Wednesday 2 March 2016

Assignment - Year 3 (Semester 3 - September) PENGAJIAN MALAYSIA MPW1133/2133

1.PENGENALAN
Malaysia merupakan sebuah negara yang unik serta kompleks yang mana bukan sahaja daripada struktur pemerintahannya malah dari segi penduduknya yang terdiri dari pelbagai etnik dan kaum seperti Melayu, Cina, India, Kazadan, Bidayuh serta lain-lain. Tidak hairanlah Malaysia menjadi model sebuah masyarakat majmuk kepada masyarakat dunia yang lain. Perpaduan dan integrasi nasional merupakan matlamat yang amat penting bagi semua negara bebas, merdeka dan berdaulat. Tanpa perpaduan dan integrasi nasional, sesebuah negara akan terdedah kepada pelbagai masalah dan ancaman.

Dari segi definisi perpaduan adalah proses menyatukan pelbagai bangsa dalam sesebuah negara supaya mempunyai hasrat dan cita-cita yang sama tentang negaranya. Perpaduan rakyat Malaysia adalah satu perkara penting yang perlu diberi perhatian dalam proses pembangunan negara. Selain daripada aspek ekonomi dan politik, perpaduan juga merupakan agenda penting dalam kemajuaan sesebuah negara. Relatifnya, ekonomi dan politik yang stabil akan memberi sumbangan yang besar dalam proses perpaduan negara.

Manakala, integrasi nasional pula adalah satu proses yang menyatupadukan pelbagai kelompok dalam masyarakat melalui satu indentiti bersama. Bagi negara yang berbilang bangsa, proses ini merupakan satu matlamat utama yang diusahakn agar berjaya. Kejayaan Malaysia mengekalkan keamanan dalam tempoh yang lama dengan rakyat berbilang bangsa dan kepercayaan adalah satu contoh terbaik kejayaan proses intagrasi. Integrasi amat sukar untuk difahami kerana memerlukan pengorbanan dalam menjayakannya.

Proses ini bukan mudah dicapai sekiranya masyarakat di Malaysia masih lagi mempunyai sikap berpuak-puak dan bersikap perkauman antara satu dan lain. Sebab itulah terdapatnya tiga konsep asas perpaduan dan integrasi nasional yang perlu kita fahami terlebih dahulu iaitu asimilasi, amalgamasi dan pluraliti. Sementara itu, antara program yang telah dijalankan oleh kerajaan untuk mengeratkan perpaduan dan integrasi nasional adalah seperti Program Belia, Sekolah Wawasan dan Pelan Integriti Nasional.



2.MATLAMAT
2.1.Program Belia
Seperti yang kita sedia maklum, program belia merupakan sebuah program yang ditubuhkan khas untuk golongan para belia. Kerajaan telah mengiktiraf bahawa belia boleh membantu serta memainkan peranan penting dalam membentuk Malaysia menjadi destinasi yang lebih baik untuk hidup, bekerja dan bermain. Matlamat program belia ialah mewujudkan belia Malaysia yang memiliki peribadi yang bersepadu dari segi rohaniah, akliah dan jasmaniah, bertanggungjawab, berdikari, bersemangat sukarela dan patriotik serta menjadi penggerak kepada kemajuan dan kemakmuran bangsa, agama dan negara yang selaras dengan Wawasan 2020.

Dalam erti kata lain, para belia merupakan sumber terbesar dalam negara dan mereka ini berpotensi untuk menyumbang kepada pembangunan negara. Keupayaan mengembleng tenaga belia secara tidak langsung menentukan kekuatan dan ketahanan pembangunan sosial, ekonomi dan politik negara. Dari segi umur pula para belia ialah mereka yang berumur di antara 15 hingga 40 tahun. Namun begitu, dari segi strategi pelaksanaan program dan orientasi aktiviti, tumpuan utama ialah pada mereka yang berumur di  antara 18 hingga 25 tahun.

Antara program belia yang telah berjaya dijalankan ialah seperti Program Rakan Muda dan Program 1M4U. Program Rakan Muda telah dilancarkan secara rasminya pada 29 Oktober 1994 dengan misi terasnya ialah untuk melahirkan potensi tertinggi generasi muda supaya berupaya mendukung matlamat pembangunan negara. Cabaran pencapaian misi ini ialah membentuk generasi muda yang lengkap dengan gugusan nilai-nilai murni, berfikiran positif, menguasai ilmu dan kemahiran bagi menempuh kemajuan peradaban yang akan datang.

Manakala Program 1M4U pula merupakan satu inisiatif dari kerajaan untuk menggalakkan lagi penyertaan para belia dalam aktiviti kemasyarakatan. Dengan adanya inisiatif seperti ini diharap para belia dapat memanfaatkan peluang yang sedia ada untuk berbakti dan memberi sumbangan kepada negara. Tujuan utama Program 1M4U adalah untuk mengembangkan semangat cintakan negara dan kesukarelawanan dikalangan belia tanpa mengira kaum. Jika selama ini pencapaian belia hanya dinilai dari segi akademik tetapi kini dengan usaha berterusan kerajaan para belia boleh menceburi kesukarelawan untuk membantu orang ramai dalam memberikan yang terbaik kepada masyarakat khususnya.


2.2.Sekolah Wawasan
Sekolah Wawasan merupakan sekolah rendah yang berkonsepkan belajar bersama-sama dalam satu kawasan yang sama tanpa mengira kaum atau agama. Di bawah konsep ini juga, dua atau tiga buah sekolah rendah berlainan aliran akan ditempatkan dalam kawasan yang sama. Setiap sekolah mempunyai bangunan sendiri yang boleh disambung antara satu sama lain dengan menggunakan jambatan penghubung. Idea penubuhan sekolah wawasan telah dicernakan oleh mantan Perdana Menteri iaitu Tun Dr. Mahathir Mohammad yang diluluskan oleh kabinet pada tahun 1997.

Konsep Sekolah Wawasan ini juga bertujuan memupuk integrasi kaum. Sekolah Wawasan tempat yang terbaik untuk memulakan proses integrasi kaum. Sekolah Wawasan menyediakan ruang dan peluang untuk murid-murid pelbagai kaum berinteraksi secara lansung kerana mereka berkongsi kantin, padang permainan, dewan dan kemudahan lain di sekolah. Mereka berpeluang untuk saling mengenali dan memahami satu dengan yang lain. Dengan itu, mereka akan membesar dengan sikap toleransi dan hormat terhadap budaya dan agama kaum-kaum yang lain. Perasaan syak wasangka antara kaum dapat dihindarkan. Hal ini dapat memupuk persefahaman kaumdan seterusnya mempercepat integrasi nasional. Sekolah Wawasan membantu murid-murid menguasai bahasa Inggeris dan bahasa Melayu dengan lebih baik.

Sementara itu, matlamat Sekolah Wawasan ialah Untuk mewujudkan perpaduan di kalangan murid-murid yang berbagai-bagai bangsa dan latar belakang, memupuk semangat integrasi antara pelajar dari pelbagai aliran, melahirkan generasi yang mempunyai sifat toleransi dan persefahaman yang tinggi demi mewujudkan sebuah negara yang bersatu padu dan menggalakkan interaksi yang maksimum antara semua warga sekolah melalui perkongsian kemudahan sekolah dan pelaksanaan aktiviti-aktiviti lain di sekolah. Antara Sekolah Wawasan yang telah beroperasi dengan jayanya ialah Kompleks Sekolah Wawasan Pekan Baru, Parit Buntar, Perak; Kompleks Sekolah Wawasan Taman Aman, Alor Setar, Kedah; Kompleks Sekolah Wawasan Tasik Permai, Pulau Pinang; Kompleks Sekolah Wawasan USJ 15, Subang Jaya, Selangor dan     Kompleks Sekolah Wawasan Pundut, Seri Manjung, Perak


2.3.Pelan Integriti Nasional
Pelan Integriti Nasional (PIN) adalah satu pelan atau rancangan yang dirancangkan serta dilancarkan oleh Perdana Menteri ke 4 iaitu Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 23 April 2004 dengan fokus utamanya untuk menanam dan memupuk budaya etika dan integriti di kalangan semua lapisan masyarakat di Malaysia selaras dengan cabaran keempat Wawasan 2020. Budaya etika dan integriti ini adalah amat penting dalam mana-mana organisasi kerana ianya memastikan perlaksanaan apa jua program serta matlamat dicapai dengan baik serta beretika. Serentak dengan pelancaran PIN, kerajaan telah menubuhkan Institut Integriti Malaysia (IIM) sebagai agensi penyelaras dan pemantauan pelaksanaan PIN. Pelancaran PIN dan penubuhan IIM merupakan pendorong utama ke arah usaha dan pencapaian agenda integriti negara.

Gerakan pemantapan integriti yang dipacu oleh Pelan Integriti Nasional (PIN) dan dikoordinasi oleh Institut Integriti Malaysia (IIM) ialah suatu gagasan yang semakin menawan imaginasi pelbagai lapisan masyarakat dimana ianya menjadi kekuatan bagi mengurus kejayaan dan mengatasi kelemahan dengan berkesan. Pelancaran PIN dan penubuhan IIM ini akan menjadi pendorong terbesar ke arah pencapaian matlamat gerakan pemantapan integriti. Kesemua ini membolehkan Malaysia secara teratur melangkah ke hadapan untuk mencapai cita-cita menjadi sebuah masyarakat maju menurut acuan sendiri serta membinanya menjadi lebih ‘CEMERLANG, GEMILANG dan TERBILANG’.

Antara matlamat PIN ialah meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat serta meningkatkan daya saing dan daya tahan negara dalam usaha menangani pelbagai cabaran globalisasi. Sementara itu terdapat lima sasaran dalam Pelan Integriti Nasional. Sasaran pertama ialah mengurangkan gejala rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan secara berkesan. Sasaran kedua pula ialah meningkatkan kecekapan dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam dan mengatasi karenah birokrasi. Manakala sasaran ketiga ialah meningkatkan tadbir urus korporat, etika perniagaan dan tanggungjawab sosial korporat. Sasaran seterusnya ialah memantapkan institusi keluarga dan komuniti. Dalam sasaran yang keempat ini, terdapat beberapa pecahan yang merangkumi pelbagai aspek kekeluargaan iaitu seperti pengurangan kadar perceraian, pengurangan konflik keluarga seperti isu perebutan harta dan hak penjagaan anak, pengurangan kadar keganasan rumahtangga, pengurangan kadar penderaan dan pengabaian kanak-kanak, peningkatan bantuan kepada keluarga beribu atau berbapa tunggal dan pengurangan kes pengabaian warga tua. Sementara itu, sasaran terakhir dalam PIN ialah memantapkan kualiti hidup dan kesejahteraan masyarakat.



3.PENDEKATAN DAN CABARAN YANG DIHADAPI
Umum mengetahui bahawa perpaduan dan integrasi nasional menjadi asas kepada pembinaan sebuah negara bangsa. Perpaduan dan  integrasi nasional menjadi matlamat utama sesebuah negara memandangkan jika perpaduan negara tidak dijaga negara akan musnah dan pembinaan negara bangsa tidak dapat dijalankan. Pandangan ini terbukti apabila tercetusnya peristiwa berdarah di negara ini pada 13 Mei 1969. Antara pendekatan dan cabaran yang dihadapi oleh kerajaan dalam menjayakan perpaduan dan integrasi nasional ialah integrasi wilayah, integrasi ekonomi, integrasi pendidikan dan integrasi budaya yang akan dihuraikan seperti di bawah.


3.1.Integrasi Wilayah
Dikenali juga sebagai pemisahan tempat tinggal atau petempatan. Keadaan ini berlaku dalam masyarakat negara ini yang timbul akibat daripada kesan dasar “pecah dan perintah” yang diamalkan oleh British sejurus menjajah Malaysia. Melayu, Cina dan India merupakan kumpulan kaum di mana bukan sahaja terasing daripada segi lokasi tempat tinggal, malahan masing-masing menjalankan jenis pekerjaan yang berbeza. Keadaan ini juga menyebabkan golongan etnik tersebut tidak mengenal atau berpeluang berinteraksi dengan lebih kerap sesama mereka khususnya mereka yang tinggal dalam wilayah yang berbeza.

Semenjak tahun 1920, corak  petempatan sebegini telah kelihatan amat ketara. Terdapat perkampungan melayu di kawasan pinggir bandar dan pendalaman, di pekan atau bandar pula kelihatan kedai-kedai Cina sementara buruh-buruh India bertumpu di ladang-ladang getah. Manakala di Sabah dan Sarawak pula, wujud perkampungan yang terdiri daripada rumah panjang kaum Iban dan kampung kaum Kadazan. Mereka ini juga terpisah dan berbeza antara satu sama lain. Begitu juga keadaan masyarakat semenanjung dengan masyarakat di Sabah dan Sarawak.


3.2.Integrasi Ekonomi
Juga bermaksud perbezaan tumpuan sektor ekonomi di mana semasa penjajahan, British telah menjalankan dasar ‘divide and rule’ iaitu dasar pecah dan perintah agar dapat memerintah dan mengeksploitasi ekonomi negara. Dasar ini jugalah yang memisahkan kaum-kaum utama negara ini mengikut bidang ekonomi yang dijalankan. Masyarakat melayu mengendalikan pertanian dan ditempatkan di kawasan luar bandar iaitu di kampung-kampung. Masyarakat Cina pula ditempatkan dilombong-lombong bijih timah dan bandar-bandar kerana aktiviti perlombongan dan perdagangan yang dijalankan. Manakala masyarakat India pula ditempatkan di ladang-ladang getah. Perubahan inilah yang menyebabkan ketiga-tiga kaum ini terpisah dan hubungan menjadi bertambah renggang.

Akibat dari dasar yang dicipta oleh British, kesannya masih dapat dilihat sehingga sekarang di mana sektor perniagaan didominasi oleh kaum Cina dan kebanyakkan kaum India masih tinggal di ladang-ladang dan perasaan prasangka dan perkauman menjadi semakin kuat dan menebal di antara sesama kaum terbabit. Dominasi kaum dalam satu-satu bidang juga adalah cabaran ke dua daripada aspek ekonomi. Ini adalah kerana kaum-kaum lain tidak dapat menyelit atau masuk ke dalam bidang tertentu yang didominasi oleh kaum-kaum tertentu dan ini adalah kerana kaum yang mendominasi itu mahu terus mengekalkan hak dan kuasa dominasi mereka.

Justeru, bagi mengatasi masalah dan cabaran ini, banyak dasar-dasar yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan seperti DEB dan RMK. Namun, pihak kerajaan hanya mampu merapatkan dan mengurangkan jurang ini dan bukan menghapuskannya.



3.3.Integrasi Pendidikan
Dalam erti kata lain merupakan pengasingan sistem pendidikan. Sistem pendidikan yang ditinggalkan oleh British banyak menimbulkan masalah perpaduan antara kaum. Wujud kepelbagaian sekolah mengikut kaum mengikut tempat tinggal masing-masing. Bagi pelajar Melayu, hanya dua jenis sistem pendidikan dibenarkan, iaitu sekolah vernakular Melayu ataupun beraliran Inggeris. Namun, sekolah beraliran Inggeris hanya untuk anak-anak bangsawan. Pelajaran di sekolah-sekolah Melayu pula hanyalah berbentuk pendidikan asas kerana mereka tidak digalakkan untuk menjadi terlampau pandai.

Sementara pelajar Cina mempunyai sistem pendidikan mereka sendiri. Kaum Cina memang terkenal dengan tradisi mementingkan pendidikan anak-anak mereka. Guru-guru dan buku teks yang digunakan di sekolah ini dibawa dari negara China. Justeru, pelajar Cina lebih mementingkan pergolakan politik, ekonomi  dan sosial yang berlaku di Negara China berbanding dengan perkembangan di Tanah Melayu.

Manakala bagi pelajar India, sekolah Tamil dibuka di estet-estet. Walaupun guru-guru yang mengajar di sini dibawa dari India, namun mutu pengajaran mereka sangat rendah. Tidak ada pelajaran di peringkat menengah dalam bahasa Tamil. Justeru, pelajar lepasan sekolah Tamil ini tidak mungkin berpeluang untuk mendapat pekerjaan yang baik dan akhirnya terpaksa bekerja di estet.



3.4.Integrasi Budaya
Dalam integrasi ini terdapat perbezaan kepercayaan serta agama. Secara amnya, kita tahu bahawa setiap  kaum   menganut   agama   yang   berbeza-beza   seperti Melayu beragama Islam, India beragama Hindu dan Cina beragama Buddha. Namun begitu, masih ada kaum-kaum ini yang menganut agama yang tidak majoriti dalam kelompok mereka seperti India-Muslim dan Cina Kristian. Selain masyarakat di semenanjung, kaum Bumiputera di Sabah dan Sarawak pula menganut agama Kristian. Pegangan dan ideologi setiap agama ini berbeza-beza. Oleh itu, amat sukar untuk membentuk perpaduan sekiranya setiap kaum sukar untuk bertolak ansur dengan fahaman agama kaum-kaum lain.



4.PENCAPAIAN DARI SEGI KEJAYAAN DAN KEGAGALAN DALAM MENGUKUHKAN PERPADUAN DAN INTEGRASI NASIONAL
Setiap dasar atau pelan yang dilaksanakan kerajaan pastinya terdapat kejayaan dan kegagalan seperti program mengeratkan perpaduan dan integriti nasional. Namun, ini semua tidak menghalang kerajaan untuk mengukuhkan dan berusaha yang terbaik bagi menyatupadukan semua masyarakat termasuk pelbagai kaum yang terdapat di Malaysia. Antara kejayaan dan kegagalan yang dimaksudkan adalah seperti huraiandi bawah.

4.1.KEJAYAAN
4.1.1.Kepimpinan Berteladan Melalui Pendidikan Yang Berterusan dan Berulang
Kepimpinan adalah antara faktor penentu terpenting bagi kejayaan PIN. Kepimpinan sedemikian mempunyai iltizam politik yang teguh, berwawasan, menetapkan sasaran yang jelas, berpegang pada prinsip bersih, cekap dan amanah, menunjukkan teladan yang baik, berhemah serta mesra rakyat. Justeru, kepimpinan yang mempunyai ciri-ciri ini dapat memberikan inspirasi kepada rakyat, sekaligus menggembleng kekuatan mereka untuk mencapai matlamat PIN. Selain itu, pencapaian sasaran PIN juga amat bergantung kepada pendidikan nilai­nilai murni secara berterusan dan berulang di kalangan pelbagai sektor dan lapisan masyarakat. Melalui cara ini nilai-nilai tersebut beransur­ansur dapat dihayati dan dilaksanakan sehingga menjadi sebahagian daripada kebiasaan hidup dan  akhirnya menjadi budaya individu dan masyarakat di negara ini.



4.1.2.Persekitaran Budaya Yang Kondusif Dalam Kesediaan Individu Sendiri Untuk Berubah
Seperti yang umum mengetahui bahawa persekitaran yang kondusif bermaksud adanya suatu budaya di mana masyarakat dalam pelbagai kaum berminat mengenai etika dan integriti serta mengamalkannya. Minat dan pengamalan ini akan terus berkembang apabila pemimpin menepati janjinya. Penguatkuasaan terhadap gejala rasuah, penyelewengan dan salahguna kuasa pula dilihat semakin berkesan dan tidak dilakukan secara 'rnemilih bulu' atau berat sebelah. Perkernbangan sebegini akan lebih terdorong lagi apabila terdapat penyelesaiaan terhadap kes-kes yang menarik perhatian umum seperti jenayah kolar putih yang melibatkan ahli-ahli korporat dan ternama di negara ini. Sementara itu, dari segi pembinaan insan pula, peranan individu itu sangat penting. Di mana pemahaman, kesedaran dan pengetahuan individu mengenai nilai-nilai murni yang dipupuk melalui pendidikan dan komunikasi berkesan akan menyumbang kepada gerakan pemantapan integriti. Keinsafan mereka tentang perlunya kelemahan diri diatasi akan meningkatkan lagi komitmen mereka untuk berubah. Dengan cara ini, individu berkenaan akan lebih komited kepada usaha meningkatkan amalan beretika dan berintegriti.



4.2.KEGAGALAN
4.2.1.Media Massa
Merupakan antara penyumbang ke arah kegagalan integrasi kaum di Malaysia walaupun kita sudah mencapai 56 tahun kemerdekaan. Media massa yang memang begitu rapat dengan rakyat turut berperanan menyumbang kearah kegagalan integrasi kaum di Malaysia. Akhbar misalnya, setiap kaum mempunyai akhbar didalam bahasa ibunda masing-masing. Orang Melayu lazimnya membaca akhbar berbahasa Melayu seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian, orang Cina pasti lebih cenderung untuk membaca Nanyang Siang Pau begitu juga dengan kaum India yang pasti lebih memilih akhbar Makkal Ossai.

Begitu juga akhbar-akhbar di Sabah dan Sarawak yang dibuat khusus untuk bacaan khalayak tertentu. Hal ini kelihatan kecil namun, harus diingat bahawa penggunaan akhbar-akhbar ini bukan sekadar menggunakan bahasa ibunda tetapi turut meniupkan semangat perkauman kepada pembaca akhbar mereka. Apa yang menguntungkan, bahasa pengantar akhbar itu tidak difahami oleh semua orang kerana ianya menggunakan bahasa ibunda kaum masing-masing. Inilah masalahnya yang boleh kita kaitkan dengan media massa. Media massa sedikit sebanyak telah menyumbang kearah segregasi kaum di Malaysia. Justeru, wujudnya situasi sebegini perbezaan kaum akan lebih terserlah. Identiti kaum akan lebih kuat dan diutamakan seterusnya identiti nasional dan kebangsaan tidak dipedulikan.



4.2.2.Salah Faham Terhadap Dasar Kerajaan
Merupakan antara punca utama masalah integrasi kaum yang masih belum menemui jalan keluarnya. Semuanya berkaitan dengan persepsi negatif dan prejudis kaum-kaum bukan bumiputera terhadap dasar-dasar utama kerajaan, khususnya dasar sosial yang dianggap sebagai berat sebelah dan hanya untuk menguntungkan orang Melayu sahaja. Dasar-dasar utama kerajaan ini yang matlamat akhirnya ialah untuk mewujudkan perpaduan negara yang lebih baik telah menerima sambutan dingin daripada kaum-kaum bukan bumiputera ini. Misalnya, Dasar Pendidikan Kebangsaan dianggap oleh kaum bukan bumiputera sebagai suatu dasar untuk menghapuskan sistem pendidikan kaum mereka dan untuk mengurangkan penggunaan bahasa ibunda mereka. Walhal, dasar ini bertujuan untuk menyatupadukan masyarakat berbilang kaum di Malaysia dengan kewujudan suatu sistem, bahasa penghantar dan silibus pelajaran yang sama bagi semua aliran sekolah di Malaysia.

Kerajaan tidak berhasrat untuk menghapuskan sekolah-sekolah aliran Cina dan Tamil melalui dasar ini. Begitu juga halnya dengan dasar-dasar kerajaan yang lain seperti Dasar Ekonomi Baru dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan. Berlakunya perpecahan kaum yang menggagalkan integrasi kaum di Malaysia ini adalah kerana didorong oleh rasa tidak puas hati dan prejudis dalam kalangan kaum-kaum di Malaysia. Ianya juga dikatakan berpunca daripada sikap sesetengah kaum itu sendiri yang mahu menonjolkan kebudayaan masing-masing dengan mengetepikan kebudayaan kebangsaan seperti yang termaktub didalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan. Obsesi untuk berada didalam kelompok kaum sendiri dari segala segi juga adalah salah satu punca utama yang telah menggagalkan integrasi kaum di Malaysia.



5.KESIMPULAN
Perpaduan dan integriti nasional memainkan peranan penting dalam memacu kestabilan serta kemajuan negara. Tanpa perpaduan dan integrasi nasional, kemajuan negara yang ingin dicapai untuk menghadapi Wawasan 2020 tidak mungkin akan menjadi kenyataan kerana kerjasama diperlukan untuk menjana kemajuan. Justeru, matlamat untuk mengekalkan kestabilan serta kemajuan yang dimaksudkan melalui perpaduan dan integrasi nasional harus menjadi tanggungjawab setiap rakyat memandangkan Malaysia merupakan sebuah negara yang kecil. Setiap rakyat hendaklah memberi keutamaan kepada nilai-nilai yang murni bagi mengeratkan perhubungan di setiap peringkat masyarakat tinpa mengira kaum.

Nilai-nilai kesederhanaan, tolak ansur atau toleransi dan hormat-menghormati adalah unsur-unsur yang penting kea rah membina sebuah negara yang aman dan makmur. Selain itu, proses pembinaan negara yang aman memerlukan setiap rakyat Malaysia memupuk semangat bangga terhadap negara sendiri. Semangat kebangsaan merupakan faktor terpenting di mana ianya perlu dikekalkan supaya keselamatan negara terjamin. Oleh yang demikian, terpulang kepada setiap rakyat Malaysia untuk menghadapi cabaran-cabaran ini dalam mengekalkan perpaduan dan integrasi nasional.

Dalam erti kata lain, terbentuknya sebuah negara yang bersatu padu, stabil dan maju serta aman damai adalah terletak di tangan rakyatnya sendiri. Walau bagaimanapun, kita sebagai rakyat Malaysia sudah tentu bersedia untuk berkorban dan melaksanakan tanggungjawab bagi memelihara negara yang kita cintai supaya dapat terus menjadi contoh kepada negara-negara luar.



2969 Perkataan





APENDIKS
6.RUJUKAN / REFERENSI

Sejarah Memperkukuh Integrasi Nasional. (2010). [Online].
            Available : http://www.bharian.com.my/articles/Sejarahmemperkukuh
integrasinasional/Article. [2013, September 20].

Konsep Asaa Perpaduan Dan Integrasi Nasional. (2012). [Online].
            Available : http://melayumaya.blogspot.com/2012/09/konsep-asas-
perpaduan-dan-integrasi.html. [2013, September 20].

Integrasi Dan Perpaduan. (2012). [Online].
            Available : http://azamrahman.blogspot.com/2012/03/integrasi-
perpaduan-nasional.html. [2013, September 20].

Program Belia Mahir 1Malaysia. (n.a.). [Online].
            Available : http://www.kbs.gov.my/PBM1M2011/. [2013, September 20].

Manfaat Bajet Perkasa Pelbagai Program Belia. (2013). [Online].
wb_05/Manfaat-bajet-perkasa-pelbagai-program-belia. [2013, September 20].

Sekolah Wawasan diyakini dicapai matlamat perpaduan. (2011). [Online].
pub=Utusan_Malaysia&sec=Parlimen&pg=pa_04.htm. [2013, September 22].

Konsep Dan Pelaksanaan Sekolah Wawasan. (n.a.). [Online].
            sekolah-wawasan.html. [2013, September 22].

Dasar Pendidikan Negara. (n.a.). [Online].
            Available : http://tuanmat.tripod.com/sekolahwa.html. [2013, September 22].

Kebaikan Sekolah Wawasan. (2010). [Online].
            Available : http://pendidikanasasintegrasi.blogspot.com/2010/08/
kebaikan-sekolah-wawasan_13.html. [2013, September 23].

Sekolah Wawasan Penjana Perpaduan Kaum. (2010). [Online].
_13.html. [2013, September 24].

Pelan Integriti Nasional : Merangkumi semangat dan prinsip Perlembagaan Persekutuan
Menyerap falsafah dan prinsip Rukun Negara. (2007). [Online].
            [2013, September 25].

Pelan Integriti Nasional. (2009). [Online].
            [2013, September 25].

Tiga Cabaran Perpaduan dan Integrasi Nasional. (2012). [Online].
            Available : http://melayumaya.blogspot.com/2012/09/tiga-cabaran-
perpaduan-dan-integrasi.html. [2013, September 25].

Langkah-langkah Untuk Memupuk Perpaduan Dan Integrasi Nasional. (2010). [Online].
memupuk-perpaduan.html. [2013, September 25].

Kejayaan Malaysia Dalam Membentuk Perpaduan Pada Mata Dunia. (n.a.). [Online].
membentuk.html. [2013, September 25].

Kejayaan Demokrasi Malaysia Jadi Contoh (n.a.). [Online].
jadi-contoh.html. [2013, September 25].

Kesan-kesan Kemeruduman Perpaduan Kaum. (2011). [Online].
kemeruduman-perpaduan-kaum.html. [2013, September 25].

Dasar Dalam Negara : Perpaduan Negara. (n.a.). [Online].
            [2013, September 25].

Punca-punca Perpaduan Negara Musnah. (n.a.). [Online].
2011punca-punca-perpaduan.html. [2013, September 25].

Ghazali, N.H. (2010). Sistem Sekolah Wawasan. [Online].

wawasan_14.html. [2013, September 25].

No comments:

Post a Comment