Thursday 3 March 2016

Assignment - Year 4 (Semester 3 - September) PSIKOLOGI KEUSAHAWANAN DAN PRODUKTIVITI ABPS3103

1.PENGENALAN
Dewasa ini, Malaysia dilihat berjaya dari aspek keusahawanan tetapi terdapat beberapa isu dan agenda yang berkaitan masih perlu diberi perhatian. Justeru, dalam menuju abad ke-21, umum dapat menyaksikan peranan usahawan sebagai penggerak utama ekonomi di negara ini. Dalam erti kata lain, peranan usahawan adalah sangat besar dalam membantu perkembangan dan kemajuan ekonomi Malaysia. Ada pendapat yang menyatakan bahawa usahawan ialah orang yang sentiasa bergerak ke hadapan, bijak mencari peluang yang baru, sentiasa membawa perubahan mempunyai modal serta sumber dan berusaha untuk lebih maju.  Usahawan juga dikenal pasti sebagai seorang yang mempunyai tingkah laku berinovatif dan akan mempraktikkan pengurusan strategik dalam perniagaanya.

Sementara keusahawanan pula bermaksud satu strategi dalam membangunkan  sesebuah negara. Berperanan dalam menyediakan pelbagai peluang  pekerjaan, merangsang serta menjadi pencetus inovasi dan juga dilihat sebagai faktor kestabilan ekonomi dan sosial sesebuah negara. Menurut Kuratko&Hodgetts (1992), mereka menerangkan dengan lebih lanjut mengenai definisi keusahawanan iaitu dengan menyatakannya sebagai salah satu penciptaan baru melalui  empat dimensi utama yang mana ianya melibatkan individu, organisasi, proses dan persekitaran yang di bantu oleh rangkaian kerjasama dalam kerajaan, insitusi dan pendidikan. Mereka turut menyatakan ‘entrepreneur is one who undertakes to organize, manage and assume the risks of business”.

Walaupun terdapat banyak pendapat yang membincangkan tentang usahawan dan keusahawanan, namun kedua-duanya melibatkan enam elemen psikologi usahawan yang terdiri daripada bakat, minat, nilai, motivasi, sikap dan personaliti. Dalam tugasan kali ini, saya akan membincangkan tentang keenam-enam elemen tersebut serta kesesuaiannya dalam membangunkan usahawan di Malaysia dan bagaimana elemen tersebut menyumbang kepada kejayaan seorang usahawan Malaysia iaitu Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary.



2.ENAM ELEMEN PSIKOLOGI USAHAWAN
Elemen psikologi usahawan memainkan peranan penting bagi seseorang usahawan dalam menerajui sesuatu perniagaan yang diceburi dan mempengaruhi tindakan seseorang usahawan itu.

2.1.Bakat
Bakat merupakan salah satu dari kemampuan manusia yang diperoleh secara semula jadi atau melalui pembelajaran serta pengalaman. Bakat terdiri dari dua jenis iaitu bakat umum dan bakat khusus. Bakat umum merupakan kemampuan yang berpotensi dasar yang bersifat umum dimana setiap orang memilikinya. Sementara bakat khusus pula merupakan kemampuan yang berpotensi khusus dimana tidak semua orang memiliki misalnya seperti bakat seni, pemimpin, penceramah, olahragawan dan sebagainya.

Dalam membincangkan elemen bakat dalam psikologi usahawan, ada yang berpendapat bahawa perniagaan adalah satu bentuk kemahiran yang bermaksudnya semua orang dapat dilatih menguasai teknik teknik perniagaan. Dan ada pula yang berpendapat bahawa untuk menjalankan perniagaan kita perlukan bakat dimana bakat ini tidak dimiliki oleh semua orang. Sepertimana tidak semua orang boleh berpidato, tidak semua orang boleh berpolitik atau tidak semua orang boleh bersukan. Begitu juga dengan dunia keusahawanan, tidak semua orang boleh menjadi usahawan.

Pada pandangan saya, saya bersetuju dengan kedua-dua pendapat tersebut. Ini kerana seseorang yang tidak memiliki bakat perniagaan, sekiranya beliau dilatih dengan baik, beliau mampu menjadi seorang usahawan yang berjaya tetapi pasti akan ada ‘limitation’ atau had tersendiri dan langkahnya bakal dipenuhi dengan pelbagai cabaran dan dugaan. Manakala usahawan yang sememangnya mempunyai bakat semulajadi, langkahnya dilihat mudah dan perkembangannya cepat serta segala strategi perniagaannya menjadi. Justeru, semua orang boleh berniaga cuma yang membezakannya adalah ada yang menyinar, ada yang sederhana dan ada yang biasa sahaja.

2.2.Minat
Minat adalah suatu keadaan dimana seseorang mempunyai perhatian terhadap sesuatu dan disertai keinginan untuk mengetahui serta mempelajarinya. Dalam erti kata lain, minat adalah kecenderungan seseorang pada bidang-bidang tertentu dan merasa senang berkecimpung dalam bidang tersebut. Terdapat tiga faktor yang menyebabkan timbulnya minat seseorang itu iaitu faktor dorongan, faktor motif sosial dan faktor emosional.

Menurut Johanes (1999), beliau menyatakan bahawa minat tergolong kepada dua jenis iaitu minat intrinsik dan ektrinsik. Minat intrinsik adalah minat yang wujud dari dalam diri individu itu sendiri tanpa pengaruh dari luar. Sementara minat ekstrinsik adalah minat yang wujud dari pengaruh luar. Berdasarkan pendapat beliau, dapat disimpulkan bahawa minat intrinsik wujud kerana pengaruh sikap, persepsi, prestasi belajar, bakat, jantina dan termasuk juga pekerjaan. Minat ekstrinsik pula wujud kerana pengaruh latar belakang status sosial iaitu ekonomi ibu bapa, minat ibu bapa, informasi, lingkungan dan sebagainya.

Minat merupakan asas bagi memulakan sesuatu perniagaan dan sebab itulah, seseorang usahawan perlu memastikan minat itu wujud dalam dirinya untuk terus kekal dalam perniagaan yang diceburi. Secara tidak langsung, seseorang usahawan yang berjaya itu akan mendorong orang lain untuk turut berminat untuk memulakan sesuatu perniagaan.


2.3.Nilai
Nilai adalah sesuatu yang berharga, bermutu, menunjukkan kualiti dan berguna bagi manusia. Dalam erti kata lain, nilai ialah sesuatu yang berharga atau berguna bagi kehidupan manusia. Menurut Djahiri (1999), beliau menyifatkan nilai adalah harga, makna, isi dan pesan, semangat atau jiwa yang tersurat dan tersirat dalam fakta, konsep dan teori. Selain itu, nilai difungsikan untuk mengarahkan, mengendalikan dan menentukan kelakuan seseorang dan kerana itulah nilai dijadikan sebagai asas perilaku.

Menurut Dato’ Ramlan Othman (2011), beliau menegaskan bahawa mengamalkan nilai-nilai murni keusahawanan adalah amat penting bagi memastikan perniagaan seseorang itu berjaya. Nilai dan akhlak tidak dapat dipisahkan daripada keusahawanan. Ianya merupakan asas pembentukan peribadi setiap individu muslim termasuklah golongan usahawan. Golongan usahawan tidak hanya dipandang mulia malah dijanjikan dengan balasan yang baik di akhirat sekiranya mereka memenuhi tuntutan agama.


2.4.Motivasi
Motivasi adalah suatu perubahan tenaga dalam diri seseorang dengan wujudnya perasaan dan reaksi untuk mencapai sesuatu tujuan. Motivasi juga adalah suatu proses untuk mengiatkan motif menjadi perbuatan untuk memenuhi keperluan dan mencapai tujuan dalam diri individu yang mendorong tingkah lakunya untuk berbuat sesuatu dalam mencapai tujuan.

Untuk menjadi  seorang usahawan, seseorang individu itu perlu mempunyai tahap motivasi yang tinggi. Motivasi penting bagi usahawan kerana ianya memberi kesan ke atas produktiviti mereka. Bayangkan jika seorang usahawan tidak mempunyai sebarang keinginan yang tinggi untuk berjaya, nescaya apa sahaja yang cuba beliau lakukan adalah sia-sia. Motivasi yang tinggi dalam diri seorang usahawan adalah sumber pembakar semangat bagi mereka meneruskan perjuangan perniagaan.


2.5.Sikap
Sikap adalah pernyataan evaluatif terhadap objek, orang atau peristiwa dimana ianya  mencerminkan perasaan seseorang terhadap sesuatu, sedangkan perilaku adalah sebuah gerakan yang dapat diamati dari luar. Sementara itu, sikap atau ‘attitude’ adalah suatu konsep paling penting dalam pergaulan sosial.

Seseorang yang mahu menjadi usahawan yang berjaya, beliau perlulah memupuk dan memiliki sikap sebagai usahawan yang berjaya. Sikap-sikap ini boleh dibentuk dari didikan cara berfikir dan bertindak sebagai usahawan dalam golongan usahawan atau hasil pergaulan sekian lama dengan golongan usahawan. Keusahawanan memerlukan satu bentuk pemikiran yang berbeza dan bentuk pemikiran ini juga tidak sama dengan cara orang politik berfikir, merasa dan bertindak. Oleh itu, untuk menjadi seorang usahawan, seseorang bakal usahawan digalakkan untuk berkawan dengan seberapa ramai usahawan yang berjaya serta pakar-pakar yang boleh memberikan pandangan dan nasihat mengenai perniagaan serta belajar cara dan sikap mereka dalam menangani sesuatu cabaran yang dihadapi.


2.6.Personaliti
Personaliti memberi maksud keperibadian dan perwatakan. Penting bagi seorang usahawan mempunyai personaliti yang baik supaya dapat memberi respon yang positif kepada perniagaannya. Disamping dengan mempunyai personaliti yang baik, seorang usahawan itu akan mendapat kepercayaan sama ada dari rakan kongsi mahupun para pelanggannya.



3.KESESUAIAN ELEMEN PSIKOLOGI DALAM PEMBANGUNAN USAHAWAN
Setiap perniagaan yang diusahakan oleh seseorang usahawan itu mempunyai harapan yang tinggi agar perniagaannya terus maju dan berjaya serta dapat mengubah masa depan agar tidak ditindas pihak lain. Tiada sesiapa yang mengharap perniagaan yang dijalankan musnah dengan wang ringgit yang dikeluarkan. Namun, tidak semua perniagaan yang diusahakan mampu menetapkan jumlah pelanggan di dalam atau di luar negara. Tidak kira sebarang jenis perniagaan yang dijalankan samada melibatkan penjualan produk, servis, nasihat dan sebagainya.

Sementara itu, kecekalan dan semangat yang kental diperlukan bagi memastikan cita-cita yang diimpikan tercapai. Perniagaan ini bukan sesuatu yang boleh dicapai dengan mudah. Ini adalah kerana ianya mengambil masa dan tempoh yang agak panjang untuk mengusahakannya. Sambutan pelanggan dalam perniagaan yang dijalankan mempunyai beberapa cara untuk dicapai.

Dalam membincangkan soal kesesuaian elemen tersebut dalam pembangunan usahawan, apa yang boleh saya kata disini ialah keenam-enam elemen yang dihuraikan di atas masing-masing memainkan peranan penting dalam pembangunan setiap usahawan yang ingin berjaya dalam bidang keusahawanan. Elemen pertama iaitu bakat adalah sangat penting dalam pembangunan seorang usahawan. Ini kerana dengan bakat jugalah perniagaan seseorang usahawan dapat meningkat maju kerana secara tidak langsung seseorang usahawan itu dapat mengembangkan idea yang ada dalam perniagaannya. Seseorang individu itu dilihat gagal apabila beliau tiada bakat untuk menjadi seorang usahawan selain menunjukkan kelemahan dalam pengurusan perniagaan yang diusahakannya.

Pada pendapat saya, bakat dalam pembangunan usahawan boleh diukur melalui genetik. Ini dapat dibuktikan lagi melalui keadaan disekeliling dimana sekiranya kita memiliki ibu bapa atau saudara yang berjaya di dalam perniagaan, secara tidak langsung peluang kita untuk berjaya di dalam perniagaan juga tinggi. Hakikatnya, apabila kita dibesarkan dengan suasana yang dekat dengan dunia perniagaan, pemikiran kita akan masuk ke dalam jiwa kita dan akhirnya membentuk diri kita ke arah menjadi usahawan yang berjaya.

Sementara itu, elemen minat juga memainkan peranan penting selain dari elemen bakat. Dalam pembangunan usahawan, seseorang itu perlu mempunyai minat yang mendalam untuk memulakan sesuatu perniagaan. Ini kerana, melalui minat yang tinggi dapat menjadi seseorang individu itu berusaha untuk terus maju dan meningkatkan kebolehannya dalam bidang keusahawanan. Minat itu mestilah berkekalan dan bukan hanya sekadar sementara waktu sahaja. Tanpa minat, sudah tentu apa yang dilakukan seseorang usahawan atau bakal usahawan itu tidak sampai ke tahap yang dikehendaki. Dengan minat juga akan mendorong seorang bakal usahawan terutamanya untuk bersaing secara sihat dengan usahawan-usahawan yang sedia ada di Malaysia.

Seterusnya kesesuaian elemen nilai dimana dalam pembangunan usahawan, nilai dilihat sebagai kepercayaan yang mendorong seseorang usahawan untuk bertindak mengikut pemilihan yang berasaskan nilai-nilai utama masyarakat. Sebagai seorang usahawan, nilai-nilai asas perlu ada dalam diri. Antara nilai-nilai yang tergolong dalam kelompok ini ialah amanah, bertanggungjawab, ikhlas, berdedikasi, berdisiplin, bekerjasama, bersih, sederhana dan tekun. Sebagai usahawan juga, seseorang itu perlu mengamalkan nilai-nilai seperti berazam meningkatkan mutu perniagaan, berniaga dengan penuh tanggungjawab, berusaha mengikis sikap mementingkan diri, berniaga dengan penuh muhibbah dan kemesraan, berniaga ke arah memajukan diri dan masyarakat, bekerjasama dalam meningkatkan jaringan perniagaan dan berpegang teguh kepada ajaran dan amalan agama.

Seterusnya kesesuaian elemen motivasi dalam pembangunan usahawan merupakan faktor utama kepada pembentukan seseorang individu untuk menjadi seorang usahawan. Sekiranya seseorang usahawan itu merasakan dirinya tidak memerlukan sebarang motivasi, secara tidak langsung beliau telah menidakkan satu lagi potensi besar yang ada dalam dirinya. Justeru, agak mustahil bagi seseorang usahawan itu dapat bertahan lama dalam apa jua yang lakukan sekiranya beliau tidak menitikberatkan soal motivasi sama ada dalaman atau luaran. Motivasi ini akan terbentuk daripada pelbagai sudut serta keadaan dan ianya terbentuk secara semula jadi atau dari keadaan.

Sebagai contoh, motivasi amat diperlukan bila mana kita menghadapi saat-saat genting apabila berhadapan dengan masalah yang besar seperti pelanggan yang sedia ada sudah beralih kepada pesaing kita, harga yang kita tawarkan jauh lebih tinggi berbanding dengan harga yang ditawarkan para pesaing atau wujudnya persaingan yang tidak sihat  dimana pesaing cuba menjatuhkan kita dengan memburukkan nama baik yang kita bina selama ini. Sebab beginilah motivasi amat penting dan diperlukan bagi mereka iaitu para usahawan yang menghadapi keadaan sedemikian. Seorang usahawan tidak boleh sewenang-wenangnya menamatkan sisa-sisa perjuangannya dalam bidang perniagaan dengan begitu sahaja hanya disebabkan kurangnya motivasi dalam menghadapi cabaran yang mendatang.

Kesesuaian elemen seterusnya dalam pembangunan usahawan adalah sikap. Bukan mudah nak jadi usahawan berjaya. Sebab itu kajian demi kajian dilakukan untuk mengenal pasti kenapa sesetengah golongan usahawan berjaya sedangkan ada yang gagal. Hal ini berkait dengan sikap seorang usahawan sama ada untuk terus maju, terus kekal atau sebaliknya. David Rockefeller ada menyatakan bahawa ‘Success in business requires training, discipline and hardwork. But if you’re not frightened by these things, the opportunities are just as great as they ever were’.

Jika seseorang usahawan itu tidak takut atau gentar mendengar perkataan berlatih, disiplin dan kerja keras, maka beliau dilihat mempunyai peluang yang terbuka luas di hadapannya untuk meraih kejayaan dalam perniagaan. Sikap sebegini perlu ada dalam setiap usahawan dalam pembangunan usahawan. Sebagai contoh, menurut satu badan bukan kerajaan (NGO) iaitu ‘SCORE’, terdapat empat sikap yang ada pada para usahawan yang berjaya di Malaysia iaitu pengalaman dalam kerjaya, perancangan perniagaan, perwatakan yang positif dan mentor.

Kesesuaian yang terakhir ialah personaliti. Dalam pembangunan usahawan, perniagaan yang mempunyai personaliti sering kali lebih mendapat sambutan berbanding dengan perniagaan yang tidak mengetengahkan seseorang personaliti. Sebagai contoh, jika sesebuah perniagaan yang baru atau ingin meningkat naik, maka seseorang usahawan itu perlu mempunyai personaliti yang baik dari dalam dan luar termasuklah dari segi yang lain seperti rangkaian perniagaan serta para pekerjanya.

Sementara itu, antara ciri-ciri personaliti usahawan yang berjaya ialah komitmen dan keazaman, berinisiatif dan bertanggungjawab, sentiasa melihat dan merebut peluang yang ada, tolenrasi terhadap risiko, kekaburan serta ketidakpastian, berfikiran kreatif dan berinovasi, berkeyakinan tinggi dan bersifat optimistik, sanggup belajar daripada kesilapan dan kegagalan, berwawasan tinggi, berupaya memimpin dan kehendak kepada respon atau maklum balas segera. Dengan mempunyai personaliti yang dinyatakan, secara tidak langsung akan menjadikan perniagaan seorang usahawan itu popular dan terkenal.



4.KEJAYAAN TAN SRI SYED MOKHTAR ALBUKHARY DAN KAITANNYA DENGAN ELEMEN-ELEMEN PSIKOLOGI
Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary merupakan seorang usahawan bumiputera yang berjaya dan terkenal. Beliau dilahirkan pada 12 Disember 1951 dan merupakan anak ketiga dari tujuh orang adik beradik. Banyak pengetahuan dan pengalaman beliau perolehi melalui pengalaman keusahawanan sendiri semasa zaman mudanya walaupun hanya mendapat pendidikan sehingga tingkatan lima. Beliau kini memiliki banyak kepentingan dalam pelbagai bidang perniagaan termasuk pengangkutan dan logistik, perladangan, pembangunan hartanah, pertahanan dan gudang senjata serta generasi kejuruteraan dan kuasa. Kejayaan yang dikecapi oleh beliau didorong oleh elemen psikologi yang terdiri daripada bakat, minat, nilai, motivasi, sikap dan personaliti.

Walaupun berasal dari keluarga susah, namun tidak menghalang beliau untuk terus berusaha dalam kehidupannya. Bakat dan minat dalam bidang usahawan yang boleh dilihat semasa beliau mula membantu bapanya berniaga lembu sekitar tahun 1960. Namun,  perniagaan lembu mereka tidak bertahan lama ekoran wabak penyakit yang melanda pada ternakan mereka. Oleh yang demikian, berbekalkan keuntungan yang disimpan pada tahun-tahun sebelumnya, bapanya mengubah haluan dengan membuka kebun getah di Pokok Sena. Tan Sri Syed Mokhtar secara tidak langsung mempelajari bidang baru.

Dari segi elemen nilai yang ditunjukkan oleh Tan Sri Syed Mokhtar, beliau terus berusaha dan memutuskan untuk memulakan perniagaan selepas terpaksa berhenti sekolah. Berbekalkan wang simpanan hasil perniagaan lembunya dahulu, beliau menceburi bidang perniagaan daging. Beliau membeli lebihan daging murah sebelah malam dan menyimpannya dalam bilik sejuk sebelum menghantar kepada pembekal dengan menggunakan khidmat lori-lori dari Thailand untuk dihantar ke Alor Setar. Beliau juga banyak membantu masyarakat dengan sumbangan sosialnya seperti Yayasan Al-Bukhary, menaja kelas tuisyen untuk pelajar melayu, pengindahan masjid negara, memberi sumbangan 1 juta untuk tabung Tsunami, menaja setiap tahun penghantaran rakyat Malaysia yang tak mampu untuk tunaikan haji dan sebagainya.

Dari segi motivasi pula, beliau seorang yang mudah menerima nasihat dan pandangan terutamanya dari ibunya. Menurut Tan Sri Syed Mokhtar, sehingga kini beliau masih meminta nasihat dari ibunya dan beliau juga menyatakan bahawa ibunya tidak pernah sesekali menyecewakannya. Pada tahun 1985, semasa kemelesetan ekonomi telah memberi beliau satu pengajaran penting iaitu jangan sesekali melakukan sesuatu di luar kemampuan kewangan diri. Motivasi yang ditunjukkan oleh beliau dalam perniagaan adalah mudah iaitu jika beliau hendak melakukan sesuatu, beliau akan bertindak dahulu baru beliau akan bersuara. 

Sebagai seorang usahawan yang terkenal, sifat murni yang dipupuk sejak kecil oleh kedua ibu bapanya menjadikan Tan Sri Syed Mokhtar seorang yang sentiasa rendah diri dan tidak pernah lokek dengan ilmu serta rahsia kejayaannya di dalam bidang perniagaan. Dalam buku biografi Syed Mokhtar Albukhary, beliau ada menyatakan bahawa ‘Ibu saya mengajar kami bahawa kita tidak memiliki apa-apa sehinggalah kita memberinya dengan sepenuh hati, dengan harapan ia akan membuatkan hidup orang lain menjadi lebih baik’. Ternyata sikap rendah diri amat dititikberatkan oleh beliau apabila beliau berkata, ‘Pengajaran bagi saya adalah bahawa kita mesti sentiasa ingat asal-usul kita, dari mana kita datang dan merendah diri apabila dikurniakan nasib yang baik. Jika tidak, kita mungkin jatuh’.

Personaliti yang ditunjukkan oleh Tan Sri Syed Mokhtar juga amat disenangi oleh orang disekelilingnya. Beliau bukan seorang yang lupa diri. Beliau tidak malu dalam soal meminta pertolongan dan berusaha untuk terus menjaga hubungan dengan mereka yang pernah menolongnya. Menurut beliau sehingga hari ini, ada di antara mereka yang pernah menolongnya bekerja dengan syarikat-syarikatnya. Dalam erti kata lain, beliau adalah seorang tokoh simbolik yang memegang falsafah bahawa ‘pendidikan tidak menjamin kejayaan dalam hidup, tetapi kerja keras’.


5.KESIMPULAN
Keusahawanan boleh menyumbang kepada pembangunan. Implikasi pembangunan ialah kehidupan yang selesa. Rezeki yang mencukupi dan melebihi, menyumbang ke arah kehidupan dan kemakmuran bersama. Keusahawanan juga meningkatkan kualiti kehidupan dengan penemuan demi penemuan dan ini meluaskan pilihan pengguna. Keusahawanan membanyakkan peluang mata pencarian dan menyumbang ke arah produktiviti negara. Selain itu keusahawanan juga membantu ke arah pengagihan pendapatan yang lebih saksama seterusnya membawa kebaikan sosial melalui pengembalian sejumlah pendapatan kepada negara dalam bentuk pengembalian wajib seperti cukai, zakat atau secara sukarela. Dalam Islam sendiri menyatakan ‘sembilan dari sepuluh rezeki itu datang dari perniagaan.

Malah usahawan juga memainkan peranan penting dalam perniagaan. Seorang usahawan itu juga mestilah seorang yang tidak takut menghadapi cabaran. Sehingga kini, tiada satu definisi yang tepat terhadap istilah usahawan. Ini kerana, terdapat pelbagai definisi yang telah diberikan ke atas usahawan dan keusahawanan. Dalam bahasa mudah difahami, usahawan membawa maksud seseorang yang mengusahakan sesuatu perniagaan dan sanggup mengambil risiko perniagaan yang diceburinya.

Selain itu, usahawan merupakan individu atau kumpulan individu yang menubuhkan atau menerajui perniagaan sendiri serta mengembangkannya dari semasa ke semasa demi kemakmuran masyarakat dan negaranya. Dan enam elemen psikologi keusahawanan seperti yang dinyatakan di atas memainkan peranan dan saling berkait dalam pembangunan usahawan di Malaysia.

Seperti Tan Sri Syed Mokhtar, beliau merupakan salah seorang usahawan bumiputera yang berani menanggung risiko dan merupakan seorang usahawan yang suka membantu dalam sumbangan dan kebajikan masyarakat melayu khususnya. Pada beliau, setiap kali melakukan kebajikan, hatinya tersentuh. Ia tiada kena-mengena dengan tanggungjawab sosial korporat. Ini adalah perasan ambil berat dan sesuatu yang datang dari hati. Harapan beliau juga supaya mereka yang mempunyai wang akan membantu mereka yang kurang bernasib baik supaya dunia ini menjadi lebih adil dan saksama kepada semua. Tan Sri Syed Mokhtar juga percaya bahawa ‘Kekayaan mesti diagih. Apabila anda membuat wang, anda harus juga memberi’. Beliau juga ada berkata bahawa ‘Takwa adalah lebih daripada sembahyang lima kali sehari dan berpuasa pada bulan Ramadan, kedua-duanya nikmat yang cukup besar untuk saya. Takwa juga berkaitan dengan mengelakkan apa yang dilarang dan melakukan apa yang diperintahkan. Bagi Tan Sri Syed Mokhtar, beliau hanyalah penjaga kekayaan yang harus dibelanjakan untuk kebaikan manusia.


2973 Perkataan



APENDIKS
6.RUJUKAN / REFERENSI

Mohanlall, P. (2012). Biografi: Syed Mokhtar Albukhary. Malaysia: PVM Communication Sdn. Bhd.


Definisi Usahawan Dan Keusahawanan. (2012.). [Online].
            Available : http://www.crewusahawan.com/definisi-usahawan
-dan-keusahawanan/. [2014, September 20].

Konsep Keusahawanan. (n.a.). [Online].
            Available : http://usahawanbistari.blogspot.com/2009/04/
konsep-keusahawan.html. [2014, September 20].

The Elements Of Entrepreneurship. (2014). [Online].
            Available : http://newsoffice.mit.edu/2014/elements-entrepreneurship.
[2014, September 20].

Usahawan Perlu Patuh Lima Aspek Pengurusan Jika Mahu Berjaya. (2010). [Online].
            Available : http://sriamannews.blogspot.com/2010/12/usahawan-
perlu-patuh-lima-aspek.html. [2014, September 20].

Definisi Usahawan. (n.a.). [Online].
            [2014, September 20].

Teori&Falsafah Keusahawanan. (2011). [Online].
            Available : http://ymb.org.my/teori-falsafah-keusahawanan/.
[2014, September 20].

Teori Keusahawanan Mengikut Pendekatan Psikologi. (2009). [Online].
            Available : http://abdulwahabms.blogspot.com/2009/04/teori-
keusahawanan-mengikut-pendekatan_1103.html. [2014, September 20].

Konsep Dan Teori Keusahawan : Sejarah Keusahawanan. (n.a.). [Online].
            Available : http://www.scribd.com/doc/51187042/Sejarah-keusahawanan.
            [2014, September 20].

Ada bakat usahawan?. (20130. [Online].
            [2014, September 22].

Suburkan Minat Dalam Bidang Usahawan. (2012). [Online].
Utusan_Malaysia&sec=Selatan&pg=ws_02.htm. [2014, September 22].

7 Ciri Cemerlang Orang Positif. (n.a.). [Online].
            Available : http://www.ugmc.bizland.com/ak-positif.html. [2014, September 22].

Aplikasi Nilai-Nilai Murni Dalam Diri Usahawan. (2012). [Online].
            Available : http://duniaparasarjana.blogspot.com/2012/02/aplikasi
-nilai-nilai-murni-dalam-diri.html. [2014, September 22].

4 Jenis Stail Personaliti Yang Perlu Anda Ketahui. (2011). [Online].
manusia-4-jenis-stail-personaliti-yang-perlu-anda-ketahui/. [2014, September 22].

Personaliti Dalam Perniagaan. (n.a.). [Online].
            Available : http://www.irfankhairi.com/blog/perniagaan/personaliti
-dalam-perniagaan/. [2014, September 22].

Usahawan Berjaya Kerana Hebat Sikapnya. (n.a.). [Online].
            Available : http://kppmb.blogspot.com/2008/09/usahawan-berjaya-
kerana-hebat-sikapnya.html. [2014, September 22].

Pembangunan Usahawan. (n.a.). [Online].
article&id=199%3Apembangunan-usahawan&catid=94%3Aprogram-pembangunan&Itemid=337&lang=bm. [2014, September 23].

7 Tips Memajukan Perniagaan. (n.a.) [Online].
            Available : http://www.usahawan.com/strategi-bisnes/7-tips-
memajukan-perniagaan.html. [2014, September 23].

10 Tips Kejayaan Perniagaan. (n.a.). [Online].
            Available : http://niagainfo.blogspot.com/2013/08/10-tips-
kejayaan-perniagaan.html. [2014, September 23].

Motivasi Usahawan - Kisah Kejayaan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary. (n.a.) [Online].
usahawan-kisah-kejayaan-tan.html. [2014, September 23].

25 Ciri Usahawan Berjaya. (n.a.). [Online].
            [2014, September 23].

Faktor Kejayaan Dan Kegagalan Usahawan. (2009). [Online].
-dan-kegagalan-usahawan.html. [2014, September 23].

Rahsia Kejayaan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary. (n.a.) [Online].

-tan-sri-syed-mokhtar-al-bukhary.html. [2014, September 23].

1 comment:

  1. PERKHIDMATAN PEMBIAYAAN LE-MERIDIAN. syarikat pinjaman yang memberi saya pinjaman sebanyak 5,000,000.00 USD Apabila pelabur-pelabur lain yang lain telah mengabaikan tawaran saya tetapi Le_Meridian Funding Service memberi saya pinjaman yang memuaskan. langsung ke pembiayaan pinjaman dan projek dari segi pelaburan. mereka menyediakan penyelesaian pembiayaan kepada syarikat dan individu yang mencari akses kepada dana pasaran modal, mereka dapat membantu anda membiayai projek anda atau mengembangkan perniagaan anda. Hubungi E-mel :::: lfdsloans@lemeridianfds.com Juga lfdsloans@outlook.com atau Tulis pada Whatsapp Nombor pada 1- (989-394-3740) Berpikir Baik,

    ReplyDelete