Thursday 3 March 2016

Assignment - Year 4 (Semester 2 - May) ETIKA PROFESIONAL OUMM3203

1.PENGENALAN
Dewasa ini, kesibukkan dalam mengejar era globalisasi seseorang yang ingin berjaya dalam apa jua bidang perlulah memiliki satu peraturan yang berhubung kait dengan tingkah laku bagi mengawal dirinya dalam setiap tindakan yang dilakukan. Nilai murni seperti ini secara tidak langsung akan membentuk etika seseorang individu tersebut. Pembentukan etika yang baik juga sebenarnya bermula daripada diri seseorang individu itu sendiri. Dengan berasaskan etika yang ada maka konflik terhadap keinginan boleh diselesaikan dan seterusnya meningkatkan fungsi sosial seseorang individu. Secara umumnya, etika merupakan teori yang berkaitan dengan tindakan, hujah dan tujuan yang mengarah kepada makna sesuatu tindakan.  Etika tidak bersangkutan dengan fakta atau fizikal manusia tetapi merupakan satu disiplin ilmu yang mengkaji tentang moral, prinsip moral, kaedah moral dan tindakan serta kelakuan manusia yang betul.

Walaupun bagaimanapun, setiap individu perlu terlebih dahulu memahami apa yang dimaksudkan dengan etika. Istilah etika atau ‘ethic’ sebenarnya berasal daripada perkata greek iaitu ‘ethos‘ yang membawa maksud perwatakan atau keperibadian. Sementara itu, mengikut pengertian Kamus Dewan (1995) terbitan Dewan Bahasa Dan Pustaka, etika bermaksud satu sistem dasar akhlak, adat atau tingkah laku atau kesusilaan. Dari segi Islam pula, etika adalah akhlak dimana ianya merujuk kepada tingkah laku yang baik yang dituntut syarak.

Sementara itu, menurut sarjana barat J. L. Mackie, beliau telah mendefinisikan etika sebagai disiplin yang dapat menerangkan nilai baik dan buruk sesuatu perbuatan serta menyediakan garis-garis perbezaan antara kebaikan dan keburukan seseorang individu. Menurut A.R. Licey dan W.L. Reese pula, mereka mendefinasikan etika sebagai kegiatan aktiviti praktikal yang melibatkan tingkah laku, adat dan cara hidup serta aspek niat dan kecenderungan seseorang atau masyarakat dalam melakukan sesuatu aktiviti. Menurut pandangan ahli falsafah pula, etika merujuk kepada pengajian moral yang bertumpu kepada nilai dan kelakuan manusia.

Justeru, etika di sini dapat disimpulkan sebagai prinsip-prinsip tingkah laku yang bertanggungjawab yang menentukan tindakan individu yang boleh di terima dari segi moral. Setiap individu haruslah mempunyai etika yang dapat diterima oleh pihak masyarakat. Ketidakseimbangan etika individu sekarang ini banyak membawa kepada gejala-gejala yang tidak bermoral seperti rasuah dan sebagainya.

Definasi etika profesional pula merujuk kepada etika dalam sesuatu profesion dan bidang yang profesional. Profesional boleh ditakrifkan dengan keupayaan dan kecekapan dalam melaksanakan sesuatu tanggungjawab berdasarkan kepada ilmu dan latihan serta kepakaran. Etika profesional pula ditafsirkan sebagai satu panduan dan tatacara yang menentukan kualiti moral, profesional dan nilai. Antara faktor-faktor yang membentuk etika individu seseorang itu ialah pengaruh keluarga, pengaruh rakan, pengalaman hidup, nilai peribadi dan prinsip moral dan faktor situasi.  


2.TIGA FAKTOR YANG MEMBENTUK ETIKA INDIVIDU
Dalam tugasan kali ini, saya akan memilih tiga faktor yang membentuk etika individu iaitu pengaruh keluarga, pengaruh rakan dan pengalaman hidup dan huraian serta contoh seperti di bawah.

2.1.Pengaruh Keluarga
Sebagai seorang pekerja dan pelajar separuh masa, saya telah mengalami dan melihat sendiri beberapa situasi pelanggaran etika yang mana ianya dipengaruhi oleh keluarga iaitu ibu, bapa, abang, kakak, adik, sepupu, pakcik atau makcik dan saudara terdekat. Dalam erti kata sebenar, seseorang individu itu mula membentuk standard etika sejak zaman kanak-kanak sebagai tindak balas kepada persepsi mereka terhadap tingkah laku ibu bapa dan menjadikan ibu dan bapa sebagai idola untuk membentuk keperibadian mereka. Keharmonian sesebuah keluarga boleh membentuk sahsiah peribadi dan personaliti serta tingkah laku seseorang. Ini kerana apabila seseorang ahli keluarga mempunyai masalah ia akan dikongsikan bersama dan mencari jalan terbaik untuk penyelesaian bersama dari situ timbul perasaan sayang-menyayangi di antara satu sama lain.

Dewasa ini, cara asuhan dan didikan ibu bapa terhadap anak-anak juga mempengaruhi pembentukan etika mereka.  Ibu bapa yang bersikap penguasaan serta autokratik akan mewujudkan individu yang begitu taat kepada arahan tetapi menjadi pasif dalam tingkah laku mereka.  Sebaliknya, ibu bapa yang mengamalkan sikap bebas akan mendapati sikap anak-anaknya tidak bersopan-santun, tidak bertanggungjawab dan tidak boleh berdikari.  Sementara ibu bapa yang mengamalkan cara demokrasi dan membincangkan masalah-masalah dengan anak-anak mereka serta mempertimbangkan pendapat anak-anak apabila membuat keputusan-keputusan penting secara tidak langsung akan mendapati anak-anak mereka mempunyai keyakinan diri yang tinggi. 

Sebagai contoh, sebagai seorang anak sulung dari lima adik-beradik dan merupakan anak kepada seorang anggota polis yang tegas, saya dididik dengan cara yang penuh disiplin. Boleh dikatakan, ayah saya seorang yang agak tegas dalam mendidik anak-anaknya. Walau dalam ketegasannya, tetap ada kelembutan dalam dirinya. Ayah saya seorang yang sangat mengambil berat akan perihal anak-anaknya. Sikap sebegini yang diterapkan membuatkan saya menjadi seorang yang bertanggungjawab dan prihatin. Apa yang saya hendak katakan disini bahawa, jika ayah saya tidak bersikap tegas, nescaya anak-anaknya akan terpengaruh dengan gejala yang kurang sihat. Tidak semua keluarga sama dalam mendidik anak-anak mereka dan masing-masing mempunyai cara yang tersendiri. Dalam erti kata lain, anak-anak yang agresif kelakuannya atau etikanya adalah dari keluarga yang mengamalkan corak disiplin yang terlalu ketat yang menghukum anak-anak mereka secara fizikal berlebihan. Namun, terdapat juga ibu bapa yang menjadi pendorong kepada masalah dan sifat vandalisme di kalangan anak-anak mereka. Sikap sebegini akan menjadi ikutan kepada anak-anak mereka apabila mereka meningkat dewasa kelak dan berterusan sehingga turun temurun.


2.2.Pengaruh Rakan
Seperti yang sedia maklum, pengaruh rakan terutamanya rakan sebaya merupakan faktor yang sering kali mendominan seseorang individu. Jika dilihat dalam konteks di sekolah, individu itu akan merasa dirinya kesunyian apabila tidak mempunyai rakan dan ia akan cuba mencari rakan. Melalui inilah sama ada sedar atau tidak ia akan terikut-ikut dengan rakan-rakan yang beretika mahu pun tidak beretika. Antara beberapa contoh perlakuan tidak beretika yang disebabkan oleh rakan ialah seperti ponteng sekolah, bermain semasa belajar, menipu, menyahut cabaran dan sebagainya. Pengaruh rakan sebeginilah yang banyak menjerumuskan seseorang individu terutamanya pelajar disekolah agar melakukan perkara yang tidak beretika. Malahan ada yang sanggup berbohong dengan ibu bapa semata-mata inginkan rakan yang ramai yang sama-sama melakukan perkara yang tidak beretika.

Menurut Hazil Abd Hamid (1990), beliau menyatakan bahawa rakan sebaya diistilahkan sebagai golongan atau kumpulan kanak-kanak atau remaja yang rata-rata mempunyai lingkungan umur yang sama. Oleh yang demikian,  rakan sebaya merujuk kepada kanak-kanak atau remaja yang sama umurnya yang menjadi pendengar setia, bersedia untuk membantu dan bersama-sama tatkala ketika sedih mahu pun gembira.

Sementara itu, pengaruh rakan Pengaruh rakan juga amat serius kerana ia boleh menyebabkan vandalisme. Ia akan mencorakkan sikap, nilai dan tingkah laku terutama bagi remaja yang tercicir dalam pendidikan dan menghadapi masalah keluarga. Mereka yang melakukan vandalisme merupakan remaja dalam kumpulan. Mereka tidak mempunyai tujuan serta hala tuju dan apabila berada di dalam kumpulan tersebut, maka akan timbullah pelbagai idea termasuklah menconteng harta benda awam dan merosakkannya.

Namun jika dilihat dari sudut positif, pengaruh rakan boleh menjadikan remaja sebagai seorang yang berguna dan berbudi pekerti yang baik sekiranya mereka memilih untuk bergaul dan mendapatkan rakan-rakan yang mempunyai etika yang baik. Mereka akan melakukan perkara-perkara yang tidak terkeluar daripada norma-norma masyarakat seperti membantu masyarakat atau komuniti ketika ada program-program kemasyarakatan melalui gotong-royong. Belajar bersungguh-sungguh demi masa depan mereka dan memikirkan tangungjawab sebagai seorang insan yang bergelar anak dan pewaris negara yang akan menerajui negara pada masa hadapan. Dalam erti kata lain, rakan yang baik adalah rakan yang saling menegur, saling mengingati serta saling membantu. Memilih rakan baik umpama berkawan dengan si penjual minyak wangi, kita akan turut terkena percikan wangiannya dan jika berkawan dengan si tukang besi pasti kita akan terkena percikan apinya.

Sebagai contoh dalam menghuraikan faktor ini, saya sendiri pernah mengalami pengalaman dimana saya mendapat pengalaman yang buruk dalam pengaulan dengan seorang rakan. Kepercayaan yang saya berikan telah disalahgunakannya dengan menikam saya dari belakang. Dari situ, saya mula sedar betapa pengaruh rakan ini kadang-kadang menjadikan kita bukan diri kita yang sebenar kerana kita telah dipengaruhi dengan sikap dan cara mereka memanipulasikan keadaan sehingga kita tenggelam punca seterusnya bertindak tanpa berfikir panjang. Bagi saya, faktor pengaruh rakan memang memberi kesan yang amat mendapat jika kita salah memilih rakan untuk dijadikan rakan.


2.3.Pengalaman Hidup
Setiap manusia mempunyai pengalaman hidup yang berbeza antara satu sama lain dan memang tidak boleh dinafikan. Justeru, setiap memori dan pengalaman yang dialami oleh seseorang individu itu sebenarnya menjadi satu pengajaran untuknya bagi  meneruskan kehidupan. Setiap pengalaman yang diperoleh hasil daripada tindakan yang diambil sama ada beretika atau tidak akan mendorongnya untuk meneruskan perbuatan tersebut atau terus meninggalkannya. Ini sebenarnya menjadi salah satu faktor dalam pembentukan etika dalam diri seseorang individu. Sebagai contohnya, seorang pekerja yang suka menyalahgunakan harta benda pejabat tanpa di tegur atau dihukum akan perbuatannya  itu, sampai bila-bila beliau tidak akan sedar akan perbuatannya. Sebaliknya, jika perbuatan beliau itu ditegur atau dihukum sudah pasti beliau akan sedar dan berubah ke arah kebaikan malah boleh menjadi lebih baik.

Pengalaman hidup juga sebenarnya dapat mematangkan seseorang individu itu. Dari seorang yang tidak mengerti apa-apa kepada yang lebih baik atau sebaliknya. Kadang-kadang kita sendiri tidak menyedari apa akan berlaku jika kita memilih sesuatu keputusan itu. Sebagai manusia, sesiapa pun tidak akan terlepas dari melakukan kesalahan sama ada kesalahan kecil atau besar bergantung kepada keadaan tertentu. Walau bagaimanapun, kita perlu bijak menangani setiap permasalahan yang mendatang supaya kita dapat menyesuaikan diri walau dalam apa cara sekalipun.

Sebagai seorang yang mempunyai pengalaman hidup, saya juga pernah melalui pelbagai cabaran dan rintangan. Saya berjaya mengatasi kebanyakkannya dan pengalaman sebegini membuatkan saya lebih matang sering dengan usia saya. Memang tidak dapat dinafikan, kadang-kadang saya sendiri pun pernah melakukan kesilapan. Namun, ini tidak menghalang saya dari terus bergerak kehadapan untuk memajukan diri. Sementara itu terdapat beberapa contoh bagaimana pengalaman hidup ini menunjukkan kehidupan yang tidak beretika seperti meludah, membuang sampah, mencuri dan bahan lucah. Sikap-sikap negatif seperti ini haruslah dijauhi dari kehidupan kita supaya kita tidak terjerebak dan terikut-ikut.


3.UNDANG-UNDANG SEBAGAI PANDUAN PILIHAN MORAL
Umum melihat undang-undang sebagai dasar kepada keputusan pengurusan apabila berhadapan dengan sesuatu dilema etika. Justeru, undang-undang merupakan satu set peraturan yang konsisten dan digubal oleh masyarakat dalam mengawal kelakuan sesebuah masyarakat. Dalam erti kata lain, undang-undang memainkan peranan yang penting dalam kehidupan manusia. Salah satu daripada kepentingan undang-undang ialah mengatur pelbagai perjalanan hidup manusia tidak mengira pangkat, warna kulit, agama, bangsa, ideologi politik dan sebagainya.  Ini terbukti apabila undang-undang itu sendiri mengatur dan menentukan peranan institusi atau badan kerajaan dalam sesebuah negara.

Di negara kita, undang-undang yang digunakan berteraskan sistem perundangan ‘Common Law’. Undang-undang tertinggi iaitu Perlembagaan Malaysia menggariskan rangka perundangan dan hak-hak warganegara Malaysia. Undang-undang persekutuan digubal oleh Parlimen Malaysia berkaitan dengan seluruh negara. Terdapat juga undang-undang negeri yang digubal Dewan Undangan Negeri (DUN) dan berkaitan dengan negeri berkenaan. Perlembagaan Malaysia juga membenarkan sistem kehakiman berganda yang unik iaitu undang-undang sekular  dan undang-undang syariah.

Sementara itu, undang-undang juga berperanan sebagai ejen keamanan dan kesejahteraaan. Undang-undang digunakan untuk mengawal masyarakat daripada melakukan sebarang tindakan yang salah dan memudaratkan diri dan orang ramai.  Individu yang melanggar  undang-undang akan dikenakan hukuman yang setimpal dengan perbuatan mereka. Hukuman tersebut dibuat bertujuan untuk memberi pengajaran kepada si pelaku dan orang ramai. Oleh itu, hak-hak dan kebebasan setiap individu akan terpelihara dan akhirnya satu bentuk kehidupan sosial dan poitik yang stabil dapat diwujudkan dalam masyarakat.

Namun, apa yang paling penting adalah undang-undang dapat dijadikan sebagai panduan pilihan moral.  Ini bermaksud seseorang individu di dalam sesebuah masyarakat perlu merujuk kepada undang-undang apabila berhadapan dengan dilema etika sama ada di dalam atau di luar organisasi.  Setiap individu yang tinggal di dalam negara Malaysia tertakluk di bawah undang-undangnya. Undang-undang ini boleh dijadikan panduan untuk bertindak apabila berlaku situasi seperti berikut.

Dalam situasi pengaruh keluarga, jika ibu bapa yang membesar anak-anaknya dengan cara yang tidak sepatutnya seperti mendera mereka, jika didapati bersalah mereka anak dikenakan hukuman yang setimpal. Secara tidak langsung, kebajikan anak-anaknya akan diambil alih oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat jika anak-anak mereka tidak mempunyai saudara mara terdekat yang boleh menjaga mereka.

Selain itu, undang-undang juga boleh dijadikan panduan untuk bertindak apabila berhadapan dengan dilema etika dalam pengaruh rakan. Di mana jika penyalahgunaan kuasa yang telah diberikan seperti penyelewengan dari perjanjian yang telah dibuat atau ditandatangani secara rasmi dan bertulis. Dalam undang-undang, Jenayah pecah amanah ini telah diperuntukkan di bawah Seksyen 405 Kanun Keseksaan yang mana perkataan amanah dalam peruntukan ini merujuk kepada semua kejadian yang mana seseorang yang telah diamanahkan itu menyalahgunakan atau menjadikan harta itu seperti kepunyaannya sendiri. Secara keseluruhannya, kesan daripada gejala pecah amanah ini boleh mengakibatkan runtuhnya institusi dalam sesebuah negara itu sendiri sama ada dari segi ekonomi, sosial mahupun politik kerana melibatkan golongan yang professional dan mempunyai pendidikan yang tinggi. Sekiranya tidak diatasi secara berkesan akan memberikan pelbagai masalah lain yang akan timbul.

Sementara itu, dalam bercakap soal undang-undang dari segi faktor pengalaman hidup, kita tidak akan terlepas dari dikenakan tindakan. Antaranya ialah seperti kesalahan membuang sampah merata-rata, memiliki bahan lucah, mencuri dan sebagainya. hukuman yang dikenakan bagi kesalahan membuang sampah merata-rata ialah Seksyen 47 Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 dan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Akta 672). Bagi kesalahan memiliki bahan lucah pula, hukuman yang boleh dikenakan ialah Seksyen 922 Kanun Keseksaan (menyimpan video lucah) dan Seksyen 5 (1) ( A ) Akta Penapisan Filem 2002 (memiliki video lucah). Sementara itu, bagi kesalahan mencuri, hukuman yang dikenakan ialah maka akta 574 seksyen 378 dan seksyen 379 Akta 574.


4.KESIMPULAN
Dalam dunia yang semakin mencabar ini, kita dapat lihat di mana etika menjadi salah satu unsur yang penting dalam kehidupan manusia. Berdasarkan kepada hal-hal yang telah dibincangkan di atas, ternyata etika membantu setiap individu membentuk keharmonian, kesejahteraan, kerukunan dan kedamaian hidup. Daripada sudut individu, seseorang yang beretika sentiasa menjaga perilakunya agar tidak bertentangan dengan nilai-nilai dan kehendak moral dalam sesebuah masyarakat.

Ramai tidak mengetahui bahawa etika secara umumnya terbahagi kepada dua jenis iaitu etika deskriptif dan normatif. Etika deskriptif merupakan disiplin yang membicarakan sistem moral yang dianuti individu atau golongan dan berbeza mengikut perbezaan individu, masa, tempat atau keadaan dan Ia dibicarakan dalam aspek yang luas. Manakala etika normatif ialah menilai, mengkritik dan membuat keputusan terhadap sistem moral yang ada. Selain itu, ianya juga mencadangkan sistem etika yang standard berpandukan sistem yang sedia ada seperti etika pemimpin dan etika perubatan. Selalunya individu yang beretika mempunyai kualiti emosi yang membantu mereka membentuk sifat-sifat positif seperti sabar, rajin, rasional, bertanggungjawab dan sebagainya.  Dalam pada itu, dari segi mental individu yang beretika mulia tidak gemar memikirkan perkara-perkara yang tidak berfaedah dan sia-sia. Mereka akan sentiasa membuat pertimbangan daripada sudut baik dan buruk sesuatu perkara sebelum mengambil tindakan.  Justeru, individu yang sentiasa mengamalkan etika yang baik mempunyai sifat-sifat terpuji dan jati diri yang unggul dan nilai etika tersebut mempengaruhi falsafah hidup, gaya berfikir dan tindak-tanduknya.

Perbincangan tentang etika ini dihuraikan dalam tiga faktor di atas iaitu pengaruh keluarga, pengaruh rakan dan pengalaman hidup. Di samping itu, undang-undang yang dilaksanakan oleh masyarakat mestilah konsisten, menyeluruh, telah diwartakan, boleh diterima oleh seluruh masyarakat dan dikuatkuasakan setelah diwartakan. Peraturan yang ditetapkan oleh undang-undang adalah sebagai membendung dan melakukan halangan daripada perbuatan tidak bermoral dan tidak beretika daripada terus berpanjangan. Undang-undang ini akan menjadikan seseorang individu itu lebih beretika dan bermoral apabila dikenakan hukuman dan tindakan undang-undang ke atas kesalahan yang dilakukannya.

Sebagai sebuah negara yang aman dan makmur dan menjadi contoh di mata dunia, setiap individu yang bergelar rakyat dan warganegara perlu menunjukkan etika yang positif kepada para pelancong luar yang dating ke Malaysia. Lebih-lebih lagi, pada tahun ini negara merupakan detinasi pilihan dalam tahun melawat Malaysia. Slogan ‘Malaysia Truly Asia’ amatlah bersesuaian dan tepat dalam menggambarkan nilai etika masyarakatnya. Dalam erti kata lain, selagi sesebuah masyarakat itu dapat mengekalkan tahap amalan etika yang tinggi, selama itulah masyarafkat tersebut akan terus maju dan berkembang. Sejarah juga telah banyak membuktikan bahawa beberapa tamadun agung yang pernah mengukir nama di mata dunia akhirnya tumpas dan lenyap seperti tamadun Babylon di Iraq, Mesir, Rome dan banyak lagi. Hal ini disebabkan oleh para pemimpin dan masyarakatnya sudah tidak bermoral dan tidak beretika dalam menjalani kehidupan mereka.


2551 Perkataan


APENDIKS
5.RUJUKAN / REFERENSI
Maksud Etika. (n.a.). [Online]. Available : 

Konsep Etika : Definisi. (n.a.). [Online]. Available :
            http://ciptaan-mulia.blogspot.com/p/konsep-etika.html. [2014, Mei 25].

Definisi Etika. (2010) [Online]. Available :

Pengertian Etika Dan Beberapa Istilah Dalam Etika. (2013). [Online]. Available :
beberapa-istilah.html. [2014, Mei 25].

Etika Profesi Dan Tanggungjawab Profesi. (2006). [Online]. Available :
            [2014, Mei 26].

Professional Ethics. (n.a.). [Online]. Available :
            http://madzani.blogspot.com/2013/05/professional-ethics.html. [2014, Mei 26].

Faktor Pembentukan Etika Dan Penguatkuasaan Undang-undang. (n.a.). [Online].
            Available : http://realitiseorangaku.blogspot.com/2013/11/faktor-
pembentukan-etika-dan.html. {2014, Mei 26].

10 Keperibadian Yang Harus Dihindari. (n.a.). [Online]. Available :
http// www.carapedia.com. [2014, Mei 26].

Pembentukan Etika Individu. (n.a.). [Online]. Available :
            http://dplipersatuan.blogspot.com/2012/10/apa-itu-etika.html. [2014, Mei 26].

Beberapa Faktor Yang Penting Dalam Pembentukan Etika Individu. (n.a.). [Online].
            [2014, Mei 26].

Kemahiran Penting Dalam Mengatasi Pengaruh Rakan Sebaya. (2011). Available :

mengatasi-pengaruh-rakan-sebaya-kata-taib. [2014, Mei 26].

No comments:

Post a Comment