa. Contoh dalam menggunakan kata-kata pujian seperti memanggil anak dengan namanya atau panggilan yang mesra. Selain itu, beri perhatian tambahan terhadap perlakuan positifnya melalui sentuhan, dakapan, ciuman atau tepukan. Di samping meluahkan pujian serta merta secara konsisten setiap kali mereka berkelakuan baik.

Tetapkan Peraturan Yang Bersesuaian Dengan Keadaan Di Rumah
Setiap keluarga tanpa mengira kaum mestilah mempunyai peraturan di rumah yang boleh dan tidak boleh dilakukan. Dengan ini, anak perlu tahu apa yang seharusnya mereka patuh. Adalah penting setiap ibu bapa menyatakan dengan jelas kepada anak mereka tentang peraturan-peraturan yang ditetapkan. Sering kali kita melihat di mana ada ibu bapa yang memarahi anak mereka apabila berlaku sesuatu masalah tanpa memperjelaskan perlakuan yang diingini mereka. Ini tidak seharusnya berlaku dalam keluarga yang ingin mewujudkan gaya keibubapaan yang positif. Oleh demikian, apabila anak berkelakuan yang tidak wajar kita perlulah menerangkan kepada mereka apakah tingkahlaku yang tidak baik dan tunjukkan padanya perlakuan pilihan yang lebih sesuai serta terangkan kepadanya juga apakah kesan positf dari tingkah laku tersebut.apa yang paling penting ialah jangan marah anak semasa anda merasa amat marah kerana pada masa itu anda tidak dapat berfikir dengan baik. Akibatnya anda gagal menjadi contoh yang baik untuk anak anda belajar mengawal perasaan marahnya nanti.

Ibu Bapa Perlu Mempunyai Kemahiran Tambahan
Gaya keibubapaan merupakan salah satu cara mendidik. Justeru, pelbagai situasi boleh timbul dari semasa ke semasa yang menuntut setiap ibu bapa mempunyai kemahiran tambahan. Apa yang boleh dilakukan oleh ibu bapa ialah seperti beri anak anda pilihan untuk menggalakkan ia membuat keputusan. Jika mahu anak anda menurut kehendak anda, beri arahan yang anda hendak mereka lakukan dengan kata kerja sebagai contoh ‘Tolong simpan mainan kamu’. Walau bagaimanapun, biarlah tuntutan atau harapan anda itu bersesuaian dengan apa yang anak anda boleh lakukan atau dalam kata lain mengikut kemampuan mereka.



5.KESIMPULAN
Apa yang kita dapat lihat ialah gaya keibubapaan yang berlainan akan membentuk sikap dan tingkah laku anak-anak yang pelbagai atau berbeza. Gaya keibubapaaan autoritatif adalah gaya keibubapaan yang paling positif dalam mendidik anak-anak. Secara umumnya, banyak perkara yang di luar jangkaan akan berlaku dalam mendididk anak-anak dan ini memang tidak dinafikan.

Perhubungan anatara manusia adalah berpunca daripada kasih sayang. Oleh itu, ibu bapa haruslah meluangkan masa yang berkualiti bersama anak mereka. Hal ini akan membuka peluang kepada ibu bapa  untuk lebih mengenali, memahami dan membimbing anak. Selain itu, ibu bapa sebagai ketau dalam keluarga seharusnya menetapkan peraturan dalam rumah. Hal ini kerana, anak-anak perlu tahu dan belajar apa yang mereka perlu patuhi dan hormati. Penggunaan pujian juga amat penting. Dengan memberi pujian akan membuatkan anak-anak memahami apakah tingkah laku yang baik. Di samping dapat merasakan kasih sayang serta dapat meningkatkan keyakinan dalam diri. Dalam erti kata sebenar, anak-anak akan mempelajari sesuatu perkara walaupun dalam keadaan apa sekali pun.

Adakalanya, ibu bapa akan menegur tingkah laku anak mereka tetapi teguran itu tidak memberi kesan yang positif kepada anak. Namun apa yang penting, ibu bapa perlu memahami bahawa anak mereka sebenarnya amat memerlukan perhatian dari tindakan mereka tersebut. Kadang-kadang, ibu bapa tidak perlu untuk mengendahkan perbuatan anak mereka itu. Tindakan sebegini dipanggil sebagai ‘ignoring’ atau ‘tak ambil endah’. Apa yang penting disini ialah membimbing anak dalam berfikir untuk diri mereka sendiri dan ibu bapa perlu membantu anak-anak melalui proses atau langkah-langkah dalam membuat keputusan. Mereka harus mengelakkan untuk terus membuat keputusan bagi pihak anak.


2994 Perkataan




APENDIKS
6.RUJUKAN / REFERENSI

Bee Boyd, (2007). The Development Child : Edisi ke-11. Person International Edition : United States.

C.R. (2004). An Examination Of The Relationship Between Ego Development And Parenting Style. P.h.d. The College Of William And Mary In Virginia, USA.

Mohamad Nazar Mohamad. (2001). Penghantar Psikologi. Kuala Lumpur: DB

Definisi, Fungsi Dan Bentuk Keluarga : Pengertian Keluarga. (n.a.). [Online].
            Available : http://www.kajianpustaka.com/2012/11/definisi-fungsi-
dan-bentuk-keluarga.html. [2015, Februari 14].

Memahami Definisi Dan Asas Kekeluargaan. (2012). [Online].
dan-asas-kekeluargaan.html. [2015, Februari 16].

Rahsia Membina Keluarga Bahagia. (2010). [Online].
keluarga-bahagia.html. [2015, Februari 16].

Hubungan Kekeluargaan. (n.a.). [Online].
tingkatan-3/tema-2-hubungan-kekeluargaan/. [2015, Februari 16].

10 Aktiviti Rapatkan Hubungan Kekeluargaan. (2014). [Online].
            Available : http://www.eh.com.my/artikel/perhubungan/10-aktiviti-
rapatkan-hubungan-kekeluargaan/. [2015, Februari 17].

Tanggungjawab Ibu Bapa Membentuk Peribadi, Akidah Anak. (n.a.) [Online].
            Available : https://zanas.wordpress.com/tanggungjawab-ibu-bapa-
membentuk-peribadi-akidah-anak-sebaik-dilahirkan/. [2015, Februari 17].

7 Kesilapan Besar Yang Lazim Dilakukan Ibu Bapa Dalam Mendidik Anak. (n.a.).
-bapa-mendidik-anak/. [2015, Februari 17].

Peranan Ibu Bapa Dalam Pembentukan Keluarga Bahagia. (2013). [Online].
            Available : http://cikgutum.blogspot.com/2013/11/peranan-ibu-
            bapa-dalam-pembentukan.html. [2015, Februari 17].

Peranan Ibu Bapa. (2012). [Online].
            [2015, Februari 17].

Pengertian Keluarga Dan Fungsinya. (n.a.). [Online].
            Available : http://cikguramsulbmspm.blogspot.com/2013/03/program-
            menyalin-karangan-berfokus-diri.html. [2015, Februari 17].

Kaunseling Keluarga (Cara Gaya Keibubapaan). (2012). [Online].
            cara-gaya.html. [2015, Februari 17].

The Four Types of Parenting Styles. (n.a.). [Online].
            -of-parenting-styles.html. [2015, Februari].

Common Parenting Styles. (n.a.). [Online].
            [2015, Februari 17].

Early Childhood Education. (2014). [Online].
            anak.html. [2015, Februari 17].

Renggang Jika Terlebih Tegas. (n.a.). [Online].
            Available : http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=
            0611&pub=Kosmo&sec=Pesona&pg=ps_02.htm. [2015, Februari 17].

Jangan Jadi Ibu Bapa Bertoksik – Pengasih. (n.a.). [Online].
            [2015, Februari 17].

No comments:

Post a Comment